|
MD RASUL BIN HARON |
Wajah Kampung Teluk Rumbia pagi itu tetap ceria. Senyuman dan gelak ketawa menghiasi paras rupa. Manakan tidak, rata-rata penghuninya bagaikan berpesta melihat jentera memotong padi yang lahap menjamah. Di hujung bendang, tiga empat ekor kerbau balar seperti tidak mengendahkan tetamu yang diundang oleh Haji Senin. Bagi mereka, lebih baik berkubang, dapat juga bersabunkan lumpur. Seperti Pak Lang yang tetap dengan kerjanya, mengasah dan membuat hulu pisau menoreh. Dia tidak ambil peduli dengan kerenah orang kampung yang sibuk melihat jentera memotong padi. Bagi mereka, di masa itulah pesta untuk menangkap ikan puyu. Bagi Pak Lang, yang penting dalam hidupnya, pisau toreh dan hulu pisau Ah Koi mesti disiapkan.
Itulah kerja Pak Lang sejak dari muda hinggalah umur enam puluh lima tahun. “Berhentilah Pak Lang ! Anak-anak Pak Lang kan dah besar. Si Aris tu, dah jadi orang besar kat pelabuhan tu. Amat pula, dah keluar universiti.Dah jadi cikgu.Nak kerja apa lagi, Pak Lang,” tegur Mat Paton. “Paton! Paton ! Pisau-pisau nilah buat aku anak beranak tak kebulur. Biar mereka senang. Aku tak mahu mereka susah. Masa arwah Mak Lang kau ada dulu, duit ubatnya semua pakai duit upah buat hulu pisau ni,” kata Pak Lang. Paton sedar Pak Lang mempunyai prinsipnya sendiri. Baginya, rezeki halal ada di mana-mana. Hanya usaha yang gigih diperlukan. Semua orang sudah tahu tentang prinsip Pak Lang. Dia tidak akan berhutang dengan orang lain walaupun dibelenggu kemiskinan. Paton hanya tersengeh menampakkan giginya yang kuning.
Pak Lang membelek-belek pisau toreh yang telah diasah. Melihatkan kekilatan pisau itu mengingatkan Pak Lang tentang kesusahannya dahulu dalam membesarkan tujuh anaknya. Pak Lang sedar yang dia tidak mempunyai sebarang harta. Tanah untuk membuat rumah yang beratapkan nipah itu dipinjamkan oleh Haji Senin. Baginya, tuan tanah tersebut bila-bila masa sahaja boleh mengusirnya keluar. Dia tidak sanggup melihat isteri dan tujuh anaknya menderita. Basikal yang diletakkan di tepi tiang rumahnya, diperiksa rapi. Basikal itulah yang digunakan untuk membawa pisau-pisau yang telah siap diasah.
Anak-anak Pak Lang begitu memahami keadaan ayah mereka. Matahari sudah melutut nanti barulah mereka sekeluarga dapat makan tengah hari. Itu sudah menjadi satu rutin. Menu utama mereka nasi bergulaikan air berlaukkan garam kasar menjadi hidangan. Anak-anaknya tidak pernah mengeluh, cuma kadang-kadang timbul keinginan untuk menikmati makanan seperti anak-anak Haji Senin makan. “Pak, bila kita boleh makan ayam?” tanya Razak. Pak Lang tidak jadi menyuapkan nasi ke dalam mulut. Pertanyaan seperti itu membuatkan nafsu makannya terbantut. Apa tidaknya, Pak Lang merasakan seperti ditampar rasa kekecewaan. Kalau boleh, mahu ditangkapnya ayam sereban dan disuruh isterinya memasak seperiuk gulai ayam. Biar mereka makan hingga air liur mereka kering. Biar orang kampung tidak kata anak-anaknya tidak cukup makan terutama Mak Ngah Timah. Biar mata Mak Ngah Timah terbeliak melihat Amat meratah ayam.
Mak Ngah Timah memang suka melihat orang lain susah. Baginya, Pak Lang sekeluarga seperti tidak wujud dalam kampung itu. Mak Ngah Timah betul-betul marah dengan abangnya Haji Senin kerana terlalu berbudi kepada Pak Lang. “Dahlah hidup menumpang, buah mempelam Haji Senin pun nak dikebas. Nanti, tanah ni pun dibuat hak sendiri,”kata Mak Ngah Timah kepada Mak Lang. Mak Lang hanya mampu menjawab dengan linangan air mata. Sejak peristiwa tersebut hubungan Mak Ngah Timah dengan keluarga Pak Lang tidaklah sebaik dahulu. Pak Lang betul-betul ingat apabila Amat dituduh mencuri mempelam Siam Haji Senin. Sedangkan, Ah Kooi yang memberikan buah mempelam Siam tersebut kepada Pak Lang. Pak Lang sedar, kemiskinan sentiasa menjadi bukti pertuduhan di mahkamah desa. Ah Kooi lebih mendalami kehidupan Pak Lang berbanding Mak Ngah Timah dan sekutu-sekutunya.
“Pak, Amat nak tengkuk ayam cukuplah,” celah anak lelaki bongsunya. Kali ini Pak Lang terus bangun. Dia bukan bangun kerana marah. Dia tinggalkan nasi bukan kerana tidak bersyukur. Dia bukan tersinggung dengan kata-kata anaknya. Hatinya begitu pilu mendengar rintihan anak-anaknya. Isterinya yang duduk bersimpuh di sebelahnya hanya melihat kepada Amat dengan mata yang sayu. “Amat, kita bukan macam Haji Senin. Cukuplah dengan apa yang ada Amat,” tegur abangnya, Aris. Amat hanya mendiamkan dirinya tetapi dalam hatinya seperti satu azam yang melekat kuat untuk mengubah hidangan rutin mereka.
Mendengar rintihan Amat, Pak Lang terus mencapai basikal menuju ke rumah Ah Kooi. Tujuan hanya satu, tengkuk ayam. “Ah Kooi, Ah Kooi, akulah,”jerit Pak Lang. Ah Kooi terperanjat suara yang pernah dikenalinya, lalu membuka pintu. “ Oh! Pak Lang. Apa hal?” Pak Lang hanya menundukkan kepalanya. “Susah aku nak cakap, tapi ada tak pisau yang hendak diasah? Kalau boleh, lebihkan sikit.” Ah Kooi kebingungan kerana selama ini Pak Lang tidak pernah bertindak sedemikian rupa. Terdetik di hatinya untuk bertanya tentang masalah Pak Lang, tetapi niatnya terbantut begitu sahaja. “Tentu ada sesuatu.” Bisik hatinya. “Ada, ada Pak Lang. Nanti kejap, aku ambil kat belakang.” Pak Lang menggulung rokok daun nipahnya seperti menggulung satu harapan. Dia perlu menyiapkan asahan dan hulu pisau sebanyak mungkin pada malam ini juga. Dia tidak peduli, biarlah dia terpaksa bersengkang mata hanya kerana tengkuk ayam. Biarlah sampai matahari celik dari lena, dia tetap dengan tujuannya. “ Nah, ada tiga puluh bilah yang perlu Pak Lang siapkan, bolehkah?” Kata Ah Kooi sambil menepuk-nepuk bahu Pak Lang. “Aku akan siapkan malam ini juga,” Pak Lang seperti berjanji.
Pak Lang mengayuh basikal seperti peluru yang dimuntahkan oleh senapang patah Haji Senin. Pak Lang yakin hasrat Amat untuk makan tengkuk ayam kesampaian. Dia akan menyuruh Mak Lang memasak gulai tengkuk ayam. Amat pasti tersenyum puas dengan menu baru Mak Lang.
Sebaik sahaja sampai ke rumah, Pak Lang terus mencapai pelita ayan yang sudah seusia dengan Amat.
Kalau pelita ayan itu bersekolah, sudah tentu sekarang dalam darjah empat. Biar darah Pak Lang kering dihisap nyamuk. Biarlah matanya cengkung menahan mata dari lelap. Biarlah. Apapun tengkuk ayam mesti digulaikan. Pak Lang tekun menyiapkan kesemua bilah pisau toreh sehinggakan tidak sedar gema azan subuh berkumandang. Lantas Pak Lang meninggalkan kerja tersebut dan terus berwuduk, bersolat dan bermunajat kepada Ilahi. “Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana memberiku kekuatan untuk memenuhi impian anakku. Hanya kepadaMu aku berserah untung nasibku. SesungguhNya, Kau maha mengasihi dan mengasihani hambaMu ini. Amin.”
Tengah hari itu, anak-anaknya terutama Amat makan dengan penuh selera. Maklumlah gulai tengkuk ayam. Pak Lang hanya tersenyum puas melihat telatah anak-anaknya. Biarlah. Biarlah tengkuk ayam yang menjadi idaman bukannya daging ayam. Itulah hakikatnya bagi keluarga yang miskin yang sentiasa bersyukur walaupun mendapat sebahagian daripada sepatutnya.
Silauan pisau toreh mengejutkan Pak Lang dari lamunan. Pak Lang terasa bahunya dihinggut orang. “Sudahlah Pak Lang, saya benar-benar insaf kerana selama ini saya menuduh yang bukan-bukan kepada keluarga Pak Lang terutamanya Amat”.Mak Ngah Timah mengesat air matanya dengan hujung bajunya. Pak Lang hanya mengangguk-angguk kepalanya tanpa sepatah kata. Baginya itu cerita dulu.
Sekarang, anak-anaknya telah berjaya malah tidak perlu lagi makan tengkuk ayam kerana kemewahan yang mereka kecapi. Begitu juga dengan dirinya tidak lagi susah seperti dahulu. Sayup-sayup terdengar deruman enjin kereta memasuki perkarangan rumah Pak Lang. Pak Lang meninggalkan Mak Ngah Timah termanggu-manggu seorang diri.