Sabtu, 15 Oktober 2011

Sains mikrograviti semakin berkembang di Malaysia


The Borneo Post
Berita Sabah
by SITI AISYAH NARUDIN, aisyahub@gamil.com.
SIDANG MEDIA...Harun (kanan) dan Helmy ketika sidang media selepas majlis itu kelmarin.


KOTA KINABALU: Peluang untuk mendalami ilmu berkaitan sains mikrograviti kini semakin terbuka luas di Malaysia.
Pegawai Penyelidik, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Mohd Helmy Hashim berkata mikrograviti adalah satu fenomena yang unik dan penyelidikan mengenainya boleh dijalankan melalui pelbagai bidang.
Menurutnya, masyarakat perlu mengetahui peluang untuk mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan mikrograviti sebenarnya wujud di negara ini.
“Masyarakat terutamanya dari kalangan saintis, penyelidik dan pelajar perlu mendapat pendedahan mengenai bidang ilmu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Syarahan Umum Peluang Program Penyelidikan Sains Mikrograviti di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini kelmarin. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Mohd Harun Abdullah.
Helmy berkata, program syarahan umum itu bersempena dengan sambutan ulangtahun program angkasawan negara yang diadakan 10 Oktober lepas di Putarajaya.
Jelasnya, sebanyak empat siri syarahan umum sains mikrograviti dijalankan di seluruh negara bermula di Kuala Lumpur, Terengganu, Johor dan kini Sabah.
“Kita memfokuskan tentang pendedahan berkaitan penyelidikan sains mikrograviti yang akan membawa kepada penemuan saintifik walau ia masih baru di Malaysia.
“Selain itu, Angkasa turut bekerjasama dengan menjemput pakar untuk memberi syarahan dan promosi tentang peluang penyelidikan yang akan dilakukan di Japan Experimental Module (Kibo),” katanya.
Tambahnya, Angkasa juga mempunyai program khusus untuk pelajar di mana mereka tidak perlu menghantar kajian ke Angkasa.
Sebaliknya, Helmy menjelaskan kajian berkenaan hanya perlu dihantar untuk diterbangkan menerusi penerbangan parabola.
“Ia adalah satu kaedah untuk mendapatkan keadaan mikrograviti,” katanya sambil menambah program seumpama itu perlu diteruskan dan Angkasa sentiasa membuka peluang untuk menjalin kerjasama dengan agensi dan universiti lain.
Sementara itu, Harun berkata melalui syarahan yang disampaikan, ia akan memperkayakan para pelajar dengan pengetahuan berkaitan kemajuan sains angkasa di Malaysia.
“Ini kali kedua kami mengadakan program berkaitan angkasa dan kali ini lebih memfokuskan kemungkinan dan peluang untuk menjalankan penyelidikan khusus dalam sains mikrograviti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...