Tabiat sihat perlu dipupuk dalam pengurusan kewangan
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) berpendapat program pendidikan kewangan wajar dimulakan daripada peringkat prasekolah lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Paul Selva Raj berkata, langkah itu amat penting dalam usaha memupuk satu tabiat sihat dalam kalangan individu terhadap peri pentingnya pengurusan kewangan.
Katanya, pendedahan awal terhadap pengurusan kewangan akan mempersiapkan seseorang untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dengan lebih yakin dan bersedia.
“Pengurusan kewangan merupakan suatu kemahiran hidup. Ia wajar dimulakan dari awal. Ini bermakna ia perlu ada kesinambungan daripada peringkat prasekolah ke sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi sehingga ke alam pekerjaan.
“Dalam konteks ini, soal pengetahuan bukan segala-galanya tetapi juga nilai dan pembentukan sikap seseorang. Jika seseorang itu mempunyai pengetahuan tinggi namun sikap dan nilainya tidak betul, lambat laun individu itu akan menghadapi masalah juga,” katanya.
Paul berkata demikian ketika ditemu bual dalam Program Kerusi Panas terbitan Bernama Radio24 kelmarin.
Dalam pada itu, Paul menjelaskan pihaknya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, mengenai keperluan mewujudkan sebuah Suruhanjaya Pendidikan Kewangan.
Namun, maklumat balas mengenai cadangan itu belum diterima.
Tegas Paul, cadangan penubuhan suruhanjaya itu tepat pada masanya memandangkan pendekatan yang digunakan oleh agensi tertentu sekarang tidak mencapai matlamat dan mempamerkan penyelarasan yang tidak terurus. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan