Sabtu, 15 Oktober 2011

Cari alternatif wujud pusat penjagaan kanak-kanak: Fatimah



The Borneo Post
CERIA: Fatimah merakamkan gambar bersama kanak-kanak daripada Tabika KEMAS di Kuching semalam.



KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) disyorkan mencari alternatif mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak bagi menempatkan kanak-kanak selepas masa persekolahan tanpa mengira umur.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka terutama yang masih di peringkat awal persekolahan mendapat pendidikan yang sempurna.
“Kita seringkali mendengar keluhan terutama daripada kalangan ibu bapa bekerja yang mempunyai masalah bagi mengisi masa lapang anak-anak terutama selepas waktu persekolahan.
“Sehubungan itu, saya syorkan agar pihak KEMAS mencari alternatif bagi mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak bagi menempatkan kanak-kanak selepas tamat persekolahan tanpa mengira umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Hari Potensi Kanak-kanak Tadika KEMAS 2011 Peringkat Negeri Sarawak di sewan serba guna Akademi Binaan Malaysia Cawangan Sarawak di sini semalam.
Tambah Fatimah, pusat penjagaan tersebut amat perlu sebagai sistem sokongan kepada wanita dan ibu bapa yang bekerja serta sukar untuk mendapatkan pembantu rumah bagi menjaga anak-anak mereka.
“Selain dapat mengisi masa lapang kanak-kanak tersebut, ia secara langsung dapat membentuk siasah diri mereka dengan sistem pembelajaran yang sempurna,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fatimah turut berharap agar rekod persekolahan anak-anak dapat dijejaki dan diguna pakai baik untuk pihak sekolah bahkan juga untuk keperluan ibu bapa.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak pengurusan sekolah dapat menyedia dan mengemas kini rekod persekolahan setiap pelajar untuk dijadikan profil peribadi semasa mereka memasuki alam persekolahan sebenar.
Bercakap mengenai majlis tersebut ia telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 11 hingga 13 Oktober melibatkan seluruh zon dari negeri ini.
Hari potensi dijadikan aktiviti kokurikulum tabika yang dilaksanakan secara tahunan dan melibatkan tiga peringkat iaitu daerah/parlimen, negeri dan kebangsaan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan, melibatkan acara bakat dan sukan secara giliran pada setiap tahun.
Selain itu, penyampaian anugerah bagi Kanak-kanak Contoh dan Pemaju Masyarakat Contoh turut diadakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...