Jumaat, 16 Disember 2011

Sifir Gaji Baru Januari 2012-Gred DG 2-1 hingga DG 1-6

Sikap individu penentu survival bahasa ibunda


Sumber:
Utusan Borneo
http://www.theborneopost.com/2011/12/15/sikap-individu-penentu-survival-bahasa-ibunda-terkini/


Dekan Sekolah Sains Sosial, Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman dan James berjabat tangan selepas menandatangani Surat Hasrat kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah dan Northen Illinois University dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.








KOTA KINABALU: Sikap individu di negara ini yang malu untuk menuturkan bahasa ibunda sendiri menjadi salah satu ancaman utama kepada kelangsungan bahasa etnik atau daerah yang djuga disebut sebagai dialek.
Menurut Pengkaji Bahasa Melayu, Prof James T Collins, terdapat segelintir individu dalam masyarakat yang berasa malu untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dalam kehidupan seharian.
Malah, keadaan diburukkan lagi dengan tindakan mereka yang mengutamakan bahasa asing berbanding bahasa ibunda mereka sendiri.
“Kadangkala mereka tidak mengaku yang mereka boleh bertutur dalam bahasa etnik atau dialek kerana malu dilihat sebagai ketinggalan zaman. Kerana itu wujudnya kelompok masyarakat yang bahasa Inggeris mereka lebih lancar daripada bahasa ibunda.
“Ada juga ibu bapa yang tidak mendidik atau membiasakan anak-anak mereka dengan bahasa ibunda sehingga mereka membesar tanpa boleh bertutur bahasa ibunda. Kononnya, mereka mahu anak mereka dapat menguasai bahasa yang lain yang diangkat sebagai lebih penting dan berprestij,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Asia Tenggara, Northen Illinois University Amerika Syarikat berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah Penyelidikan Bahasa Berdasarkan Sejarah, Geografi dan Komunikasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.
James berkata, dengan mengambilkira faktor pendidikan, terdapat ibu bapa yang mementingkan penguasaan bahasa tertentu yang dianggap berprestij bagi memastikan anak mereka dapat terus bersaing.
“Misalnya, terdapat masyarakat kampung yang mengutamakan bahasa yang dianggap ‘bandar’ atau masyarakat Melayu yang lebih mengutamakan Inggeris atau masyarakat Cina yang lebih mengutamakan Mandarin berbanding Kantonis atau Hakka..inilah antara ancaman kepada bahasa ibunda.
“Bagi mengubah keadaan ini, tidak perlu melihat kepada aspek lain melainkan diri individu itu sendiri. Untuk mengubah keadaan ini memerlukan mereka mengubah sikap mereka,” katanya.
Beliau berkata, sebagai ‘orang luar’, kerajaan, institusi keagamaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan terpaksa berhadapan usaha yang terbatas kerana isu itu melibatkan kesedaran individu itu sendiri.
“Bagaimanapun, satu pendekatan untuk meyakinkan setiap individu bahawa bahasa etnik atau dialek itu mempunyai keunikan dan harus dipelihara, perlu diambil.
“Usaha yang sama perlu diambil untuk memelihara amalan dan tradisi mereka. Mereka harus ada keyakinan untuk memelihara bahasa, amalan dan tradisi ini,” katanya dalam bahasa Melayu yang fasih.
Sementara itu, dalam ceramahnya, James berkata dari aspek sejarah tidak dapat dinafikan era penjajahan British di Malaysia turut menyumbang kepada penyebaran bahasa dialek.
Menurutnya, melalui rampasan tanah misalnya, menyebabkan terdapat penutur dialek Kedah di bahagian pesisir pantai Perak manakala dialek Patani digunakan di bahagian Ulu Perak.
Keadaan yang sama, katanya, berlaku di Kelantan apabila negeri itu dipisahkan oleh British dari Patani yang pada awalnya di bawah kerajaan Siam yang menyebabkan penutur dialek Patani terdapat di bahagian utara Kelantan.
“Di Melaka, penduduk Alor Gajah (dulunya Naning) menuturkan dialek Negeri Sembilan kesan daripada Perang Naning yang tercetus setelah British tidak berpuas hati kerana hanya mendapat Melaka,” tambahnya.
Dari aspek geografi, kata James, perluasan bahasa Melayu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti jaringan sungai dan persisiran pantai.
“Sungai adalah jalan pengangkutan utama orang Melayu ketika dulu dan keadaan ini juga dijelaskan dengan penglibatan orang Melayu dalam aktiviti perdagangan.
“Bagi faktor persisiran pantai, kita dapat melihat penutur dialek Terengganu boleh ditemui di pesisir pantai Pahang dan Johor sebagai kesan aktiviti pelayaran,” katanya.
Menyifatkan faktor itu unik, beliau berkata terdapat penutur dialek Kedah di Medan yang menjelaskan faktor persisiran itu mengesani perkembangan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu, jelasnya, pernah menjadi bahasa utama Asia Tenggara suatu ketika dahulu memandangkan bahasa itu adalah bahasa perdagangan di Asia Tenggara.





Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...