Jumaat, 21 Oktober 2011

Singkirkan kebosanan diri dari hidup anda


Santapan Rohani
ADAP(Portal Pendidikan Utusan)


Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya hidup sudah tentu akan dilanda kebosanan. Ini adalah kerana, pada dasarnya jiwa manusia memang memiliki kecendrungan mudah merasa bosan . Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak suka berada di dalam satu keadaan yang sama. Oleh kerana itu Allah memutar zaman dan tempat bagi manusia, memberikan berbagai bentuk makanan, minuman dan mencipta makhluk yang beraneka ragam. Ada malam dan siang, ada dataran tinggi dan dataran rendah ada putih ada hitam, ada panas dan dingin, dan ada manis dan masam. Keberagaman dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firmannya. di antaranya Allah menyebut bahawa :
  • .............dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya..(!n-Nahl : 69)
  • ..........dari pohon korma yang bercabang dan tidak bercabang...(Ar-Ra'd : 4 )
  • yang serupa (bentuk dan warnanya) tetidak sama (rasanya)....Al-An'am : 141)
  • dan di antara gunung itu ada garis-garis (seperti jalan yang bewarna) putih dan merah yang beraneka macam warnanya ... (fathir : 27 )
  • dan masa-masa, (kejayaan dan kehancuran) itu, kami gilirkan di antara manusia...(Ali-'Imran : 140 )
  • Malahan Bani Israil pernah bosan dengan makanan mereka yang paling baik dan mengeluh kepada Allah :.... Kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu makanan sahaja ... (Al-baqarah : 61)
Al-Makmun satu ketika pernah dihinggapi rasa bosan di mana kadang-kadang beliau membaca sambil duduk sesekali dengan berdiri, dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula ia pernah berkata : "Jiwa manusia itu dipenuhi rasa kebosanan "


Allah berfirman : ....(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring ...(Ali-"Imran : 191 )


Sesiapa yang bersedia merenung sejenak dan memikirkan sesuatu yang berhubung dengan ibadat. Tentu ia akan menemui berbagai jenis dan ragam dalam bentuk dan makna yang terkandung di dalamnya. Dalam ibadat terdapat amalan qalbiyyah (yang berkaitan dengan hati) qaulliyyah (yang berkaitan dengan perkataan) amaliyyah (yang berkaitan dengan tindakkan) maliyyah (yang berkaitan dengan harta) , solat, zakat, puasa, haji, jihad. bahkan di dalam solat ada posisi berdiri, rukuk, sujud dan duduk.


Oleh kerana itu sesiapa yang menginginkan kepuasannya semangat yang tinggi dan produktiviti maka ia hendaklah mempelbagaikan aktiviti di dalam pekerjaannya, membaca buku yang berbagai jenis ( dengan berbagai teknik dan kemahiran membaca) . Misalnya ketika membaca ia mempelbagaikan bacaannya di antaranya Al-Quraan, Tafsir, Sirrah, Hadith, Fiqh, Sejarah, Sastera dan Ilmu Pengetahuan dan sebagainya. Demikian pula di dalam menjalankan kegiatan. Anda perlu menentukan masa untuk beribadah, mencari hiburan mengunjungi sahabat handai, menerima tetamu, berolahraga berekreasi. Waktu belajar, dengan itu nescaya jiwanya akan selalu merasa segar dan ceria, kerana ia melakukan pelbagai aktiviti dan merasakan keindahan dan sesuatu yang baru.

(Dipetik dari kitab LA TAHZAN karangan Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni ms 85 : Sebuah kitab yang terlaris di Timur Tengah dan Indonesia)

Menghindari jenayah di sekolah


Portal Pendidikan Utusan


SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain
JIKA disebut perkataan jenayah ia amat menakutkan apatah lagi jika gejala ini berlaku dalam kalangan warga sekolah. 
Sebenarnya gejala  jenayah ini bermula dengan segelintir murid yang melakukan tindakan hanya bertujuan sekadar dijadikan hiburan sahaja. Bagaimanapun kadang kala ia boleh menimbulkan ketegangan di kedua-dua belah pihak yang berakhir dengan tragedi.
 Gejala ini boleh dibendung oleh murid-murid sejak awal lagi dengan mengambil beberapa langkah seperti yang berikut.

  • Bersopan santun dalam perbualan: Lidah itu lebih tajam daripada pedang. Begitulah perbandingan yang boleh dibuat tentang kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang ketika berlakunya perbualan. Oleh yang demikian murid-murid harus sentiasa bersopan santun dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain ketika berkomunikasi.
Bersopan santun ketika berbual bermaksud percakapan  yang menyeronokkan kedua-dua belah pihak. Sesuatu yang tidak menyakitkan hati orang lain, tidak menyinggung perasaan, tidak menyentuh soal peribadi dan keluarga serta tidak menyentuh kelemahan seseorang dengan tujuan menghina.  
Emosi juga harus dikawal kerana terdapat segelintir murid yang nipis telinganya iaitu cepat berang atau naik angin jika sesuatu tindakan atau perbualan itu menyentuh perasaan mereka.
  • Berkawan secara menyeluruh tanpa mempunyai kumpulan tertentu Memang tidak dapat dinafikan bahawa berkawan secara berkumpulan adalah baik terutamanya ketika kita melakukan aktiviti pembelajaran seperti berdiskusi, mengadakan bengkel dan mengulang kaji pelajaran. 
    Walau bagaimanpun terdapat sedikit kelemahan jika amalan ini diteruskan dalam kegiatan sosial yang lain atau pergaulan harian.
Pergaulan yang tetap dalam satu-satu kumpulan akan mengakrabkan hubungan kekeluargaan dalam kumpulan tersebut tetapi meninggalkan jurang yang besar keakraban antara kumpulan. 
Dengan itu akan lahirkan bibit-bibit ketidakpuasan antara kumpulan disebabkan beberapa perkara yang remeh-temeh. 
Sebagai contoh jika seorang murid itu ditegur kerana melanggar peraturan sekolah, maka rakan-rakan kumpulannya agar bertindak untuk campur tangan.  Maka berlakulah pula pertelingkahan intrakumpulan yang akan berakhir dengan pergaduhan.
  • Laporan kepada guru Setiap perkara yang berlaku yang boleh menimbulkan kepincangan harus dilaporkan dengan segera kepada guru.  Murid tidak seharusnya berasa takut atau mengambil tindakan sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. 
    Segala laporan adalah sulit dan murid tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri kerana guru serta pihak sekolah akan sentiasa memantau dan melindungi mereka.

Berama-samalah kita menjaga dan mengawal diri daripada telibat dengan gejala jenayah kerana ianya akan merugikan semua pihak serta menjejas proses pembelajaran.

Sesungguhnya  persekitaran belajar yang kondusif  mampu menimbulkan minat, menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif serta menyemai semangat muhibah ke arah mengapai kejayaan yang cemerlang.

Trauma


Portal Pendidikan Utusan


MENURUT Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, trauma yang berlaku berbeza mengikut setiap orang serta bergantung kepada perasaan, persepsi dan pemikiran terhadap sesuatu kejadian yang menimpa diri mereka.

“Jika kejadian yang berlaku boleh membuatkan kehidupan mereka hancur dan tidak boleh mengatasinya, maka bantuan sepatutnya diberikan bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk seperti masalah psikologi.
“Mereka memerlukan bantuan intervensi psikologi daripada mereka yang pernah mendapat latihan khusus bagi menghadapi masalah trauma yang dihadapi mangsa kejadian.

“Bagi mangsa yang masih boleh menghadapinya, sokongan harus diberi oleh ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam kehidupan. Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya dengan mendengar luahan hatinya, melihat perasaan terhadap kejadian yang menimpa dan memberikan kata-kata seperti “Awak sudah lakukan terbaik dalam menghadapi situasi sekarang”.

“Tetapi sebaiknya dapatkan bantuan daripada pakar di hospital, kaunselor atau ahli psikologi yang memang dilatih dalam intervensi psikologi agar perasaan takut mereka boleh diubah.

“Situasi sebegini seharusnya diatasi oleh mereka yang ada latihan dan kalau dibiarkan, kehidupannya akan terhalang dan takut untuk menghadapi atau melihat tempat kejadian.

“Bantuan segera daripada pakar dapat mengelakkan mereka daripada menghadapi masalah tekanan pasca trauma untuk jangka masa panjang yang akan mewujudkan masalah sakit mental seperti skizofrenia,” katanya.

Trauma biasanya berpunca daripada apa saja kejadian mengejutkan dan tidak disangka yang menyebabkan mereka terperanjat.

“Kejadian yang membuatkan mereka tidak berupaya menghadapinya disebabkan tiada pengalaman lalu dan belum pernah berlaku yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.

“Kini, kehidupan kita semakin kompleks dan banyak kejadian berlaku seperti ragut, kemalangan dan jenayah yang kadangkala secara tidak langsung dapat menimbulkan perasaan trauma di kalangan sesiapa saja,” katanya.

Apa yang penting dalam menghadapi mangsa trauma adalah bantuan segera yang harus diberikan kepada mereka selepas kejadian sama ada dalam setengah jam atau lebih lama daripada tempoh itu mengikut kesan dan tahap serius mangsa.

“Mungkin pakar akan mengambil masa selama setengah jam sehari bagi mendengar segala luahan mangsa dan kadangkala kekerapan mengadakan sesi rawatan sehingga lima hingga enam minggu mengikut tahap trauma yang dihadapi. Ada juga yang boleh pulih hanya dalam masa sehari.

“Sesi rawatan akan diteruskan bagi membuat penilaian untuk melihat seberapa serius trauma mereka dan mengenal pasti kemahiran mereka secara rasional supaya dapat dibantu dengan segera,” jelasnya.

Bagi ibu bapa atau orang terdekat mangsa, bantuan daripada segi sokongan kata-kata harus diberikan dalam menyedarkan dan meyakinkan mereka untuk mewujudkan perasaan bahawa masih ada orang sekeliling yang sayang serta memberi bantuan.

“Jangan beri nasihat seperti awak perlu positif untuk hadapi semua ini sebaliknya cadangkan cara untuk menghadapi masalah misalnya suruh mereka amalkan ayat al-Quran dan jika masih berpanjangan, yakinkan mereka untuk berjumpa pakar,” nasihatnya.

Pendekatan yang biasa dilakukan oleh pakar dalam menangani trauma:

1. Mendengar luahan perasaan mangsa dan bantu mereka untuk memberi persepsi kejadian. Tujuannya untuk menganggar sejauh mana perasaan atau masalah dihadapi sama ada ia akan menyebabkan trauma atau masalah lebih serius.

2. Setelah anggaran dibuat, tindakan seterusnya akan diambil dan jika serius, mangsa akan dihantar ke hospital agar dapat menghalang kesan yang lebih buruk berlaku.

3. Jika trauma tidak serius, bincangkan strategi atau cara untuk dilakukan mangsa bagi menghilangkan rasa takut dan terkejut.

4. Menetapkan tempoh untuk mengadakan sesi rawatan sama ada setengah jam setiap hari atau dapat dipulihkan dalam masa sehari saja. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menenangkan mereka dan mengurangkan rasa bingung.

5. Walaupun mereka sudah pulih, kaunseling masih lagi diberi jika diperlukan

Gangguan emosi


Portal Pendidikan Utusan



SANTAPAN MINDA Oleh DR ISMAIL ZAIN
EMOSI mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran atau tindakan seseorang individu.  Jika emosinya terganggu ia boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kemurungan serta penurunan prestasi diri.
Bagi golongan murid-murid jika gejala ini berlaku pada diri mereka terutamanya pada saat-saat menghadapi peperiksaan, maka sudah tentu sedikit sebanyak akan menggugat proses mengulang kaji pelajaran.
Gangguan emosi boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami perasaan sedih, marah, kecewa, bosan dan sebagainya ditambah pula dengan kurangnya daya tahan diri serta mempunyai aras harga diri yang rendah.  
Perasaan seumpama ini mungkin menyentuh jiwa mereka disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa, terdengarnya sesuatu berita, mengalami sesuatu  keperitan hidup atau mempunyai persepsi yang negatif terhadap apa yang berlaku pada diri mereka selama ini berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
Sebagai contoh, kritikan yang berbentuk cemuhan daripada rakan, guru atau ibu bapa yang berkaitan dengan tindakan atau prestasi diri boleh menyebabkan mereka berasa terhina dan akhirnya tidak mampunyai semangat untuk belajar.
Peristiwa sedih yang berlaku pada keluarga seperti kematian, penceraian, pertelingkahan serta tidak kesefahaman antara anggota keluarga boleh memberi tekanan kepada murid-murid. Pengalaman yang lampau seperti kegagalan dalam ujian juga mempunyai impak dalam kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun gejala seumpama ini boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih positif.
Anda tidak seharusnya mengenang kembali peristiwa yang telah berlalu. Anggapkanlah itu sebagai satu pengalaman yang mampu meningkatkan lagi ketahanan dan keinsafan diri. 
Sesuatu yang baik itu bolehlah dijadikan teladan tetapi sesuatu yang buruk itu janganlah dipendamkan dalam hati tetapi harus dielakkan daripada berulang lagi. Apa yang perlu dibuat ialah melihat masa hadapan yang cerah yang bakal ditempuhi oleh anda. 
Segala kejayaan yang akan ditempuhi berada di dalam genggaman anda. Hanya sedikit usaha beserta tumpuan yang sepenuhnya, anda mampu membuat perubahan dan meraih kejayaan.
Anggapkan segala cemuhan yang dialami itu sebagai satu bentuk luahan hati mereka yang sayangkan diri anda serta inginkan melihat kejayaan anda.  Ia juga merupakan cabaran yang seakan-akan memberi  isyarat kepada  kita untuk membuat perubahan diri. 
Dalam usaha untuk mengekalkan tumpuan anda terhadap pelajaran, pastikan anda mempunyai jadual belajar yang komprehensif. Pastikan setiap ruang dan peluang diisi penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus pada persiapan untuk mengulang kaji pelajaran.  
Jangan dibiarkan ruang-ruang yang kosong memenuhi diri anda kerana ruang yang kosong ini boleh membawa fikiran anda melayang jauh ke alam fantasi yang akhirnya mampu mengganggu emosi anda.
Segala kejayaan yang bakal anda alami pada masa hadapan sesungguhnya bermula dengan langkah pertama yang anda ambil untuk membuat perubahan diri pada masa dan detik ini.

Mansuh ISA: 13 bebas, 16 bela diri


Hazayani Zakaria Foto: Wan Zahari
harakahdaily.net


KUALA LUMPUR, 21 Okt: Seramai 13 daripada 29 tahanan yang menyertai Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 hari ini dibebaskan manakala 16 lagi diarahkan membela diri.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad membacakan keputusan tersebut di Mahkamah Sesyen Jalan Duta selepas hampir dua tahun kes itu dibicarakan.
13 tahanan yang merupakan anggota Unit Amal iaitu pertubuhan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Pihak pendakwa bagaimanapun gagal mengemukakan bukti-bukti bahawa ianya pertubuhan haram dan tidak boleh disabitkan dengan menyertai perhimpunan haram.
Manakala 16 tahanan lagi yang didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan dipanggil membela diri pada 1 dan 2 Disember depan kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan prima facie kes bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 27 Akta Polis dan dipanggil membela diri.
Tiga daripada 16 tahanan tersebut ialah aktivis Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) sendiri, Nashita Md Nor dan Norlaila Othman dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi.
Bercakap kepada pemberita di luar kamar mahkamah, peguambela Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi yang juga berkata, berdasarkan keptusan awal, pihaknya yakin mempunyai pembelaan yang kukuh terhadap 16 tahanan tersebut.
"Kami di pihak peguam bela berasa yakin bahawa kita mempunyai pembelaan yang kukuh untuk 16 tahanan ini dan kita akan terus mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi untuk membuat persiapan dalam kes pada 1 dan 2 disember nanti," katanya yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat.
Gembira dengan pembebasan 13 tahanan itu, beliau bersama pasukan peguam bela yang lain bagaimanapun katanya perlu mempersiapkan diri untuk perbicaraan Disember depan.
"Perasan bercampur baur...kita gembira dengan pembebasan semua anggota Unit Amal yang didapati tidak bersalah dalam dua-dua pertuduhan tapi dalam masa yang sama perlu membuat persiapan untuk membela 16 yang mempunyai pertuduhan pilihan iaitu terlibat dalam perhimpunan haram," katanya.
Tambahnya kes itu agak unik kerana mereka menang pertuduhan pertama namun dipanggil membela diri untuk pertuduhan pilihan.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamed mengucapkan tahniah kepada 13 Unit Amal yang bebas dan terima kasih kepada pihak peguam yang bertungkus-lumus memenangkan kes.
Beliau berkata, kemenangan itu harus dijadikan suntikan semangat untuk konsisten dalam perjuangan manakala yakin pihak peguam mampu mengulangi kejayaan untuk kes 16 tahanan lagi.
"Pemuda mengucapkan terima kasih kepada Juham yang menyediakan tenaga peguam daripada awal sehingga akhir kes.
"Tahniah kepada 13 Unit Amal dan kita harap ini memberi semangat untuk kita terus beri komitmen dalam perjuangan.
"Kepada 16 yang masih diminta membela diri, saya yakin Juham akan memnebri pembelaan yang terbaik untuk pastikan semua tahanan dibebaskan," katanya.
Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud, Ketua Muslimat Wilayah Persekutuan, Nuridah Salleh.

Penyokong lancar FB



malaysiakini.com

Pengguna Internet bangkit menyatakan sokongan kepada Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas sebagai pensyarah, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Petaling Jaya.

Melancarkan laman (page) "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" di laman sosial Facebook, mereka turut menyindir kebebasan akademik di negara ini.



"Kebebasan akademik ala-Malaysia," tulis pentadbir laman itu apabila memuatkan semula pautan berita tentang penggantungan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja dilancarkan, laman Facebook itu disukai (dengan menekan butang like) oleh 3,114 pelayar (setakat 7.07 petang).

Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang paling kanan universiti itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Belum ada reaksi UIA
Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan Datuk Prof Zaleha Kamaruddin daripada pejabat rektor mengesahkan surat itu dikeluarkan semalam.

Sementara itu, sebuah lagi laman "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" juga diluncurkan.

Setakat berita ini dikemaskini, ia sudah digemari 4,115 pelajar.
Pencipta kedua-dua laman ini tidak dapat dipastikan setakat ini.



Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan berhubung pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Aziz (kiri) sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SKMM dan pihak polis juga menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.

Siswa berdemo desak tarik balik gantung tugas Aziz Bari


Abd Rahim Sabri dan Fadzly Esa
malaysiakini.com


Tidak kurang 700 mahasiswa hari ini berhimpun bagi membantah tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.


Perhimpunan itu berlangsung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat kira-kira jam 1.45 petang.

Bantahan diketuai beberapa pemimpin mahasiswa. Antara mereka, Pengerusi Solidiriti Mahasiswa (SMM) Ahmad Syukri Abdul Razab dan aktivis mahasiswa Mohd Hilman Idham.

Mereka melaungkan "Hidup Ilmu", Lawan Kezaliman", "Bebas Aziz Bari" dan seterusnya menuntut kebebasan akademik di seluruh universiti di seluruh negara khususnya di kampus berkenaan.

Mahasiswa yang berang itu menyokong dan mendokong Abdul Aziz serta mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

Dalam bantahan hari ini, sebelum bergerak untuk menyampaikan memorandum kepada Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamaruddin, kedua-dua pemimpin mahasiswa itu menyampaikan ucapan ringkas membantah keras penggantungan Abdul Aziz.

"Itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana mancabul hak kebebasan pensyarah," kata Mohd Hilman yang disambut dengan laungan "Hidup Mahasiswa" dan "Bantah Kezaliman dari hadirin.

Ahmad Syukri pula menuntut pihak universiti memberikan kebebasan akademik kepada pensyarah.

Bahkan beliau juga mempersoalkan apakah Dr Abdul Aziz membuat fitnah sehingga beliau dikenakan tindakan gantung tugas.

"Kalau ilmu lawan dengan ilmu, bukan dengan tindakan menggantung," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Profesor Datuk Zainal Kling dari UPSI tidak dikenakan sebarang tindakan susulan kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah.



Selepas ucapan ringkas itu, Ahmad Syukri mengajak mahasiswa berarak bersama-samanya ke pejabat Zaleha untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sewaktu berarak, berlaku kekecohan apabila pengawal keselamatan universiti dan beberapa anggota polis cuba menghalang mereka daripada menuju ke pejabat rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak.

Hal demikian menyebabkan berlakunya pergelutan antara mahasiswa, pengawal keselamatan dan beberapa anggota polis di situ.

Ketika kejadian, mahasiswa lain pula, terus melaungkan "Hidup Mahasiswa" beberapa kali.

Tolak menolak selama kira-kira 10 minit itu menyebabkan beberapa pemimpin mahasiswa yang lain termasuk Mohd Hilman cuba menenangkan keadaan dan berbincang dengan pihak keselamatan.

Hasilnya, beliau bersama Ahmad Syukri dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan  kepada timbalan rektor UIA di pejabatnya kira-kira jam 2.15 petang.

Bercakap kepada hadirin selepas itu, Ahmad Syukri berkata perjuangan mahasiswa masih belum selesai kerana Abdul Aziz masih belum dibebaskan.

"Kita jangan (cepat) berpuas hati, kita akan tampil pada masa akan datang kalau (isu) ini tidak selesai.

"Kita jangan mengeluh dan jangan mengalah," katanya yang disambut dengan sorakan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya tidak selesai, perkara itu akan dilanjutkan pada 25 Oktober ini, apabila  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat universiti berkenaan.



Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran universiti menyelesaikan perkara ini sebelum "perkara lebih besar" akan berlaku.

Sementara itu, Mohd Hilman berkata perhimpunan mereka hari ini adalah untuk menghantar "mesej yang jelas" kepada UIA.

"Kalau mereka tekan mahasiswa, kita lawan. Kalau mereka tekan pensyarah, lagi kita lawan," tegasnya mendapat sorakan gemuruh mahasiswa yang lain.

Beliau juga menggesa rakan-rakannya meneruskan perjuangan "selagi universiti tidak menarik balik" penggantungan Abdul Aziz.

Kata-katanya itu disambut dengan laungan setuju oleh mahasiswa yang lain.

"Dengar khabar ada pemimpin negara akan datang, kita minta UIA jangan sampai kita turun lebih besar," katanya.

Sebelum itu, sejak tengahari tadi, pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang UIA manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.



"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Pagi tadi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan itu.

Mereka menuntut penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.



Memondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).





Murtad dan bandar Oxford



malaysiakini.com
Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Saya menganggap Bandar Oxford ini jauh lebih indah dari kebanyakan bandar lain di United Kingdom dan Eropah, termasuk London. Bahkan tiada bandar yang seumpamanya di dunia muslim kita. Ia sebuah bandar ilmu.

Kebanyakan mereka yang sibuk berjalan pantas di jalan-jalan Oxford ini ialah pelajar, pengajar dan pengkaji. Lebih empat puluh kolej ilmu bersejarah lagi berprestij di bandar ini. Penuh sejarah, penuh sumbangan melahirkan tokoh-tokoh besar.Bandar ini penuh dengan aktiviti ilmu di sana-sini setiap hari; seminar, diskusi, forum dan pelbagai. Dalam pelbagai perkara dan bidang, yang mungkin sebahagiannya terlarang dalam negara kita disebabkan unsur ke’jais’an kita. Amat rugi jika ada sesiapa yang datang ke sini tetapi tidak mengambil peduli tentang aktiviti ilmu yang pesat.




Dari bangunan-bangunan bersejarah yang memenuhi bandar ini, kita dapat tahu bahawa di sini asalnya tempat pengajian Kristian. Sejak kurun ke-12, Oxford berkembang menjadi bandar ilmu. Ini terutama selepas tahun 1167 apabila Henry II melarang pelajar Inggeris melawat universiti di Paris.

Pada kurun ke-13 bandar ini mula pesat dengan para penuntut ilmu. Antara tahun 1249 dan 1280 diasaskan universiti kolej yang tertua di sini; Merton dan Balliol. Ertinya bandar ini telah berkembang menjadi bandar ilmu sejak 800 tahun yang lalu.



Dibakar hidup-hidup

Dalam tempoh yang panjang itu, Oxford melalui pelbagai sejarah. Agama Kristian yang menjadi teras pegangan dan pembinaan pusat pengajian di sini telah terbabit dalam pelbagai konflik politik dan agama. Permusuhan dan pembunuhan berlaku dengan dahsyat sepanjang tersebut. Sehingga amalan kristianiti pun luntur di sini.


Saya tinggal bersendirian di Broad Street. Di hadapan kediaman saya, di atas jalan ada tanda yang dibuat mengenang ‘shuhada’ Oxford atau Oxford Martyrs yang dibakar hidup-hidup.
Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer. Mereka semua merupakan tiga orang paderi dan ilmuwan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16.

Mereka telah mengkritik ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik yang dianggap tiada asas dalil yang sah dalam Bible. Terpengaruh dengan Martin Luther pengasas Protestan, mereka juga telah menulis pelbagai buku mengkritik amalan dan penghayatan agama yang diamalkan oleh pihak gereja Katholik.

Seperti Luther, mereka berusaha agar agama Kristian tiada menjadi agama eksklusif untuk para paderi sahaja. Mereka menulis dan membahaskan pelbagai isu dalam ajaran Katholik yang mereka anggap tidak berasas.

Walaupun mereka berkelulusan tinggi dari pusat-pusat pengajian teologi, diangkat memegang pelbagai kedudukan tinggi dalam ranking gereja seperti archbishop dan bishop, namun atas sikap anti-pembaharuan dan enggan mendengar pandangan lain yang berbeza, pihak mahkamah agama Katholik telah menghukum mereka sebagai heresy (murtad) dan derhaka (treason) kepada Ratu. Mereka dibakar hidup-hidup di khalayak ramai di Oxford pada tahun 1555 dan 1556.

Pengorbanan hebat

Sebenarnya, dalam sejarah gereja Katholik, begitu ramai yang dibakar oleh pihak gereja atas tuduhan murtad dan derhaka. Pihak gereja akan menggunakan nama Tuhan dan istana atas tuduhan murtad dan derhaka untuk menghukum para penentang mereka.Pihak Katholik juga ada privy council atau badan rahsia yang boleh menjadi kata putus. Pihak istana dalam usaha menjaga kepentingan dan kuasa mereka, maka akur atas segala tuduhan dan keputusan yang dibuat oleh pihak gereja terhadap musuh-musuh mereka.

Golongan pembaharuan dalam Kristian terpaksa melalui pengorbanan yang terlalu hebat. Hukuman yang selalu mereka pakai kepada orang murtad ialah dibakar hidup-hidup cara pembakaran yang menyakitkan dan kejam.

Persoalannya, benarkah murtad, ataupun murtad itu hanya menurut ukuran mereka yang jumud dan mempunyai kepentingan sendiri? Semua tokoh-tokoh yang dibakar hidup-hidup itu tetap memanggil Tuhan sehingga ke akhir hayat.

Cumanya, mereka enggan mengakui beberapa kepercayaan dan amalan Katholik yang mereka anggap tidak bersumberkan Bible. Pihak penentang pembaharuan sering menggunakan nama Jesus dan Istana. Padahal mereka bukan mempertahankan istana atau Jesus, mereka mempertahankan kedudukan istimewa mereka sebagai golongan agama.

Bimbang Bible diterjemahkan

Mereka menentang usaha pembaharuan menterjemahkan Bible yang berbahasa Latin ke dalam bahasa Inggeris. Mereka bimbang orang lain dapat menilai dan menembusi maklumat agama yang akhir menyebabkan mereka dipersoalkan.Hari ini Oxford terus wujud. Namun, mereka yang dibakar dan dituduh murtad itu dikenang sebagai wira dan syahid oleh generasi kemudian. Demikianlah penilaian terhadap fakta sejarah selalu berubah dengan berubahnya cara fikir manusia.Wira boleh menjadi derhaka, derhaka pula boleh juga menjadi wira. Seseorang yang dihukum pada suatu masa, mungkin dihargai pada masa yang lain. Kemungkinan juga seseorang yang dihargai kini, akan dihukum pada masa yang akan datang.Sebab itu setiap kita hendaklah berpegang kepada asas-asas kebenaran yang disepakati oleh ad-din dan manusia sejagat. Bukan berpegang kepada sesuatu yang bersifat politik dan isu semata.Walaupun begitu dahsyat dan kejam pihak gereja Katholik berusaha mengekang pembaharuan, namun hari ini segala yang mereka takuti telah pun menjelma dalam rupa yang lebih ‘ganas’.Mereka cuba menentang kritikan terhadap amalan mereka, hari ini di Barat, bukan sekadar amalan mereka, bahkan Tuhan pun dinafikan kewujudannya. Pada era 1880, ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzche telah mengistiharkan bahawa ‘God was dead’ (Tuhan telah mati). Walaupun 120 tahun kemudian agama terus hidup di dunia ini dan Tuhan terus dipuja, namun golongan atheist dan agnostic turut berkembang.

Usaha menolak kewujudan Tuhan terus berjalan dan mendapat sambutan yang besar di seluruh dunia. Richard Dawkins umpamanya, pada 2007 menerbitkan buku God Delusion atau penipuan Tuhan, buku yang menggambarkan bahawa tiada siapa yang boleh memberikan gambaran lengkap tentang agama yang sebenar.

Tulisannya ini menggalakkan golongan anti-agama dan bukunya mendapat sambutan yang hebat. Di Oxford yang dipenuhi dengan gereja dan segala kesan sejarah perkembangan Kristian, turut menjualnya.

Nama Tuhan digunakan

Menjadi masalah besar apabila nama Tuhan sering digunakan untuk kepentingan kuasa dan diri sendiri. Orang lain dihukum atas nama Tuhan, padahal kesalahan itu tidak membabitkan ajaran Tuhan. Akhirnya, Tuhan disalah ertikan dan agama dibenci.Di Oxford, walaupun bangunan dan bayangan gereja mengelilinginya, amalan kehidupan agama sudah tipis. Pengajian dijalankan tanpa berkait lagi dengan nama Tuhan melainkan sedikit. Ataupun, Tuhan itu difahami dalam pelbagai versi yang tersendiri.
Menuduh orang murtad sebenarnya memerlukan penelitian dan bukti yang kukuh tanpa kepentingan dan fanatik. Menghalang orang lain memberikan pandangan dan pendapat atas nama Tuhan adalah perbuatan yang menjauhkan manusia dari agama. Itu bukan usaha menguatkan agama.

Islam adalah agama dialog dan hujah.Ia bukan agama perhimpunan untuk membantah orang lain bersuara. Itu perbuatan gereja yang telah menghasilkan natijah yang buruk dan melahirkan sikap anti-agama. Menjerit di jalanan kerana kononnya ada orang murtad adalah tindakan yang tidak bijak.Padahal Allah telah memberikan panduan agar Islam ditegakkan atas hujah dan dialog. Firman Allah (maksudnya): “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (Surah al-Nahl: 125).Menuduh orang lain murtad juga secara semberono hanya mengulangi apa yang dilakukan oleh gereja Katholik. Natijahnya, lenyap kekuatan istana yang dipergunakan dan lenyap juga keyakinan manusia kepada agama itu sendiri. Apakah kita ingin mengulanginya?


BUDI BAHASA TARIK PELANCONG




Kita terpaksa mengadakan pelbagai kempen untuk menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan industri pelancongan termasuk usaha untuk memperbaiki sikap kita untuk memajukan industri ini. Ini termasuklah kempen berkaitan kebersihan tandas, penjagaan sungai, sayangi hutan, budi bahasa dan sebagainya.
Terkini, kita dapati Kempen Budi Bahasa Budaya Kita akan diaktifkan semula dan membabitkan pelbagai agensi. Kempen ini sangat bersesuaian dengan pemantauan semula nilai murni apatah lagi dalam bidang pelancongan. Nilai murni yang diamal dan diperlihatkan oleh pelbagai pihak berkaitan pelancongan dan juga masyarakat akan menjadi kayu ukur maju mundurnya bidang pelancongan.
Kempen Budi Bahasa Budaya Kita ada kaitan dengan penyertaan dan penerimaan masyarakat negara kita dalam bidang pelancongan. Ini bermakna orang ramai turut serta dalam bidang ini terutamanya menyokong industri pelancongan dengan membabitkan diri dalam pelbagai perkara berkaitan dan bagaimana cara masyarakat kita menerima kedatangan pelancong dari negara luar ke negara kita.
Industri pelancongan menyumbang sekurang-kurangnya dua juta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Angka ini akan bertambah dari semasa ke semasa jika kita bijak menjaga industri ini memandangkan negara kita tidak menghadapi masalah bencana alam seperti kemarau, gempa bumi, gunung berapi dan taufan.
Dalam bidang pelancongan, kempen berkaitan budi bahasa dan nilai murni boleh dipaparkan menerusi sikap ramah-tamah kita dengan pelancong, melemparkan senyuman kepada mereka dan juga membantu pelancong yang menghadapi kesukaran ketika berada di negara kita.
Kesimpulannya insutri pelancongan yang memberi pendapatan besar kepada negara perlu dijaga dengan baik, malah wajar diteroka pelbagai bidang baru berkaitan pelancongan supaya industri ini memantapkan lagi ekonomi negara.

BUDI BAHASA BUDAYA KITA






Perbuatan Tidak Berbudi Bahasa
·         Situasi di mana pemandu tidak bertimbang rasa di jalan raya,
·         Orang ramai membuang sampah sesuka hati,
·         Memotong barisan tabiat memandu yang kurang sopan dan merbahaya
·         Tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan,
·         Bercakap kasar dengan pelanggan / kekasaran terhadap para pelanggan


Senyuman Ikhlas
Malah budi bahasa yang paling asas iaitu melemparkan senyuman dan mengucapkan terima kasih masih sukar dilihat dalam masyarakat kini.
Beberapa pakar  berkata kempen itu, yang kini dinamakan program Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni, baik tujuannya dan memang perlu diteruskan biarpun keberkesanannya belum meluas.
Rakyat Kelas Pertama
Dapat kita rasakan bahawa ungkapan “first class infrastructure, third class mentality” itu tepat menggambarkan kerisauan ramai rakyat Malaysia tentang keadaan negara pada masa ini. Ekonomi negara terus berkembang pesat; penggunaan teknologi semakin berleluasa; jalan raya diperbanyakkan dan diperluaskan; dan banyak kawasan dibangunkan untuk perumahan dan perindustrian moden.

Namun, cara pemikiran kita dan peradaban kita tidak mengalami kemajuan yang sama, malah seolah-olah semakin mundur. Kita menghadapi satu senario di mana sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dulu menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia semakin terhakis. identiti dan jati diri masyarakat  Malaysia semakin luntur.
Budi Pekerti Asas Utama
Kepincangan ini telah melahirkan beberapa sindrom negatif yang kini dipandang seakan-akan satu kebiasaan di kalangan masyarakat Malaysia.   Namun, pada hakikatnya, kita telah meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukun Negara sehinggalah kepada Wawasan 2020. Jelaslah bahawa aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masa kini.
Dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa untuk memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula nilai-nilai dan budi bahasa warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat.
Nilai-nilai Murni
Kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni ini merupakan agenda penting kerajaanuntuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni kedalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kempen ini diharap dapat memperkukuhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri setiap individu. Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian.
Aktiviti Yang Dijalankan
1.Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)
Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.
2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)
Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa, choral speaking,boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.
3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)
Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.
4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)
Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.
5.Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa
Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai', ´'Tandas Bersih',' Kampung Indah Masyarakat Ceria','Anugerah Bandar Berbudi Bahasa', 'Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'
Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang tidak berbahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.
Kempen Budi Bahasa Budaya Kita
Kini  kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga itu. Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah satu gelombang yang diharap akan mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya negara ini.
Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita.
Untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua kelas sosial dalam masyarakat. Amalan-amalan budi bahasa yang mudah dilakukan misalnya menyambut tetamu, melayan tetamu dan tatacara tidak rasmi ketika bertemu.
Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan.
Pantun Budi
Dari Daik pulang ke Daik
Sehari-hari berkebun pisang
Budi baik dibalas baik
Dalam hati dikenang orang
Tanam lenggun tumbuh kelapa
Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan saya tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati
Tenang-tenang air laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung
Kapal belayar dari Arakan
Ambil gaji jadi jemudi
Mati ikan kerana umpan
Mati saya kerana budi
Burung Serindit terbang melayang 
Mari hinggap di ranting mati 
Bukan ringgit dipandang orang 
Budi bahasa rangkaian hati

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...