Jumaat, 21 Oktober 2011

Gangguan emosi


Portal Pendidikan Utusan



SANTAPAN MINDA Oleh DR ISMAIL ZAIN
EMOSI mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran atau tindakan seseorang individu.  Jika emosinya terganggu ia boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kemurungan serta penurunan prestasi diri.
Bagi golongan murid-murid jika gejala ini berlaku pada diri mereka terutamanya pada saat-saat menghadapi peperiksaan, maka sudah tentu sedikit sebanyak akan menggugat proses mengulang kaji pelajaran.
Gangguan emosi boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami perasaan sedih, marah, kecewa, bosan dan sebagainya ditambah pula dengan kurangnya daya tahan diri serta mempunyai aras harga diri yang rendah.  
Perasaan seumpama ini mungkin menyentuh jiwa mereka disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa, terdengarnya sesuatu berita, mengalami sesuatu  keperitan hidup atau mempunyai persepsi yang negatif terhadap apa yang berlaku pada diri mereka selama ini berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
Sebagai contoh, kritikan yang berbentuk cemuhan daripada rakan, guru atau ibu bapa yang berkaitan dengan tindakan atau prestasi diri boleh menyebabkan mereka berasa terhina dan akhirnya tidak mampunyai semangat untuk belajar.
Peristiwa sedih yang berlaku pada keluarga seperti kematian, penceraian, pertelingkahan serta tidak kesefahaman antara anggota keluarga boleh memberi tekanan kepada murid-murid. Pengalaman yang lampau seperti kegagalan dalam ujian juga mempunyai impak dalam kehidupan mereka.
Walau bagaimanapun gejala seumpama ini boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih positif.
Anda tidak seharusnya mengenang kembali peristiwa yang telah berlalu. Anggapkanlah itu sebagai satu pengalaman yang mampu meningkatkan lagi ketahanan dan keinsafan diri. 
Sesuatu yang baik itu bolehlah dijadikan teladan tetapi sesuatu yang buruk itu janganlah dipendamkan dalam hati tetapi harus dielakkan daripada berulang lagi. Apa yang perlu dibuat ialah melihat masa hadapan yang cerah yang bakal ditempuhi oleh anda. 
Segala kejayaan yang akan ditempuhi berada di dalam genggaman anda. Hanya sedikit usaha beserta tumpuan yang sepenuhnya, anda mampu membuat perubahan dan meraih kejayaan.
Anggapkan segala cemuhan yang dialami itu sebagai satu bentuk luahan hati mereka yang sayangkan diri anda serta inginkan melihat kejayaan anda.  Ia juga merupakan cabaran yang seakan-akan memberi  isyarat kepada  kita untuk membuat perubahan diri. 
Dalam usaha untuk mengekalkan tumpuan anda terhadap pelajaran, pastikan anda mempunyai jadual belajar yang komprehensif. Pastikan setiap ruang dan peluang diisi penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus pada persiapan untuk mengulang kaji pelajaran.  
Jangan dibiarkan ruang-ruang yang kosong memenuhi diri anda kerana ruang yang kosong ini boleh membawa fikiran anda melayang jauh ke alam fantasi yang akhirnya mampu mengganggu emosi anda.
Segala kejayaan yang bakal anda alami pada masa hadapan sesungguhnya bermula dengan langkah pertama yang anda ambil untuk membuat perubahan diri pada masa dan detik ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...