Jumaat, 21 Oktober 2011

Pesta buku di atas kapal MV Logos di Kuching mulai 28 Okt


Utusan Borneo

KEMBALI LAGI: Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi pameran buku terapung terbesar di dunia
 di Pelabuhan Sim Kheng Hong pada 28 Oktober hingga 13 November ini.


KUCHING: Pelabuhan Sim Kheng Hong, Pending dekat sini bakal ‘digegarkan’ dengan pesta buku terapung terbesar di dunia apabila kapal dikenali MV Logos Hope berlabuh di situ bermula 28 Oktober hingga 13 November ini.
Membawa tema ‘ Membawa pengetahuan, bantuan dan harapan’, Logos Hope akan menawarkan lebih 5,000 tajuk buku kepada pengunjungnya, bermula dari sains, sukan, resipi, seni hinggalah buku kanak-kanak pada harga yang berpatutan.
Menurut Pengurus Projek Logos Hope Norma Hernandez, MV Logos Hope akan berlabuh di Pelabuhan Sim Kheng Hong pada 27 Oktober ini kira-kira jam 7 pagi tetapi mula dibuka kepada orang ramai pada keesokan harinya (28 Oktober 2011).
Berlabuh buat pertama kalinya di Kuching, MV Logos Hope mempunyai saiz yang cukup luas selain mempunyai sudut kanak-kanak selain dilengkapi ‘International Cafe’ menjual ais krim, minuman dan makanan ringan serta ‘Visitor Experience Deck’ berhawa dingin untuk diterokai orang ramai.
“Bermula dari kawasan menyambut tetamu yang akan menceritakan kewujudan MV Logos Hope yang menggantikan MV Doulos yang kali terakhir mengunjungi Kuching pada 10 Disember 2008 hingga 3 Januari 2009.
“Sepanjang tempoh itu Doulos menerima lebih 80,000 pengunjung dan kami mengharapkan jumlah sama atau lebih ramai daripada itu akan melihat kapal baru ini,” katanya pada sidang media di sini semalam. Selain mengadakan jualan dan pameran buku beberapa aktiviti kanak-kanak dan pertunjukan kebudayaan daripada 45 negara di seluruh dunia turut diadakan.
Hernandez yang bertugas secara sukarela dengan Logos Hope selama empat tahun berkata, kapal unik itu dikendalikan oleh GBA Ship e. V., sebuah organisasi amal antarabangsa yang berdaftar di Jerman. Beliau antara 400 petugas termasuk kapten dan anakanak kapal yang bertugas secara sukarela di atas kapal berkenaan.
Yuran masuk hanya RM1 untuk orang dewasa manakala bagi pengunjung kanak-kanak yang berusia 12 tahun dan ke bawah kemasukan adalah percuma dengan syarat mesti ditemani orang dewasa, jelasnya.
M V Logos Hope dibuka kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Jumaat dan dari jam 1 petang hingga 10 malam pada Ahad.
“MV Logos Hope akan ditutup kepada orang ramai pada Isnin, 31 Oktober dan Selasa, 8 November,” tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...