Memaparkan catatan dengan label Pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendapat. Papar semua catatan

Selasa, 14 Julai 2015

Hari Raya Dirai Bukan Diratapi


Assalamualaikum WBT,


Pada hari Rabu ini, 14 Julai 2015, dijangka warga kota akan mula berpusu-pusu menuju ke lebuh raya untuk pulang berhari raya. Begitu hebatnya sambutan hari raya dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada yang sudak menyolek-nyolek luaran kereta agar nampak gah di atas lebuh raya. Paip ekzos diganti agar deruman enjin dapat membingit pengguna kenderaan yang lain. Biar kereta yang tidak berapa mahal itu dapat menyaingi kereta mewah milik orang berduit. Cuba tengok di kedai-kedai aksesori kereta di dalam bulan Ramadan, kereta yang tidak berapa mahal ini dan dimiliki oleh yang seadanya seperti dirasuk entiti membelanjakan pendapatan yang tidak seberapa untuk menjenamakan semula kereta yang dimiliki. Riak muka kebanggaan jelas terpancar pada wajah-wajah ini.

Persepsi bahawa memiliki kereta sebagai barang mewah perlu dibetulkan. Budak sekolah, budak kolej, budak U, pekerja bawahan, pekerja atasan, majikan dan semua orang mampu memiliki kereta.  Kenapa kita yang ada kereta seadanya, sanggup menghabiskan duit yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan yang lebih utama daripada menyolek wajah kereta yang sudah diketahui jenamanya. Orang kampong pun kenal mana kereta ada nama dan yang tiada bernama. Soleklah setebal mana, orang kampung tidak akan membeliakkan mata memandang kita. Mereka kenal siapa kita sejak kecil hingga dewasa. Tidak perlu kita membesar ekzos membingit ketenangan kampung.

Sepatutnya duit yang seadanya digunakan untuk servis engine kereta yang sudah berusia. Tayar yang botak digantikan. Ia lebih baik daripada mencantikkan luaran. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki. Tidak perlu kita menunjuk wajah riak di atas jalan raya dengan memandu seperti melihat kelibat hantu. Raya adalah untuk dirai bukan diratapi. Meratap-ratap duit dah habis. Meratap-ratap kereta yang disolek dengan ngauman ekzos tidak dipandang dan dipuji orang kampung. Meratap-ratap kereta terbabas dan lebih meratap apabila orang yang disayangi menemui Ilahi akibat sikap kita yang suka menanam perasaan di dalam hati, “aku sahaja yang miliki kereta”.
Dijangka 1.6 juta pengguna lebuh raya akan pulang ke kampung halaman bermula pada hari esok, Rabu. Pergerakan pulang warga kota bermula Rabu dan Khamis ini iaitu tempoh 48 jam sebelum sambutan Aidilfitri.  Ini adalah senario lazim saban tahun dan kebiasaannya warga kota mula pulang dua hari sebelum Aidilfitri.

Rabu, 23 Julai 2014

Ketahui Fakta-Fakta Tentang Kemiskinan



Poverty Facts
Ketahui fakta-fakta tentang kemiskinan dan bagaimana ia memberi kesan kepada kanak-kanak yang memerlukan dan keluarga mereka. Di seluruh dunia 600 juta kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan yang melampau. Kos untuk membasmi kemiskinan dunia dianggarkan pada 1 peratus daripada pendapatan global. Hampir separuh dunia - lebih daripada 3 bilion orang - hidup dengan pendapatan kurang daripada $ 2.50 sehari. Yang termiskin 40 peratus daripada penduduk dunia menyumbang 5 peratus daripada pendapatan global.
1.6 bilion orang - satu perempat daripada manusia - hidup tanpa elektrik. 6.9 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia pada tahun 2011, hampir 800 setiap jam. Kadar tertinggi kematian kanak-kanak masih di sub-Sahara Afrika - di mana 1 dalam 9 kanak-kanak meninggal dunia sebelum umur 5 tahun. Bilangan di bawah lima kematian di seluruh dunia telah menurun daripada lebih daripada 12 juta pada 1990-6900000 pada tahun 2011. Hampir 19,000 kanak-kanak di bawah lima meninggal dunia setiap hari pada tahun 2011. Di peringkat global, empat pembunuh utama kanak-kanak di bawah umur 5 tahun adalah radang paru-paru (18 peratus), penyakit cirit-birit (15 peratus), komplikasi kelahiran pramatang (12 peratus) dan asfiksia kelahiran (9 peratus). 58 peratus kematian pada kanak-kanak di bawah umur lima adalah disebabkan oleh penyakit berjangkit. Pada tahun 1981, 52 peratus daripada penduduk dunia hidup dalam kemiskinan (ditakrifkan sebagai hidup di $ 1,25 atau kurang sehari.) Data daripada Bank Dunia yang dikeluarkan pada bulan Februari 2012 anggaran bahawa 22 peratus daripada orang-orang hidup dalam kemiskinan melampau.

India merupakan negara dengan bilangan tertinggi di bawah lima kematian. Setiap hari, kira-kira 800 wanita mati akibat punca-punca yang boleh dicegah berkaitan dengan mengandung dan melahirkan anak.


Sumber: Children and Poverty Web

Khamis, 17 Julai 2014

Mula dengan marah, berakhir dengan malu





Apa-apa situasi yang kita hadapi, perlu diutamakan kewarasan fikiran. Apa sahaja kita mulakan dengan marah pasti akhirannya malu. Begitulah dengan Si Kiki. Tanpa mengira tempat dan khalayak, menghambur kata-kata kasar kepada seorang pesara kerajaan. Nasib baik  uncle yang disembur itu bukan taiko. Apalah nasib Si Kiki kalau orang yang dibuli itu, lebih 'kaki gaduh' daripadanya? Mahu kepala Si Kiki menghadap ke belakang. Merana seumur hidup.

Tidak kira lelaki atau perempuan, tidak kira apa bangsa dan agama, sentiasalah guna akal yang waras. Kita jangan hanya memikirkan marah kita tanpa memikirkan marah orang lain. Kita jangan fikir hanya kita sahajalah yang samseng, orang lain tidak ada kesamsengan itu. Jangan kata kita kuat tanpa memikirkan orang lain juga mempunyai kekuatan. Komen beribu-ribu manusia kepada Si Kiki menunjukkan lagak samsengnya tidak diterima oleh masyarakat. Si Kiki dicarut dan dimaki. Maruahnya diletak di bawah tapak kaki komentar-komentar laman sosial. Kelakuannya didorong jiwa kacau dalamannya. Tindakan yang meluahkan rasa hati sebenarnya, Bahayanya manusia sebegini, perlu dirawat jiwanya. Macam kena 'syabu' aksinya.

Siapapun kita, jangan memulakan sesuatu dengan marah kerana ia akan berakhir dengan malu.



Rabu, 26 Februari 2014

Gedegong

Salam buat semua,

Setiap kali kita tatap akhbar harian, sudah pasti mata melirik dan hati kita mendetik. Keganasan rumahtangga sudah menjadi satu asam yang digaram. Pada awal Februari yang lalu, seorang lelaki bernama suami bertindak mengamuk memukul dan menjerut leher wanita yang bernama isteri. Puncanya isteri tak beri 'nafkah' RM 100 untuk si suami membeli dadah. Si suami mentali ini, akhirnya dihukum tiga tahun penjara.
 
Apakah kita sebagai lelaki tidak punya harga diri. Tanggungjawab memberi nafkah kepada anak dan isteri adalah kewajipan yang tidak ada tepinya. Jangan kita sebagai lelaki menjadi 'gong', gedegong, gedegong, gedegong. Hanya bunyi sahaja mersik dan bergema. Kemudian terhenti. Palu lagi gong. gedegong, gedegong, gedegong.  
 
Di kedai kopi kitalah pencipta cerita. Hanya bermodal secawan kopi, kita mula gedegong. Cerita kehebatan diri. Cerita tentang jenama. Cerita tentang memiliki duit ribuan ringgit. Cerita tentang kereta yang memiliki eksoz gergasi. Menderum. Akhirnya di hujung habisnya minum kopi, hanya dapat kebanggaan diri. Rasa diri dihormati. Di sebaliknya, apabila pulang ke rumah, anak dan isteri tidak makan nasi. Adakah kita sebagai lelaki akan terus begini bersama secawan kopi sambil gedegong, gedegong, gedegong. Palu sampai tidak lagi berbunyi.
 
Marilah kita insafi diri, jadilah suami mithali bukan mentali.

Isnin, 5 Ogos 2013

Jangan Undang Tragedi Di Kala Aidil Fitri




SEBELUM memulakan perjalanan jauh sepatutnya anda sudah menghantar kenderaan untuk diservis mengikut kadar perjalanan ditetapkan pengeluar kereta. Kita tidak perlu terburu-buru untuk ke destinasi yang dituju atau balik ke kota. Dengan memandu dalam keadaan tenang dan berhemah, kita boleh memastikan kita dan penumpang berada dalam keadaan selamat. 

Kita periksa kenderaan sebelum memulakan sebarang perjalanan jauh. Sekiranya tidak pasti untuk berbuat demikian, hantar kenderaan ke pusat servis. Periksa tekanan angin dan corak bunga tayar, lampu, sistem brek, sistem penyejuk dan komponen kereta lain. 


Pengguna jalan raya dinasihat supaya mengelak tragedi kemalangan jalan raya dalam musim cuti sekolah dan perayaan Aidil Fitri ini dengan lebih berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman. Sikap berhati-hati dan timbang rasa dapat menjamin pengguna daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kemalangan kerap berlaku kerana faktor pengguna yang cuai, mementingkan diri sendiri, memecut, memotong di selekoh berbahaya, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi peraturan jalan raya lain.  Apabila musim cuti sekolah dan perayaan Aidil Fitri berlaku serentak, kita berharap pengguna jalan raya dapat memandu secara berhemah. Ibu bapa juga diminta menasihati anak-anak mereka yang akan pulang ke kampung dengan mengamalkan pemanduan berhemah, jangan sesekali membiarkan mereka disambut dengan tangisan akibat terlibat dalam kemalangan.

Setiap kali menjelang musim perayaan kita dikejutkan dengan pelbagai bentuk tragedi yang menyayat hati – pembunuhan bersenjata, kebakaran dan kemalangan maut – menjadikan sambutan Aidil Fitri bertukar sedih, pilu dan muram. Kita sentiasa diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, biar lambat asalkan selamat dan memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Meskipun kerosakan kenderaan boleh menyumbang kepada kemalangan, peratusannya adalah begitu kecil berbanding dengan ketidaksabaran ketika memandu. Mereka yang memandu secara gopoh-gapah, tidak berhemah sebenarnya tidak memahami apa yang diajar oleh Islam. Sebagai agama yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan, Islam menuntut kita agar jangan terlalu gembira untuk pulang berhari raya sehingga hilang tumpuan semasa memandu.

Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk, adalah lebih baik berhenti seketika dan tidak meneruskan perjalanan dalam situasi lesu dan fikiran terganggu. Begitu juga dengan sikap kita sebelum memulakan perjalanan, kita hendaklah memulakannya dengan berdoa, “subhanallazi sakharalana hazawamakunna lahumuqrinin wainnailarabbina lamunqalibun”. Menurut kata sesetengah ulama, sesiapa yang membaca doa ini sebelum memulakan sesuatu perjalanan ke suatu destinasi, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Mereka yang berdoa akan dilindungi daripada gangguan dan bahaya, insya-Allah.

Jumaat, 26 Julai 2013

Mari bertanya rakyat biasa


Terima kasih kepada kerajaan atas pemberian Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan raya kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan. Pemberian ini pasti memberi keceriaan dan kegembiraan kepada penjawat awam khasnya yang berpendapatan sederhana bagi membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan itu yang akan dibuat pada 31 Julai ini kepada penjawat awam daripada Gred 1 hingga Gred 54 serta pesara kerajaan. Pemberian ini juga adalah 'durian runtuh' buat pesara kerajaan. Bantuan khas itu sedikit sebanyak meringankan beban pesara dalam menghadapi kenaikan harga barangan. Keprihatinan kerajaan memberi bantuan menjelang musim perayaan seharusnya disyukuri warga penjawat awam. Kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih prihatin untuk memberi bantuan, terutama ketika Aidilfitri bakal menjelma. Rezeki yang diterima ini kita belanjalah mengikut kemampuan, jangan berlebihan sehingga memudaratkan ekonomi keluarga. Penjawat awam juga tidak harus kecewa dengan kadar bantuan yang dihulurkan, lebih-lebih lagi tahun ini menyaksikan kenaikan gaji sebanyak dua kali seperti yang diumum Perdana Menteri. Kadang-kadang kita lupa ada negara yang langsung tak dapat apa-apa, makanan pun tak ada, atau negara tidak stabil seperti di Mesir. Sebaliknya kita di Malaysia masih mampu menerima bantuan daripada kerajaan, kita perlu bersyukur negara kita aman dan tidak menjejaskan ekonomi serta perjalanan hidup seharian.

Mungkin ramai tidak sedar, pemberian bonus kepada penjawat awam turut mendorong peniaga-peniaga menaikkan harga barangan sebab menganggap kakitangan kerajaan mendapat durian runtuh. Jangan lupa, sebenarnya semua rakyat negara ini juga berjasa kepada kerajaan dan negara, mengikut kapasiti dan kategori tugas masing-masing. Ini termasuklah kakitangan swasta, pemandu pelancong, tukang sampah di tepi jalan, tukang bersih tandas, pemandu bas, atlet negara, pendakwah dan lain-lainnya.



Begitu banyak yang ditulis di sejarah mengenai orang-orang penting atau tamadun tamadun yang penting. Bagaimana putera dan raja berjaya menawan sebuah negara, dan bagaimana kaya dan berkuasanya pemimpin sebuah negara. Tetapi sejarah sebenar manusia iaitu sejarah penderitaan jarang sekali ditulis. Bagaimana pula dengan penderitaan seharian orang yang ditindas ketika seorang raja memulakan pemerintahannya. Atau pekerja yang tewas ketika pembinaan bangunan mencakar langit. Orang yang miskin secara praktikalnya tidak ada jalan keluar daripada kemiskinan mereka. Kesengsaraan mereka boleh dilihat dalam bentuk kekecewaan, rasa bersalah dan kebimbangan. Mereka rasa kecewa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan diterima sebagai golongan orang-orang yang harus dihormati. Apa yang mereka inginkan hanyalah harga diri, tapi inilah yang dinafikan mereka. Dan orang yang tidak menganalisis dengan mendalam sering berkata mereka miskin kerana mereka malas. Ternyata terdapat banyak kontradiksi dengan pernyataan itu kerana sebenarnya terdapat satu sistem berstruktur yang membuatkan orang menjadi miskin, tertindas dan dipinggirkan. Kemiskinan terdapat banyak muka, ia boleh dikenali sebagai miskin secara ekonomi, miskin secara budaya yang melibatkan Orang Asal dan golongan minoriti yang didiskriminasikan, penindasan terhadap wanita, dan juga penindasan terhadap bumi dimana ia diserang dengan tidak adil dan dieksploitasi secara sistematik. Kemiskinan bukan sesuatu yang semulajadi tapi ia dihasilkan. Itulah sebabnya kenapa golongan miskin dieksploitasi dan semakin miskin. Mereka tidak dianggap sebagai manusia, kerana harus mencapai objektif proses eksploitasi yang dikenali sebagai ekonomi, politik, ekologi dan budaya.

 
Kemiskinan ialah hasil daripada struktur sosial yang opresif dimana mereka dimiskinkan oleh orang lain yang mendapat faedah daripada sistem ekonomi yang tidak adil. Maka struktur ini dengan sistematiknya akan mengeksploitasi dan pinggirkan orang dan menjadikan mereka miskin. Itulah mengapa ada ekspresi kaya semakin kaya, miskin semakin miskin. 

Jika hendak dikira, walau banyak mana sekalipun pendapatan, masih tidak mencukupi. Ini kerana nafsu manusia tidak terhad. Semua kita hendak beli. Kadang-kadang kita berlumba dengan orang lain. Apa jiran beli kita pun hendak beli. Kita sanggup bergolok bergadai kerana hendak membeli sesuatu tanpa mengira kemampuan kewangan walaupun barang itu kadang-kala kurang diperlukan.Yang ada kredit kad akan menggunakan semaksimum yang boleh. Tidak hairan puluhan ribu rakyat negara ini yang diisytihar muflis sebab gagal membayar hutang. Ini semua gara-gara berbelanja mengikut nafsu dan tidak mengukur kemampuan kewangan sendiri, pada hal peribahasa Melayu ada mengingatkan kita, ukur baju di badan sendiri. Bermakna, kita hendaklah berbelanja mengikut jumlah pendapatan kita.

Mari bertanya rakyat biasa di tepi jalan, apa komen mereka terhadap bonus yang diterima setiap tahun oleh penjawat awam?

Khamis, 18 Julai 2013

Drama Ayam

 
 
Adakah wujud drama kenaikan harga ayam, dengan alasan professional, kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang. Walaupun permintaan terhadap ayam meningkat pada bulan Ramadhan, adakah ia hanya baru sekali berlaku.
 
Rakyat marhain seperti saya dan orang-orang kampung tidak memahami dengan istilah bombastik ekonomi, harga ayam meningkat adalah disebabkan harga makanan ayam meningkat. Kalau macam tu halnya, sudah tiba masa dan ketikanya, Negara perlu menghasilkan bekalan makan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan kemelut bermusim ini. Musim hari raya dan musim kakitangan gomen naik gaji. 

Sebelum ini kita mampu  mengeksport ayam ke Singapura, tetapi sekarang, kita pula nak import.  Usaha Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melaksanakan projek rintis dengan syarikat pengeluar makanan di India untuk menghasilkan makanan berasaskan soya dan jagung adalah satu inisiatif yang boleh dipuji. 

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengajak 1.4 juta penjawat awam memboikot ayam supaya pembekal dapat menurunkan semula harga pasaran ayam kepada kadar berpatutan. Kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram setakat ini, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram adalah melampau  dan alasan menaikkan harga kerana bulan Ramadan dan hari raya sangat tidak masuk akal.  Hentikan drama kenaikan harga ayam. Rakyat sentiasa ingat kalau disakat-sakat.
 

Lagak Semenyih, Miliki Texas

Assalamualaikum WBT,



Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat walau di mana berada.  Hari ini dah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Dan menyaksikan juga jalan-jalan keluar KL dan Putrajaya padat dengan pelbagai kenderaan. Ini adalah pemandangan rutin setiap kali tibanya bulan yang mulia ini. Kepada pengguna-pengguna jalan raya, banyakkan bersabar. Alangkah begitu harmoni, puasa diiringi kesabaran.
 
Ada segelintir pemandu berdesap-desup menyelinap di celahan kereta-kereta yang sabar berbaris.
 
Nilai-nilai ini boleh dilihat di mana-mana lebuh raya. Bagi saya yang bertugas di Putrajaya dan  berulang alik ke Semenyih,  Saya perlu lebih berhati-hati mengemudikan kenderaan. Bukan apa, kelihatan di atas jalan ada manusia lain yang menunjukkan mimik muka yang tidak sabar-sabar orangnya. Kelihatan rakus dan ghairah memandu jentera yang diubahsuai ekzosnya. Jentera yang mengelirukan dari segi keluaran. Sekali pandang jentera itu seperti dikeluarkan dari Texas, pandang kali kedua, baru tahu ia dibeli di Semenyih. Pengemudi melakukan aksi menggerakkan jentera selaju-lajunya. Meninggalkan Texas jauh ke belakang. Kelihatan di muka terpapar wajah membusung dada. Bangga memiliki kereta di bawah harga. Lagak di jalan melebihi tokoh korporat berjaya. Kenapa semangat memandu melulu tidak digunakan dalam diri untuk memiliki semangat merubah kehidupan. Gunakan semangat itu untuk cari kejayaan dan kekayaan. Biar kita lagak Semenyih, tetapi miliki Texas. Berhati-hati di jalanraya. Banyakkan bersabar. Biar keluarga dapat berbuka puasa bersama kita bukan bergegas menjaga kita dek kemalangan yang menimpa.

Sabtu, 20 April 2013

Bendera punya hal, nasi pun tiada

Suasana Perang Bendera
Pada 5 Mei 2013, menyaksikan sekali lagi Malaysia akan mengadakan pilihanraya kali ke 13. Pada hari ini pula Hari Penamaan Calon. Alhamdulillah tiada insiden menjejaskan keselamatan negara. Yang penting biarlah pilihanraya pada kali ini tidak berlaku kekecohan. Malu, sebagai rakyat berbudaya konteks tinggi, tidak sepatutnya kita memaki hamun dan menghambur kata-kata kesat. Apatah lagi kita sebangsa dan seagama. 
Pada zaman yang memerlukan mentaliti kelas pertama, kekuatan tenaga beradu siapa kuat menggunakan lengan dan tumbukan tidak harus berlaku. Kekuatan akal adalah tunjang kepada kemajuan. Sepanjang memandu di atas jalan raya dari Semenyih ke Gombak hari ini, saya merasakan kemeriahan pilihanraya. Bendera parti dipasang di sepanjang jalan dan persimpangan jalan. Pendek kata, pantang ada ruang dan tempat untuk paparan bendera pasti tidak dilepaskan. Selepas ini pula poster calon pula memberi pemandangan baharu di sepanjang jalan. 
Sebagai rakyat kita mengharapkan wakil yang berkhidmat untuk rakyat bukan pemimpin yang menghampiri mesra dengan kita sewaktu kempen pilihanrya sahaja. Selepas pilihanraya, batang hidung pun tak nampak. Petugas-petugas pilihanraya yang pada masa kempen masih di takuk lama. Yang berkapcai masih dengan kapcainya. Masih berkira-berkira duit yang berbaki tidak seberapa. Laungan suara semangat pilihanraya pun dan tiada kedengaran. Sudah tidak sekuat sebelum ini. Manakan tidak, semasa kempen, makan 6 kali sehari. Selepas calon dipilih, makan seperti dahulu, 6 hari sekali. Tenaga pun berbeza. Timbangan kalori makanan pun berbeza. 
Kepada petugas-petugas sukarela pilihanraya, jangan lupa bahawa anda juga ada tanggungjawab hakiki. Kepada yang bekerja, jangan bermalasan bangun pagi untuk ke tempat kerja dek bersengkang mata memacak dan memasang poster sana-sini. Kepada yang punya keluarga, jangan terlupa tengok anak-anak kita. Kita keluar malam sampai pagi, anak pun hilang dari malam sampai pagi. Dek terleka, kita tak sedar anak ambil peluang tak belajar dan mengaji. Dek semangat menggunung tinggi, kita terlupa di rumah tiada nasi. 

Sekian, wassalam.

Sabtu, 24 November 2012

AES?



AES ialah suatu sistem penguatkuasaan yang dijalankan secara automatik 24 jam tanpa henti. Kamera akan dipasang di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti (hot spot) dan beroperasi 24 jam tanpa henti.Kamera disambungkan ke pangkalan data JPJ.Apabila sesebuah kenderaan melalui kawasan tersebut, jika melebihi had laju yang ditetapkan, maka gambar kenderaan akan diambil dan dihantar ke pusat pemprosesan gambar serta pangkalan data JPJ.Jika disahkan melakukan kesalahan, maka saman akan terus dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.


- Penguatkuasaan secara automatik iaitu kesinambungan daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006 -2010.
-Usaha berterusan aktiviti keselamatan Jalanraya (JPJ ,PDRM,JKJR,MIROS,JKR) memberi tumpuan kepada 4E (Engineering,Enforcement,Education and Enviroment).
-Perlu adaptasi sistem penguatkuasaan yang mampan (sustainable) dalam terus kekal mengubah sikap pemanduan tanpa mengira kadar pertambahan kenderaan,pemandu atau kekangan penguatkuasaan.
-Pendekatan kepada" system based approach" yang mampu mengubah sikap pemanduan rakyat Malaysia.
-Satu sistem pengesanan dan merakam secara automatik kesalahan lalulintas menggunakan alat pengesan yang dipasang di atas jalan dan perakam imej kesalahan menggunakan kamera (gambar dan video).


Bagaimana AES berfungsi?

- AES berupaya mengesan dan merakam secara automatik sebaik sahaja mana2 kesalahan lalulintas dilakukan dikawasan sering berlaku kemalangan sahaja.
-Perlaksanaan AES meliputi kesalahan :

i)tidak mematuhi lampu isyarat.
ii)memandu melebihi had laju

-Maklumat kesalahan ini kemudiannya dihantar secara "real time online ke Pusat Kawalan AES (Control Centre).Maklumat diproses bagi mengenal pasti pemandu/pemilik yang terdapat dalam pangkalan data JPJ.
-Saman akan dikeluarkan secara automatik dan dihantar melalui pos kepada Orang Kena Saman (OKS).
-Sistem ini juga secara automatik menghantar maklumat kes ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan jika OKS memilih untuk gagal membayar kompaun atau dibicarakan.

Keseluruhan nilai kontrak Sistem Penguatkuasaan Automatik - AES ialah $103 juta mengambilkira kontrak Jenoptik Robot dengan ATES Sdn Bhd sebanyak $53 juta dan kontrak Redflex dengan Beta Tegap bernilai $50 juta.. itu jumlah kontrak pembekal dengan penyedia perkhidmatan... kontrak penyedia perkhidmatan iaitu Beta Tegap dan ATES dengan Kerajaan pulak agak-agaknya berapa??? Dianggarkan Projek AES ini menelan belanja lebih kurang RM800 juta..


Maklumat yang diperolehi menyebutkan bahawa harga kamera jenama Jenoptik Robot buatan Jerman yang digunakan oleh ATES Sdn Bhd untuk AES ialah sekurang-kurangnya EUR 30,000 seunit. Jenoptik Robot menyatakan bahawa mereka mendapat kontrak menyediakan sebanyak 550 unit kamera yang keseluruhannya bernilai EUR165,000,00. Nilai EUR1 bersamaan RM3.82. Jadi keseluruhan harga kamera Jenoptik Robot menjangkau RM63,178,520.54. Ini baru nilai kamera, tidak termasuk perisian, perkhidmatan penyeliaan dan khidmat susulan bagi tempoh 5 tahun. Bagaimana Syarikat ATES Sdn Bhd mendapat pulangan??? 

Jawapannya ialah Saman Lalulintas!! 1 Saman RM300..

Berapa bilangan kamera yang akan dipasang?
-Jumlah kamera Speeding 566 buah.
-Jumlah kamera Traffic Light 265 buah.
-"Mobile Camera" (30%) 250 unit. Operasi kamera mudah alih adalah bagi kawasan kemalangan yang tiada insfrastruktur( bekalan elektrik, liputan komunikasi sebagainya) untuk dipasang kamera statik.

Rabu, 18 Januari 2012

KHOO KAY KIM DAKWA HANG TUAH BERSAUDARA DAN HANG LI PO TAK PERNAH WUJUD!



PETALING JAYA – Masyarakat Malaysia secara amnya mengetahui tentang sejarah negeri Melaka biar pun ada yang bukan berasal dari negeri tersebut.
Antara yang paling kerap diperkatakan ialah mengenai Hang Tuah lima bersaudara, Puteri Gunung Ledang dan Puteri hang Li Po semestinya.
Menurut sejarah Melayu negeri Melaka, Puteri Hang Li Po yang berasal dari negara China merupakan isteri yang kelima bagi Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka yang telah memerintah dari tahun 1456 hingga tahun 1477.
Diselitkan juga dalam sejarah negeri itu, terdapat cerita legenda pahlawan Melaka yang terdiri daripada lima sahabat iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Kisah lima sahabat yang sarat dengan nilai-nilai persahabatan dan kesetiaan kepada raja dan negeri mereka  itu menjadi terkenal dan sering diceritakan semula oleh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun sejarawan terkenal, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim yang ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan, Business Radio Station (BFM) mendakwa sebaliknya.
Katanya, Hang Li Po dan kelima-lima pahlawan negeri Melaka itu tidak pernah wujud!
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today (FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka, Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut, Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka yang terkenal sejak zaman dahulu.
“Sejarah mestilah berdasarkan rekod yang empirikal dan tepat, dan ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod bertulis yang sahih, ” katanya.
Selain itu, Kay Kim juga menyatakan tiada bukti kukuh dalam rekod-rekod Malaysia menyatakan kewujudan lima pahlawan Hang tersebut.
“Tidak ada bukti dalam rekod-rekod Malaysia dan ini adalah cerita saja. Pencerita-pencerita sejarah menceritakan semula sejarah ini berdasarkan ‘cerita’ dan bukannya bukti,” tambahnya.
Untuk menguatkan lagi dakwaannya, Kay Kim memberitahu ahli-ahli sejarah telah pun menjalankan penyelidikan yang bersungguh-sunguh tentang dakwaan cerita sejarah tersebut.
“Kita memang mempunyai banyak cerita tentang sejarah ini. Hanya baru-baru ini, ahli-ahli sejarah telah bersusah payah melakukan penyelidikan sejarah awal negeri Melaka itu dan mendapati banyak cerita-cerita yang dimaklumkan pada masa lalu tidak dapat dibuktikan, “katanya.
Kay Kim juga memberitahu FMT bahawa terdapat khabar angin bahawa kerajaan Melaka telah diasaskan pada tahun 1292 walaupun terdapat rekod-rekod membuktikan bahawa ia ditubuhkan pada abad ke-15.
Beliau menambah, kerajaan telah mengarahkan jawatankuasa sukatan pelajaran melalui sukatan pelajaran sejarah sekolah untuk membetulkan kesilapan-kesilapan seperti yang beliau dakwa.
Sukatan pelajaran ini bagaimanapun hanya akan diperkenalkan pada tahun 2014 –Oleh NAIMAH SHAARI
17/1/12
ULASAN 
Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin 

Hang Tuah Memang Wujud, Jangan Nafikan!

Kelmarin kita dikejutkan dengan kenyataan sejarawan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyanggah kewujudan Hang Tuah lima bersaudara dan Puteri Hang Li Po.
Katanya, Hang Li Po dan kelima-lima pahlawan negeri Melaka itu tidak pernah wujud!
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today (FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka, Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut, Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka yang terkenal sejak zaman dahulu.
“Sejarah mestilah berdasarkan rekod yang empirikal dan tepat, dan ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod bertulis yang sahih, ” katanya.
Mungkin artikel yang pernah tersiar dalam Kosmo! kira-kira dua tahun dulu boleh membuatkan kita merenung kembali kenyataan yang dibuat oleh Kay Kim;
Timbalan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep) Melaka, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin memberitahu, apa yang terkandung dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah bukan berpaksikan khayalan semata-mata.
Menurutnya, watak-watak yang disebutkan di dalamnya adalah catatan dan ingatan terhadap peristiwa yang berlaku pada zaman dan persekitaran zaman itu. Selanjutnya, ia terkesan dalam masyarakat sehingga akhirnya ia direkod secara bertulis oleh penulis hikayat.
“Selain daripada dua kitab itu, di Melaka, makam Hang Tuah juga sudah ditemui dan dibuka untuk kunjungan awam di Tanjung Kling. Begitu juga dengan penemuan sebuah perigi di Duyong.
“Mengapa masih ada yang tidak percaya mengenai jejak Hang Tuah?,” soal Mohd. Jamil yang melahirkan rasa kurang senangnya terhadap golongan yang mahu menafikan kebenaran Hang Tuah.
Apatah lagi dokumentasi hidup Laksamana Hang Tuah dalam hikayatnya bukan sahaja tersimpan baik di dalam negara, malah salinannya mendapat tempat di perpustakaan terkemuka di London dan Belanda sebagai naskhah rujukan dunia Melayu.
“Bukankah setiap catatan yang bertunjangkan kisah ketuanan Melayu dan Islam sering menjadi sasaran perubahan yang dirancang?
“Laksamana Hang Tuah bukan sahaja pahlawan dunia Melayu negara ini, malah seorang tokoh yang diagungkan di seluruh gugusan Melayu Nusantara ketika abad ke-15,” rumus Mohd. Jamil.
Walau bagaimanapun, kisah Hang Tuah seakan hilang jejak selepas Sultan Mahmud Shah dari Melaka berundur ke Johor.
“Sejak itu, nama Hang Tuah tidak dikaitkan dengan sebarang sejarah pembentukan dan perkembangan negeri ini,” kata Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd. Ismail Jamjam.
Menurut pemilik nama pena Zam Ismail itu, walaupun negeri Johor tidak memiliki apa-apa sokongan atau bukti sejarah mengenai kewujudan Hang Tuah, kewujudan pahlawan terbilang itu suatu masa dahulu tetap diyakininya.
“Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan Melayu.
“Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh diberi peluang untuk dinilai semula,” katanya.
Ismail berpendapat, ketika Tun Sri Lanang menulis Sejarah Melayu, tiada orang Melayu lain yang lebih arif untuk merekod apa yang berlaku pada zaman tersebut. Maka, itu adalah sumber paling hampir.
Ismail walau bagaimanapun tidak menafikan tentang perubahan jalan cerita, versi penceritaan dan kecenderungan untuk menokok-tambah dalam pengkisahan cerita lama.
Memandangkan dokumentasi antara penulis hikayat sedunia dahulu kala saling berkait akibat kerancakan aktiviti perdagangan laut, maka pertindihan fakta tidak dapat dielakkan hingga boleh mengelirukan.
Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan penilaian generasi semasa dan akan datang.
“Panglima Awang yang dianggap dongeng oleh masyarakat kita misalnya, diangkat sebagai figura penting dunia Melayu oleh penulis Barat. Mereka mencatatkan bahawa dia seorang yang berketurunan Orang Laut,” katanya memberi contoh.
“Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah.
“Tindakan memperlekeh ini tidak boleh berterusan,” tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan Hang Tuah itu berketurunan Cina.
Apa pendapat anda agaknya?

Isnin, 2 Januari 2012

Hab Pendidikan atau Hab Jenayah?



Kerajaan mesti memperketatkan pemantauan ke atas pelajar Nigeria yang menuntut di negara ini lagi menangani masalah ‘keldai dadah’ yang semakin berleluasa. Kerajaan perlu bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dalam memantau pergerakan dan prestasi pelajar-pelajar berkenaan. Amat mengecewakan peningkatan kes ‘keldai dadah’ membabitkan pelajar Nigeria dan warga tempatan terus meningkat. Kerajaan tidak perlu teragak-agak untuk membatalkan lesan IPT berkaitan jika didapati gagal membendung pelajar yang menggunakan Visa Pelajar untuk menjalankan aktiviti penjualan dadah di negara ini mempergunakan warga tempatan. Sebut sahaja Mat Afrika, sukar untuk kita bersangka baik, apatah lagi ada saja kisah negatif mengenai mereka sering dilaporkan di media. Jenayah black money, dadah dan penipuan Internet antara yang  giat dilakukan manakala pelakuan seperti kaki mabuk, gemar bergaduh dan mengganggu anak dara orang sudah lama menimbulkan kegusaran masyarakat.

Mengambil contoh penipuan Internet, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, mencatatkan 232  warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan mensasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Hasil tangkapan itu, polis menemui surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki kacak berkulit putih, antara bahan ditemui polis dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan mereka untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Sudah menjadi kelaziman, majoriti Mat Afrika  akan 'bertempur' dengan penguatkuasa setiap kali mereka cuba diberkas. Barangkali tindakan itu didorong berikutan tubuh mereka jauh lebih tegap, penampilan menjadi kegilaan sebilangan gadis tempatan.

Sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan, terutama mereka yang ketandusan kasih sayang. Bagi kes dadah pula, kemasukan penyeludup dadah dari Afrika Barat termasuk Mamat dan Minah Afrika ke negara ini semakin menjadi-jadi, terutama menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila 419 kes direkodkan setakat ini membabitkan nilai lebih RM30 juta. Lebih membimbangkan kebanyakan tangkapan sejak Januari hingga Ogos tahun ini membabitkan golongan ini   menggunakan pas pelajar. Kedatangan mereka mengundang bahaya ke atas keselamatan negara berbanding dengan hasrat kita untuk menjadi hab pendidikan. 




Ahad, 1 Januari 2012

Bendung Jenayah Pelajar Yang Kian Serius




Dewasa ini, kita sering dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah yang melibatkan remaja. Hal ini telah menggambarkan betapa seriusnya kejadian jenayah dalam kalangan mereka. Segala jenayah ini dapat dibendung melalui pendekatan yang lebih berkesan, misalnya ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan remaja hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak ketika di rumah kerana segalanya bermula di rumah. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara yang baik dan yang buruk.
Remaja juga haruslah pandai memilih rakan sebaya kerana remaja mudah terpengaruh dengan kawan-kawan mereka, tetapi kini kebanyakan ibu bapa tidak mengambil peduli dengan siapa anak mereka berkawan. Pengaruh hiburan melalui media massa juga hendaklah dibendung.
Pihak sekolah pula perlu memantapkan lagi kawalan disiplin sekolah bagi menjamin kegiatan salah laku pelajar berkurangan. Setiap kesalahan. pelajar seperti ponteng sekolah, merokok, mengambil dadah, atau membuli pelajar lain hendaklah didenda setimpal dengan kesalahan mereka. Masalah ini sukar dibendung kerana ibu bapa tidak mahu meluangkan masa datang ke sekolah untuk berbincang bagi mencari pendekatan awal sebelum masalah anak-anak mereka menjadi semakin serius. Malahan, ada juga antara ibu bapa yang sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadap guru-guru jika pihak sekolah mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka.
Masalah ini dapat dibendung jika penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketat, tamsilannya remaja bawah umur yang melakukan kegiatan jenayah berat seperti bunuh hendaklah dikenakan hukuman mati mandatori sama seperti pesalah dewasa.
Golongan remaja adalah aset negara pada masa depan.  Kita tidak mahu mereka yang mewarisi negara ini terlibat dengan jenayah.  Oleh itu, mereka  haruslah didedahkan kepada isu-isu semasa melalui kempen-kempen dan perkhemah motivasi supaya mereka mengetahui bahawa segala kes jenayah akan merosakkan masa depan mereka. Usaha membanteras jenayah di kalangan pelajar tidak akan berjaya jika pihak sekolah dan ibu bapa menyembunyikannya dengan tidak membuat laporan polis.  Justeru,  pihak sekolah dan ibu bapa diingatkan agar tidak menyembunyikan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh para pelajar kerana ia menyalahi undang-undang. Dicadangkan agar pihak sekolah dan guru-guru mengadakan lebih banyak aktiviti yang memberi pengetahuan kepada para pelajar mengenai pencegahan jenayah tanpa melibatkan wang atau perbelanjaan yang besar. Antara langkah yang boleh dilakukan adalah menggalakkan pelajar membuat tanda nama pada semua barangan milik mereka bagi mengelak daripada hilang atau dicuri selain mengadakan aktiviti rondaan cegah jenayah di sekolah. Mereka juga boleh bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk mendapatkan golongan profesional seperti peguam, pakar psikologi dan sebagainya bagi mengadakan sesi soal jawab atau kaunseling bersama pelajar secara percuma.

Bilangan pelajar sekolah yang terbabit dengan kejadian jenayah di negara  ini disifatkan pada tahap serius berikutan jumlah tangkapan meningkat atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lalu.Kebanyakan pelajar itu berusia 15 hingga 17 tahun yang juga pelajar tingkatan tiga, empat dan lima, manakala jenayah ‘popular’ di kalangan mereka ialah jenayah kekerasan seperti pergaduhan, kecurian, lumba haram dan penyalahgunaan dadah.

Walaupun kes membabitkan mereka bukan kes besar, tetapi memandangkan mereka pelajar sekolah yang sepatutnya hanya belajar, kita memandang serius dan marilah semua pihak, termasuk ibu bapa dan masyarakat, mengambil berat kegiatan anak mereka.








Isnin, 19 Disember 2011

Nigeria: Wajah Sosial Yang Dibawa Ke Malaysia



LATAR BELAKANG NIGERIA


Republik Persekutuan Nigeria
Orílẹ̀-èdè Olómìnira Àpapọ̀ Naìjírìà 
Republik Nijeriya
جمهورية نيجيريا
Republic ndi Naigeria
Republik Federaal bu Niiseriya
Bendera Nigeria
Bendera
Cogan kata: Perpaduan dan Kekukuhan, Kedamaian dan Kemajuan
"Unity and Faith, Peace and Progress"
Lagu: "Arise O Compatriots, Nigeria's Call Obey"


Nigeria adalah sebuah negara di daerah Barat Afrika dan dikelilingi oleh Niger di utara, Cameroon di Timur, Benin di Barat dan Chad di sebelah timur laut yang mendapat kemerdekaannya daripada British pada tahun 1960.  Kota yang penting dan terbesar adalah  Abuja, bekas ibu kota Lagos. Lagos didiami oleh 11,100,000 penduduk(anggaran tahun 2005)). Bandar Ogbomosho pula dihuni oleh 711,900 penduduk (anggaran tahun 1995). Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi Nigeria.  50% atau 64,385,994 penduduk menganut agama Islam yang mempunyai taraf rasmi. Kristian, 40 peratus dan kepercayaan lama 10 peratus.
Beberapa permasalahan yang timbul pasca kemerdekaan Nigeria yang boleh diklasifikasikan kepada tiga bidang dominan iaitu Ekonomi, Politik, dan Sosial. Ketiga-tiga bidang ini adalah bidang primer yang kemudian memberi impak kepada sektor lain dalam interaksi politik, ekonomi, dan sosial Nigeria baik domestik negara mahupun dalam melakukan hubungan dengan negara lain. Penulis memberi fokus kepada aspek sosial Nigeria.

SOSIAL
Nigeria menjadi negara yang memiliki penduduk yang sangat padat di wilayah Afrika.   Di Nigeria, jumlah penduduk yang banyak selain menambah permasalahan pada masalah kependudukan dan pemanfaatan sumber daya manusia, juga memberi masalah pada keseragaman sektor kebudayaan penduduk. Penduduk yang banyak tentu berasal daripada kelompok-kelompok masyarakat yang pelbagai ragam dan latar belakang budaya yang berbeza-beza pula. Hal ini lah yang kemudian dapat mencetus adanya konflik kesukuan yang menjadi masalah pada pemerintahan Nigeria sejak merdeka hingga ke hari ini dan belum  ada penyelesaian yang efektif.
Mengingat interaksi perdagangan di wilayah selatan yang merupakan wilayah pantai lebih berdaya saing dan maju. Hal ini kemudian mewujudkan jurang ekonomi  antara wilayah selatan Nigeria dan wilayah utara Nigeria. Wilayah utara Nigeria merupakan wilayah dengan kemiskinan tegar di Nigeria. Banyak penganalisis sosial yang memandang punca masalah di wilayah ini adalah kemiskinan yang mendorong munculnya gerakan militan. Sifat agresif dan menentang ini terus dibawa ke negara-negara mereka tujui.
JENAYAH DI MALAYSIA
JENAYAH yang ditimbulkan oleh warga Afrika di negara ini bukan lagi satu hal terpencil. Saban hari, kita dihidangkan dengan berita kejayaan polis memberkas golongan itu yang melakukan pelbagai kesalahan dan antara jenayah paling utama melibatkan mereka adalah sindiket dadah.
Bagaimanapun, tidak adil jika kita menyalahkan sepenuhnya warga Afrika kerana mereka ini mengambil peluang yang ada. Dan tidak semua warga Afrika yang berada di Malaysia bersalah dan terlibat dalam jenayah.
Tetapi penglibatan mereka ini ( yang juga digelar sebagai Awang Hitam), mungkin terserlah atas beberapa faktor:
Pertama
Warna kulit yang mudah dikenal pasti, menyebabkan masyarakat akan lebih peka jika si pelaku jenayah itu warga kulit hitam dari benua Afrika.
Kedua
Golongan Afrika walaupun kini dikategorikan terlalu ramai berada di Malaysia, namun disebabkan jumlah mereka itu masih dianggap minoriti, maka setiap kes jenayah yang dilakukan akan diambil perhatian oleh kita.
Ketiga
Mereka ini sebenarnya gemar berhijrah iaitu merantau dari benua ke negara lain, sama ada untuk mencari rezeki, melanjutkan pengajian malah pada masa sama melakukan jenayah di benua lain. Kita harus ingat, mana-mana lelaki yang gemar berhijrah atau merantau, sudah tentu mempunyai hati yang kental serta keras. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengubah taraf hidup.
Keempat
Warga Afrika khususnya lelaki secara fizikalnya mempunyai tubuh badan yang besar, dan kebanyakan daripada mereka ini bersifat agresif. Jarang kita dengar lelaki Afrika begitu pasif, tidak menonjolkan diri kerana kebanyakan Awang Hitam ini sebenarnya suka menimbulkan kontroversi, agar mereka ini mendapat perhatian.
Kelima
Kebanyakan warga Afrika ini peramah, mudah mesra dan seorang rakan yang baik, sekiranya kita mendampingi mereka. Buktinya, dalam perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia menentang Arsenal di ibu negara pada 13 Julai lalu, penyokong Awang Hitam kelab Liga Perdana Inggeris itu yang berada di Malaysia mudah diajak berbual apatah lagi bergambar.
Keenam
Malaysia kini mengamalkan dasar membuka pintu kepada mana-mana pelajar dari luar negara untuk melanjutkan pengajian di mana-mana kolej swasta di negara ini yang 'tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan'. Peluang ini digunakan oleh warga Afrika untuk melanjutkan pengajian mereka, dan pada masa sama, dek sifat nakal mereka, Awang Hitam ini akan terlibat pula dalam jenayah.
Setelah dilihat faktor-faktor ini, kita tahu, Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, berbanding di sesetengah negara di benua Afrika sering menjadi pilihan mereka untuk datang ke sini. Faktor kemakmuran yang ada di Malaysia, mendorong mereka datang, bukan sahaja untuk belajar, malah segelintir daripadanya cuba membawa budaya 'agresif' yang ada dari benua mereka ke negara ini. Maka, berlakulah kebanjiran warga Afrika di negara ini, sama ada yang masuk secara halal untuk belajar atau yang datang untuk melakukan jenayah.
Pembabitan mereka dalam jenayah pula terbahagi kepada beberapa faktor. Tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah juga dikategorikan sebagai jenayah. Selain itu, warga Afrika sejak pertengahan tahun 1990-an lalu mula terlibat dalam jenayah di Malaysia menerusi sindiket 'black money'. Jenayah itu semakin berkurangan, mungkin disebabkan modus operandi mereka sudah berjaya dihidu oleh polis, namun ia masih berlaku.
Tidak cukup dengan sindiket 'black money', Awang Hitam kini semakin aktif dengan jenayah penyamaran menerusi sindiket penipuan di Internet. Ini adalah jenayah trend terbaru mereka yang beroperasi sama ada di negara ini, mahupun dari luar, memperdayakan wanita Malaysia khususnya yang keseorangan untuk jatuh cinta sebelum ditipu.
Menurut seorang rakan dari sebuah jabatan penguat kuasa di negara ini, apa yang dikesalkan adalah sikap segelintir wanita di negara ini yang begitu mudah terpedaya dengan pujuk rayu Awang Hitam ini.
Mereka begitu percaya dengan cinta palsu yang ditaburkan, malah sanggup naik turun jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu teman lelaki mereka sekiranya dia ditahan, sedangkan pihak berkuasa menahan warga asing itu kerana tahu helah mereka untuk menipu.
Pasangan warga asing itu sanggup menuduh agensi penguat kuasa bertindak kejam, cuba memisahkan cinta yang dibina dengan alasan berlainan benua.
Walhal, helah Awang Hitam itu sudah diketahui cuma untuk 'mengayat' mangsa hingga terpedaya dan wanita itu sanggup berkorban kononnya demi cinta.
Akhirnya, setelah penat turun naik pejabat membantu teman lelaki yang dicintainya itu dan menuduh pihak berkuasa kejam, wanita tersebut menjadi mangsa penipuan, dan inilah yang kita kesalkan dengan segelintir sikap rakyat Malaysia.
Persoalannya di sini, kita sebagai rakyat tempatan juga harus tahu dan memikir secara mendalam, kenapa warga Afrika itu sanggup datang ke negara ini. Mereka kebanyakannya datang dari negara-negara Afrika yang dilanda pelbagai masalah, selain ekonomi yang tidak stabil. Sudah pasti tekad mereka untuk melakukan apa sahaja yang mampu di Malaysia bumi bertuah ini, asalkan taraf ekonomi mereka meningkat.
Dari situ jugalah, bermulanya episod penipuan Awang Hitam. Mereka sanggup berlakon dan menyamar kononnya jatuh cinta dengan wanita Malaysia, memperdayakan mangsa yang kesepian sehingga wanita itu sanggup memperjuangkan nasib teman lelakinya sekiranya dia ditangkap, akhirnya dia tertipu.
Apabila menyentuh tentang jenayah dadah pula, kita tidak dapat lari daripada membicarakan pembabitan warga Afrika dengan kes ini. Bukti terbaru yang menggerunkan kita adalah kejadian seorang lelaki warga Nigeria yang mati ditembak kerana mengamuk dalam wad Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.
Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku, dan Awang Hitam yang mati ditembak ini mencipta sejarah sebagai suspek kes dadah pertama ditembak kerana bertindak agresif dalam wad hospital. Setelah dibedah siasat, lelaki itu dikatakan menelan 34 ketulan dadah jenis syabu dalam perutnya untuk dibawa masuk ke Malaysia. Mungkin ketulan dadah yang ditelan itu pecah di dalam perut menyebabkan lelaki Afrika tersebut bertindak agresif, dan apa yang terjadi di wad HKL pada Sabtu lalu, mengejutkan semua rakyat Malaysia.
Inilah satu lagi contoh sifat keras hati warga Afrika. Mereka sanggup lakukan apa sahaja asalkan dadah itu dapat diseludup masuk dan diedarkan di Malaysia. Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang dan kesannya akan memudaratkan rakyat kita. Kes pertama seperti ini tidak sewajarnya berulang lagi sehingga meragut nyawa mana-mana pesakit dalam wad. Sesuatu perlu dilakukan agar kebanjiran warga Afrika ini dikawal.
Janganlah ada pihak yang cuba menyalahkan polis yang terpaksa menembak lelaki agresif itu. Apa lagi yang perlu dilakukan sekiranya dia bertindak mengancam keselamatan pesakit-pesakit lain. Langkah Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan program 6P setidak-tidaknya membolehkan kita mengesan sebanyak mana bilangan warga asing khususnya dari benua Afrika yang berada di negara ini.
Dianggarkan lebih 3,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Afrika sudah mendaftar menerusi program itu, dan sejumlah 29,000 daripada warga Afrika berada di Malaysia secara sah di negara ini menerusi pelbagai jenis pas termasuk kira-kira 23,000 daripadanya adalah pelajar. Selebihnya pula, sama ada mempunyai suami atau isteri rakyat Malaysia dan bertugas di Malaysia, jumlah hampir 30,000 warga Afrika yang berada di negara ini, boleh dianggap minoriti tetapi bagaimana pula dengan impak terhadap jenayah yang dilakukan segelintir daripada mereka?

PENUTUP

Setiap masalah yang timbul boleh dielakkan jika IPTS terbabit memberi taklimat khas kepada pelajar asing bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang negara. Pada masa sama IPTS mesti memastikan segala dokumen membabitkan pelajar terbabit sah di sisi undang-undang sebelum menerima mereka belajar di institusi masing-masing.  Sebagai institusi yang dibenarkan untuk mengambil pelajar warga asing, IPTS perlu bertanggungjawab untuk melihat segala dokumen mereka termasuk visa dan dokumen-dokumen lain.
Dari segi visa, IPTS perlu tahu bila tarikhnya akan tamat dan menasihatkan pelajar berkenaan memperbaharui visa bagi mengelakkan timbul masalah berbangkit.

RUJUKAN:


Bayu Krisnamurthi, 2003, “Perum Bulog dan Kebijakan Pangan Indonesia : Kendaraan Tanpa Tujuan?"
Dr. Abdul Hadi Adnan, 2008, Perkembangan Hubungan Internasional di Afrika, CV. Angkasa : Bandung.
wikipedia.org/wiki/Bendera_Nigeria

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...