SEBELUM memulakan perjalanan jauh sepatutnya anda sudah menghantar kenderaan untuk diservis mengikut kadar perjalanan ditetapkan pengeluar kereta. Kita tidak perlu terburu-buru untuk ke destinasi yang dituju atau balik ke kota. Dengan memandu dalam keadaan tenang dan berhemah, kita boleh memastikan kita dan penumpang berada dalam keadaan selamat.
Kita periksa kenderaan sebelum memulakan sebarang perjalanan jauh. Sekiranya tidak pasti untuk berbuat demikian, hantar kenderaan ke pusat servis. Periksa tekanan angin dan corak bunga tayar, lampu, sistem brek, sistem penyejuk dan komponen kereta lain.
Pengguna jalan raya dinasihat supaya mengelak tragedi kemalangan jalan raya dalam musim cuti sekolah dan perayaan Aidil Fitri ini dengan lebih berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung halaman. Sikap berhati-hati dan timbang rasa dapat menjamin pengguna daripada terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kemalangan kerap berlaku kerana faktor pengguna yang cuai, mementingkan diri sendiri, memecut, memotong di selekoh berbahaya, memotong di garisan berkembar dan tidak mematuhi peraturan jalan raya lain. Apabila musim cuti sekolah dan perayaan Aidil Fitri berlaku serentak, kita berharap pengguna jalan raya dapat memandu secara berhemah. Ibu bapa juga diminta menasihati anak-anak mereka yang akan pulang ke kampung dengan mengamalkan pemanduan berhemah, jangan sesekali membiarkan mereka disambut dengan tangisan akibat terlibat dalam kemalangan.
Setiap kali menjelang musim perayaan kita dikejutkan dengan pelbagai bentuk tragedi yang menyayat hati – pembunuhan bersenjata, kebakaran dan kemalangan maut – menjadikan sambutan Aidil Fitri bertukar sedih, pilu dan muram. Kita sentiasa diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu, biar lambat asalkan selamat dan memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Meskipun kerosakan kenderaan boleh menyumbang kepada kemalangan, peratusannya adalah begitu kecil berbanding dengan ketidaksabaran ketika memandu. Mereka yang memandu secara gopoh-gapah, tidak berhemah sebenarnya tidak memahami apa yang diajar oleh Islam. Sebagai agama yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan, Islam menuntut kita agar jangan terlalu gembira untuk pulang berhari raya sehingga hilang tumpuan semasa memandu.
Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk, adalah lebih baik berhenti seketika dan tidak meneruskan perjalanan dalam situasi lesu dan fikiran terganggu. Begitu juga dengan sikap kita sebelum memulakan perjalanan, kita hendaklah memulakannya dengan berdoa, “subhanallazi sakharalana hazawamakunna lahumuqrinin wainnailarabbina lamunqalibun”. Menurut kata sesetengah ulama, sesiapa yang membaca doa ini sebelum memulakan sesuatu perjalanan ke suatu destinasi, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Mereka yang berdoa akan dilindungi daripada gangguan dan bahaya, insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan