manirah.othman@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU - Perasaan mahu membalas dendam yang membuak-buak mendorong sekumpulan lebih 20 pelajar sebuah sekolah menengah agama dekat sini menyerbu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang untuk memukul seorang pelajar tingkatan lima.
Serangan ala gengster pada pukul 11 pagi itu berlaku apabila kesemua pelajar terbabit menceroboh sekolah mangsa lalu pergi ke kelas Wan Nur Azri Wan Mohamad, 17, selepas waktu rehat sebelum membelasahnya di belakang bangunan makmal.
Difahamkan, kumpulan pelajar tersebut datang ke sekolah berkenaan dengan menaiki kenderaan dari sekolah mereka yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. Bagaimanapun, nasib menyebelahi Wan Nur Azri apabila kesemua suspek bertempiaran melarikan diri selepas perkara itu dimaklumkan kepada guru SMKA Durian Guling.
Ibu mangsa, Zalina Mamat, 45, memberitahu, dia dan suaminya bergegas ke sekolah sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anaknya.