Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Oktober 2011

Dijajah atau dinaungi?


Anwar Ridhwan
(MALAYSIA KINI)

Negara yang bertamadun dan berdaulat terlebih dahulu harus bebas daripada penjajahan politik.


Mutakhir ini timbul polemik sama ada Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris, atau hanya dinaungi oleh Inggeris.Kali ini mari kita kembali kepada pandangan pakar sejarah. Mereka ialah Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya yang telah menghasilkan buku Sejarah Malaysia (Petaling Jaya: Macmillan, 1982, 391 halaman).

Barbara Watson Andaya pernah bertugas sebagai tutor kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Beliau merupakan pengarang buku berjudul Perak, the Abode of Grace: A Study of an Eighteen Century Malay State (1979), dan telah bersama-sama menterjemahkan satu edisi anotasi teks Melayu abad ke-19, Tuhfat al-Nafis (1982).

Leonard Y Andaya pula pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Buku-buku beliau termasuklahThe Kingdom of Johor 1641 - 1728 (1975), dan Heritage of Arung Palaka: A History of South Sulawesi (Celebes) in the Seventeen Century (1981).Kedua-dua mereka pernah mengajar di Universiti Malaya dan telah mengadakan Research Fellowship di Australian National University (ANU).


Berikut ialah petikan daripada buku mereka Sejarah Malaysia. Diturunkan sub bab dalam buku tersebut, bersama-sama petikannya yang relevan dengan judul tulisan ini.

Hidupnya sebuah masyarakat kolonial 1919-57

"Menjelang tahun 1919, seluruh Semenanjung Tanah Melayu tertakluk kepada satu corak penguasaan Inggeris. Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) telah berada paling lama di bawah pengaruh Inggeris, dan akibatnya berbagai-bagai institusi adalah lebih erat diselaraskan daripada institusi yang sama di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB)...

"Sebaik saja Inggeris berjaya menjadi kuasa yang agung di Semenanjung Tanah Melayu, mereka meneruskan dasar ‘berbaik-baik' dengan Raja-raja Melayu dan ‘campur tangan yang minimum' dengan kaum petani Melayu... Namun mereka tidak dapat mengenepikan pertimbangan utama yang telah membawa mereka ke Semenanjung: mengekalkan keamanan dan ketenteraman supaya pihak pedagang Inggeris dapat mengambil kesempatan dari kekayaan daerah itu."Ke arah inilah pihak Inggeris mendirikan jentera politik dan pentadbiran untuk menggemblengkan sumber-sumber negeri di Semenanjung... Semasa zaman kolonial, kebanyakan tulisan penting mengenai sejarah awal dan kebudayaan orang Melayu telah diterbitkan oleh sekumpulan sarjana-pentadbir terutama dalamJournal Malayan Branch of the Royal Asiatic Society ." (halaman 238-240).


Mengadakan rangka bagi ekonomi eksport

"Kekuasaan pemerintah kolonial baru yang hampir-hampir tidak boleh dicabar itu segera mendorong perubahan-perubahan yang dikatakan mustahak bagi memudahkan pembangunan serta membawa keuntungan yang berterusan dari ekonomi eksport.
"Mereka mencari serta mengadakan ‘rangka politik dan pentadbiran yang cocok sekali' yang dengan demikian pengusahaan swasta boleh berkembang maju.

"Tanpa cabaran dari kelompok kepentingan tempatan yang kuat, pihak Inggeris dengan bebas dapat melakukan penyusunan semula masyarakat tempatan dengan mengaturkan semula kegunaan sumber-sumber untuk maklumat kemajuan ekonomi yang lebih besar.

"Sehingga tahun 1919, Semenanjung Tanah Melayu telah melihat perubahan-perubahan yang begitu pesat dalam bidang sosio ekonominya. Kini wajarlah istilah ‘British Malaya' mula digunakan, sebab sesungguhnya Malaya telah menjadi ‘British' dalam ertikata matlamat sosial dan ekonominya." (halaman 240).

Kemerdekaan

"Pada bulan April 1949, Parlimen Inggeris telah membuat pengikatan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan disahkan dalam bulan Mac berikutnya oleh Perdana Menteri Inggeris."Apabila Leftenan-Jeneral Sir Gerald Templer sampai di Tanah Melayu pada awal Februari 1952 sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru, beliau mengumumkan bahawa objektifnya yang segera ialah ialah membentuk satu bangsa Malaya yang bersatu padu."Ke arah matlamat ini, juga bagi melemahkan dan seterusnya menghancurkan PKM, Templer telah memperkenalkan pilihanraya setempat, majlis mesyuarat kampung, dan kewarganegaraan kepada lebih separuh daripada orang-orang Cina; menggabungkan Majlis Perang dengan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan; dan membolehkan orang-orang Cina, buat pertama kalinya, memasuki Perkhidmatan Awam Tanah Melayu.
"Dalam bulan April 1954, Templer mengumumkan bahawa pilihan raya yang awal akan diadakan untuk Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955, dengan itu membayangkan bahawa Tanah Melayu sudah berada di ambang pintu kemerdekaan." (halaman 304) ...


"Sungguhpun kemenangan muktamad menentang komunis masih belum dicapai pada tahun 1957 apabila kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan, ancaman komunis itu telah hampir-hampir hapus.

"Namun, ancaman perkauman masih kekal, warisan pemerintah kolonial, yang akan menentukan kehidupan terus atau pun kehancuran muktamad negara yang baru itu." (halaman 308).




Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian ketiga daripada siri artikel pendek bertemakan "Masyarakat Bertamadun" yang akan diterbitkan setiap dua minggu.Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Jumaat, 14 Oktober 2011

Bukan senang jadi guru



Guru kerjanya sangat mudah. Datang pagi, tengah harinya sudah melenggang pulang.  Kerjanya separuh hari.  Cutinya setiap hujung minggu.  Cutinya panjang.  Guru wanita dapat pula tambahan cuti bersalin.  Gajinya, aduh lumayan sekali.  Itulah guru pada anggapan sesetengah masyarakat umum.  Sebenarnya, kerjaya sebagai seorang guru lebih daripada yang disangkakan.  Tambahan pula dengan hambatan budaya teknologi maklumat yang begitu pantasnya sekali. 

Kerjaya sebagai seorang guru bukannya senang.  Memang benar, semua orang boleh mengajar.  Contohnya, guru sandaran tidak terlatih.   Hari ini dilantik, esoknya terus mengajar di kelas tanpa mendapat apa-apa latihan.  Hanya penerangan ringkas oleh Guru Besar atau Pengetua sewaktu dia melapor diri di sekolah.   Itupun kalaunya berlaku sedemikian, kalau tidak pandai-pandailah sendiri bertanya daripada guru-guru lain.

Kerjaya mengajar ada seninya.  Namanya seni mengajar.  Guru yang ada  seni mengajar akan mampu memahamkan  anak ajarnya (selalu disebut anak didik) dengan mudah apa-apa sahaja yang diajarkannya.  Inilah yang tidak dapat dilakukan oleh kebanyakkan orang di luar lingkungan sekolah. 

Selalu kita dengar ungkapan, guru umpamanya lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi kegelapan orang lain.   Guru umpama obor atau kini lampu kalimantang yang menerangi alam kegelapan.  Tanpa guru, tidak mungkin lahirnya seorang doktor, peguam, polis, jurutera ataupun Perdana Menteri.  Setiap tahun semasa sambutan Hari Guru, sajak yang ditinggalkan Sasterawan Usman Awang sentiasa dilaungkan.

Untuk menjadi guru yang baik,  hubungan dan interaksinya bukan sekadar di bilik darjah.  Lebih daripada itu, guru mampu berinteraksi dengan ibu bapa, murid-murid, pemimpin setempat, ahli belia, dan anggota masyarakat.   Di samping itu, guru mesti sanggup menghambakan diri untuk memikul sebarang tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak sekolah.  Tiada ungkapan ‘tidak boleh’ atau ‘tidak sanggup’ dipaculkan dari mulut seorang guru, lebih-lebih lagi dari mulut seorang guru muda yang baru setahun jagung dalam dunia pendidikan.

Walau bagaimanapun, dalam kita sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keluhuran dunia keguruan, tanpa kita sedari dunia keguruan telah melalui pelbagai rintangan sesuai dengan arus globalisasi dan kemodenan negara.   Guru-guru telah menjadi sasaran dan tohmahan serta sering dipersalahkan sekalipun dalam hal-hal yang kecil.  Banyak isu yang membabitkan guru di dedahkan di dada-dada akhbar walaupun isu yang boleh diselesaikan secara permuafakatan.

Guru-guru perlu sedar dan akur bahawa ilmu keguruan adalah ilmu sepanjang hayat.  Ilmu keguruan tidak statik.  Ilmunya tidak tamat apabila saja menerima segulung diploma atau ijazah dari Institut Perguruan atau universiti.  Maksudnya, seseorang guru hendaklah sentiasa berada di dalam suasana pembelajaran secara formal ataupun tidak formal.  Semakin lama seseorang itu berada dalam dunia keguruan, semakin matang dan bertambah fahamlah dia akan peranannya sebagai seorang guru.  Dengan kematangan dan kefahaman tugas yang jelas, segala isu yang timbul akan dapat diperbetulkan.   Masyarakat tidak lagi keliru dengan peranan guru dan boleh menerima seadanya.

Peranan guru bukan sahaja sebagai mengajar, tetapi pendidik.  Sebagai pengajar, guru menyampaikan segala ilmu yang berkaitan sukatan pelajaran.  Mereka mengajar untuk memastikan murid-murid lulus dalam peperiksaan.  Sebagai pendidik, peranannya bukan sekadar mengajar tetapi memastikan murid-murid mempunyai sahsiah peribadi dan tahap disiplin yang unggul.  Guru mahu melihat anak-anak didiknya bukan sahaja cemerlang akademiknya tetapi lebih dari itu cemerlang budi bahasa dan tingkah-laku. Walau bagaimanapun, guru jangan lupa untuk memperbetulkan dirinya terlebih dahulu. Jangan jadi seperti pepatah Melayu, ‘Ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan dirinya berjalan mengiring’.

Untuk mencapai tahap disiplin yang unggul di kalangan murid,  guru-guru terpaksa melaksanakan pelbagai peraturan dan menghadapi pelbagai rintangan.  Adakalanya peraturan tersebut mendapat tentangan daripada ibu bapa dan masyarakat.   Sebagai seorang yang professional, guru perlu melaksanakan peranannya dengan berhemah.   Guru tidak cepat melatah apabila timbul sesuatu isu atau kontraversi.  Guru umpama span yang sentiasa menyerap air. Guru perlu banyak berdiplomasi dan mengelakkan hal-hal yang sensasi.   Akhirnya, guru akan kembali berada di tahap tinggi dan dihormati dalam masyarakat.- TAMAT-
Kiriman:
ABD MANAF BIN MAT,
Kuala Lipis, 
Pahang Darul Makmur.

Rabu, 28 September 2011

Empat elemen jadikan penggabungan Semenanjung, Sabah, Sarawak begitu unik






PENGGABUNGAN Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di bawah nama Malaysia bukan sekadar memberi impak dalam pembentukan sebuah negara baru, tetapi sebenarnya memberi lebih banyak faedah kepada rakyat yang kini mampu hidup dalam kepelbagaian budaya dan masyarakat penuh keunikan.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, berkata ada empat elemen utama yang dilihat menjadikan pembentukan Malaysia begitu istimewa iaitu berlakunya pinjam-meminjam budaya yang membolehkan masyarakat berkongsi keunikan budaya daripada pelbagai etnik lain.
“Paling unik dalam penggabungan ini ialah kemampuan masyarakat di negara ini menerima budaya dan cara hidup kumpulan etnik lain yang sekali gus membolehkan sebarang kemelut dan masalah sesama kaum mampu diselesaikan dalam rundingan.
Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja. Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan. - Profesor Datuk Dr Shamsul Amri, Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM
“Paling tidak pun, sekadar bertikam lidah, menggunakan media untuk meluahkan rasa tidak puas hati, tetapi tidak sampai berparang dan berperang.

“Konsep penerimaan ini bukan senang diperoleh semua negara, apatah lagi dalam Malaysia yang mempunyai puluhan etnik berbeza agama dan bahasa. Lebih unik lagi ialah berlakunya asimilasi yang jelas dapat dilihat di Sabah dan Sarawak. 

“Di sana, tidak ada masalah dalam satu keluarga ada orang Islam dan Kristian. Mereka boleh hidup sebumbung dan bebas mengamalkan kepercayaan beragama masing-masing.

“Keunikan itu mustahil dapat kita lihat jika bukan kerana pembentukan Malaysia”. 
Keempat ialah berlakunya percantuman etnik. Kahwin campur sesama etnik lain mewujudkan pelbagai keturunan yang lebih unik menjadikan negara ini begitu istimewa. 

Hubungan sosial yang amat kuat ini berlaku sejak Malaysia ditubuhkan dan inilah tiang seri yang merungkaikan keutuhan negara ini.

“Di Sabah dan Sarawak banyak berlaku asimilasi, manakala di Semenanjung pula berlaku banyak penerimaan. 

“Orang Melayu, menerima cara hidup orang India dan Cina, begitu jugalah sebaliknya. Kepelbagaian masyarakat ini sebenarnya sudah ada sebelum merdeka, tetapi dengan pembentukan Malaysia, ia lebih dipelbagaikan,” katanya.

Beliau juga mengajak masyarakat menyorot kebanyakan peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan dan pembentukan Malaysia yang semuanya berlaku secara aman menerusi perbincangan. Cara penggabungan atas dasar perundingan menjadi dasar perbezaan dan kepelbagaian dalam negara ditangani secara aman.

Kepelbagaian sosial dalam negara ini yang berlaku secara aman membolehkan apa saja pertentangan dan perbalahan diselesaikan di meja rundingan. 

Bagi Shamsul, suara yang lantang mempertikaikan itu ini perlu diteruskan kerana itulah kekuatan Malaysia, tidak menyimpan dalam hati yang mungkin boleh buruk akibatnya jika meletus satu hari nanti.

“Bertikam lidah adalah perkara biasa. Yang penting tidak berlaku keganasan. Melepaskan perasaan dan menyuarakan pendapat mewakili etnik masing-masing juga adalah perkara biasa yang menunjukkan sebenarnya rakyat kita cukup matang, tidak mahukan keganasan apatah lagi kita pernah berdepan dengan peristiwa 13 Mei 1969.

“Uniknya Malaysia, rakyat boleh bersantai di kedai mamak luahkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin dan sebagainya, kemudian balik begitu saja.

“Tidak pula sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk. Rakyat kita juga sudah mula bijak dan pandai membuat pilihan,” katanya. 

Isnin, 26 September 2011

Seni ekspresif tangani gejala disiplin


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my


Remaja terutamanya para pelajar merupakan golongan yang paling sukar untuk diberi nasihat berbeza dengan kanak-kanak atau orang dewasa kerana kelompok ini masih berada dalam satu tahap perkembangan.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Rusnani Abd Kadir berkata, golongan remaja ini mampu dinasihati melalui kaedah tertentu yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
"Di peringkat usia dari 12 hingg 21 tahun, remaja kebiasaannya gemar berada dan melakukan sesuatu perkara secara berkumpulan.
"Mereka belajar secara berkumpulan di sekolah, bersukan dan bermain dalam kumpulan serta menghabiskan masa terluang melakukan aktiviti-aktiviti lain juga secara berkumpulan.
"Oleh yang demikian, golongan ini lebih mudah untuk didekati dan dinasihati dengan pendekatan seni ekspresif seperti terapi berkelompok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Pembangunan Profesional Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan di UPM Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Rusnani, terapi kelompok adalah salah satu pilihan ideal kerana ia merupakan pendekatan yang selamat dan biasa digunakan.
"Pendekatan secara berkumpulan ini menyediakan ruang yang selamat untuk remaja belajar dan berlatih tentang sosial atau kemahiran diri seperti bekerjasama, mengikut giliran dan pengurusan rasa marah," jelasnya.
Katanya lagi, dalam mewujudkan sesebuah kumpulan remaja, ahli terapi perlu menimbangkan keperluan, keupayaan dan diagnosis potensi seseorang ahli.
"Kumpulan yang diwujudkan berdasarkan sesuatu isu lebih cepat mendapat kefahaman sesama mereka berbanding kumpulan yang diwujudkan berdasarkan umur," ujarnya.
Rusnani menjelaskan, tidak seperti orang dewasa, remaja memerlukan lebih banyak cara inovatif dalam menyuarakan perasaan selain menggunakan pendekatan terapi pertuturan.
"Kumpulan terapi seni ekspresif ialah satu cara yang sempurna bagi membolehkan golongan remaja berkomunikasi tentang idea-idea dan perasaan sukar melalui pelbagai medium artistik.
"Terapi seni membantu golongan ini menyelesaikan masalah, meningkatkan harga diri, membina kemahiran sosial dan pengurusan tingkah laku," terang beliau.
Rusnani memberitahu, kumpulan-kumpulan terapi seni memerlukan lebih persediaan daripada kumpulan terapi perbualan.
Hal ini kerana, katanya, ketua kumpulan bertanggungjawab untuk merancang topik sesi, mendapatkan bahan-bahan perlu dan menstrukturkan sesi supaya ahli-ahli boleh menyiapkan kerja seni mereka serta mempunyai masa untuk perbincangan.
"Sesi terapi seni ekspresif biasanya diadakan selama satu setengah hingga dua jam dan 12 hingga 30 minit pertama merupakan gerakan memanaskan badan.
"Manakala 20 hingga 45 minit pula ditumpukan kepada kegiatan seni dan diakhiri dengan perbincangan lanjutan," jelasnya.
Pada penghujung setiap sesi, ujarnya, ahli-ahli boleh berkongsi ciptaan mereka, membincangkan perasaan tentang kegiatan itu dan memperbaiki kekurangan jika perlu sebelum mereka kembali ke dunia sebenar.

Ahad, 25 September 2011

FAHAMI POLA POLITIK ORANG MUDA





Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang. Ia merupakan 43 peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia. Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 belia yang berusia 21 tahun ke atas telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan. Ini menjadi golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.
Imam al-Ghazali pernah menyatakan: "Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang". Secara tidak langsung kelompok belia bukan sahaja boleh menjadi rakan pembangunan negara tetapi juga sebaliknya.
Orang muda tentunya membawa pola dan tingkahlaku politik yang berbeza. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu saluran orang muda dikatakan penyebab tsunami politik di lima negeri. Walaupun trend tersebut dikatakan berubah dalam siri-siri pilihan raya kecil kebelakangan ini namun dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, tingkahlaku politik orang muda berbeza mengikut geopolitik kawasan.
Terdapat dua aspek utama yang membentuk pola politik pengundi muda. Pertama tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial. Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun sebelum mereka mengundi. Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.S
Sehubungan itu pendidikan telah mengasah ketajaman daya fikir mereka. Kebanjiran maklumat menerusi Internet dan televisyen menyebabkan mereka mudah membuat perbandingan apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan golongan muda. Keterbukaan dan pendedahan kepada maklumat sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.

Pengaruh media sosial seperti blog, Facebook dan twitter juga telah mempengaruhi persepsi golongan muda. Media sosial biar pun tidak bersemuka namun atas sifatnya yang segera, kos murah, tanpa tapisan dan kepayahan pendakwaan undang-undang menyebabkan maklumat masuk ke gajet elektronik bertali arus dan akhirnya berupaya membina pengaruh. Siapa yang lebih kerap menghantar maklumat akan lebih berpeluang untuk mempengaruhi golongan ini.
Sesuatu perkara jika diasak berkali-kali akan diyakini benar. Realitinya apakah keperluan kehidupan anak muda? Jika diamati isu golongan ini berkait rapat dengan '4P' - Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan.
Bermula dengan pendidikan mereka akan mencari inisiatif melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum. Selepas memiliki pendidikan yang sempurna terfikir pula mengenai peluang pekerjaan untuk mereka. Dengan memiliki pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan memiliki status sosial.Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita daripada RM21,000 kepada RM45,000 tentunya perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan. Atas alasan itu, apa jua dasar, polisi dan pelan pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan mestilah dirasai oleh anak muda dari Perlis sampailah ke Sabah.
Ini kerana pandangan anak muda tentang politik adalah lebih terbuka. Ia diadun antara politik keperluan dan idealisme. Pada mereka isu '4P' yang berkaitan dengan kelangsungan hidup perlu diambil berat oleh pihak kerajaan. Mereka juga mahu urus tadbir negara dilakukan dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Sebab itu, dasar semata-mata tidak menjamin sokongan mereka kepada kerajaan. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, ia tidak cukup dengan sekadar inisiatif.
Apa yang lebih penting adalah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar. Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan mengurus isu berkaitan anak muda melalui pelbagai dasar, polisi dan inisiatif. Bagaimanapun, yang paling penting anak-anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.

Selasa, 15 Mac 2011

Kualiti yang perlu ada pada setiap guru

1.0 PENDAHULUAN

Keguruan ialah satu jawatan professional seperti mana kerjaya-kerjaya lain dalam masyarakat dunia. Sebagai guru yang profesional, guru perlu melaksanakan kerjayanya dengan sepenuh hati, bersedia menanggung semua konsekuen yang sesuai dengan nilai profesion ini. (Dr Ragbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007) Salah satu agenda penting dalam matlamat perancangan pembangunan pendidikan bagi RMK-9 ialah membangunkan istem pendidikan bertaraf dunia. Dalam agenda ini kerajaan akan memperkukuhkan kurikulum sekolah yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, mempunyai disipin yang tinggi, bersikap kerjasama, dan mampu memainkan peranan dalam masyarkat, serta melahirkan sejumlah sekolah yang baik dan cemerlang untuk dijadikan show case kepada negara-negara lain di dunia. (Ucapan menteri Pendidikan Malaysia dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran Malaysia). Dr Ismail Zain, dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Pendidikan Bertaraf Dunia Kearah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (selepas ini di tulis p&p)” menjelaskan pendidikan bertaraf dunia sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institut perkembangan ilmu.


2.0 CIRI-CIRI GURU BERKUALITI
Ciri dalam Kamus Dewan 2007 didefinisikan sebagai sifat (unsure,tanda) yang khusus pada sesuatu atau membezakannya daripada yang lain. John Macdovalo (1993) menyatakan kualiti sebagai memenuhi keperluan atau kehendak pelanggan. Jemaah Nazir Sekolah pula mendefinisikan kualiti sebagai ciri-ciri atau sifat kecemerlangan yang dikehendaki oleh sesuatu barang, alat perkakas, dan perkhidmatan (ISO8402). Maka, dapatlah dikatakan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, ciri-ciri guru yang berkualiti ialah guru yang memenuhi keperluan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada dari segi p&p, sahsiah, kemahiran, kepakaran dan pengurusan. Oleh itu antara ciri-ciri yang perlu ada pada guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, guru perlulah:
2.1 Bertindak sebagai penyebar ilmu
Menurut Ragbir Kaur (2007), fungsi guru ialah mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai sikap membantu dan menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Penekanan di sini ialah mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu. Guru harus mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu. Dalam era transformasi pendidikan guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.
2.2 Bertindak sebagai Pembentukan Nilai / Role Model
Nilai merupakan kriteria penting bagi mengukur mutu sesuatu benda. Menurut Ragbir Kour (2007) guru harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental. Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang baik dan murni supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Menurut Ee Ah Meng (2003) guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru berkenaan akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah.
2.3 Bertindak Sebagai Pengamal Budaya Ilmu
Menurut Mok Soon Sang 2007, Profesor Syed Muhammad al-Altas menyatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran, dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru (Ragbir Kour (2007)). Dalam p&p, guru akan memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. Sebagai seorang guru, budaya ilmu harus menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi para pelajar mencontohinya. Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.
2.4 Mengamalkan kemahiran profesional Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia (Dr. Ragbir Kaur, 2007). Antara kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif. Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa (Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia).
2.5 Bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan
Craft (2002) menyarankan bahawa untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.. Guru yang profesional juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Mak Soon Sang (2007), menegaskan guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan matematik dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai p&p. Selain itu guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT. Antaranya aplikasi word processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing (Dr Ranbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007).
2.6 Mengamalkan pengajaran efektif
Mak Soon Sang (2007) mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan, pelaksanaan, dan penilaian pengajaran.
2.5.1 Perancangan pengajaran
Clarke dan Cutler (1990) menyatakan keberkesanan pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu, mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan dalam perancangan. Cohn et al, (1987) selanjutnya menyokong pendapat ini dengan menyatakan guru harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.
2.5.2 Pelaksanaan pengajaran
Mok Soon Sang (2002), mengatakan peranan guru dalam pelaksanaan dan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.
2.5.3 Penilaian pengajaran
Yap, Wan, dan Ismail (1985) dalam Kertas Kerja oleh Profesor Dr. Saedah Siraj mentakrifkan penilaian dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p. Ingham (dalam Saedah Siraj, 2000) menyarankan supaya pendidik membuat penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman pembelajaran kepada masing-masing.
3.0 KESIMPULAN
Oleh itu dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang di bentangkan iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya, para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21. BIBILIOGRAFI
Kamus Dewan, Edisi Keempat. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 2007.
Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2007). Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Dr Wan Shamsuddin Bn Wan Mamat (Disember 1998). Pengisian Wawasan Pendidikan Negara Menuju Abad 21.
Dr Ismail Zain, Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran.
http://www.tutor.com.my/ online on 24/02/2008
Mak Soon Sang (2007). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Komponen 3: Profesional Keguruan) Sekolah Rendah. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya.
Mohamad Bin Muda (1991), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. Cabaran Dan Harapan dalam Pendidikan Menghadapi Alaf Baru.
Professor Dr Saedah Siraj dan Nurhayati Ishak (26-28 Disember 2006). Peningkatan Kualiti Pengajaran Di Institut Pengajian Tinggi Di Aceh, Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh, UKM Bangi. http://pkukmweb.ukm.my online on 24/02/2008

Melayu jangan pupuskan jawi

Oleh SAHLIZAH MOHAMED






LEBIH 700 tahun lalu sejak penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada kurun ke-13, tulisan jawi pernah mengalami pasang surutnya. meskipun ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British.
Pada zaman lampau, tulisan jawi memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan pentadbiran, perdagangan dan adat istiadat.
Namun, peredaran zaman menjadikan tulisan jawi yang merupakan salah satu tradisi dalam tamadun Melayu Islam semakin terpinggir sedangkan ia sepatutnya menjadi skrip budaya dan skrip diraja.
Menjadi tanggungjawab semua pihak yang cintakan jawi dan tidak mahu tulisan keramat orang Melayu itu pupus begitu sahaja dengan mengambil inisiatif bagi memastikan ia terus subur selari dengan arus pemodenan.
Merungkai lanjut tentang itu, Pensyarah Usuluddin, Hubungan Muslim/Bukan Muslim Pemikiran Islam dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amini Amir Abdullah tidak terkecuali daripada melontarkan sokongan tatkala topik memartabat tulisan jawi diajukan kepadanya.
“Bagi saya, kita perlukan satu peruntukan undang-undang. Contoh mudah ialah menerusi pengiklanan iaitu papan-papan iklan yang hendak dipasang mesti disertakan dengan tulisan jawi.
“Memanglah Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, jadi ia termasuklah dengan tulisan jawi,” katanya ketika ditemui di UPM, baru-baru ini.

Dr. Amini turut melahirkan rasa hairan kerana sebagai seorang pensyarah yang sering melakukan pelbagai kajian, dia melihat pada zaman lampau, bahasa Cina datang dengan tulisannya. Begitu juga bahasa tamil, tetapi mengapa aliran yang sebaliknya pula berlaku kepada tulisan Melayu?
“Masyarakat Cina amat berbangga dengan kaligrafi mereka, tetapi mengapa kita tidak? Kaligrafi Cina sudah berusia hampir 2000 tahun sedangkan jawi pula baru sekitar 700 ke 800 tahun lalu,” ungkapnya.
Meneruskan bicara, Dr. Amini turut menyelitkan pendekatan top down yang menyaksikan pergerakan daripada golongan atasan sehingga ke peringkat akar umbi.
Baginya, pendekatan sedemikian mampu merealisasikan undang-undang, peraturan atau perancangan yang membawa kepada kejayaan jika sesebuah perundangan diimplementasikan.
“Kita jadikan konsep 1Malaysia sebagai contoh. Ia bermula dari atas iaitu daripada Perdana Menteri kita dan lihat sahaja kepada keberkesanannya,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Katanya, masyarakat sering melaungkan mahu warisan melayu dipertahankan, ironinya mereka tidak menyedari bahawa tulisan jawi itu adalah sebahagian daripada warisan.
Dr. Amini turut mencadangkan agar tulisan jawi dimasukkan ke dalam peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bersifat wajib lulus.
Kuasai tulisan jawi



Tidak hanya tertumpu kepada satu arah sahaja, pendekatan bermotifkan down top juga perlu diberi penekanan bermula daripada sikap pelajar terutamanya yang sudah matang untuk memperkasa tulisan jawi.
“Jangan hanya terarah kepada satu bahagian iaitu guru menyampaikan dan murid pula hanya menerima. Tenaga pengajar perlu kreatif sambil menerapkan ciri-ciri pemahaman, ingatan dan praktikal.
“Perlu ada perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, penambahbaikan dan tindakan pembetulan baru boleh berjaya,” jelasnya sambil memberitahu sistem pembelajaran Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) merupakan satu langkah yang terbaik untuk terus menghidupkan tulisan jawi.
Sementara itu, Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff ketika mengulas mengenai penubuhan j-QAF memberitahu, semakin ramai yang sudah boleh menguasai tulisan jawi berbanding generasinya empat dekad lalu.
“Saya berada dalam darjah satu pada tahun 1971 dan pada tahun itu, sistem pendidikan negara dirombak dengan mengetepikan jawi.
“Selepas itu, jawi tidak lagi diajar sebagai satu subjek wajib, sebaliknya ia hanya sekadar subjek serpihan dalam subjek lain seperti bahasa Melayu,” katanya.
Mohd. Kamil menekankan salah satu daripada punca kelemahan penguasaan tulisan dan bacaan dalam jawi kerana sikap seseorang itu sendiri.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika dihubungi turut berkongsi rasa gusar ekoran tahap penggunaan tulisan jawi yang digunapakai pada ketika ini.
“Satu ketika dulu, tulisan jawi sangat berpengaruh, namun kini seperti dipandang sepi sedangkan ia merupakan ‘peralatan’ yang sangat penting dalam proses pembinaan tamadun Melayu Islam di rantau ini.
“Bagi saya, salah satu daripada cara untuk menyebarkan tulisan jawi ialah melalui bahan bacaan seperti akhbar dan buku bacaan yang wajib dipelajari oleh pelajar Melayu dalam mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sastera Melayu.



“Sekurang-kurangnya terdapat keseimbangan antara tulisan jawi dan tulisan rumi. Jika boleh, saya mahu pelajar universiti yang mengikuti pengajian bahasa Melayu atau Sastera diwajibkan membaca satu naskhah atau manuskrip lama mungkin pada abad ke-17 atau 18 yang ditulis dalam tulisan jawi,” jelasnya.
Memelihara tulisan jawi
Dr. Hassan turut meluahkan kebimbangan kerana dia enggan Malaysia menjadi seperti Turki yang sudah tidak lagi mementingkan tulisan jawi.
“Saya takut kita menjadi seperti Turki. Mereka sudah tidak tahu membaca tulisan jawi dan membaca al-Quran pula menerusi terjemahan dalam bahasa Inggeris.
“Bagi saya, apa yang penting buat masa ini ialah memiliki sebuah dasar yang tegas untuk terus memelihara tulisan jawi. Pada pandangan saya, dasar kita tidak tegas dan selalu berubah-ubah, bukan hanya dalam konteks ini, tetapi hampir dalam semua bidang. Mungkin ia disebabkan oleh desakan atau dipengaruhi orang lain,” katanya ketika hubungi.
Pada masa yang sama, Dr. Hassan turut meletakkan peranan tulisan jawi sebagai sebuah tapak atau asas kepada seseorang Islam untuk sembahyang, mengaji dan membaca doa-doa menerusi tulisan arab.
“Bagaimana hendak membaca al-Quran jika tidak tahu tulisan jawi? Tidak mustahil pada masa akan datang al-Quran hanya dibaca melalui terjemahan tulisan rumi yang belum tentu sebutan dan cara bacaannya serupa.
“Tidak mustahil dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, kita tidak akan mempunyai pengkaji atau sarjana yang mampu mengkaji naskhah Melayu lama yang ditulis dalam tulisan jawi untuk diterbitkan dalam sebagai karya klasik Melayu yang hebat,” ungkapnya lagi.

Kosmo Online 10 Mac 2011

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...