Jumaat, 21 Mei 2010

Letakkan 'Cikgu' Pada Martabatnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca Wadah Pajak Song.

Sambutan Hari Guru Tahun 2010 sangat bermakna terutama dalam kalangan mereka yang bergelar Cikgu. Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan tiga insentif sebagai ganjaran dan apresiasi kepada guru yang komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan kebangsaan. Insentif pertama ialah isu beban tugas sampingan yang sudah begitu lama dan boleh dianggap basi yang begitu lama diperjuangkan guru sejak pertengahan tahun 1970 an. Insentif kedua ialah kenaikan pangkat sekaligus menyediakan laluan profesion lebih baik menjadikan profesion perguruan sama kompetetif dengan penjawat-penjawat awam di dalam perkhidmatan lain. Insentif yang ketiga ialah tawaran baru iaitu ganjaran berbentuk kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran skor komposit yang ditetapkan.

Kepadatan pelajar dalam sesebuah kelas merupakan faktor yang menyumbang ke arah menambahkan beban tugas guru-guru kualiti murid-murid. Guru-guru terpaksa berdepan dengan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengahnya mencecah 45 hingga 50 murid-murid. Implikasinya, guru hilang fokus mengajar dan turut mengalami tekanan emosi dengan telatah murid-murid millenium yang sentiasa disokong ibu bapa yang serba tahu. Cadangan mengehadkan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas harus diperhalusi dan diberi perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Apabila kelas 25 murid diwujudkan, kerajaan mesti menyediakan fasiliti yang secukupnya terutama penambahan bilik darjah. Pada pandangan penulis, untuk mewujudkan kelas dengan 25 pelajar, memerlukan satu perancangan bersepadu dan memerlukan sejumlah peruntukan besar.

Berhubung kenaikan pangkat berdasarkan Time-Based , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mempercepatkan pemprosesan kenaikan pangkat Time-Based seperti daripada Gred DG 44 kepada DG 48. Harap perkara ini juga diberi perhatian oleh kerajaan. Guru-guru yang berada di dalam gred DG 41 terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk ke Gred DG 44. Bagi guru-guru yang layak terpaksa tunggu setahun dan ada yang bertahun-tahun menunggu surat kenaikan pangkat DG 44 dari JPA. Apapun, skim gaji Gred DG 41 dan DG 44 perku dikaji semula oleh kerajaan. Kerajaan terlalu sibuk mengkaji skim gaji Kakitangan Sokongan I dan II. Kononnya untuk merapatkan jurang pendapatan antara kakitangan sokongan dengan kumpulan Pengurusan dan Profesional. Bagaimanakah dengan nasib kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam Perkhidmatan Awam? Kumpulan ini termasuklah guru-guru yang berhempas pulas mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian mendapat gaji yang sama dengan penjawat awam di dalam Kumpulan Sokongan I dan II. Bagaimana kerajaan dapat memenuhi hasrat untuk meletakkan guru-guru pada martabatnya? Penulis pun hairan dengan perjuangan Kesatuan-Kesatuan Guru di Malaysia yang meminggirkan kumpulan guru-guru di dalam Gred DG 41 dan DG 44.

Bagi mengurangkan beban tugas guru, kerajaan boleh mewujudkan jawatan-jawatan baru di sekolah seperti Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DG 41, Penolong Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Peperiksaan Gred DG 41, Pembantu Penolong Pengawai Pengurusan Peperiksaan Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DG 41, Penolong Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DGA 29 seperti yang wujud di Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Guru hanya fokus kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Sekiranya seseorang ingin memegang jawatan Jurutera, dia mesti memilki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan. Jika seseorang ingin digelar doktor, dia mesti memegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan. Jika seseorang ingin digelar arkitek, dia mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Senibina. Begitu juga guru, seseorang itu mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Justeru, penulis berharap agar diwujud jawatan Pembantu Guru untuk membantu Cikgu sepertimana wujud jawatan Pembantu Jurutera untuk membantu Jurutera, Pembantu Perubatan untuk membantu Doktor, Pembantu Arkitek untuk membantu Arkitek.

Tanpa guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak murid hingga berjaya ke peringkat pengajian tinggi, mereka tidak mungkin menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa- Terima Kasih Cikgu. Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa lebih 100,000 calon memohon untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Guru seterusnya menyertai profesion paling popular ini. Begitulah hebatnya daya tarikan profesion guru di Malaysia.

Apapun insentif yang diumumkan sempena sambutan Hari Guru Tahun 2010 membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan profesionalisme perguruan dan sebagai balasan, guru perlu menunjukkan komitmen dalam memastikan negara mampu melahirkan generasi muda berilmu dan berakhlak.

Sekian,

MD RASUL BIN HARON
SMK SELAYANG BHARU
BATU CAVES
SELANGOR



Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...