Oleh M. RIZAL NOR
rencana@kosmo.com.my
rencana@kosmo.com.my
RAMAI yang beranggapan bahawa mengajar murid pendidikan khas merupakan tugas yang sangat mudah.
Tanggapan itu timbul memandangkan murid di dalam kelas itu hanya sekitar lima hingga 10 orang berbanding kelas perdana yang menempatkan lebih 20 orang murid.
Namun, tinjauan di beberapa buah sekolah di Jerantut, Pahang mendapati tanggapan tersebut ternyata meleset.
Sebenarnya, tugas untuk mengajar dan mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa berbanding murid-murid di kelas perdana.
Murid pendidik khas terbahagi kepada tiga kategori iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan masalah penglihatan.
Bagi guru-guru wanita, tugas mereka tidak ubah seperti seorang ibu kerana murid-murid pendidikan khas memerlukan layanan yang baik sebagaimana melayan anak-anak di rumah.
Bagi Fatimah Jantan, 38, yang kini memegang jawatan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Jerantut, guru-guru yang mengajar pendidikan khas harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, berdisiplin, bertolak ansur dan sentiasa berfikiran positif.
“Memang kami mengajar murid dalam jumlah yang sedikit iaitu di antara lima hingga 10 orang tetapi setiap murid mempunyai kerenah yang berbeza dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.
“Keupayaan pemikiran mereka sangat lemah, tidak memiliki kecemerlangan akal dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi selain gagal mematuhi arahan yang diberikan,” katanya yang telah menabur bakti selama sembilan tahun dalam dunia pendidikan khas.
Fatimah yang ditemui sempena sambutan Hari Guru ke-40 yang bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara baru-baru ini memberitahu, guru pendidikan khas harus mengenali murid dengan lebih rapat dan cuba menyelami perasaan mereka kerana golongan istimewa itu tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya ketika pelajar.
“Guru mestilah berfikiran kreatif terutamanya dalam menyediakan alat bantu mengajar agar murid melahirkan rasa minat untuk belajar.
“Kita tidak hanya bercakap di depan ketika mengajar sebaliknya turut menggunakan kaedah nyanyian dan permainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas,” ujarnya.
Menurutnya, biarpun sepenuh masa bersama murid-murid pendidikan khas, namun mereka turut melakukan tugasan lain yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Pengurusan diri
Selain tumpuan terhadap akademik, murid-murid pendidikan khas turut diterapkan dengan kemahiran menguruskan diri dan pengurusan tingkah laku.
“Inilah yang paling penting bagi murid-murid pendidikan khas kerana mereka tidak harus bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila masuk ke alam remaja dan seterusnya,” kata Wan Mahizan Wan Mohamad pula yang kini bertugas sebagai guru pendidikan khas di SK Tebing Tinggi, Jerantut.
Beliau berkata, guru-guru akan mengajar mereka cara menguruskan diri termasuk memakai dan membuka pakaian, mencuci pakaian, membersihkan diri, pengurusan bilik tidur dan mencuci pinggan serta cawan.
“Kita ingin lihat mereka berdikari dengan sendiri. Sampai bila mereka hendak mengharapkan bantuan orang lain,” soalnya.
Bagi pengurusan tingkah laku pula, Wan Mahizan memberitahu, guru-guru akan mendidik murid agar mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain.
Setiap kesalahan yang dilakukan pula akan ditegur dan diubah serta-merta dan guru-guru akan menilai sejauh mana teguran tersebut dapat mengubah corak kehidupan anak didik mereka.
Kemahiran hidup
Sementara itu, murid-murid pendidikan khas turut mengikuti mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dan Kemahiran Hidup yang memberi penekanan kepada penggunaan peralatan yang ada di sekitar mereka.
Mereka turut diajar cara berkebun dan penggunaan setiap alatan dengan betul agar tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka.
Seorang guru pendidikan khas di SK Kuala Tembeling, Syahrima Abdul Hamid berkata, beliau telah membuat projek Bumi Hijau dengan menggalakkan anak didiknya bercucuk tanam.
“Kami tanam pelbagai jenis pokok seperti bayam, terung, lada, bayam, kangkung, kailan, kacang tanah, betik, serai dan daun kesum.
“Sebelum proses penanaman bermula, murid-murid akan diberi penerangan mengenai cara untuk gemburkan tanah dan menanam bijih benih serta teknik menggunakan setiap peralatan dengan betul,” katanya yang telah berkhidmat selama lima tahun dalam dunia pendidikan khas.
Seterusnya, murid-murid itu diajar cara menyiram, membaja dan menjaga pokok daripada serangan serangga perosak. Akhir sekali, mereka dibimbing untuk memungut hasil tanaman itu.
Syahrima memberitahu, hasil tanaman yang telah dituai akan dijual kepada kakitangan sekolah, ibu bapa dan kedai runcit berhampiran.
Selain itu, terdapat sesetengah sekolah yang melaksanakan projek keusahawanan bagi mendidik murid-murid berdikari mencari kewangan sendiri.
Projek Keusahawanan
SK Pulau Tawar merupakan salah satu sekolah yang menjadi contoh di daerah Jerantut dengan menggerakkan projek keusahawanan pada tahun 2009.
Projek yang diketuai oleh Anisah Jaafar yang bertindak sebagai guru penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan beberapa kraftangan seperti tudung saji, gubahan bakul, kotak serba guna diperbuat daripada kotak terpakai, tali makarami serta hiasan kulit kayu manis.
“Kami ada lima orang guru dan 13 orang murid yang bergandingan untuk menghasilkan sesuatu produk dan kebiasaannya setiap produk disiapkan dalam tempoh seminggu.
“Ada juga sesetengah kraftangan yang kami serapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dalam subjek kemahiran manipulatif, kemahiran hidup dan pendidikan seni,” ujarnya.
Anisah berkata, selain kraftangan, murid-murid turut diajar membuat kuih dan memasak makanan yang ringkas.
“Masakan yang pernah diajar kepada murid termasuk membuat donat, piza, nasi goreng, sandwic, kuih puteri ayu dan mi kari. Roti sosej bersalut telur merupakan salah satu menu yang menjadi pilihan dan pernah ditempah oleh sekolah berhampiran,” kata beliau.
Beliau memberitahu, produk-produk yang dihasilkan akan dijual di sekolah dan kedai berhampiran selain menerima tempahan dari pihak luar.
Ternyata tugas guru pendidikan khas tidak semudah yang disangka biarpun mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik seperti guru-guru di kelas perdana.
Bagi mereka, kebolehan murid untuk menguruskan diri dan tidak bergantung harap kepada orang lain sudah memadai untuk mengukir senyuman di bibir masing-masing.