Memaparkan catatan dengan label Luahan Rasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan Rasa. Papar semua catatan

Sabtu, 8 September 2018

Coretan ADILA RAYA Radio Klasik

CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH:
MD RASUL BIN HARON/NAMA PENA: AMATARA
BAHAGIAN MATRIKULASI
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 6-7, BLOCK E15, KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA

PENGISYTIHARAN pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh
mula berpuasa di kaca televisyen itu benar-benar dinantikan oleh aku. Seperti ada satu
penantian yang berlegar-legar di sanubariku tatkala mendengar pengumuman tersebut. Begitu
juga dengan pengumuman hari raya yang pada diriku terlalu istimewa sehinggalah sekarang.

Sejak kecil lagi aku akan menantikan saat-saat pengumuman kedua-dua hari tersebut dengan
senyuman yang melebar. Syukur alhamdullilah kerana Allah memberikan aku peluang untuk
terus menikmati Ramadan bulan yang penuh berkah ini.

“Abah, esok kita dah mula puasa. Tahun ini kita tak payahlah balik ke kampung.” Ujar
anak bongsuku sambil melihat skrin pada telefon bimbitnya.
Secara tiba-tiba hatiku tersentap dan kesemua kegembiraanku tiba-tiba bertukar
menjadi debu yang berterbangan di udara. Anak bongsuku yang berusia 19 tahun itu langsung
tidak mengerti perasaanku ketika itu malah dia menghumbankan seluruh perasaanku ke lurah
yang paling dalam“Kenapa adik tak mahu balik kampung? Raya hanya setahun sekali sahaja.

Masa inilah
kita berpeluang untuk bertemu dengan saudara-mara kita di kampung.” Jawabku.
“Raya sekarang dah tak seperti dulu, abah. Raya sekarang makin bosan dan hambar.
Adik dah tak rasa apa-apa pun sekarang ini,” ujar anakku dengan mimik muka bersahaja.

Aku terdiam apabila mendengar kata-katanya itu. Barangkali ada kebenaran daripada
keluhan anakku itu. Sambutan hari raya pada zaman sekarang tidak begitu meriah jika
dibandingkan dengan raya zaman dahulu. Zaman sekarang anak-anak sudah diperangkap
dengan telefon pintar dan gajet berteknologi tinggi sehinggakan mereka langsung tidak
bertegur sapa dengan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Malah, mereka semakin
biadap langsung tidak mempelawa atau bersalam-salaman dengan tetamu. Mereka sibuk
melayan kerenah masih-masing dan berada dalam dunia mereka sendiri.
Aku menggeleng-gelengkan kepala berulang kali. Cuba mencari sebab dan alasan
kepada apa yang telah terjadi. Lantas terlintas di fikiranku ketika zaman kanak-kanakku.

Hari
raya amat ditunggu-tunggu oleh aku dan adik-beradikku. Meskipun aku hidup dalam serba
kemiskinan, namun keadaan itu langsung tidak mempengaruhi kegembiraanku pada waktu
itu. Baju melayu abang akan aku pakai. Manakala abang pula akan mendapat baju melayu
daripada abang yang lainnya. Baju yang kami pakai itu adalah turun-temurun sehinggalah
kami dewasa. Baju itu jugalah yang kami pakai sehingga ke malam. Dengan baju itu jugalah,
kami cuba mencari duit raya sehinggakan kembung semua poket pada baju itu.

Waktu itu,
makan tidak penting, yang aku tahu aku mahu cari seberapa banyak duit dan dengan duit itu
dapatlah aku membeli barangan yang aku suka.

Aku tersengih apabila mengenangkan kemeriahan hari raya pada masa lalu. Selepas
aku berumah tangga, aku melihat hari raya semakin tegang. Masakan tidak, apabila menjelang
hari raya isteriku akan marah-marah dan berwajah masam. Emosi isteriku sentiasa tidak baik.
Pantang ditegur, maka muncung mulutnya boleh diikat dengan reben. Waktu itu aku tahu
isteriku bersikap begitu kerana protes untuk balik berhari raya di kampungku. Bukan aku
tidak kasihan dirinya tetapi aku buat-buat tidak faham dan tersengih seperti kerang busuk.

Yang paling penting, aku dapat balik berhari raya bersama-sama adik-beradikku yang lain.
Ini belum lagi bab menyusun beg-beg pakaian di dalam bonet kereta. Beg baju anak,
bakul susu anak, beg pakaian kami suami isteri, toto dan selimut, tikar mengkuang, bantal,
bakul permainan anak, bakul lampin dan segala jenis bakul akan diangkut oleh isteriku.

Semua benda hendak disumbat di dalam kereta. Macamlah hendak duduk di kampung
bertahun-tahun padahal balik ke kampung hanya tiga hari sahaja.
Apabila menjelang malam raya, situasi semakin tegang. Sampai sahaja di muka pintu,
keadaan di dalam rumah makin tidak terkawal. Ada sahaja anak-anak saudaraku yang berlari
dan bermain kejar-kejar di dalam rumah. Habis tunggang-langgang sofa di ruang tamu. Adik
dan ipar-duaiku pula sibuk menggantung langsir dan mengemas rumah. Masing-masing sibuk
ke hulu ke hilir walaupun aku tahu mereka hanya buat-buat sibuk sahaja. Waktu itulah gas
memasak habis, santan habis, gula habis dan sebagainya. Waktu itulah aku dikerah ke kedai
sedangkan mereka tahu aku baru sampai di rumah. Aku hanya tersengih apabila melihat
isteriku menarik muka masam sambil mendukung anak.
Itulah kebahagiaan dan kegembiraanku pada raya zaman dahulu. Anak-anak saudara
serta ipar-duai tidur di ruang tamu bergelimpangan. Aku sendiri tidak tahu mana sudut yang
diambil oleh isteriku untuk tidur. Namun isteriku lebih tahu situasi ketika itu, dia sudah
menempah sudut di belakang sofa untuk kami beradu. Barangkali isteriku sudah masak
dengan strategi anak-anak saudaranya yang tidur di depan televisyen. Aku masih tersengih
apabila mengingati semua itu. Tidak seperti sekarang, anak-anakku langsung tidak mahu tidur
di rumah kampung. Mereka lebih suka menginap di hotel daripada berperang dengan sepupu-
sepupu mereka.

Keakraban dan kejeleketan sudah semakin terhakis dalam diri anak-anak
zaman sekarang.
Waktu subuh adalah waktu yang sangat kritikal. Mana tidaknya, ahli keluargaku yang
ramai akan berebut-rebut untuk memasuki bilik mandi. Waktu itu suasana semakin gamat.
Kalau tidak mahu terlambat terpaksalah aku membawa isteri serta anak-anak mandi di hentian
RNR yang kebetulan tidak jauh dari rumahku. Mujurlah ada kawasan RNR di lebuh raya.

Walaupun mandi seperti musafir namun aku tetap gembira.
Wajah isteriku kembali ceria apabila menjelang hari raya ketiga. Senyumannya manis
bergula. Isteriku akan tersenyum sehingga ke telinga apabila aku mengangkat semua beg ke
dalam bonet kereta. Waktu itu, isteriku akan bangun awal dan bersiap sedia untuk pulang ke
rumah ibu bapanya. Hmm...kalaulah aku dapat memperlahankan masa sudah tentu aku akan
diikat di pokok yang banyak kerengga oleh isteriku. Aku tiba-tiba ketawa apabila mengingati
semua kenangan tersebut.
“Abah, kenapa abah ketawa?” soal anakku dengan wajah yang sedikit curiga.
“Tak ada apa-apalah. Abah hanya teringat kisah dulu-dulu.” Aku membalasnya
dengan wajah selamba.
“Jadi tahun ini kita raya di mana?” soalku cuba memancing kedua-dua anakku.
“Abang, mak dan ayah abang sudah tak ada. Adik-beradik abang pun sudah ada
keluarga sendiri. Daripada tujuh beradik
kini yang tinggal hanya lima orang sahaja. Alang dan
Acu sudah lama pergi meninggalkan kita. Uda pula balik ke kampung mertuanya setiap kali
hari raya. Hanya tinggal abang Tam sahaja itu pun dia balik ke kampung mertuanya. Setiap
kali hari raya kita hanya boleh pergi ziarah Bang Long dan Bang Ngah yang tinggal di rumah
pusaka. Bang Long langsung tak pernah pelawa kita bermalam di rumahnya. Seperti biasa,
kita faham keadaan sekarang yang jauh bezanya setelah mak dan ayah abang meninggal. Kita
tetap akan balik ke kampung walaupun abang sudah semakin tersisih daripada adik-beradik
abang yang lain.”

Kata-kata isteriku itu benar-benar menyedarkan aku tentang kehidupan yang aku alami
sekarang ini. Setelah mak dan ayah tiada, adik-beradikku juga membawa haluan masing-
masing. Sudah kurang kasih sayang antara kami. Sudah semakin terpinggir tali kekeluargaan
yang telah terbina sejak bertahun-tahun lamanya. Cuma aku sahaja yang bersusah-payah
mencari adik-beradikku yang lainnya. Cuma aku sahaja yang bertungkus-lumus untuk
mengeratkan tali kekeluarga yang semakin terputus.
“Ya Allah, aku mohon agar kau satukan kembali kasih sayang kami adik-beradik.”
Ujarku dengan linangan air mata.
Lagu yang dipilih:
1. Selamat Hari Raya – Puan Sri Saloma
2. Dendang Perantau – Tan Sri P.Ramlee
3. Air mata syawal – Datuk Siti Nurhaliza

Coretan ADILA RAYA Radio Klasik

OLEH:
FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD/NAMA PENA: IDARASUL
JABATAN PENGAJIAN MELAYU
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
KOMPLEKS PENDIDIKAN NILAI
71760 BANDAR ENSTEK
NEGERI SEMBILAN

SEWAJARNYA saat-saat begini diisi dengan senda gurau dan gelak ketawa. Paling tidak
saling bertukar cerita bagi mengusir rindu yang lama bertamu. Tetapi segala kata-kata
bagaikan tersangkut di rengkung. Dan air mata pula terasa makin sukar untuk dikepung. Aku
memandang lama mak yang sedang tekun menjahit baju melayu abah. Di sisi kirinya sehelai
baju melayu berwarna biru sedondon dengan baju melayu abah. Barangkali baju melayu itu
kepunyaan adikku, Budin.

Lama aku memerhatikan ketekunan mak. Menjahit itu kesukaan mak. Mak akan
gembira apabila baju yang dijahitnya itu dipakai oleh anak-anaknya. Barangkali baju yang
dijahit mak sudah dicampur dengan adunan kasih sayang dari air tangan mak. Justeru, baju
melayu itu nampak cantik dan selesa pula dipakai.
“Kakak, suruh Teh buat tempeyek lebih sikit untuk adik kau Budin. Budin suka makan
tempeyek. Kalau boleh isikan dalam balang yang mak dah keringkan di atas meja tu,” suara
mak tiba-tiba sahaja merayap masuk ke gegendang telingaku.

Aku tersentak apabila
mendengar arahan daripada mak. Namun, air mataku tiba-tiba sahaja terkepung di dalam
kelopak mataku.
“Kakak, cantik tak baju melayu yang mak jahit ni? Baju melayu warna biru kesukaan
adik kau Budin.” Ujar mak dengan mata yang bersinar.
Aku hanya kaku dan membungkam sepi. Jantungku berdegup kencang. Kalau boleh
aku mahu menjerit memberitahu situasi sebenar kepada mak. Namun, aku tidak mampu. Aku
masih lagi diam dan bibirku terkunci rapat apabila mendengar nama adikku Budin.
“Kakak, sudah lama Budin tak balik jenguk kita. Sekarang sudah 25 Ramadan, esok
lusa sudah malam tujuh likur. Mana Ngah dan anak-anak Budin? Kata hendak raya dengan
mak tahun ini?” soal mak membuatkan hatiku terasa sebak.

“Mak...” panggilku sayu.Mak menoleh ke arahku lalu memandang tepat ke dalam anak mataku. Dari cermin
mata mak itu, mak hanya merenung wajahku tanpa senyuman. Barangkali ada kesedihan yang
sedang bertandang di hati mak.

“Mak, sudahlah...Kakak tahu...” aku menggantung kata-kata itu tanpa penghujungnya.
“Tahu apa?” balas mak cepat.

Aku terdiam seperti patung cendana. Seluruh air mataku kembali bergenang di
kelopak mata. Waktu itu hanya yang terpampang di depan mata wajah adikku Budin.
Budin adalah satu-satunya anak lelaki mak. Malah Budin diibaratkan sebagai jantung
dan hati mak. Aku dan enam orang lagi adik-beradikku kesemuanya perempuan. Justeru, aku
tahu sebagai anak lelaki tunggal dalam keluargaku, Budin adalah anak kesayangan mak. Aku
masih ingat, sewaktu sambutan hari raya dua tahun lepas Budin, Ngah dan anak-anaknya
tidak pulang menyambut hari raya bersama-sama mak dan abah. Mak menunggu Budin sejak
malam raya sehinggalah ke pagi. Mak tidak tidur. Mak hanya duduk termenung di muka
jendela menanti dan terus menanti. Waktu itu, aku yang sedang menganyam kelongsong
ketupat memerhatikan keadaan mak dengan penuh simpati.
“Mak, sekejap lagi sampailah Budin. Mak jangan susah hati ya,” ujarku sambil duduk
di sisi mak.

Senyuman semakin terukir apabila mendengar kata-kataku itu. Barangkali kerisauan
mak sedikit terubat dengan kata-kataku itu.
Beberapa jam berlalu, namun bayang Budin langsung tidak kelihatan. Mak kembali
termenung. Mak merenung aku dan pintu pagar hadapan silih berganti.
“Mana Budin? Sudah larut malam ni. Agaknya adik kau marahkan mak sebab mak
marahkan dia hari tu. Mak marah bukan mak benci. Mak marah sebab mak sayangkan dia. Ibu
mana yang tak sayangkan anak?” suara mak terketar-ketar bercampur sendu.
Kata-kata mak itu terlalu meruntun hatiku. Benar mak marahkan Budin. Budin selalu
berahsia dengan mak. Budin tidak mahu mendengar kata mak. Kali terakhir Budin balik
berjumpa dengan mak sebelum menjelangnya hari raya. Budin bawa hamper raya dan beri
mak duit raya. Budin beli bermacam-macam barangan untuk menyambut hari raya. Aku
melihat keadaan Budin waktu itu. Tubuhnya semakin berisi dan perut semakin membusung.

Aku mulai curiga dan keliru lantas bertanyakan hal yang sebenar kepada Budin.
“Budin, kakak nampak Budin macam tak sihat? Kalau tak sihat cakaplah tak payah
sorok-sorok. Kalau ada masalah, Budin beritahu dengan kakak.”

Budin hanya tersenyum. Senyuman yang terukir itu seperti memberitahu bahawa dia
tidak punya jawapan daripada persoalanku itu. Akhirnya, kami berpisah apabila usai berbuka
puasa. Itu sahaja.
“Kakak, hari ini kita nak masak apa? Kalau masak lontong tentu sedap bila berbuka
nanti. Budin suka makan lontong.” Kata mak sambil terus tekun menjahit baju.
“Ada Budin telefon kakak?” tiba-tiba mak bertanya soalan yang menyebabkan aku
tersentak dari lamunan yang panjang.
“Mak...” aku memanggil mak dengan sayu.
Mak menoleh ke arahku. Kemudian, mata mak singgah di mataku. Mak tidak lagi
seperti dahulu. Kedut di wajah mak menggambarkan betapa mak sudah semakin dimamah
usia.

Di bawah mata mak ada kolam-kolam kepayahan yang pernah diharungi oleh mak suatu
masa dahulu. Aku melihat mak semakin berkecamuk jiwanya. Dan serta-merta bertapak di
hatiku simpati dan kesedihan terhadap diri mak.
“Mak...sebenarnya...” aku masih lagi menggantung kata-kata yang tidak
berpenghujung.
“Sebenarnya apa? Mak bela kamu, Budin dan adik-adik yang lainnya sejak kecil. Mak
tak pernah membeza-bezakan anak-anak mak. Kalau Budin dapat baju baharu, kamu semua
juga dapat. Kalau Budin dapat kasut baharu, kamu semua juga dapat kasut baharu. Jadi apa
yang tidak kena sekarang ini? Kalau kakak marah sebab mak jahitkan baju Budin dan abah,
mak tak kisah. Kamu semua sudah ada baju baharu untuk raya tahun ini. Hanya Budin sahaja
yang belum ada!” jawab mak menyebabkan situasi semakin tegang.

Aku semakin gelisah. Jiwaku seolah-olah disuntik dengan perasaan sedih. Aku
mencongak-congak sendiri. Haruskan aku membiarkan mak larut dengan perasaan sendiri?
Haruskah aku membiarkan mak alpa dalam kenangannya? Ah, terlalu sukar untuk aku
menerangkan segala-galanya. Namun, aku harus memberitahu kebenarannya. Bukankah
kebenaran itu adalah musuh kebatilan?
“Mak...Budin sudah setahun meninggalkan kita. Budin sudah tak ada mak. Budin
meninggal disebabkan kanser hati, mak.” Tanpa mahu berselindung aku memberitahu
kebenarannya.

Mak tersentak. Air mata mak mula mengalir laju di pipi. Mak terduduk di hadapan
baju melayu berwarna biru kepunyaan Budin. Mak menangis semahu-mahunya. Aku hanya
membiarkan mak menangis di bahuku. Namun, air mataku juga mengalir deras tanpa dapat
disekat lagi. Aku tahu hati mak. Hati seorang ibu yang kehilangan anak. Aku tahu perasaan
mak. Perasaan kehilangan seorang anak lelaki.“Mak...janganlah menangis, mak. Arwah tunggu kita di sana. Suatu hari nanti kita juga
akan mengikut jejak arwah,” aku mengakhiri kata-kata kesedihanku di situ.

Al-Fatihah buat adikku, Norhisham bin Mohamad Saad.
Lagu yang dipilih :
1. Sepasang kurung biru- Khairil Johari Johar
2. Setitis cahaya di aidilfitri – Aisyah
3. Ku pohon restu ayah bonda – Mamat Exist

Sabtu, 2 April 2011

Cadangan naik gaji guru bertugas luar waktu disokong


SAYA ingin memberi maklum balas kepada komen Guru Jujur, Kuala Lumpur dalam ruangan ini yang disiarkan 26 Mac lalu.

‘Guru Jujur’ amat tidak berpuas hati atas cadangan CUEPACS menaikkan gaji guru yang sering bertugas di luar waktu sekolah. Alasan yang diberikan, guru lain yang terpaksa mengganti guru yang bertugas di luar.

Saya amat bersetuju dengan cadangan CUEPACS itu. Jika Guru Jujur ingin mendapat kenaikan gaji, sila berkecimpung dalam aktiviti di luar waktu sekolah. Pengalaman saya berbelas tahun aktif dengan aktiviti luar ini amat memerlukan pengorbanan diri dan ahli keluarga.

Mana tidaknya, setiap hujung minggu pasti akan keluar membawa murid untuk berkhemah bagi memberi peluang murid mendapat sijil demi masa depan mereka. Apabila bergerak di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru tidak diberi sebarang elaun, malah perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk minyak kereta, makan dan sebagainya.

Tidak cukup dengan itu, pada Ahad habis bertugas, Isnin pula perlu ke sekolah seperti biasa. Persoalannya, bila guru ini bercuti, bila guru ini berpeluang untuk bersama keluarga dan siapa yang hendak bagi bayaran gaji lebih masa apabila berkhemah guru perlu bertugas 24 jam sehari bersama murid.

Di mana Guru Jujur waktu hujung minggu?, mungkin sedang berada di rumah menonton televisyen atau ke pusat beli-belah bersama keluarga. Sedangkan guru yang bertugas ini berhempas pulas menjaga murid dan meninggalkan anak dan isteri di rumah tanpa apa-apa balasan.

‘Guru Jujur’ perlu berkecimpung dalam bidang ini supaya berasa apa yang kami rasa. Ramai yang tidak sanggup bertugas di luar waktu persekolahan. Kalau semua guru ini tidak lagi mahu berkerja di luar waktu pejabat, maka murid yang akan rugi.
Harap Kementerian Pelajaran pandanglah masalah kami. Sediakan seorang guru khas setiap sekolah untuk menggalas tugas seperti ini dan berikan hak cuti apabila bertugas pada Sabtu dan Ahad.

Apapun, terima kasih CUEPACS kerana mengambil berat masalah guru seperti kami ini yang jarang sekali dipandang oleh pihak pentadbiran sekolah untuk diberi anugerah cemerlang.

CIKGU NGO,
Perak
Berita Harian Online: 28 Mac 2011

Ahad, 18 April 2010

Al-Fatihah Buat Cikgu Che Ku Mohd Hakimi

Kepada semua guru di Malaysia,

Marilah kita sama-sama membaca Fatihah buat Allahyarham Cikgu Che Ku Mohd Hakimi. Allahyarham rentung dalam satu kemalangan di Jalan Baru Solok Duku-Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka pada 17 April 2010, Sabtu. Berdasarkan laporan di dalam akhbar Kosmo Ahad, 18 April 2010, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, Allahyarham rentung apabila kereta yang dipandunya seorang diri terbakar selepas bertembung dengan kereta lain. Walaupun penulis tidak mengenali guru tersebut, hati penulis turut merasakan kehilangan seorang yang bernama 'Cikgu'. Salah seorang ratusan ribu wira yang mendidik generasi Malaysia. Walaupun kita terpisah buat selamanya, anak didikmu cikgu, sentiasa sematkan segala pesanan cikgu, segala tunjuk ajar cikgu. Cikgu ibarat lilin yang menerangi anak didik dalam kegelapan. Menyinar setiap segenap ruang di dalam hidup anak didik cikgu. Walaupun segala pahit getir cikgu tempuhi. Cikgu tetap tabah meneruskan perjuangan. Terima kasih cikgu atas segala pengorbananmu.

The Teacher

* The teacher is the personification of reality for the child
* The teacher should be a specialist in the knowledge of pupils
* The teacher shoul be an excellent technician
* The teacher should be the kind of person who commands the respect of the pupil by virtue of what he himself is
* The teacher should be a personal friend of the individual student
* The teacher should be aperson who awakens in the pupil the desire to learn
* The teacher should be a master of the art of living
* The teacher should be be co-worker with God in perfecting man
* The teacher should be one who capably communicates his subject
* The teacher must be one who appreciates the subject he teaches
* The teacher who really teaches is learning at the same time that he is teaching
* The teacher is an apostle of progress
* The teacher should be also be a maker of democracies
* The ideal techer is that he ought to be a study in self eliminaton

Selasa, 21 Julai 2009

Sedarlah Wahai Remaja

Memang tidak dapat dinafikan pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Tanpa pendidikan mustahil sesebuah negara dapat menjulang hasrat menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020. Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi menyekolahkan anak-anak mereka. Mereka bekerja siang dan malam untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang berminda pendidikan. Pengorbanan ibu bapa seperti ini mesti dibalas dan dikenang oleh anak-anak. Terutamanya anak-anak remaja yang bersekolah di sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia. Tanggung jawab mereka sebagai pelajar harus dipikul. Bukan menunjukkan rasa bongkak menunjukkan gigi taring seperti singa kelaparan apabila gurunya menegur. Tidak ada guru yang sanggup membiarkan anak didik mereka terus berada di dalam kepompong keremajaan. Satu tingkat di mana, remaja masih tercari-cari identiti diri. Satu peringkat di mana pendapat rakan sebaya menjadi lebih dominan daripada pendapat ibu bapa dan guru-guru. Pelajar-pelajar mesti menghormati mereka yang lebih tua iaitu orang tua dan guru-guru mereka. Kalau penghormatan terhadap kelompok ini tidak dapat diterbitkan daripada jiwa mereka, pasti pelajar-pelajar ini tidak entang dengan orang lain. Justeru, mereka tidak segan silu bercakap kasar dengan orang yang lebih dewasa. Mereka dengan penuh kebanggaan melakukan aksi 'wheelie' di atas jalan raya yang mereka tidak pernah membayar cukai. Kebanyakan daripada mereka tidak memiliki lesen yang sah. Lesen 'L' dianggap lesen LUMBA. Apa kata, para jurutera permotoran negara mencipta motosikal yang punyai satu tayar. Bukan apa, kalau ada tayar hadapan pun, golongan ini tidak suka menggunakan.

Yang paling memeranjatkan, ada sesetengah ibu bapa sanggup menghadiahkan sebuah motosikal kepada anak kesayangannya walaupun keputusan peperiksaan tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Anak-anak remaja ini apabila disogokkan dengan motosikal mulalah langkahnya panjang. Mulalah ibu bapa bermata merah menunggu anak yang belum balik dari gelanggang lumba motosikal. Balik rumah bagai wira negara. Dengan bangganya anak-anak ini menceritakan yang dia telah berjaya melakukan aksi superman, batman, ultraman dan bionicman dengan menggunakan hadiah yang diberi dengan penuh mesra oleh ibu bapa.

Pada tahap ini, pelajar-pelajar sudah tidak berminat lagi untuk belajar, membaca buku dan membuat ulang kaji pelajaran. Baginya, semua soalan-soalan yang ditanya di dalam peperiksaan mudah dan tidak mencabar seperti di gelanggang lumba haram. Apabila keputusan peperiksaan keluar, baru mula menitiskan air mata. Menyesal. Dan baru sedar, tanpa kelulusan sukar baginya untuk menyambungkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi. Pada masa itu baru timbul perasaan cemburu apabila melihat rakan-rakan lain yang tidak pernah melakukan aksi ranggi di atas jalan raya banyak mendapat offer dari universiti. Rakan-rakan lain sudah keluar universiti, mereka masih melakukan aksi. Apabila umur semakin meninggi, baru tahu yang hidup ini penuh kesukaran. Baru tahu, walau pandai aksi 'wheelie', gaji tidak pernah tinggi-tinggi. Kemudian timbul hasad dengki.

Mula berbual di kedai kopi membincang isu luar negeri. Anak dan isteri di rumah hanya berkuah kari tanpa isi.

Ahad, 12 Julai 2009

Suatu Masa Dahulu

Suatu masa dahulu, sewaktu penulis masih bersekolah di Sekolah Datuk Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Penulis begitu menghormati guru-guru yang mengajar di sekolah. Ibu dan bapa penulis walaupun berasal dari kampung sentiasa mengingatkan penulis untuk meletakkan guru pada tempat yang tinggi. Mesti hormat. Mesti beri salam. Mesti patuh dengan arahan guru. Rakan-rakan yang lain pasti mempunyai pengalaman yang sama. Kalau kita mengadu dihukum oleh guru, ibu bapa akan 'menambah' lagi. Ibu bapa tidak pernah memenangkan kita. Apa yang ibu bapa tahu, tugas kita ke sekolah untuk belajar dan mendapatkan ilmu pengetahuan.
Kalau kita tidak pergi ke sekolah, kita sendiri berasa malu untuk keluar dari rumah selagi sesi persekolah belum tamat. Bukan apa, masyarakat sekeliling pasti bertanya kenapa kita tidak pergi ke sekolah. Apatah lagi kalau ponteng sekolah, pasti satu kampung menangkap dan memberi syarahan berjela-jela. Syarahan tersebut bersambung lagi di rumah. Justeru, kita sebagai pelajar takut untuk melakukan kesalahan-kesalahan yang biasa dilakukan pelajar-pelajar masa kini. Kita hormat guru dan orang yang lebih tua daripada kita. Bagaimana perkara ini boleh terlaksana. Sebabnya adalah didikan sempurna daripa ibu bapa kita dan masyarakat yang begitu prihatin dengan anak-anak bangsanya. Kita hanya perlu membuang rasa ego untuk belajar daripada ibu bapa terdahulu. Meniru gaya masyarakat suatu masa dahulu.
Sebagai ibu bapa kenapa kita tidak berupaya untuk mendidik anak-anak di rumah. Sekolah bukanlah Taman Asuhan Kanak-Kanak yang dihantar oleh ibu bapa moden untuk guru-guru menjaganya. Pelajar-pelajar hanya berada di sekolah pada pukul 7.20 pagi sehingga pukul 1.20 petang. 6 jam satu hari di sekolah. 18 jam lagi di mana pelajar-pelajar ini berada. Kenapa apabila anak-anak kita melakukan kesalahan, kita dengan sombongnya menyalahkan guru-guru. Salah kawan-kawan. Anak sendiri tidak pernah salah. Butakah mata kita apabila melihat personaliti anak-anak kita. Rambut merah. Kuku merah berkilat dan panjang. Tindik telinga berbaris-baris, di lidah dan dihidung serta pelbagai tempat. Bibir hitam hisap rokok. Anak-anak ini sepatutnya berada bersama kita dan kita sebagai ibu bapa wajib menegur dan bertindak sebagai seorang ayah dan ibu suatu masa dahulu. Bukan takut dengan anak. Bukan menjadi hamba anak. Bukan menjadi orang suruhan anak dan yang paling tidak bernilai, disepak terajang oleh anak. Pada masa itu barulah sibuk menyalahkan orang lain. Kalau guru-guru menegur rambut yang tidak mengikut peraturan, ibu bapa ini membela anak-anak. Kata mereka ini fesyen remaja, tidak boleh halang. Kalau mengadu anak-anaknya ponteng sekolah dan minta datang ke sekolah, ibu bapa menghantar datuk dan nenek anak-anak tersebut untuk berbincang dengan guru-guru. Alasannya mereka sibuk. Cari duit. Bekerjaya. Kadang-kadang kasihan juga golongan ini, hal anak-anak tidak diendahkan. Cari duit tidak pernah cukup. Bangga pula tu suruh anak cakap dengan guru-guru yang mereka ini dah kaya. Tidak payah belajar. Kalau begitu kenapa dihantar ke sekolah. Kenapa tidak hantar ke sekolah international yang yurannya mencecah ribuan ringgit. Sekolah kerajaan percuma.
Kemudian timbul cadangan-cadangan di dalam akhbar supaya diletakkan polis dan tentera untuk mengajar di sekolah menengah. Tidak ada masalah, dapatkan dahulu Ijazah Sarjana dan Sarjana Muda dari IPT. Kemudian dapatkan Diploma Perguruan barulah boleh mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Alasan mereka adalah untuk mendisiplinkan pelajar. Cadangan-cadangan yang melucukan ini mungkin datang daripada mereka yang tidak pernah mendapat pendidikan tinggi tetapi mempunyai idea-idea peringkat menteri.
Kesimpulannya, sama-sama kita memainkan peranan untuk mendidik generasi kini. Guru-guru teruskan usaha mendidik. Ibu bapa kembali seperti suatu masa dahulu. Masyarakat pula lakukan amali bukan sembang kosong di kedai kopi.
Sekian.

Sabtu, 16 Mei 2009

Perasaanku Sempena Hari Guru

Assalamualaikum W.B.T kepada semua followers dan pembaca ruangan Wadah Pajak Song. Setiap kali tiba hari guru, 16 Mei, aku adalah insan yang paling gembira dan ceria. Manakan tidak, hari guru adalah hari yang amat bermakna buat diri aku yang bergelar sebagai seorang pendidik sejak tahun 1993.
Iqra'-Bacalah. Perkataan pertama yang diajar pada nabi Muhammad s.a.w memberi banyak pengertian kepada umat manusia. Segala apa yang ada di dunia dan di akhirat akan hanya boleh dipelajari dan dihayati sekiranya kita memahami dan untuk memahami semua ini kita mestilah membaca. Bermula dengan membaca, kita akan diperkenalkan kepada ilmu dan ilmu inilah yang akan mengajar kita cara hidup, tujuan hidup dan sebagainya. Tanpa ilmu, manusia tidak akan ada pengetahuan dan tanpa pengetahuan, manusia akan hidup seperti zaman batu, bukan sahaja tiada kemajuan malah tiada tujuan hidup. Bila bercakap tentang ilmu, kita tidak boleh lari daripada pendidikan iaitu cara sistematik untuk mendapatkan ilmu. Ia bermula daripada Guru-Guru yang mengajar di pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan universiti. Lantas guru sepatutnya menjadi satu pekerjaan yang dihormati oleh masyarakat dan menduduki status sosial yang tinggi.
Skim ganjaran dan saraan profesion perguruan perlu dinaikkan oleh Kerajaan Malaysia. Skim ganjaran yang kompetitif perlu disusun sesuai dengan peredaran zaman demi memastikan bakat terbaik menjadi guru. Kami sebagai guru sentiasa bersedia dari aspek pengetahuan, skil dan emosi untuk memikul tanggungjawab sebagai pendidik. Ada segelintir ahli masyarakat luar yang tidak memahami tugas perguruan, hanya pandai mengkritik. Bagi mereka, apa yang dilakukan oleh pihak sekolah semuanya tidak betul dan menyalahi peraturan. Sedangkan anak-anaknya terus merudum prestasi akademik. Anak-anaknya begitu bijaksana menipu ibu bapa yang selalu menegakkan benang basah. Anak-anak ini tahu, bapanya yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi seperti guru-gurunya yang mendapat ilmu di menara gading akan menunjukkan kehebatan di pejabat pentadbiran sekolah dengan membawa imej kononnya dia adalah golongan intektual yang mempunyai transkrip ijazah berjela-jela panjangnya. Dari situ, golongan yang menyedihkan ini mula menutur kata bak ceti. Berjalan membusung dada membawa handphone saguhati bagai wakil rakyat melawat kawasan. Mula menunjuk-nunjuk bahawa hanya dia yang mengenali menteri. Menteri itu. Menteri ini. Benarkah menteri mengenali golongan yang selipar berwarna-warni dan cakap yang tinggi-tinggi ini dan datang dengan teksi. Tahukah golongan ini, guru-guru yang mereka hadapi ini sudah mengetahui lagak-lagak ngeri dan basi ini. Kita sebagai golongan yang berpendidikan lebih suka berdiam diri apabila menghadapi golongan yang sebegini. Ibu bapa begini hanya mahu anaknya lulus tidak tinggi supaya kemudian hari anaknya boleh menjadi pengganti diri sebagai bapa mithali yang cakap tidak berhenti-henti tetapi kerja kurang sekali, mendapatkan ilmu jauh sekali.
Marilah kita sama-sama memikirkan masa depan anak-anak kita. Jangan hanya pandai menyalahkan pihak sekolah apabila anak-anak kita cabut lari. Anak yang baik tingkah lakunya di sekolah adalah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang punya visi dan jati diri. Guru-guru hanya senyum simpul dan bersimpul-simpul apabila mendengar kelentongan sesetengah ibu bapa yang seperti tidak mengerti yang kita ini ada kredibeliti dan mentaliti tinggi. Hormatilah guru-guru...baik yang lama atau yang baru
Sekian.

Ahad, 10 Mei 2009

Air mata ibu yang terakhir

SELAMAT HARI IBU
APA KHABAR IBU-IBU DI LUAR SANA? SETIAP TAHUN PADA BULAN MEI SEPERTI BIASA SELURUH DUNIA MENYAMBUT HARI IBU. DI MANA PADA SAAT INI PARA IBU DAN WANITA YANG BAKAL MERAIH GELARAN IBU AKAN DIRAIKAN DENGAN PELBAGAI KEJUTAN YANG BEGITU ISTIMEWA. SAMA-SAMALAH MEMBACA LUAHAN RASA PENULIS YANG KEHILANGAN IBU SEMASA PENULIS BERKHIDMAT DI SEBUAH SEKOLAH DI FELDA BUKIT BATU, KULAI, JOHOR. PENULIS TIDAK SEMPAT BERADA PADA SAAT-SAAT IBU MENGHEMBUSKAN NAFAS YANG TERAKHIR.
Ibu...

Selagi cahaya matahari menerangi
bumi yang indah ini
Selagi itulah kurasakan
Kasihmu terus bercambah
Subur dan mekar
Mengasuhku tanpa rasa jemu
Mengharapkan aku
Menjadi orang berguna di hari muka
Lalu aku berusaha berjuang di medan pendidikan
dengan gigih penuh yakin setiap waktu

Ibu...
Masihku pegang pesanmu
Kejayaan tidak datang bergolek
Tanpa usaha dan doa
Kejayaan tidak hadir
Tanpa dicari

Ibu...
Kau mengandungkan aku sembilan bulan
Kau harungi pelbagai cabaran
Kau bertarung nyawa
Melahirkan aku
Kau besarkan aku dengan kasih sayang
Ibu...
Ketika aku sakit kaulah yang paling menderita
Kau tidak tidur menjagaku
Kau sentiasa berada di sisiku
Walau letih, kau tidak pernah merungut dan bersungut
Kau sabar melayan kerenahku
Kau setia menghantar dan mengambilku di sekolah
Walau saat itu kau tidak berduit
Namun kau usahakan demi memenuhi keperluanku
Kau sanggup berkorban untuk memberikan pelajaran untukku
Ibu...
Ketahuilah aku sangat menyayangimu ibu
Aku kagum dengan semangat ibu
Aku berjanji akan merealisasikan impian ibu
Akan aku berjuang hingga ke titisan darah terakhir
Ibu...
Saat aku enak tidur
Kau sudah bangun
Memasak dan menyiapkan bekal untukku
Saat akau bergembira dengan temanku kau bermandi peluh mencari rezeki di bendang
Kau tidak kenal erti putus asa
Kau lakukan segalanya untuk membahagiakan aku
Saat aku melelapkan mata
Merehatkan badan dan bersenang-lenang
Kau bersengkang mata membuat lempeng kesukaanku
Ibu...
Kaulah insan mulia
Kau sanggup menderita dan sakit
Demi melihatku selesa
Pagi itu...
Aku terasa begitu hening
Jiwaku hiba
Hatiku berdebar-debar seakan-akan aku bakal menerima khabar duka
Benarlah panggilan telefon daripada sepupuku
Merungkai segala keanehan perasaanku
Ibu tercinta yang amat kagumi tiba-tiba...
Hancur luluh hati ini saat
Menatap wajah lesu ibu melalui gambar yang dibawa sebagai penemanku di Selatan
Tiada lagi gurauan dan gelak tawa
Tiada ciuman rindu untukku
Tiada pelukan erat untukku
Menatap wajah ibu di rumah kayu tiang seribu
Tubuhnya longlai, ibu terbaring kaku tanpa sebarang riak menyambutku pulang
Perasaan rindu kepada kepada ibu begitu membuak
Ya Allah... Saat itu nafas ibu semakin kuat
Ibu terus membisu sedangkan aku pada waktu itu
Sedang memegang kapur mengajar pelajar-pelajarku
Menurut saudaraku;
Empat kali ibu menitiskan air mata
Pertama ketika anak-anak meminta ampun
Kedua ketika bapa mengampunkan dosa ibu
Ketiga ketika aku tidak ada di sisi
Keempat dan yang terakhir apabila bapa mengucapkan kalimah Allah...
Bibir ibu bergerak menyebut nama Allah
Selepas itu, nafasnya semakin perlahan
Dan terus berhenti
Hanya linangan air mata ibu membasahi pipi
Ibu yang aku cintai sudah pergi
Menghadap Penciptanya
Aku redha dengan pemergian ibu
Doa aku agar ibu ditempatkan di kalangan orang beriman dan menjadi warga Firdausi
Walau masa silih berganti
Namun kehangatan kasih sayang ibu
Masih terasa di sanubariku
Ibu amanlah engkau di sana
Al-Fatihah buat ibu
Buat keluarga dan umat Islam
Yang telah tiada...

Isnin, 20 April 2009

Buatmu Sahabat Semerbak






Yang aku rasakan
Waktu aku terlantar di tempat baru
Bagaimana akan ditempuhi rimba kegelapan
Melalui lorong-lorong kecil kamu
Dari gelisah ke payah
Dari sedih ke perih

Gigih menggenggam tanggungjawab
yang diamanahkan
Sedang aku pula termanggu-manggu
Menerima kasih jernih saksi sumpah setia
Memetik keihklasan kasihmu

Aku hamparkan selautan harapan
Aku bina ranting perasaan
Dengan membina lanskap jiwa aku
Dengan kemesraan yang diperlebar

Sahabat Semerbak
Aku titipkan di kamar sutera rohani aku
Bagai paut di dahan kukuh
Tanpa mengenal erti nanti
Hanya penuh kemahuan mesti

Sahabat Semerbak
Darimu aku mengenal setitik budi
Menghirup secangkir kasih
Lalu tumpah kasih aku mesra bertaut erat
Namun masa penentu segalanya
Begitulah berbunga denyut nadi aku
Terkumpul di darah

Sahabat Semerbak
Menjadikan aku warga bertanggungjawab
Penghuni yang rajin memberi dan menerima
Di dada aku berkembang ilmu
Tetap berwibawa
Lalu memerdekakan jiwa aku
Sehinggakan beban yang berat dapat dijulang
Terima kasih kerana kau sahabat semerbak berjaya melentur
mimpi aku
Dari abstrasi ke realiti

Sahabat Semerbak
Mendorong aku mendaki bukit-bukit harapan
Bersama pancuran keazaman yang
menetas
Di dusun hati aku

Terima kasih
Kerana telah menjanjikan sesuatu
yang tidak pernah kukecapi dahulu
Mengajar erti ketabahan
Mendukung keagungan keberanian

Wira Yang Tidak Didendangkan

Pembaca yang dikasihi

Banyak pengalaman pahit dan manis yang terpaksa seseorang guru disiplin tempuhi apabila diamanahkan memikul tanggunggjawab yang berat sebagai guru disiplin. Sebagai guru disiplin, kami menerima tanggungjawab tersebut tanpa banyak bertanya itu dan ini. Di dalam hati hanya satu, mendisiplinkan pelajar yang tidak berdisiplin. Tanpa elaun tambahan, kami hanya mengharapkan Allah S.W.T memberi kekuatan untuk mendepani sebarang masalah disiplin pelajar-pelajar.

Berlenggang-lenggang kangkung ke sekolah. Berusaha jaya memanjat tembok sekolah setinggi 5 kaki. Bercakap kasar dengan suara yang masih halus. Rambut tinggi menggunung bukan panjang berjuntaian. Rambut hitam anugerah Tuhan disapu warna-warna kemegahan. Berusaha melakukan 'fogging' di tempat-tempat yang sukar dicapai akal iaitu di celahan antara dua tong sampah besar. Sedangkan pelajar-pelajar ini belum mencapai taraf ketagih dalam penyedutan asap nikotina. Ada pula yang hobinya bergaduh untuk menunjukkan 'kesaktiannya' walaupun keadaan fizikalnya tidak mencapai taraf pergaduhan. Apa yang dilakukan semata-mata untuk menunjukkan bahawa mereka sudah mencapai tahap terbilang dalam melakukan sesuatu yang kontra dengan norma masyarakat. Apabila kita sebagai guru disiplin cuba membetulkan jalan-jalan gelap yang dilalui oleh segelintir pelajar, guru disiplin seperti kami cuba menunjukkan jalan-jalan terang, ada sesetengah ibu bapa yang begitu menyayangi anak-anak mereka menyalahkan tindakan yang telah diambil.

Pada tahun 1994 semasa saya sebagai seorang guru disiplin di sebuah sekolah di selatan tanah air. Komitmen saya terhadap disiplin pelajar menyebabkan saya pernah diserang bapa yang tiada 'nur' pada wajahnya yang memegang sebatang besi yang karat di sisi kerana menegur anak kesayangannya yang merosakkan pintu tandas pelajar lelaki. Bapa yang tidak ada lesung pipit di pipi ini marah macam dikejar sapi. Bapa jenis apakah ini yang membuta tuli mencaci? Alhamdulillah hati saya pada waktu itu bagai dijampi. Anaknya tadi menceritakan yang realiti. Lelaki yang perkasa tadi pulang dengan wajah berseri-seri. Terpahat juga dalam ingatan pada tahun 1996, seorang perempuan yang senja umurnya datang menyerang menggunakan senjata ampuh mulut tiada perlindungan insurans menyembur api nista. Menjatuhkan aib seorang bernama guru hanya kerana membetulkan tingkah laku anak manjanya yang suka menterjemahkan hasil seninya pada kereta guru-gurunya. Apakah jenis spesies perempuan bertudung kain kafan ini?

Sekian untuk renungan.

Ahad, 19 April 2009

Ibu Bapa Perlu Membina Bukan Pemusnah

Assalamualaikum buat semua pembaca.

Mutakhir ini, banyak orang memperkatakan tentang kemerosotan disiplin dalam kalangan remaja terutama pelajar sekolah menengah di negara kita. Memang tidak dapat dinafikan oleh semua bahawa ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka. Pada masa kini, ibu bapa lebih bersikap 'pembela' terhadap anak-anak mereka. Mereka tidak mahu mengakui bahawa anak-anak mereka melakukan kesalahan-kesalahan yang melanggar peraturan sekolah.

Pembaca yang disayangi,

Kenapa ibu bapa hari ini tidak mampu menghidu kelakuan anak-anak mereka yang sudah pandai merokok, ponteng sekolah, lewat datang ke sekolah, bercakap dengan nada tinggi dan kasar dengan guru-guru, merempit, hubungan terlarang, minum arak, berjudi, bergaduh, mencuri dan berbagai-bagai perkara negatif lagi. Apabila Guru Disiplin menghubungi ibu bapa pelajar-pelajar yang bermasalah ini, soalan yang pertama yang terpacul daripada mulut ibu bapa yang malang ini. Betul ke anak saya yang buat? Cikgu salah kot? Kalau kat rumah, anak saya baik. Solat. Pendiam. Pemalu. Inilah petunjuk awal yang ibu bapa tersebut sudah mula 'merosakkan' anak-anak sendiri. Kadang-kadang ibu bapa malang ini tahu dan amat mengerti kelakuan anak-anak remajanya tetapi tidak mahu mengakui akan hakikat tersebut. Seperti membiarkan sebatang besi terendam di dalam air. Lama-lama besi itu akan berkarat dan tidak berguna lagi
.

Anak-anak remaja ini hanya berada beberapa jam di sekolah. bermula pukul 7.20 pagi hingga 1.45 petang. Mustahil bagi seseorang guru disiplin membentuk sahsiah anak-anak yang bermasalah ini ke tahap yang sempurna, sedangkan ibu bapa mereka berjalan membusung dada dengan penuh kesombongan untuk menunjuk-nunjuk kepada guru-guru yang mengajar anak-anaknya bahawa mereka berjaya di dalam hidup. Mereka beranggapan guru-guru ini tidak sepandai mereka yang memiliki SPM. Walaupun guru-guru itu memiliki tahap pendidikan ijazah sarjana muda dan ramai yang mempunyai sarjana. Yang menariknya, ibu bapa yang berpendidikan tinggi begitu mudah diajak berbincang demi membina sahsiah anak-anak mereka berbanding ibu bapa yang berpendidikan rendah yang lagak percakapannya seperti pernah mendapat skrol di pusat pengajian tinggi. Golongan ini begitu angkuh membela kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Apabila anak-anak ini keluar dari sekolah dan berbekalkan SPM yang cukup-cukup makan, mereka sukar untuk mendapat kerja-kerja yang dapat memberi kehidupan yang lebih 'menyinar' kepada diri dan 'pembelanya'. Pada masa itu, baru terfikir di dalam benak sipembela tadi, kenapa anak aku tidak berjaya seperti anak-anak orang lain. Pada masa itu barulah bermonolog, "kenapa anak aku tidak mempedulikan aku?". Macam mana anak-anak ini hendak membantu ibu bapa mereka. Hendak bayar ansuran motosikal setiap bulan pun terkadang payah. Hidup sentiasa resah. Kalau dulu di sekolah, guru disiplin pernah mengingatkan supaya jangan menghisap rokok takut-takut mencari dadah pula apabila keluar sekolah. Pandangan guru disiplin itu dipandang rendah kerana ibu bapa pembela ini akan menjawab, "biasalah tu Cikgu. Hisap rokok tidak apa. Lagipun duit yang anak saya beli rokok tu bukan duit Cikgu." Dengan mata yang hampir tersembul keluar, para pembela-pembela ini dengan megah bertanya,"Cikgu boleh tahu ke, anak saya nanti hisap dadah." Apabila perkara ini berlaku, barulah menyesal seperti kata pepatah, "sudah terhantuk baru tergadah."

Pembaca budiman,

Apa yang berlaku kini, apabila umur anak-anak ini meningkat, golongan ini tidak berupaya untuk membina kehidupan sendiri. Terpaksa bergantung 'talian hayat' dengan ibu bapa yang umurnya tidak pernah statik. Kalau dulu bekerja. Kini sudah bersara. Kalau dulu mendada, kini membongkok. Kalau dulu pandai bercakap, kini kelu lidah. Kalau umur senja sepatutnya sudah tidak perlu terkinja-kinja naik turun ke mahkamah untuk menjamin anak merempit. Bela lagi. Terlompat-lompat ke Balai Polis, menjemput anak-anak yang ditangkap air kencingnya positif. Tandatangan jaminan anak berkelakuan baik. Bela lagi. Anak bergaduh dan bertumbuk sejak sekolah hingga keluar sekolah, ibu bapa ini tidak berupaya. Hanya mampu salahkan sekolah dan guru kerana jadikan anaknya begitu. Apabila dah tidak bekerja, mula menjaja kesalahan orang lain. Menuduh dasar pelajaran yang tidak betul. Hidup jenis apakah kita ini, menyalahkan orang lain dan anggap diri kita sahaja yang betul di dalam dunia ini.

Marilah kita kembali kepada kaedah mendidik anak-anak cara 'orang lama'. Tegas dan tidak mengenal erti psikologi barat yang diagungkan pada masa kini. Itulah ibu bapa pembina, bukan pemusnah anak-anak.

Sekian.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...