Sabtu, 8 September 2018

Coretan ADILA RAYA Radio Klasik

CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH:
MD RASUL BIN HARON/NAMA PENA: AMATARA
BAHAGIAN MATRIKULASI
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 6-7, BLOCK E15, KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA

PENGISYTIHARAN pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh
mula berpuasa di kaca televisyen itu benar-benar dinantikan oleh aku. Seperti ada satu
penantian yang berlegar-legar di sanubariku tatkala mendengar pengumuman tersebut. Begitu
juga dengan pengumuman hari raya yang pada diriku terlalu istimewa sehinggalah sekarang.

Sejak kecil lagi aku akan menantikan saat-saat pengumuman kedua-dua hari tersebut dengan
senyuman yang melebar. Syukur alhamdullilah kerana Allah memberikan aku peluang untuk
terus menikmati Ramadan bulan yang penuh berkah ini.

“Abah, esok kita dah mula puasa. Tahun ini kita tak payahlah balik ke kampung.” Ujar
anak bongsuku sambil melihat skrin pada telefon bimbitnya.
Secara tiba-tiba hatiku tersentap dan kesemua kegembiraanku tiba-tiba bertukar
menjadi debu yang berterbangan di udara. Anak bongsuku yang berusia 19 tahun itu langsung
tidak mengerti perasaanku ketika itu malah dia menghumbankan seluruh perasaanku ke lurah
yang paling dalam“Kenapa adik tak mahu balik kampung? Raya hanya setahun sekali sahaja.

Masa inilah
kita berpeluang untuk bertemu dengan saudara-mara kita di kampung.” Jawabku.
“Raya sekarang dah tak seperti dulu, abah. Raya sekarang makin bosan dan hambar.
Adik dah tak rasa apa-apa pun sekarang ini,” ujar anakku dengan mimik muka bersahaja.

Aku terdiam apabila mendengar kata-katanya itu. Barangkali ada kebenaran daripada
keluhan anakku itu. Sambutan hari raya pada zaman sekarang tidak begitu meriah jika
dibandingkan dengan raya zaman dahulu. Zaman sekarang anak-anak sudah diperangkap
dengan telefon pintar dan gajet berteknologi tinggi sehinggakan mereka langsung tidak
bertegur sapa dengan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Malah, mereka semakin
biadap langsung tidak mempelawa atau bersalam-salaman dengan tetamu. Mereka sibuk
melayan kerenah masih-masing dan berada dalam dunia mereka sendiri.
Aku menggeleng-gelengkan kepala berulang kali. Cuba mencari sebab dan alasan
kepada apa yang telah terjadi. Lantas terlintas di fikiranku ketika zaman kanak-kanakku.

Hari
raya amat ditunggu-tunggu oleh aku dan adik-beradikku. Meskipun aku hidup dalam serba
kemiskinan, namun keadaan itu langsung tidak mempengaruhi kegembiraanku pada waktu
itu. Baju melayu abang akan aku pakai. Manakala abang pula akan mendapat baju melayu
daripada abang yang lainnya. Baju yang kami pakai itu adalah turun-temurun sehinggalah
kami dewasa. Baju itu jugalah yang kami pakai sehingga ke malam. Dengan baju itu jugalah,
kami cuba mencari duit raya sehinggakan kembung semua poket pada baju itu.

Waktu itu,
makan tidak penting, yang aku tahu aku mahu cari seberapa banyak duit dan dengan duit itu
dapatlah aku membeli barangan yang aku suka.

Aku tersengih apabila mengenangkan kemeriahan hari raya pada masa lalu. Selepas
aku berumah tangga, aku melihat hari raya semakin tegang. Masakan tidak, apabila menjelang
hari raya isteriku akan marah-marah dan berwajah masam. Emosi isteriku sentiasa tidak baik.
Pantang ditegur, maka muncung mulutnya boleh diikat dengan reben. Waktu itu aku tahu
isteriku bersikap begitu kerana protes untuk balik berhari raya di kampungku. Bukan aku
tidak kasihan dirinya tetapi aku buat-buat tidak faham dan tersengih seperti kerang busuk.

Yang paling penting, aku dapat balik berhari raya bersama-sama adik-beradikku yang lain.
Ini belum lagi bab menyusun beg-beg pakaian di dalam bonet kereta. Beg baju anak,
bakul susu anak, beg pakaian kami suami isteri, toto dan selimut, tikar mengkuang, bantal,
bakul permainan anak, bakul lampin dan segala jenis bakul akan diangkut oleh isteriku.

Semua benda hendak disumbat di dalam kereta. Macamlah hendak duduk di kampung
bertahun-tahun padahal balik ke kampung hanya tiga hari sahaja.
Apabila menjelang malam raya, situasi semakin tegang. Sampai sahaja di muka pintu,
keadaan di dalam rumah makin tidak terkawal. Ada sahaja anak-anak saudaraku yang berlari
dan bermain kejar-kejar di dalam rumah. Habis tunggang-langgang sofa di ruang tamu. Adik
dan ipar-duaiku pula sibuk menggantung langsir dan mengemas rumah. Masing-masing sibuk
ke hulu ke hilir walaupun aku tahu mereka hanya buat-buat sibuk sahaja. Waktu itulah gas
memasak habis, santan habis, gula habis dan sebagainya. Waktu itulah aku dikerah ke kedai
sedangkan mereka tahu aku baru sampai di rumah. Aku hanya tersengih apabila melihat
isteriku menarik muka masam sambil mendukung anak.
Itulah kebahagiaan dan kegembiraanku pada raya zaman dahulu. Anak-anak saudara
serta ipar-duai tidur di ruang tamu bergelimpangan. Aku sendiri tidak tahu mana sudut yang
diambil oleh isteriku untuk tidur. Namun isteriku lebih tahu situasi ketika itu, dia sudah
menempah sudut di belakang sofa untuk kami beradu. Barangkali isteriku sudah masak
dengan strategi anak-anak saudaranya yang tidur di depan televisyen. Aku masih tersengih
apabila mengingati semua itu. Tidak seperti sekarang, anak-anakku langsung tidak mahu tidur
di rumah kampung. Mereka lebih suka menginap di hotel daripada berperang dengan sepupu-
sepupu mereka.

Keakraban dan kejeleketan sudah semakin terhakis dalam diri anak-anak
zaman sekarang.
Waktu subuh adalah waktu yang sangat kritikal. Mana tidaknya, ahli keluargaku yang
ramai akan berebut-rebut untuk memasuki bilik mandi. Waktu itu suasana semakin gamat.
Kalau tidak mahu terlambat terpaksalah aku membawa isteri serta anak-anak mandi di hentian
RNR yang kebetulan tidak jauh dari rumahku. Mujurlah ada kawasan RNR di lebuh raya.

Walaupun mandi seperti musafir namun aku tetap gembira.
Wajah isteriku kembali ceria apabila menjelang hari raya ketiga. Senyumannya manis
bergula. Isteriku akan tersenyum sehingga ke telinga apabila aku mengangkat semua beg ke
dalam bonet kereta. Waktu itu, isteriku akan bangun awal dan bersiap sedia untuk pulang ke
rumah ibu bapanya. Hmm...kalaulah aku dapat memperlahankan masa sudah tentu aku akan
diikat di pokok yang banyak kerengga oleh isteriku. Aku tiba-tiba ketawa apabila mengingati
semua kenangan tersebut.
“Abah, kenapa abah ketawa?” soal anakku dengan wajah yang sedikit curiga.
“Tak ada apa-apalah. Abah hanya teringat kisah dulu-dulu.” Aku membalasnya
dengan wajah selamba.
“Jadi tahun ini kita raya di mana?” soalku cuba memancing kedua-dua anakku.
“Abang, mak dan ayah abang sudah tak ada. Adik-beradik abang pun sudah ada
keluarga sendiri. Daripada tujuh beradik
kini yang tinggal hanya lima orang sahaja. Alang dan
Acu sudah lama pergi meninggalkan kita. Uda pula balik ke kampung mertuanya setiap kali
hari raya. Hanya tinggal abang Tam sahaja itu pun dia balik ke kampung mertuanya. Setiap
kali hari raya kita hanya boleh pergi ziarah Bang Long dan Bang Ngah yang tinggal di rumah
pusaka. Bang Long langsung tak pernah pelawa kita bermalam di rumahnya. Seperti biasa,
kita faham keadaan sekarang yang jauh bezanya setelah mak dan ayah abang meninggal. Kita
tetap akan balik ke kampung walaupun abang sudah semakin tersisih daripada adik-beradik
abang yang lain.”

Kata-kata isteriku itu benar-benar menyedarkan aku tentang kehidupan yang aku alami
sekarang ini. Setelah mak dan ayah tiada, adik-beradikku juga membawa haluan masing-
masing. Sudah kurang kasih sayang antara kami. Sudah semakin terpinggir tali kekeluargaan
yang telah terbina sejak bertahun-tahun lamanya. Cuma aku sahaja yang bersusah-payah
mencari adik-beradikku yang lainnya. Cuma aku sahaja yang bertungkus-lumus untuk
mengeratkan tali kekeluarga yang semakin terputus.
“Ya Allah, aku mohon agar kau satukan kembali kasih sayang kami adik-beradik.”
Ujarku dengan linangan air mata.
Lagu yang dipilih:
1. Selamat Hari Raya – Puan Sri Saloma
2. Dendang Perantau – Tan Sri P.Ramlee
3. Air mata syawal – Datuk Siti Nurhaliza

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...