OLEH:
FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD/NAMA PENA: IDARASUL
JABATAN PENGAJIAN MELAYU
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
KOMPLEKS PENDIDIKAN NILAI
71760 BANDAR ENSTEK
NEGERI SEMBILAN
SEWAJARNYA saat-saat begini diisi dengan senda gurau dan gelak ketawa. Paling tidak
saling bertukar cerita bagi mengusir rindu yang lama bertamu. Tetapi segala kata-kata
bagaikan tersangkut di rengkung. Dan air mata pula terasa makin sukar untuk dikepung. Aku
memandang lama mak yang sedang tekun menjahit baju melayu abah. Di sisi kirinya sehelai
baju melayu berwarna biru sedondon dengan baju melayu abah. Barangkali baju melayu itu
kepunyaan adikku, Budin.
Lama aku memerhatikan ketekunan mak. Menjahit itu kesukaan mak. Mak akan
gembira apabila baju yang dijahitnya itu dipakai oleh anak-anaknya. Barangkali baju yang
dijahit mak sudah dicampur dengan adunan kasih sayang dari air tangan mak. Justeru, baju
melayu itu nampak cantik dan selesa pula dipakai.
“Kakak, suruh Teh buat tempeyek lebih sikit untuk adik kau Budin. Budin suka makan
tempeyek. Kalau boleh isikan dalam balang yang mak dah keringkan di atas meja tu,” suara
mak tiba-tiba sahaja merayap masuk ke gegendang telingaku.
Aku tersentak apabila
mendengar arahan daripada mak. Namun, air mataku tiba-tiba sahaja terkepung di dalam
kelopak mataku.
“Kakak, cantik tak baju melayu yang mak jahit ni? Baju melayu warna biru kesukaan
adik kau Budin.” Ujar mak dengan mata yang bersinar.
Aku hanya kaku dan membungkam sepi. Jantungku berdegup kencang. Kalau boleh
aku mahu menjerit memberitahu situasi sebenar kepada mak. Namun, aku tidak mampu. Aku
masih lagi diam dan bibirku terkunci rapat apabila mendengar nama adikku Budin.
“Kakak, sudah lama Budin tak balik jenguk kita. Sekarang sudah 25 Ramadan, esok
lusa sudah malam tujuh likur. Mana Ngah dan anak-anak Budin? Kata hendak raya dengan
mak tahun ini?” soal mak membuatkan hatiku terasa sebak.
“Mak...” panggilku sayu.Mak menoleh ke arahku lalu memandang tepat ke dalam anak mataku. Dari cermin
mata mak itu, mak hanya merenung wajahku tanpa senyuman. Barangkali ada kesedihan yang
sedang bertandang di hati mak.
“Mak, sudahlah...Kakak tahu...” aku menggantung kata-kata itu tanpa penghujungnya.
“Tahu apa?” balas mak cepat.
Aku terdiam seperti patung cendana. Seluruh air mataku kembali bergenang di
kelopak mata. Waktu itu hanya yang terpampang di depan mata wajah adikku Budin.
Budin adalah satu-satunya anak lelaki mak. Malah Budin diibaratkan sebagai jantung
dan hati mak. Aku dan enam orang lagi adik-beradikku kesemuanya perempuan. Justeru, aku
tahu sebagai anak lelaki tunggal dalam keluargaku, Budin adalah anak kesayangan mak. Aku
masih ingat, sewaktu sambutan hari raya dua tahun lepas Budin, Ngah dan anak-anaknya
tidak pulang menyambut hari raya bersama-sama mak dan abah. Mak menunggu Budin sejak
malam raya sehinggalah ke pagi. Mak tidak tidur. Mak hanya duduk termenung di muka
jendela menanti dan terus menanti. Waktu itu, aku yang sedang menganyam kelongsong
ketupat memerhatikan keadaan mak dengan penuh simpati.
“Mak, sekejap lagi sampailah Budin. Mak jangan susah hati ya,” ujarku sambil duduk
di sisi mak.
Senyuman semakin terukir apabila mendengar kata-kataku itu. Barangkali kerisauan
mak sedikit terubat dengan kata-kataku itu.
Beberapa jam berlalu, namun bayang Budin langsung tidak kelihatan. Mak kembali
termenung. Mak merenung aku dan pintu pagar hadapan silih berganti.
“Mana Budin? Sudah larut malam ni. Agaknya adik kau marahkan mak sebab mak
marahkan dia hari tu. Mak marah bukan mak benci. Mak marah sebab mak sayangkan dia. Ibu
mana yang tak sayangkan anak?” suara mak terketar-ketar bercampur sendu.
Kata-kata mak itu terlalu meruntun hatiku. Benar mak marahkan Budin. Budin selalu
berahsia dengan mak. Budin tidak mahu mendengar kata mak. Kali terakhir Budin balik
berjumpa dengan mak sebelum menjelangnya hari raya. Budin bawa hamper raya dan beri
mak duit raya. Budin beli bermacam-macam barangan untuk menyambut hari raya. Aku
melihat keadaan Budin waktu itu. Tubuhnya semakin berisi dan perut semakin membusung.
Aku mulai curiga dan keliru lantas bertanyakan hal yang sebenar kepada Budin.
“Budin, kakak nampak Budin macam tak sihat? Kalau tak sihat cakaplah tak payah
sorok-sorok. Kalau ada masalah, Budin beritahu dengan kakak.”
Budin hanya tersenyum. Senyuman yang terukir itu seperti memberitahu bahawa dia
tidak punya jawapan daripada persoalanku itu. Akhirnya, kami berpisah apabila usai berbuka
puasa. Itu sahaja.
“Kakak, hari ini kita nak masak apa? Kalau masak lontong tentu sedap bila berbuka
nanti. Budin suka makan lontong.” Kata mak sambil terus tekun menjahit baju.
“Ada Budin telefon kakak?” tiba-tiba mak bertanya soalan yang menyebabkan aku
tersentak dari lamunan yang panjang.
“Mak...” aku memanggil mak dengan sayu.
Mak menoleh ke arahku. Kemudian, mata mak singgah di mataku. Mak tidak lagi
seperti dahulu. Kedut di wajah mak menggambarkan betapa mak sudah semakin dimamah
usia.
Di bawah mata mak ada kolam-kolam kepayahan yang pernah diharungi oleh mak suatu
masa dahulu. Aku melihat mak semakin berkecamuk jiwanya. Dan serta-merta bertapak di
hatiku simpati dan kesedihan terhadap diri mak.
“Mak...sebenarnya...” aku masih lagi menggantung kata-kata yang tidak
berpenghujung.
“Sebenarnya apa? Mak bela kamu, Budin dan adik-adik yang lainnya sejak kecil. Mak
tak pernah membeza-bezakan anak-anak mak. Kalau Budin dapat baju baharu, kamu semua
juga dapat. Kalau Budin dapat kasut baharu, kamu semua juga dapat kasut baharu. Jadi apa
yang tidak kena sekarang ini? Kalau kakak marah sebab mak jahitkan baju Budin dan abah,
mak tak kisah. Kamu semua sudah ada baju baharu untuk raya tahun ini. Hanya Budin sahaja
yang belum ada!” jawab mak menyebabkan situasi semakin tegang.
Aku semakin gelisah. Jiwaku seolah-olah disuntik dengan perasaan sedih. Aku
mencongak-congak sendiri. Haruskan aku membiarkan mak larut dengan perasaan sendiri?
Haruskah aku membiarkan mak alpa dalam kenangannya? Ah, terlalu sukar untuk aku
menerangkan segala-galanya. Namun, aku harus memberitahu kebenarannya. Bukankah
kebenaran itu adalah musuh kebatilan?
“Mak...Budin sudah setahun meninggalkan kita. Budin sudah tak ada mak. Budin
meninggal disebabkan kanser hati, mak.” Tanpa mahu berselindung aku memberitahu
kebenarannya.
Mak tersentak. Air mata mak mula mengalir laju di pipi. Mak terduduk di hadapan
baju melayu berwarna biru kepunyaan Budin. Mak menangis semahu-mahunya. Aku hanya
membiarkan mak menangis di bahuku. Namun, air mataku juga mengalir deras tanpa dapat
disekat lagi. Aku tahu hati mak. Hati seorang ibu yang kehilangan anak. Aku tahu perasaan
mak. Perasaan kehilangan seorang anak lelaki.“Mak...janganlah menangis, mak. Arwah tunggu kita di sana. Suatu hari nanti kita juga
akan mengikut jejak arwah,” aku mengakhiri kata-kata kesedihanku di situ.
Al-Fatihah buat adikku, Norhisham bin Mohamad Saad.
Lagu yang dipilih :
1. Sepasang kurung biru- Khairil Johari Johar
2. Setitis cahaya di aidilfitri – Aisyah
3. Ku pohon restu ayah bonda – Mamat Exist
Tiada ulasan:
Catat Ulasan