Jumaat, 26 Julai 2013

Mari bertanya rakyat biasa


Terima kasih kepada kerajaan atas pemberian Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan raya kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan. Pemberian ini pasti memberi keceriaan dan kegembiraan kepada penjawat awam khasnya yang berpendapatan sederhana bagi membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan itu yang akan dibuat pada 31 Julai ini kepada penjawat awam daripada Gred 1 hingga Gred 54 serta pesara kerajaan. Pemberian ini juga adalah 'durian runtuh' buat pesara kerajaan. Bantuan khas itu sedikit sebanyak meringankan beban pesara dalam menghadapi kenaikan harga barangan. Keprihatinan kerajaan memberi bantuan menjelang musim perayaan seharusnya disyukuri warga penjawat awam. Kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih prihatin untuk memberi bantuan, terutama ketika Aidilfitri bakal menjelma. Rezeki yang diterima ini kita belanjalah mengikut kemampuan, jangan berlebihan sehingga memudaratkan ekonomi keluarga. Penjawat awam juga tidak harus kecewa dengan kadar bantuan yang dihulurkan, lebih-lebih lagi tahun ini menyaksikan kenaikan gaji sebanyak dua kali seperti yang diumum Perdana Menteri. Kadang-kadang kita lupa ada negara yang langsung tak dapat apa-apa, makanan pun tak ada, atau negara tidak stabil seperti di Mesir. Sebaliknya kita di Malaysia masih mampu menerima bantuan daripada kerajaan, kita perlu bersyukur negara kita aman dan tidak menjejaskan ekonomi serta perjalanan hidup seharian.

Mungkin ramai tidak sedar, pemberian bonus kepada penjawat awam turut mendorong peniaga-peniaga menaikkan harga barangan sebab menganggap kakitangan kerajaan mendapat durian runtuh. Jangan lupa, sebenarnya semua rakyat negara ini juga berjasa kepada kerajaan dan negara, mengikut kapasiti dan kategori tugas masing-masing. Ini termasuklah kakitangan swasta, pemandu pelancong, tukang sampah di tepi jalan, tukang bersih tandas, pemandu bas, atlet negara, pendakwah dan lain-lainnya.



Begitu banyak yang ditulis di sejarah mengenai orang-orang penting atau tamadun tamadun yang penting. Bagaimana putera dan raja berjaya menawan sebuah negara, dan bagaimana kaya dan berkuasanya pemimpin sebuah negara. Tetapi sejarah sebenar manusia iaitu sejarah penderitaan jarang sekali ditulis. Bagaimana pula dengan penderitaan seharian orang yang ditindas ketika seorang raja memulakan pemerintahannya. Atau pekerja yang tewas ketika pembinaan bangunan mencakar langit. Orang yang miskin secara praktikalnya tidak ada jalan keluar daripada kemiskinan mereka. Kesengsaraan mereka boleh dilihat dalam bentuk kekecewaan, rasa bersalah dan kebimbangan. Mereka rasa kecewa kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan diterima sebagai golongan orang-orang yang harus dihormati. Apa yang mereka inginkan hanyalah harga diri, tapi inilah yang dinafikan mereka. Dan orang yang tidak menganalisis dengan mendalam sering berkata mereka miskin kerana mereka malas. Ternyata terdapat banyak kontradiksi dengan pernyataan itu kerana sebenarnya terdapat satu sistem berstruktur yang membuatkan orang menjadi miskin, tertindas dan dipinggirkan. Kemiskinan terdapat banyak muka, ia boleh dikenali sebagai miskin secara ekonomi, miskin secara budaya yang melibatkan Orang Asal dan golongan minoriti yang didiskriminasikan, penindasan terhadap wanita, dan juga penindasan terhadap bumi dimana ia diserang dengan tidak adil dan dieksploitasi secara sistematik. Kemiskinan bukan sesuatu yang semulajadi tapi ia dihasilkan. Itulah sebabnya kenapa golongan miskin dieksploitasi dan semakin miskin. Mereka tidak dianggap sebagai manusia, kerana harus mencapai objektif proses eksploitasi yang dikenali sebagai ekonomi, politik, ekologi dan budaya.

 
Kemiskinan ialah hasil daripada struktur sosial yang opresif dimana mereka dimiskinkan oleh orang lain yang mendapat faedah daripada sistem ekonomi yang tidak adil. Maka struktur ini dengan sistematiknya akan mengeksploitasi dan pinggirkan orang dan menjadikan mereka miskin. Itulah mengapa ada ekspresi kaya semakin kaya, miskin semakin miskin. 

Jika hendak dikira, walau banyak mana sekalipun pendapatan, masih tidak mencukupi. Ini kerana nafsu manusia tidak terhad. Semua kita hendak beli. Kadang-kadang kita berlumba dengan orang lain. Apa jiran beli kita pun hendak beli. Kita sanggup bergolok bergadai kerana hendak membeli sesuatu tanpa mengira kemampuan kewangan walaupun barang itu kadang-kala kurang diperlukan.Yang ada kredit kad akan menggunakan semaksimum yang boleh. Tidak hairan puluhan ribu rakyat negara ini yang diisytihar muflis sebab gagal membayar hutang. Ini semua gara-gara berbelanja mengikut nafsu dan tidak mengukur kemampuan kewangan sendiri, pada hal peribahasa Melayu ada mengingatkan kita, ukur baju di badan sendiri. Bermakna, kita hendaklah berbelanja mengikut jumlah pendapatan kita.

Mari bertanya rakyat biasa di tepi jalan, apa komen mereka terhadap bonus yang diterima setiap tahun oleh penjawat awam?

Jumaat, 19 Julai 2013

Ceramah Ihya Ramadhan Matrikulasi "Rahmah ke Maghfirah"

Penceramah jemputan:
Al Fadhil Ustaz
Wan Mohd Noh Wan Hamat
Pegawai-pegawai BMKPM selesai
membaca yasin

Assalaamu'alaikum Wr. Wb. Sahabat........ Puasa Ramadhan adalah salah satu rukun dari kelima rukun agama yang membawa kita ke syurga. Bulan Ramadan adalah bulan yang awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah, dan akhirnya bebas dari neraka. Bagaimana meraih ketiga keistimewaan itu? tentu dengan mengikuti dan mencintai Rasul dan Ahlul-bait serta para sahabat dan aulia'. Sebab Rahmah yang sesungguhnya adalah Rasulullah Saw. "Wama arsalnaka illa rahmatan lil-alamin". Maghfirah pun adalah Rasul Saw. "Wastaghfara lahumurrasul" Sementara bebas dari neraka tentu pula melalui restu dan syafa'at dari Rasul Saw. "Ana awwalu syafi'in yaumal-qiyamah". Dalam hadis pun diriwayatkan bahawa seseorang tidak masuk syurga kerana amalnya, melainkan kerana rahmat-Nya, dan rahmat-Nya di sini tiada lain adalah Rasulullah Saw. 

En.Abd Wahhab berkata sesuatu
kepada En.Sukor
Dengan demikian maka inti dari puasa Ramadhan sebenarnya adalah mendekatkan diri kepada Rasulullah Saw. sehingga mudah mencapai keredhaan Allah Swt. Awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya bebas dari neraka bukan bererti bulan Ramadhan diklasifikasikan kepada tiga sebagaimana tafsiran kebanyakan orang, akan tetapi semua hari-hari Ramadhan mengandungi ketiga-tiga keistimewaan tersebut, dari tanggal 1 sampai 30 Ramadan ada rahmah, maghfirah sekaligus bebas dari neraka, bukan 10 hari awal saja ada rahmah, 10 hari kedua hanya ada maghfirah dan rahmahnya sudah habis, sedangkan 10 hari terakhir barulah bebas dari api neraka !! ini wujud salah tafsir yang mengelirukan, sebab ketika ada rahmah maka sudah tentu ada maghfirah, dan bila sudah dapat maghfirah maka auomatik bebas dari api neraka, dengan demikian maka pada hari pertama Ramadan sudah ada maghfirah dan kebebasan dari neraka bagi yang benar-benar menghidupkannya, dan sepanjang Ramadan tetap ada ketiga-ketiga keistimewaan itu. 
Menunggu penceramah jemputan dengan
penuh sabar
Badan Kebajikan dan Sukan Matrikulasi telah menganjurkan Ceramah Ihya Ramadhan dengan sentuhan tajuk "Rahmah ke Maghfirah". Al Fadhil Ustaz Wan Mohd Noh bin Wan Hamat telah dijemput untuk menyampaikan ceramah. Gaya penyampaian ceramah Ustaz Wan begitu menarik dan berjaya menambat hati ahli-ahli BKSM. Taranum yang mengasyikkan disulam unsur kecindan yang penuh keilmuan, membuatkan ahli-ahli BKSM kadang-kadang terasa sayu diumbut alunan bacaan ayat suci al-quran. Terkadang hati dijentik kelucuan. Majlis ilmu penuh kegembiraan dan keinsafan.





Sekian, wassalam.

Khamis, 18 Julai 2013

Majlis Ta'lim Matrikulasi di Bulan Ramadhan

Antara ahli yang setia menghadiri
Majlis Ta'lim
Ahli-ahli Badan Kebajikan dan
Sukan Matrikulasi Sedang Khusyuk
Mendengar Tazkirah daripada
Ustaz Muzaffar bin Malek (BMKPM)


 
Majlis Ta'lim Matrikulasi dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Matrikulasi(BKSM) dan dikendalikan oleh Ustaz Muzaffar bin Malek, Penolong Pengarah Hal Ehwal Akademik, Bahagian Matrikulasi. Sejak dilaksanakan pada 16 Julai 2013, majlis ilmu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan ahli BKSM. Program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan ini bermula pada pukul 8.15 pagi hingga 8.30 pagi di Bilik Mesyuarat Palma, Bahagian Matrikulasi. Salah satu tip menyempurnakan puasa itu adalah menggunakan masa untuk mendalami ilmu-ilmu agama. 
 



Drama Ayam

 
 
Adakah wujud drama kenaikan harga ayam, dengan alasan professional, kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang. Walaupun permintaan terhadap ayam meningkat pada bulan Ramadhan, adakah ia hanya baru sekali berlaku.
 
Rakyat marhain seperti saya dan orang-orang kampung tidak memahami dengan istilah bombastik ekonomi, harga ayam meningkat adalah disebabkan harga makanan ayam meningkat. Kalau macam tu halnya, sudah tiba masa dan ketikanya, Negara perlu menghasilkan bekalan makan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan kemelut bermusim ini. Musim hari raya dan musim kakitangan gomen naik gaji. 

Sebelum ini kita mampu  mengeksport ayam ke Singapura, tetapi sekarang, kita pula nak import.  Usaha Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melaksanakan projek rintis dengan syarikat pengeluar makanan di India untuk menghasilkan makanan berasaskan soya dan jagung adalah satu inisiatif yang boleh dipuji. 

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengajak 1.4 juta penjawat awam memboikot ayam supaya pembekal dapat menurunkan semula harga pasaran ayam kepada kadar berpatutan. Kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram setakat ini, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram adalah melampau  dan alasan menaikkan harga kerana bulan Ramadan dan hari raya sangat tidak masuk akal.  Hentikan drama kenaikan harga ayam. Rakyat sentiasa ingat kalau disakat-sakat.
 

Lagak Semenyih, Miliki Texas

Assalamualaikum WBT,



Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat walau di mana berada.  Hari ini dah masuk hari kesembilan kita berpuasa. Dan menyaksikan juga jalan-jalan keluar KL dan Putrajaya padat dengan pelbagai kenderaan. Ini adalah pemandangan rutin setiap kali tibanya bulan yang mulia ini. Kepada pengguna-pengguna jalan raya, banyakkan bersabar. Alangkah begitu harmoni, puasa diiringi kesabaran.
 
Ada segelintir pemandu berdesap-desup menyelinap di celahan kereta-kereta yang sabar berbaris.
 
Nilai-nilai ini boleh dilihat di mana-mana lebuh raya. Bagi saya yang bertugas di Putrajaya dan  berulang alik ke Semenyih,  Saya perlu lebih berhati-hati mengemudikan kenderaan. Bukan apa, kelihatan di atas jalan ada manusia lain yang menunjukkan mimik muka yang tidak sabar-sabar orangnya. Kelihatan rakus dan ghairah memandu jentera yang diubahsuai ekzosnya. Jentera yang mengelirukan dari segi keluaran. Sekali pandang jentera itu seperti dikeluarkan dari Texas, pandang kali kedua, baru tahu ia dibeli di Semenyih. Pengemudi melakukan aksi menggerakkan jentera selaju-lajunya. Meninggalkan Texas jauh ke belakang. Kelihatan di muka terpapar wajah membusung dada. Bangga memiliki kereta di bawah harga. Lagak di jalan melebihi tokoh korporat berjaya. Kenapa semangat memandu melulu tidak digunakan dalam diri untuk memiliki semangat merubah kehidupan. Gunakan semangat itu untuk cari kejayaan dan kekayaan. Biar kita lagak Semenyih, tetapi miliki Texas. Berhati-hati di jalanraya. Banyakkan bersabar. Biar keluarga dapat berbuka puasa bersama kita bukan bergegas menjaga kita dek kemalangan yang menimpa.

Jumaat, 12 Julai 2013

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...