Isnin, 29 November 2010
Garang Biarlah Bertempat
MD RASUL BIN HARON mrasulharon@yahoo.com http:www.dapatwang.com/?id=rasul |
Pada minggu lepas, penulis dan keluarga menikmati makan malam di sebuah restoran yang terletak di Damansara. Bersebelahan meja penulis, duduk satu keluarga yang sebangsa dan seagama dengan penulis. Seorang ayah muda segak bercermin mata dan kelihatan raut wajahnya seorang ayah yang lemah lembut pekertinya. Di sampingnya seorang isteri yang sedang sibuk melayan kerenah dua anak lelaki mereka yang mungkin berusia 4 dan 6 tahun. Si anak yang berusia mungkin 4 tahun ini, dahinya ditampal 'cool-fever'. Mungkin demam.
Bukan penulis berminat untuk menyibukkan diri memerhatikan orang sekeliling menikmati hidangan makan malam yang begitu merangsang selera. Dalam suasana damai dan ceria, tiba-tiba ayah muda tadi bertindak menjerit kepada anak yang bertampal dahinya dan menunjal kepala anaknya. Sambil mulutnya melahap sate ayam, tangannya menerjah ke pipi anak kecil yang demam itu. Penulis tersentak dengan senario tersebut. Ayah muda itu memaki hamun anak itu dengan kata-kata yang tidak dapat diterima akal manusia. Puncanya, anak itu sejak awal lagi kedengaran merengek, mungkin anak itu tidak selesa. Mungkin kesihatannya yang terganggu. Ayah yang memliki ciri-ciri muka baik ini, bertindak garang di tempat awam. Si isteri sudah tentu malu dan marah dengan tindakan suaminya yang menunjuk kegarangan di hadapan orang lain yang juga mempunyai anak-anak.
Berlakulah peperangan lidah antara kedua-duanya. Sekali lagi si ayah menghadiahkan tamparan ke pipi anak yang dahi bertampal tadi. Ini secara tidak langsung menjemput penulis untuk turut campur tangan. Pertama, anak itu masih kecil. Kedua, mengganggu orang lain yang sedang bersantai menikmati hidangan. Ketiga, penulis berada paling dekat dengan situasi itu. Keempat, penulis terasa sekali ingin membahasakan ayah itu. Apabila 4 pertimbangan dibuat, penulis bingkas bangun dan bertemu muka dengan ayah yang garang itu. Penulis membahasakan ayah itu secukupnya dan tidak menggunakan sentuhan fizikal sama sekali. Ayah itu duduk diam termanggu. Tidak bercakap dan menjeling. Kelihatan dia ayah yang baik dan penyabar pada waktu itu. Tidak seperti aksinya tadi.
Sebelum meninggalkannya, penulis berkata kepada ayah tadi, "sekali lagi hang buat atau nak tunjuk garang depan orang lagi, aku akan layan hang macam hang buat dekat budak ni."
Tidak salah mendidik anak dengan pelbagai kaedah. Pada hakikatnya pelaksanaan pendidikan anak-anak merupakan amanat besar dari Allah SWT. Penyelewengan pendidikan anak daripada manhaj yang telah ditentukan merupakan pengkhianatan besar terhadap amanat besar itu.
Jangan sesekali kita sebagai ibu bapa memperkecilkan kecepatan kedewasaan anak-anak. Masa dan peluang perlu diberikan kepada anak-anak untuk maju mereka amat memerlukan bimbingan yang positif dan didikan yang sempurna daripada ibu bapa.
Dalam Perkara 39, Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak, negara-negara pihak hendaklah mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk menggalakkan pemulihan fizikal dan psikologi dan pengintegrasian semula sosial kanak-kanak yang menjadi mangsa: apa jua bentuk pengabaian, eksploitasi atau penyalahgunaan/penganiayaan; penderaan atau apa jua bentuk penghinaan atau hukuman ; atau persengketaan bersenjata. Penyembuhan dan pengintegrasian semula ini hendaklah berlaku dalam suasana yang meningkatkan kesihatan, harga diri dan maruah kanak-kanak tersebut.
Tugas pengajaran dan pendidikan perlu ditanggung oleh ibu bapa. Anak-anak yang berumur antara empat hingga enam tahun yang suka memerhati dan meniru apa yang berlaku dan menerima apa sahaja yang dilihat dan didengarnya.
Kemudian selepas itu, ayah itu membuat bayaran atas hidangan keluarganya. Mukanya kelihatan masam mencuka menuju ke kereta. Harap hal yang sedemikian rupa tidak berlaku lagi. Penulis hanya mampu memberi senyuman kepadanya sambil terus menikmati nasi putih dengan sup ekor.
Sekian. wassalam.
Langgan:
Catatan (Atom)
Awalan meN-
Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...
-
Tweet Asaalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Hari ini saya nak berkongsi cerita menarik dengan anda. Seseora...
-
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perkataan “kepada” dan “pada” tergolong dalam kata sendi nama. Perkataan “kepada” terletak di hadapa...
-
KUALA LUMPUR - Syarikat Malaysia mesti melaksanakan program pemeriksaan pekerja sebagai prosedur operasi standard sebelum memilih cal...