Rabu, 27 Oktober 2010

Teknik-Teknik Mengulangkaji Pelajaran

Oleh
Taidin bin Suhaimin


Pengenalan
Artikel ini menjelaskan pengertian dan kepentingan mengulangkaji pelajaran serta bagaimana dan bila ulangkaji harus dimulakan.


Pengertian Mengulangkaji
Mengulangkaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.

BAGAIMANA MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:


  1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  5. Menjawab soalan-soalan yang  berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
  6. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.


Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.
Merancang Program Mengulangkaji
  • Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
  • Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan. 
  • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
  • Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran
  • Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar. 
  • Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
  • Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
  • Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
  • Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.
Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji
Mata Pelajaran Yang Anda Lemah
  • Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa. 
  • Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
  • Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
  • Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda. 
  • Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.


1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan 
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.


2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya. 


3. Penilaian Secara Lisan
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.


Mengatasi Kelemahan
Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.


Sebab-sebab kesalahan berlaku:
Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi. 
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. 
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari. 
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.
Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.
Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:
  • Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran. 
  • Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah. 
  • Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali. 
  • Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

Kesan Zikir Terhadap Otak

PenaHalaqah
Editor: Doraemong13
Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.

Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Mukjizat Al-Quran Mendahului Sains

Us.Mohd Zawawi Yusoh
Editor: almusafirq8
 
Remaja hari ini cerdik, pintar dan berpelajaran berdasarkan akademik serta fakta sains. Ini mungkin kerana sistem pendidikan yang menekankan dan memberi penumpuan dalam bidang sains. Tidak hairanlah remaja hari ini mengenali nama saintis dan kagum dengan penemuan mereka. Penciptaan teknologi canggih membantu penemuan baru rahsia alam. Seperkara yang remaja patut tahu, penemuan baru ini selari dengan penyataan al-Qur'an malah ia sudah lama disebut dalam kitab suci itu. Jika kita boleh berbangga dengan penemuan sains semestinya kita patut lebih takjub dengan kecanggihan al-Quran berabad dahulu mendahului zaman, malah manusia memerlukan masa yang panjang ribuan tahun memahami sentuhan ayat al-Quran mengenai alam dan sains.

Antara ayat mengenai sains ialah yang berkaitan dengan pengembangan alam.Firman Allah yang bermaksud: “Dan, langit Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami. Sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya.”

Ayat ini menceritakan mengenai pengembangan alam. Ini bermaksud langit diluaskan oleh Allah. Allah sudah menyatakan ribuan tahun dahulu, jika ada orang yang menolak al-Quran kerana menyangka dirinya maju dengan sains, sepatutnya tunduk dengan fakta ini. Pada tahun 1929 Edwin Hubble dengan menggunakan alat canggih meneropong ke langit mendapati alam ini sebenarnya mengembang dan membesar malah saintis sekarang ini berupaya mengukur kelajuan pengembangan alam.

Kedua, ayat berhubung teori Big Bang. Hal ini sudah lama disentuh ribuan tahun dulu dalam surah al-Anbia': 30, bermaksud: “Apakah orang kafir tidak melihat bahawa sesungguhnya langit dan bumi pada asalnya bercantum satu kemudian Kami pisahkan (letupkan) antara kedua-duanya.”

Maknanya langit dan bumi asalnya melekat bercantum, Allah pisahkan antara keduanya dengan udara. Teori Big Bang diasaskan oleh formula umum ‘Theory Of Relativity’ oleh Einstein 1915, kemudian disahkan pakar fizik Rusia pada 1922. Pada 1929 teori ini disahkan Edwin Hubble. Cuba bayangkan hakikat yang ditemui pada abad 20 ini telah dijelaskan oleh al-Quran sejak 1400 tahun dulu.

Segala penemuan ini selari penyataan ayat al-Quran yang menunjukkan al-Quran “Kalamullah” kerana ilmu sains belum berkembang pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), tambahan pula tiada sebarang kemudahan yang tidak memungkinkan manusia mengetahui asal-usul alam ini. Benarlah al-Quran bukan ciptaan Muhammad. Jadi tidak hairan sekiranya orang Islam mendahului bangsa lain dari sudut ketamadunan. Ini kerana al-Quran berada di hati mereka, sebagaimana disebut dalam pertemuan lalu al-Quran bukan hanya dibaca tapi juga untuk memakmurkan alam ini. Percikan daripada kehebatan al-Quran inilah terbinanya tamadun di Iraq, Sepanyol, Turki, India , Afrika dan Barat mempelajari daripada Islam seterusnya mengembangkan lagi menurut acuan mereka. Yang tidak seronoknya mereka menimbus serta memadamkan sumbangan Islam dalam dunia sains malah memutar belit fakta sejarah dengan menuduh Islam tidak menyumbang apa-apa.

Justeru, dalam menimba ilmu, remaja jangan lupa melihat sejarah tamadun Islam. Belajar di Barat untuk mencari ilmu bukan satu kesalahan, yang kita bimbang sebelum dapat ilmu sudah jadi Barat, pergaulannya, pakaiannya dan budayanya. Marilah kita maju dengan acuan dan budaya kita sendiri, berpaksikan al-Quran, sunnah.

Peta Minda

Oleh DR. ISMAIL ZAIN

[Selamat Pagi Cikgu - Utusan Malaysia]

PELBAGAI penyelidikan telah dibuat untuk membentuk dan menyusun strategi pembelajaran yang lebih berkesan terhadap pelajar-pelajar. Pembelajaran secara hafalan memerlukan daya ingatan yang kuat, tetapi ianya tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif malah ianya tidak sesuai di zaman yang serba maju ini.

Sebagai seorang insan, Allah telah mengurniakan kepada kita pancaindera yang mempunyai pelbagai fungsi. Pancaindera ini amat peka serta amat responsif terhadap apa-apa rangsangan yang berkaitan dengannya.

Mata adalah merupakan salah satu pancaindera yang amat penting bagi seseorang insan. Sebagai contoh, mata yang berfungsi untuk penglihatan akan merangsangkan tindakan seseorang itu apabila ianya melihat sesuatu yang dapat memberi sesuatu makna kepada dirinya.

Seorang kanak-kanak yang masih kecil dan belum mengenal huruf dapat memahami sesuatu keadaan melalui penglihatan dan pemerhatian. Objek yang dilihat melalui mata akan menghasilkan sesuatu mesej melalui interpretasi yang dibuat di bahagian otak.

Mesej yang dihasilkan akan menjadi mudah dan jelas sekiranya kita dapat merangsangkan pancaindera yang ada pada seseorang individu itu dengan cepat.

Oleh itu dalam proses pembelajaran seseorang itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran yang diperolehi dapat diproses oleh otak dengan lebih mudah. Beberapa elemen yang dapat merangsangkan fungsi otak dan memudahkan pemahaman kita adalah seperti berikut:-

TEKS

Teks yang ringkas dan mudah difahami serta saiznya yang tidak begitu kecil dapat mengelakkan mata berasa letih serta seterusnya mengelakkan diri seseorang itu berasa bosan untuk membacanya.

GRAFIK

Bahan grafik seperti garisan anak panah, segi empat dan bulatan dapat digunakan untuk membentuk jaringan bagi memudahkan pemahaman bagi satu-satu topik.

GAMBAR

Gambar-gambar yang dilukis bagi melambangkan sesuatu isi pada teks dapat menjelaskan lagi pemahaman serta mengukuhkan daya ingatan dengan cara mencerdaskan daya gambaran mental yang ada pada setiap individu.

Dalam hal ini penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan serta memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna. Dalam melakar peta minda atau pengurusan grafik, beberapa langkah perlu dibuat agar ianya dilakukan secara sistematik:-

*
Memahami isi petikan. Sekiranya sesuatu lakaran peta minda itu hendak dilakukan

Tips Hadapi SPM 2010

LANGKAH A - ANALISIS TOPIK

   1.Senaraikan semua topik yang telah dipelajari

   2.Senaraikan semua topik sepertimana yang terdapat dalam sukatan pelajaran (anda boleh dapati topik-topik dari buku teks atau sukatan pelajaran yang boleh didapati dari guru atau membelinya di kedai buku.

   3. Buatkan perbandingan dan kenalpasti mana-mana topik yang belum dipelajari atau belum difahami.

LANGKAH B - MENCARI MAKLUMAT

   1. Topik-topik yang belum difahami sila cari maklumat sama ada dari guru atau membuat nota sendiri atau berbincang dengan rakan-rakan.

   2. Pastikan setiap topik yang terdapat dalam sukatan pelajaran itu difahami walaupun ianya dianggap tidak penting.

   3. Nota-nota boleh dibuat dalam bentuk peta minda  atau lain-lain cara yang mudah diingati. Rujukan untuk membuat nota harus dibuat berdasarkan buku teks yang disahkan oleh Kementerian Pendidikan untuk mempastikan isi-isinya tepat.  Untuk maklumat pelajar isi-isi pada soalan-soalan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan adalah dirujuk pada buku teks yang rasmi yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.

LANGKAH C - MENGULANGKAJI

   1.Setiap hari buat latihan sama ada menggunakan buku teks atau buku kerja terutama bagi mata pelajaran maths dan sains.

   2.Bagi pelajaran yang berbentuk esei sama ada karangan atau lain-lain mata pelajaran, pilih soalan dari kertas peperiksaan tahun-tahun lepas atau soalan-soalan dari buku teks dan buku kerja dan kemudian cari dan  catatkan isi-isinya dalam kertas latihan.

Seronok Belajar Oleh Dr.Ismail Zain

BELAJAR sememangnya menyeronokkan tetapi bagi mereka yang belajar dengan hanya tertumpu pada buku sahaja kadangkala mungkin juga membosankan. Oleh itu murid harus mempelbagaikan bahan, kaedah dan gaya belajar agar ianya menjadi aktiviti harian yang mampu dijalankan tanpa terasa sebagai bebanan.

• Bahan – terdapat pelbagai bahan belajar yang boleh digunakan termasuklah buku teks, akhbar, bahan grafik, lakaran peta minda, bahan audio, video, animasi serta bahan dari internet. Bahan seumpama ini boleh diperoleh daripada pusat sumber sekolah atau negeri, kedai buku, kedai video dan sebagainya. Bahan yang mempunyai imej atau yang bercirikan multimedia mampu menarik perhatian kita serta mampu mengekal dan menambahkan daya ingatan terhadap fakta-fakta yang dipelajari.

• Kaedah – belajar sendirian adalah suatu amalan yang baik tetapi kadangkala kita mudah rasa jemu, bosan dan mengantuk. Adalah dicadangkan supaya murid-murid mampu berinteraksi atau berbincang dengan rakan-rakan berdasarkan bahan yang dipilih. Idea yang bernas daripada rakan-rakan mampu memberi maklum balas serta menjadi asas membetulkan kesilapan yang dilakukan. Mencari bahan dengan melayari Internet mampu menambahkan kemahiran penggunaan komputer di samping mendapat bahan atau fakta terkini.

• Gaya belajar – Gaya belajar juga mempengaruhi segala tindakan kita dalam proses mengulang kaji. Oleh itu gaya belajar juga harus dipelbagaikan termasuk kedudukan kita ketika belajar sama ada secara formal berada di kerusi, duduk di lantai atau bersandar di sofa. Ada juga pelajar yang suka belajar sambil mendengar muzik. Amalan ini boleh dilakukan tetapi dalam keadaan terkawal. Muzik yang didengar itu sebaik-baiknya tidak terlalu kuat sehinggakan hilang daya tumpuan belajar. Walau bagaimanapun anda dilarang mendengar muzik ketika melakukan aktiviti belajar seperti menghafal atau membuat latihan yang mempunyai aras kesukaran yang tinggi yang banyak menggunakan daya berfikir. Menonton televisyen ketika belajar adalah dilarang sama sekali. Dalam jangka masa terdekat ini murid-murid harus mempelbagaikan cara belajar masing-masing. Keseronokan ketika belajar harus dirasai agar apa yang dipelajari itu difahami dan akhirnya mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang, berkeyakinan dan menepati kehendak soalan.

Hari Kerjaya SMK Selayang Bharu

Pelajar-pelajar mendapatkan maklumat peluang
melanjutkan pelajaran di kaunter-kaunter
IPTA dan IPTS
Selayang Bharu, 27 Oktober 2010- Bertempat di Dewan Mutiara Budi, SMK Selayang Bharu, pameran mengenai peluang melanjutkan pelajaran di IPTA dan IPTS telah diadakan dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar-pelajar. Program tersebut dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Selayang Bharu.
Antara IPTA dan IPTS yang terlibat di dalam pemeran sempena Hari Kerjaya pada kali ini adalah Kolej Komuniti Selayang, UNISEL, Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Kolej PPTLKolej Teknologi YPC-ITWEB, GMI dan lain-lain lagi. Pihak Celcom turut membuka kaunter dengan menawarkan starter pack prepaid sim-card secara percuma.

Program Mengatakan Tidak Kepada Zina

Guru-guru dan pelajar Tingkatan 3
sedang mengikuti program mengatakan
tidak kepada zina

Kebelakangan ini, isu pembuangan anak, janin dan sebagainya telah menjadi satu perkara yang amat menakutkan masyarakat kita. Ia seolah-olah tidak akan berhenti buat selama-lamanya kerana setiap hari berita di media sering melaporkan. Apakah tindakan kita untuk itu?
Justeru, Panitia Agama Islam SMK Selayang Bharu menganjurkan Program Membina Kesedaran dan Bimbingan Untuk Remaja/Belia Mengatakan Tidak Kepada Zina dengan kerjasama penceramah-penceramah dari Raudhatus Sakinah Master Training & Consultancy.  Pihak sekolah turut menyokong kempen anda bijak jauhi zina. Kempen ini merupakan salah satu kempen dalam usaha membanteras gejala tidak sihat dalam kalangan remaja dan belia kita. Tujuan kempen ini adalah untuk mendidik, membimbing dan memperkasakan jati diri remaja hari ini agar mampu menilai semula kehidupan mereka ke arah yang lebih baik dan mampu mengatakan tidak kepada zina.
Program ceramah tersebut sarat informasi berkenaan dengan kesihatan reproduksi serta adab, moral dan akhlak sebagai remaja yang cemerlang.

Penceramah dari Raudhatus Sakinah Master
Training&Consultancy
Sekian, terima kasih.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...