Sabtu, 12 Februari 2011

Not lima puluh ringgit...

Oleh:


Norlilah Ismail













not lima puluh ringgit
upah kerja dari pagi hingga mentari tinggi di langit
kemas disimpan dalam beg duit
nak beli ubat anak yang sakit

beras habis
pinjam sekilo dari jiran semalam
nasi goreng campur kobis
anak anak  makan,  mereka faham

not lima puluh ringgit ni
nak beli beras dan telur sekali
setidak tidaknya untuk dua hari
dan sekilo untuk mengganti
ikan bilis, kicap manis harap tak lupa beli
api air dah dua bulan tak bayar lagi

not lima puluh ringgit ini jugalah
janji along nak bayar yuran sekolah
nak bagi angah beli buku kerja
kalau tak angah susah nak belajar

not lima puluh ringgit
bagaimana  kau nak ku agih
itu ini sana  sini semua menagih
dan aku pun terasa letih
kerana
aku hanya ada sekeping saja
not lima puluh ringgit....


nukilan

Norlilah Ismail

Guru Perlu Pecahkan Tembok Halangan

Oleh:

MD RASUL BIN HARON
mrasulharon@yahoo.com

Setiap guru mempunyai cita-cita untuk berjaya dan sukses dalam kerjaya. Itulah kepuasan seorang bergelar guru. Lebih-lebih lagi pekerjaan mendidik itu amat kita minati. Sebagai guru, kita seharusnya berazam untuk bekerja dengan ikhlas, jujur dan amanah. Bukan sekadar bekerja kerana gaji. Jangan kita merungut kemalasan dan mengenang nasib di pagi hari saat bangun tidur. Adalah lebih baik jika kita berniat untuk bangun mendidik kerana Allah. Sudah pasti badan terasa lebih kuat, minda terasa lapang dan terisi dengan semangat positif.
Ada guru yang berkata, masalah di sekolah yang merudumkan semangat mereka untuk menjalankan tugas. Terasa lemah dan minat mendidik yang sememangnya ada seakan hilang. Kadangkala timbul masalah tidak 'sebulu' dan 'berbulu' dengan rakan guru yang lain. Inilah ujian dan dugaan di alam perguruan. Tidak mungkin kita boleh 'sekepala' dengan semua rakan guru di sekeliling kita. Yang membuatkan kita mampu bertahan dan terus mengajar dengan gembira adalah dengan menjadi seorang guru yang bijak mengawal keadaan. Sebagai manusia, kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana kita masih mempunyai ruang dan tempat untuk mencari rezeki yang halal. Cuba bayangkan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, mungkin mereka terpaksa melakukan tugas-tugas yang melanggar hukum syariat bagi menampung perbelanjaan diri dan keluarga. Sebagai guru, kita jangan hiraukan jika rakan guru lain berkata anda tunjuk rajin. Itu adalah kerjaya dan komited anda dalam bekerja. Jadilah seorang guru yang proaktif dengan membantu rakan guru lain tanpa mengharapkan balas.
Kita perlu menjauhkan diri daripada sikap 'bodoh sombong'. Apa yang kita tidak tahu, kita perlu bertanya dan belajar sehingga kita mahir melakukannya. Adalah merugikan, kita tidak suka ditegur dan diperbetulkan kesalahan kerana merasa diri benar dalam segenap hal. Implikasinya, tidak akan muncul lagi inisiatif untuk meningkatkan mutu kerja. Dari segi penampilan diri, kita sebagai guru perlu memberi perhatian. Ia adalah penting kerana ia akan mewujudkan persepsi daripada rakan guru, pelajar dan masyarakat. Jika kemas maka persepsi yang wujud adalah positif manakala jika 'selekeh' maka persepsinya adalah negatif. Guru yang cemerlang sentiasa mempamerkan kekemasan bukan sahaja pada diri bahkan setiap aspek.
Marilah kita sama-sama berusaha menjadi guru yang disayangi dan dihargai oleh semua pihak dengan menyumbangkan hasil dan mutu kerja.

Pertandingan Kawad Kaki Kadet Polis SMK Selayang Bharu

Oleh:
MD RASUL BIN HARON
mrasulharon@yahoo.com


Insp/Kadet K.Raman sedang memberi
taklimat pertandingan

Selayang Bharu, 12 Februari 2011- Satu pertandingan kawad kaki telah dianjurkan oleh Guru-Guru Penasihat Kadet Polis SMK Selayang Bharu. Menurut Insp/Kadet K.Raman, tujuan utama penganjuran pertandingan kawad tersebut adalah untuk mencungkil kembali kemahiran kawad kaki anggota kadet. Selain itu ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada anggota-anggota kadet polis yang baru tentang kawad kaki. Kawad kaki merupakan aktiviti yang boleh menanam semangat disiplin anggota kadet polis. Pertandingan pada hari ini juga adalah salah satu aktiviti Kadet Polis SMK Selayang Bharu yang dijadualkan secara terancang.  Banyak aktiviti telah dirangka untuk menjadikan pasukan ini disegani di daerah Gombak.


Anggota Kadet Polis Lelaki

Pasukan Kadet Polis SMK Selayang Bharu turut melancarkan Facebook Kadet Polis SMK Selayang Bharu. Pada bulan Mac Blog Kadet Polis SMK Selayang Bharu akan dilancarkan. Anggota kadet polis boleh mendapatkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti kadet polis dengan cepat.


Anggota Kadet Polis Wanita
SMK Selayang Bharu


Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...