|
Gambar Hiasan |
24 Mac 2012
SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menerima 20 jahitan pada betis kiri setelah diserang tiga ekor anjing ketika bermain bola sepak di Padang Awam Taman Bandar Baru di Sungai Lalang di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, mangsa Muhammad Nabil Amin Abd Wahab, 10, dikatakan menjadi penjaga gol ketika bermain bola sepak sebelum diserang tiga ekor anjing itu dari arah belakang, dipercayai kelaparan.
Muhammad Nabil berkata, selepas melihat kehadiran anjing-anjing itu semua rakannya melarikan diri tetapi dia tidak sempat menyelamatkan diri kerana kaki kanannya sakit pada waktu itu.
"Masa itu saya tengok mulut anjing terbuka luas hingga menyambar kaki kiri dan sempat menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang. Seekor anjing berada di atas saya manakala dua lagi berada di bahagian kepala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Katanya, bagaimanapun nasibnya baik kerana diselamatkan oleh pelanggan sebuah kedai makan berdekatan yang ternampak tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan.
Muhammad Nabil dihantar ke HSAH untuk rawatan dan dibenarkan pulang hari ini dan diberikan cuti sakit selama seminggu.
Sementara itu, ibu mangsa Nor Azila Osman, 29, berkata anak lelakinya itu sudah seminggu tidak ke padang permainan berkenaan kerana belum sembuh sepenuhnya daripada jahitan luka pada bahagian kaki kanan kerana terpijak kaca ketika bermain di padang yang sama.
"Dia (Muhammad Nabil) memang dah lama tidak pergi ke padang sebab tidak boleh berjalan dengan baik dan hari ini sepatutnya jahitan luka akibat kaca dibuka tetapi semalam kena tambah jahitan lagi di betis kiri," katanya.
Nor Azila berkata, kejadian sedemikian sering berlaku di kawasan taman perumahan itu yang mana sebulan lalu terdapat kes seorang budak perempuan sekolah rendah turut digigit anjing sewaktu pulang dari sekolah. - Bernama