AMIRUL duduk di sisi jendela biliknya dan memandang ke luar. Pemandangan di sekitar kampus tempat dia menimba ilmu sememangnya mengasyikkan. Angin dingin mengapungkan kabus tipis pada hamparan hijau yang dilatari bukit-bukau. Kedinginan tatkala pagi itu ditambah oleh mendung yang menjanjikan hujan. Awan kelihatan rendah dan mengalirkan warna suram pada bukit-bukau. Beberapa helai daun melayang ke muka jendela.
Amirul masih duduk termenung di muka jendela. Matanya mengitari kawasan sekitar kampus itu. Kemudian, matanya singgah pada beberapa kumpulan pelajar lelaki dan perempuan yang sedang kalut memasukkan beg pakaian mereka ke dalam perut bas. Bas yang disewa khas itu akan membawa semua pelajar pulang ke destinasi kampung halaman mereka. Amirul juga begitu. Lewat tengah hari nanti, dia dan beberapa orang sekampus akan turut menyertai pelajar-pelajar lain pulang ke kampung masing-masing. Cuti semester tiga bulan itu akan dipenuhi dengan segala aktiviti bersama-sama keluarga tercinta.
“Kenapa dengan kau, Mirul?”
“Kenapa? Kenapa apa?” soal Amirul apabila rakan sebiliknya Nasmi menegur dirinya.
“Dari tadi asyik termenung saja?” soal Nasmi yang sedang lincah menyusun pakaian di dalam beg sandangnya.
Amirul tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri seperti patung cendana. Fikirannya jauh melayang mengingatkan tentang yuran pengajian yang perlu dilunaskan. Usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia, dia ditawarkan mengikuti pengajian Diploma dalam bidang Perakaunan. Sudah dua semester dia bergelut dengan kuliah dan pengajiannya. Sepanjang mengikuti pengajian di sini, segala perbelanjaannya ditanggung menggunakan pembiayaan PTPTN. Usai membayar yuran, wang lebihan dihantar pula kepada adik-adiknya di kampung. Hanya sebahagian kecil sahaja baki wang selebihnya digunakan untuk keperluan dia di sini.
Amirul sememangnya hidup berjimat cermat. Kerana dia berasal daripada keluarga hidupnya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dia sudah terbiasa hidup dilatih untuk berdikari. Dalam usia 19 tahun, dia tidak seperti rakan-rakan sebayanya yang lain. Dia lebih memikirkan tentang pengajiannya dan juga keluarganya di kampung. Pendapatan ayahnya sebagai seorang tukang gunting rambut juga tidak seberapa. Lantaran itu, dia amat memahami fitrah kehidupan keluarganya.
“Mirul, kenapa masih termenung? Lekaslah bersiap!” suara rakannya itu menyebabkan Amirul tersentak dari lamunan yang panjang. Seluruh ingatannya kembali bertaut di alam realiti.
Pandangannya dibuang jauh dari jendela seraya jendela ditutup rapat. Amirul melangkah lesu menyusun haluan yang semakin berliku-liku tanpa pengakhirannya. Tengah hari itu, dia dan beberapa kumpulan pelajar yang lainnya bergerak meninggalkan kampus dengan arah haluan yang berbeza.
PETANG yang gersang. Nafas panjang dihela beberapa detik. Keringat yang semakin merenik di wajah dibiarkan. Angin petang yang berpuput masuk melalui pintu dan angin yang berpunca daripada putaran kipas angin saling bergilir memukul muka. Beberapa helai rambutnya berjuntai dan menyentuh dahi. Amirul duduk melangut di kerusi panjang yang diletakkan di dalam kedai papan kepunyaan ayahnya. Kedai gunting rambut kepunyaan ayahnya itu adalah rentetan daripada waris yang ditinggalkan oleh datuknya dahulu. Tidak ada apa-apa perubahan yang dilakukan oleh ayahnya melainkan hanya mewarisi guntingan rambut sama seperti datuknya juga.
“Mirul, tolong tengokkan kedai. Ayah hendak balik ke rumah sekejap.” Ujar ayahnya tatkala melihat Amirul hanya duduk diam seperti seekor burung di situ.
Arahan itu hanya dijawab melalui anggukan kepala Amirul. Namun, matanya mengekori ayahnya yang sedang mengayuh basikal dan akhirnya menghilang di sebalik sebatang pokok kekabu. Amirul menghela nafas yang panjang. Kebosanan tiba-tiba sahaja menerjah sanubarinya. Petang yang panas itu membuatkan dirinya dibelenggu perasaan bosan. Dan kebosanan itu segera menyelinap masuk mencengkam urat dan darahnya.
Matanya mula mengitari seluruh isi kedai gunting itu. Ada bedak Cuticura lama di situ. Bedak Amani sebagai pasangan yang setia di situ. Kedua-dua bedak itu disusun cantik di atas rak kayu di dalam almari usang. Bedak digunakan untuk menghilangkan cebisan rambut di sekitar tengkuk agar tidak miang atau gatal. Kemudian, alatan clipper manual buatan U.S.A masih lagi digunakan oleh ayahnya. Amirul memerhatikan clipper itu sambil memegangnya. Tatkala dia menekan-nekan clipper itu, bunyi ‘klik, klik klik’ terjelma secara tiba-tiba. Dia tersengih tatkala melihat alatan lama yang masih lagi berfungsi. Ayahnya pernah memberitahu bahawa alatan clipper itu digunakan untuk mencantikkan potongan rambut.
Matanya kembali beralih kepada sejenis alatan iaitu sebilah gunting ‘zig-zag’. Gunting itu digunakan untuk menggelakkan rambut tidak ‘bertobek’ atau ‘bertakuk’. Berus berwarna gelap tergantung di tepi rak almari. Barangkali berus itu digunakan oleh ayahnya untuk membuang sisa-sisa rambut yang telah digunting. Sikat berwarna hitam turut memeriahkan keseluruhan alatan yang ada di situ. Minyak rambut Brylcreem dalam bekas hijau juga masih menjadi penunggu setia di situ.
Amirul masih lagi tersengih. Sebilah gunting tua berjenama Germany menjadi tarikannya kali ini. Barangkali gunting itu peninggalan datuknya. Sungguhpun gunting itu sudah terlalu lama, namun gunting itu masih dijaga dengan begitu baik oleh ayahnya. Warna salutannya iaitu perak langsung tidak pudar. Mata gunting masih lagi tajam dan bersilau. Amirul tercari-cari gunting lain di dalam rak almari usang tetapi langsung tidak ada. Di kedai gunting itu hanya ada sebilah sahaja gunting itupun sudah tua benar!
Barangkali kesemua peralatan menggunting rambut itu adalah khazanah yang terlalu istimewa buat ayahnya. Mata Amirul melilau mengitari sekitar kedai gunting. Ada gambar ‘The Beetles’ iaitu sebuah kumpulan yang fesyen rambutnya menjadi kegilaan ramai pada masa dahulu. Ada juga gambar lelaki yang rambutnya ala berbentuk topi keledar. Di bahagian pipi kiri dan kanan pula dilengkapi dengan side-burn yang panjang. Umpama penyanyi Elvis Presley!
Termenung Amirul seketika. Harga yang ditetapkan juga masih RM5 sahaja untuk orang dewasa. Malah, harga sebegitu jauh ketinggalan di kedai gunting kawasan bandar. Kedai gunting rambut di bandar tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Bagi golongan hipster, memotong rambut di kedai gunting rambut adalah kemestian ditambah pula keinginan untuk tampil kemas bergaya. Malahan, harga kebiasaannya sekitar RM20-RM25. Namun kerana ingin bergaya ramai lelaki muda lebih memilih guntingan seperti itu.
Hmmm...patutlah tidak ada seorang pun lelaki muda di kedai ini. Sejak dari tadi hanya ada beberapa orang penduduk kampung yang datang bergunting di kedai. Malah, mereka itu kesemuanya sudah tua dan sebaya dengan ayah. Bisik Amirul di dalam hati.
Ketika Amirul masih berteka-teki mencari jawapan, ayahnya datang sambil membawa bekal nasi kepada Amirul. Amirul mengambil bekal yang dihulur oleh ayahnya.
Lima minit kemudian, seorang lelaki muda masuk ke dalam kedai gunting. Ayahnya mempersilakan lelaki muda itu masuk ke kedai gunting dengan senyuman yang mesra.
“Pak cik saya mahu gunting rambut ala hipster. Tidak mahu fesyen lama.” Pinta lelaki muda itu sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
Ayahnya terpinga-pinga apabila mendengar permintaan itu. Sudah berpuluh-puluh kali dia diminta untuk melakukan guntingan mengikut trend terkini. Namun dia terpaksa menolak untuk berbuat demikian. Kerana kemahirannya terbatas, maka dia tidak sanggup melakukannya.
“Maaf, fesyen seperti itu pak cik tak boleh buat. Kalau yang biasa atau yang ada di gambar ini bolehlah pak cik gunting.” Jawab ayahnya terketar-ketar.
Lelaki muda itu melihat ke arah gambar yang ditunjukkan. Wajahnya sedikit berubah.
“Hmmm...tak apalah pak cik. Saya tak jadi gunting. Saya pergi kedai gunting di bandar sahajalah.” Balas lelaki muda itu lalu beredar dari kedai itu.
Amirul melihat wajah ayahnya yang hampa. Kekecewaan jelas kelihatan di raut wajah ayahnya. Ada cecair jernih yang semakin bertakung di kelopak matanya. Namun, ayahnya mengesat cecair itu dengan hujung lengan baju yang dipakainya. Dia sudah bersedia menghadapi segala-galanya. Bukan dia tidak mahu berubah tetapi kerana dia sudah tua maka dia sendiri tidak begitu mendalami guntingan moden seperti itu. Bagi dirinya, dia lebih selesa mengekalkan guntingan tradisional dan tidak pula mahu menaikkan harga guntingannya. Dia mahu berbakti sambil menderma. Itu prinsipnya!
“Ayah, kalau ayah tidak keberatan, Mirul boleh gunting seperti permintaan lelaki muda itu.” ujar Amirul sambil tersenyum.
Serta-merta wajah ayahnya berubah. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa anaknya mempunyai bakat menggunting rambut seperti dirinya. Namun kerana keegoaan yang mendalam, dia hanya mendiamkan diri sahaja.
“Semasa di asrama, Mirul mengambil upah untuk menggunting rambut rakan-rakan Mirul. Jadi, Mirul sudah belajar banyak perkara berkaitan guntingan moden ini, ayah.”
Mata ayahnya terbeliak. Wajah ayahnya tiba-tiba sahaja bertukar menjadi tidak mesra. Dari pandangan mata ayahnya, Amirul tahu sudah tentu ayahnya terpukul dengan kata-kata itu.
“Ayah hantar kau belajar. Bukannya gunting rambut!” suara ayahnya lantang secara tiba-tiba.
“Amirul hanya membantu meringankan tanggungan ayah. Malah Mirul cadangkan agar kedai gunting ini ditukar kepada yang lebih moden. Semua peralatan di kedai gunting ini sudah uzur dan terlalu lama. Langsung tidak mengikut trend sekarang. Sebab itulah tidak ada orang datang ke kedai gunting kita.” Bentak Amirul melempiaskan isi hatinya.
Wajah ayahnya segera berubah. Jika ikutkan hatinya barangkali mahu disesah mulut anaknya itu dengan cili. Biar terasa pedas seperti mana hatinya pedih tatkala mendengar kata-kata anaknya itu. Kini, yang tertancap di matanya adalah api kemarahan yang menyala-nyala.
“Kamu baru 19 tahun tetapi sudah pandai memberikan cadangan itu dan ini. Sebelum ini kita sekeluarga tidak kebulur. Apa kamu tidak ingat jasa yang diberikan oleh kedai gunting ini yang menyara kamu sehingga kamu dewasa?” lantang suara ayahnya menyuarakan ketidak puasannya kepada Amirul.
Amirul terkedu. Jika dia menjawab sudah tentu dia seolah-olah mencurahkan minyak ke dalam api yang sedang marak terbakar. Barangkali dia akan hangus dibakar dengan tingkah lakunya yang biadab dan derhaka. Justeru, dia hanya mengumam sepi. Namun, terlintas di fikirannya tatkala dia masih kecil ayahnya adalah orang yang paling sibuk. . Dari pagi hingga ke senja, ada sahaja penduduk kampung yang menggunting rambut di kedainya. Amirul juga adalah pelanggan setia ayahnya suatu ketika dahulu. Dia tidak dapat membohongi dirinya bahawa guntingan ayahnya paling kemas dan cantik. Kerana kekemasan dan kepandaian itulah maka ayahnya menjadi sebutan. Siapa tidak kenal Azhari tukang gunting? Rata-ratanya semua kenal. Bahkan, ada orang luar yang datang menggunting rambut hanya kerana tertarik dengan potongan rambut yang dibuat oleh ayah.
Masih segar dalam galeri kenangan Amirul kedai gunting ayahnya menjadi medan utama di kampung mereka. Segala perbincangan dan juga perjumpaan penduduk kampung kerap kali diadakan di situ. Sambil berbual-bual disulami pula dengan iringan muzik dari corong kotak radio lama datuknya dan diikuti oleh lagu-lagu malar segar nyanyian seniman tersohor Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menggamit semua penduduk kampung untuk datang ke kedai gunting tersebut. Tatkala lagu ‘Oh Nonaku Azizah’ berkumandang, semuanya terdiam menghayati lirik merdu lagu itu. Ayahnya akan rancak menggunting rambut sambil kaki digoyang seolah-olah seperti sedang menari.
Bahkan, apabila tibanya musim untuk ke sekolah semula kedai gunting itu akan menjadi tumpuan para penduduk kampung. Anak-anak kecil dan juga remaja akan berderet beratur di kaki lima kedai gunting itu. Biarpun berpanas, mereka tetap menunggu dengan penuh sabar. Tidak ada yang mengeluh dan berebut-rebut untuk menggunting rambut. Adab sopan lebih diutamakan walaupun kini langsung tidak diguna pakai oleh generasi masa kini. Amirul tetap ingat dan ingatan itu tetap kukuh terpahat di dalam album ingatannya.
“Abang Mirul boleh tolong guntingkan rambut adik?” soal adiknya yang bongsu secara tiba-tiba.
Amirul tersentak. Matanya tertancap kepada wajah adiknya yang tersenyum melihat Amirul. Adiknya itu hanya berseluar pendek dan duduk di anak tangga sambil memegang sebilah gunting. Amirul tergamam seketika.
“Kalau boleh adik hendak abang gunting rambut adik dengan gaya zaman sekarang. Bolehkan abang?” pinta adik bongsunya lagi.
Amirul tidak menjawab. Dicapainya surat khabar lalu ditebuk di bahagian tengah. Kemudian dimasukkan ke arah tengkuk adiknya. Amirul menggunting rambut sambil adiknya memegang sebuah cermin kecil. Usai selesai menggunting, adiknya membelek-belek wajahnya di dalam cermin itu.
“Wah, cantiklah guntingan abang ini!” sorak adik bongsunya kuat.
Tatkala mendengar sorakan kuat itu, ayahnya keluar dari bilik. Amirul terkedu.
“Cantikkan, yah?” tanya anak bongsunya sambil menari-nari.
Ayahnya hanya tersenyum. Kemudian ayahnya menghampiri Amirul sambil memegang bahu.
“Mirul, benarlah kata-kata Mirul itu. Ayah sudah faham sekarang. Sebenarnya gunting ini adalah kepunyaan arwah datuk kamu kepada ayah. Kini, ayah berikan gunting ini kepada kamu pula. Gunting ini biar pun sudah tua dan tradisional namun tetap berupaya untuk bekerja pada masa kini.” Kata ayahnya sambil mengeluarkan sebilah gunting tua kepada Amirul.
Dan buat sekian kalinya Amirul benar-benar mengerti mengapa sebilah gunting tua itu masih tetap istimewa di hati ayahnya.