Seluruh Guru-Guru di Malaysia begitu riang apabila suatu masa dahulu, kerajaan mengumumkan untuk menubuhkan Bank Guru yang dikendalikan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad. Sebagai guru, kami tidak pernah merasai apa-apa dengan tertubuhnya Yayasan Guru Malaysia Berhad. Kini, kerajaan mengumumkan pula penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn. Harap kami akan terus terpesona dengan pengumuman tersebut. Negara Malaysia mempunyai hampir 400 ribu orang guru dan semuanya pernah mendapat pendidikan formal di Institut Pendidikan Guru dan Universiti Awam. Jangan andaikan bahawa golongan guru ini mudah digula-gulakan dengan janji untuk menjaga kebajikan dan menambahbaik struktur perkhidmatan. Ramai guru yang memegang Gred 41, 44 dan 48 di sekolah tetap setia dan gembira menjalankan tugas yang diamanahkan. Kebajikan yang dinikmati oleh guru-guru di sekolah tidak sama dengan rakan-rakan lain yang bertugas di Kementerian, Jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah. Adakah guru-guru yang tergolong dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional tidak layak menikmati kemudahan alatulis dan ruang bilik yang selesa. Adakah guru-guru hanya layak membuat tuntutan perjalanan yang penuh soal-siasat dan dipotong sana-sini suka hati, kerusi yang tidak berkualiti, meja kerja yang tidak sesuai dengan kelayakan, ruang rehat yang sesak dan adakah terdapat Pekeliling berkaitan kewangan yang menyatakan kelayakan-kelayakan untuk guru-guru di sekolah yang bergred DG 41, Dg 44 dan DG 48 mesti berbeza dengan Pegawai-Pegawai yang berkhidmat di Kementerian, Jabatan dan Pejabat Pelajaran.
Yang berbeza hanya gelaran panggilan. Bukan Gred.
Pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn bagi menjaga kebajikan guru amat dialu-alukan. Penubuhan yayasan berkenaan telah diluluskan oleh Kabinet dan RM200 juta akan digunakan sebagai dana. Harta dan wang milik kerajaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Guru(KWSG) berjumlah kira-kira RM200 juta akan dipindahkan ke yayasan ini akan dipindahkan ke yayasan ini sebagai permulaan. Beliau berkata, kerajaan sejak sekian lama telah melakukan usaha bagi memperbaiki sistem dan perkara berkaitan kebajikan guru dengan latihan-latihan yang disediakan. Kami mengharapkan pada kali ini kebajikan guru terus diperjuangkan dan pengendalian Yayasan Guru Tun Hussein Onn dilakukan oleh mereka yang mementingkan soal kebajikan guru. Bukan hangat-hangat tahi ayam. Kebajikan Guru harus menjadi fokus Kementerian Pelajaran Malaysia. Berikan kami keselesaan dan hak kami sebagai penjawat awam Kumpulan A.