Memaparkan catatan dengan label Surat Pembaca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Surat Pembaca. Papar semua catatan

Selasa, 30 Ogos 2011

Hafal punca pelajar tak kreatif berfikir




ABDUL HALIM ABDULLAH, 
Fakulti Pendidikan, 
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

KETIKA Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri ada menyatakan pelajar sekolah pada hari ini perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning. 

Golongan guru pula perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya pelajar tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.
Sebagai ahli akademik, saya amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib Razak dan saya melihat belajar secara menghafal mendatangkan banyak kesan negatif kepada pelajar.
Belajar secara menghafal ini kebiasaannya sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak yang mindanya masih dalam proses perkembangan. Mereka menghafal tanpa memahami apa sebenar dihafalnya. 

Lazimnya, kanak-kanak ini lebih ke hadapan berbanding rakan sebaya mereka yang tidak belajar langsung disebabkan maklumat yang disimpan dalam minda kesan daripada hafalan. 

Bagaimanapun, cara ini tidak sesuai dipraktikkan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia meminta pelajar mengingat sesuatu fakta secara berulangan. 

Impaknya, pelajar malas berfikir dan tidak memahami apa sebenar dihafalnya. Sedangkan kebanyakan sukatan pelajaran begitu menekankan proses berfikir. Contohnya matlamat pelajaran Matematik umpamanya melahirkan pelajar berkebolehan berfikir secara matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan. 
Justeru, apabila kaedah belajar secara hafalan ini terus diaplikasikan, sistem pendidikan pada hari ini akan terus melahirkan generasi pelajar tidak berpengetahuan. 

Ada beberapa kajian lepas yang menunjukkan pelajar yang mengamalkan kaedah belajar secara hafalan menghadapi masalah pada peringkat universiti. Ini disebabkan segala maklumat yang dihafal pelajar disimpan dalam ruang ingatan jangka pendek dan tidak bertahan untuk jangka panjang. 

Kaedah belajar secara menghafal juga membosankan pelajar kerana tidak diberi peluang meneroka sendiri konsep itu. kehadiran pelbagai teknologi pendidikan boleh digunakan dalam bilik darjah untuk mengelak belajar secara menghafal. 

ABDUL HALIM ABDULLAH, 
Fakulti Pendidikan, 
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Ahad, 3 Julai 2011

Surat Pelajar Kepada Cikgu Rasul Mengenai Perhimpunan Haram 9 Julai 2011

Emel diterima oleh Cikgu Rasul pada 3 Julai 2011. Pelajar tersebut memperkenalkan diri sebagai 'Puteri Gombak', seorang pelajar Tingkatan 5 aliran Sains.  Saya melakukan beberapa proses editing ke atas penggunaan kata-kata yang dianggap kasar dan tidak sesuai untuk terbitan.



Assalamualaikum Cikgu Rasul.

Saya 'Puteri Gombak' adalah pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di dalam Daerah Gombak. Sebagai pelajar, saya 'confuse' dengan cakap-cakap mengenai Perhimpunan Bersih yang akan dibuat pada 9 haribulan ini. Pelajar seperti saya dan kawan-kawan lain sentiasa diajar oleh guru-guru untuk menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Guru-guru mahu kami pelajar yang tinggi budi bahasa. Kenapa pemimpin-pemimpin yang selalu menjerit dan melaungkan keamanan untuk semua merosakkan minda kami sebagai pelajar. Apabila pelajar-pelajar remaja seperti kami bertindak agresif, pemimpin-pemimpin politik pandai pula menyalahkan guru-guru kami. Dikatakan guru-guru mengajar kami bersikap agresif.

Cikgu Rasul,

Saya harap golongan muda seperti saya menggunakan akal yang waras bagi menilai sesuatu perbuatan sama ada ia boleh membawa kebaikan  atau sebaliknya. Pemimpin-pemimpin politik sentiasa menasihati kami sebagai pelajar kategori remaja untuk tidak terpengaruh dengan filem-filem yang mempunyai unsur keganasan, tetapi memberi pendedahan kepada kami unsur-unsur keganasan secara langsung. Kami masih mencari identiti. Tidak mustahil golongan seperti saya beranggapan perhimpunan haram adalah sesuatu yang menarik serta mempunyai kebaikan. Guru-guru sentiasa berpesan kepada kami, tidak salah untuk mempunyai keberanian dalam kalangan remaja tetapi ia perlu digunakan sebaik-baiknya. Saya sedih apabila memikirkan kawan-kawan saya yang datang daripada keluarga susah yang memang ke sekolah dengan perut kosong kerana tiada apa yang hendak dimakan sebagai sarapan, jauh sekali dibekalkan wang untuk membeli makanan di kantin. Kami beruntung mempunyai guru-guru yang perihatin. Mengeluarkan duit dari sakunya untuk menggembirakan mereka yang susah ini. Kenapa pemimpin-pemimpin yang perutnya besar-besar ini tidak berhimpun dan memperjuangkan isu-isu pendidikan ini?

Cikgu Rasul,
Pada 2 Julai 2011, kami dan guru-guru penuh bersemangat menyokong hasrat kerajaan untuk melaksanakan Larian 1Murid, 1Sukan 1Malaysia. Kami berlari serentak dan berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar. Kami tidak mahu menerima konsep 1Perhimpunan Haram. Guru Sejarah kami sentiasa bertegas, kekacauan yang dijangka timbul daripada perhimpunan tersebut mungkin akan dijadikan alasan oleh kuasa besar asing untuk campur tangan dalam soal dalam negara.  Kasihanilah kami sebagai pelajar yang sentiasa diajar untuk menjadi manusia yang bertatasusila. Berikan kami pengajaran yang baik. Jangan rosakkan fikiran kami yang masih mentah dan mendambakan ilmu pengetahuan. Kalau remaja bertindak agresif menyatakan isi hati terpendam, memberontak secara fizikal dan emosi, orang dewasa anggap kami kurang ajar dan tidak berotak. Adil atau tidak sekiranya Perhimpunan Haram yanga akan diadakan itu mengganggu kami sebagai pelajar yang terpaksa menghadapi masalah untuk menghadiri Tuisyen atau aktiviti-aktiviti lain? Jalanraya sudah pasti sesak. Ibu dan bapa kami sudah tentu terpaksa berfikir beberapa kali untuk menghantar atau membenarkan kami menjalankan aktiviti rutin kami sebagai pelajar.
Akhir kata, maaf mengganggu Cikgu Rasul dengan luahan isi hati saya sebagai pelajar. Apa yang saya harapkan, orang-orang dewasa tolonglah memikirkan kesan-kesan yang menimpa kami sekiranya Perhimpunan 9 Julai 2011 dilaksanakan. Terima kasih kepada Guru-Guru di seluruh Malaysia yang tidak serik untuk membimbing dan mendidik kami. Pemimpin hanya pandai melaung, guru-guru yang bertarung demi agama, bangsa dan negara.

Ahad, 5 Jun 2011

Graduan perlu bijak rebut peluang SL1M

2011/06/04

MASALAH pengangguran dalam kalangan graduan kita terus mendapat perhatian utama pihak kerajaan. Kerajaan sedar bahawa masalah ini bukan saja akan meningkatkan kadar pengangguran negara tetapi ia juga akan mengancam masa depan graduan, keluarga, masyarakat dan negara jika tidak ditangani segera.

Justeru, kita menyambut baik langkah kerajaan melancarkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini. Skim ini bakal membuka peluang kepada 3,000 graduan menjalani latihan praktikal di syarikat milik kerajaan (GLC) secara berperingkat bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan di negara ini.
Apa yang diharapkan ialah semua graduan yang masih belum bekerja ataupun graduan yang telah bekerja tetapi pekerjaannya tidak setaraf dengan kelulusan akan merebut peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan ini bagi memperoleh sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan pengalaman tentang selok belok dunia kerjaya yang sebenar.
Hal ini penting kerana kebanyakan daripada graduan kita ternyata hanya hebat di atas kertas ataupun secara teori saja tetapi gagal menyerlah dalam dunia pekerjaan yang realiti. Akibatnya mereka gagal menunjukkan prestasi kerja cemerlang seperti yang diharapkan.

Pada masa sama, kebanyakan majikan lebih berminat untuk mendapatkan calon pekerja yang telahpun mempunyai pengetahuan dan pengalaman atau relevan dengan bidang kerja yang diperlukan. Ini menyebabkan graduan baru terpinggir dan gagal mendapat peluang kerja terbabit kerana tiada pengalaman yang diperlukan.

Dalam pada itu bilangan graduan yang semakin bertambah setiap tahun juga menyebabkan berlakunya persaingan yang hebat sesama mereka. Majikan juga dilihat mempunyai banyak pilihan dalam memilih calon yang benar-benar berpotensi, layak dan sesuai untuk diambil bekerja.

Justeru, dalam hal ini graduan perlu berusaha untuk tampil dengan bakat dan kemahiran istimewa serta lain daripada orang lain yang membolehkan majikan tertarik kepada mereka seterusnya memilih mereka untuk bekerja dengan organisasi terbabit.
Perkara ini sangat signifikan dan cukup kritikal kerana dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan seperti sekarang setiap organisasi sedang berusaha untuk mengurangkan kos operasi masing-masing. Justeru, jika mereka berpeluang untuk melantik seorang pekerja yang sedia memiliki bakat, kemahiran dan pengalaman yang diharapkan maka calon itu akan menjadi pilihan utama majikan kerana ia sama sekali akan mengurangkan kos kursus dan latihan yang perlu diberikan kepada pekerja baru terbabit.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
UPM SERDANG

Sabtu, 4 Jun 2011

Kempen budi bahasa agenda utama 2020

2011/05/28

DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian mengenai keberkesanan usaha diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa di kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha gigih dalam menjayakan amalan budi bahasa dan nilai murni.
Promosi dan pengamalan ini dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia untuk mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu yang diberikan kepada mereka. Bahkan banyak yang nampaknya tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka.

Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka. Mereka menerima anugerah dan pergi begitu saja tanpa mengucapkan terima kasih.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa ialah satu perkara yang biasa dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.
Isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Ada juga banyak isu lain yang boleh disenaraikan dan hal ini berlarutan.

Adalah tepat pada masa bagi rakyat untuk menangani isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai murni berkenaan.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur

Pelajar terkilan sikap guru bahasa Inggeris perbodohkan pelajar



Surat Pelajar kepada Berita Harian
2011/05/28

KAMI pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika Syarikat.
Pada hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara. Tentu hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah. Malangnya, apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu.

Agaknya, begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan maruah kami?

Semuanya ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.

Jika guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelak.
Mohon jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.

PELAJAR TERHINA,
SMKDS

Sabtu, 2 April 2011

Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia tak sesuai diadakan di sekolah

2011/04/02
Berita Harian Online

SAYA terpanggil untuk berkongsi masalah guru yang mengendalikan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang diadakan di sekolah. MUET adalah ujian yang diwajibkan untuk melayakkan mahasiswa mendapat ijazah.

Apa rasionalnya MUET diambil ketika di sekolah sedangkan mereka boleh mengambilnya ketika berada di universiti nanti? Hal ini saya bangkitkan kerana wujud banyak masalah yang terpaksa ditanggung pihak sekolah untuk mengendalikan ujian berkenaan. Jika ujian itu diadakan tiga kali setahun, bertambahlah masalah dihadapi sekolah. Antaranya, jumlah guru yang diperlukan untuk menjadi pengawas peperiksaan turut bertambah. Ini membebankan tugas guru walaupun mereka dibayar elaun.

Agihan guru perlu seimbang

2011/04/02
Berita Harian Online

AGAK mengejutkan apabila kita didedahkan dengan berita berlakunya lambakan guru opsyen Matematik dan Sains dalam negara kita. Lambakan ini dilaporkan membabitkan 14,000 orang guru subjek Sains dan 12,000 orang guru Matematik. Akibatnya, mereka dikatakan terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam.

Ia satu pendedahan yang cukup memeranjatkan semua pihak. Pendedahan ini sekali gus membawa kita kepada beberapa persoalan yang penting yang perlu dijawab pihak yang berkaitan. Antaranya bagaimana isu ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya Kementerian Pelajaran, bersama-sama dengan pihak institusi pengajian perlu berbincang dan memperincikan terlebih dulu jumlah keperluan guru Matematik dan Sains di seluruh negara sebelum membuat pengambilan? Justeru, bagaimana lambakan ini boleh berlaku apatah lagi ia membabitkan satu jumlah yang sangat besar dan seolah-olah tidak masuk akal. Apa yang lebih menghairankan dan pelik ialah mengikut laporan itu juga, UPSI sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan dan UPSI dikatakan telah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya subjek Sejarah atau Kemahiran Hidup.

Bukankah ia satu tindakan merugikan semua pihak yang berkaitan seperti pelajar itu sendiri yang terpaksa menukar opsyen di samping kerugian di pihak tenaga pengajar yang terbabit.

Apa yang nyata di sini ialah jika benar lambakan ini berlaku seperti didedahkan media, pihak kementerian perlu bertindak segera dengan mengambil langkah sewajarnya.

Seperti kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana. Tambah beliau, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita yakin bahawa pendedahan ini sedikit sebanyak boleh melemahkan semangat dan motivasi pelajar yang mengikuti kursus pengajian Matematik dan Sains lebih-lebih lagi apabila mereka diminta menukar kepada opsyen lain.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
Universiti Putra Malaysia.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...