Sabtu, 4 Jun 2011

Kempen budi bahasa agenda utama 2020

2011/05/28

DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian mengenai keberkesanan usaha diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa di kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha gigih dalam menjayakan amalan budi bahasa dan nilai murni.
Promosi dan pengamalan ini dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia untuk mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu yang diberikan kepada mereka. Bahkan banyak yang nampaknya tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka.

Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka. Mereka menerima anugerah dan pergi begitu saja tanpa mengucapkan terima kasih.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa ialah satu perkara yang biasa dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.
Isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Ada juga banyak isu lain yang boleh disenaraikan dan hal ini berlarutan.

Adalah tepat pada masa bagi rakyat untuk menangani isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai murni berkenaan.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...