Ahad, 11 September 2011

Sistem Baru Pendidikan Vokasional


Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman bersalaman dengan Pengetua London College of Fashion, Prof. Frances Corner di kolej berkenaan di London, semalam.


LONDON 9 Sept. - Sistem dan kurikulum baru pendidikan vokasional yang membolehkan pelajar memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun, dan mendapat diploma secara jalan pintas melalui pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga, akan dikuatkuasakan pada 2013.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan baru yang dijangka mengubah landskap pendidikan negara itu bukan sahaja mengarusperdanakan aliran kemahiran vokasional, malah akan mengubah komposisi modal insan daripada yang berorientasikan lepasan akademik sekolah menengah harian kepada lepasan aliran vokasional, sesuai dengan amalan di negara maju.
"Komposisi akademik akan dikurangkan dan kita akan menambah amalan industri atau amali teknikal kepada pelajar kita," katanya yang juga Menteri Pelajaran.
Ketika mengumumkan perkara itu kepada wartawan di sini hari ini, apa yang beliau istilahkan sebagai Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan KV.
Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.
Sistem PAV, ujarnya, akan dilaksanakan selama tiga tahun di sekolah menengah kebangsaan (SMK) tepilih berdasarkan beberapa tahap.
Ujarnya, tahap tingkatan satu, pelajar PAV akan mengikut asas pendidikan vokasional seterusnya pelajar tingkatan dua dibenarkan memilih satu program khusus sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu.
Pelajar tingkatan tiga pula boleh meneruskan program yang dipilih sehingga mencapai SKM tahap dua.
Lepasan PAV, kata Muhyiddin, boleh menyambung pelajaran ke institusi latihan kemahiran awam (ILKA), swasta (ILKS) atau Kolej Vokasional (KV) yang direka bentuk untuk pelajar menengah atas.
Tambahnya, ia akan dilaksanakan selama empat tahun sehingga peringkat diploma mengguna pakai sistem semester dengan kurikulumnya adalah berasaskan kemahiran yang ketat.
"Kurikulumnya nanti akan merujuk kepada Piawaian Kemahiran Guna Tenaga Kebangsaan (NOSS), SKM dan lain-lain bentuk persijilan yang diiktiraf pihak industri," katanya.
Menurut Muhyiddin, kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan.
Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4, ujarnya.
"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.
Bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran pelajar, jelasnya, Kementerian Pelajaran juga akan memperkenalkan Bahasa Mandarin atau Arab Komunikasi di bawah TPV.
Bagi memantapkan dan melestarikan penerimaan keseluruhan sistem dan kurikulum di bawah TPV itu, Muhyiddin menegaskan, mulai sesi persekolahan 2012 kementerian akan melaksanakan projek rintis PAV di 15 buah SMK dan KV di 15 buah SMV.
"Selepas itu, PAV dan KV akan diperluas pada tahun 2013, dengan 150 buah SMK menawarkan PAV dan78 buah SMV akan dinaik taraf kepada KV," katanya. - utusan

PDRM boleh pikul semua tugas


Oleh:
MD RASUL BIN HARON


PENGUMUMAN lebih 30,000 anggota polis berpangkat lans koperal bakal dinaikkan pangkat kepada koperal secara berperingkat mulai hari ini. Berita gembira itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam selepas mendapat kelulusan daripada perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemberian ini tentunya disambut dengan perasaan gembira oleh semua anggota PDRM. Beberapa jam sebelum pengumuman tersebut, kerajaan menjelaskan bahawa tidak akan ada pelarasan gaji baru untuk kakitangan awam seperti yang tersiar di dalam blog Cuepacs. Reaksi serta merta dihamburkan di dalam ruangan komen artikel. Artikel yang mencetuskan kemarahan kakitangan awam yang lain telah di'delete' oleh admin blog Cupeacs.

1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan berasa kecil hati dengan perkembangan terbaru ini. Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara?  Diharapkan kerajaan  tidak lupa dengan kakitangan awam lain. 

Berita baik untuk anggota PDRM itu adalah yang kedua pada tahun ini selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengumumkan pelarasan kenaikan gaji dan elaun pada bulan Februari lalu. Dalam pengumuman tersebut, seramai 98, 747 anggota dan pegawai telah menikmati pelarasan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat polis(ITKP) antara RM 1500 hingga RM 5000 berkuatkuasa 1 Januari 2009. 

Jelas sekali begitu tinggi pengiktirafan buat anggota PDRM oleh Perdana Menteri. Tidak mustahil, Perdana Menteri akan mengeluarkan Sasaran Kerja Tahunan(SKT) baharu untuk PDRM selain mengurangkan kadar jenayah di Malaysia, anggota PDRM mampu menjalankan tugas Doktor, Jurutera, Peguam, Arkitek, Pensyarah, Akauntan dan Guru. Anggota PDRM juga mampu untuk menjalankan tugas PTD dan operasi perkeranian di dalam Perkhidmtan dan Kewangan. Tugas PT, PAR dan PAP dan R boleh diambil alih oleh anggota PDRM.

PROSPEK beri lebih peluang naik pangkat: KPPA




2011/09/09

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang diukur panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.
Katanya, PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi. 

"Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini. 

Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa. 

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. 
Abu Bakar berkata, sistem penilaian baru itu akan menilai tahap kompetensi mereka dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini. 

Katanya, antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan. 

Beliau berkata, kursus dan latihan itu adalah pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap. 

"Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi. 

"Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan. 

"Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas. 

"Justeru bagi mereka yang sudah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut. 

"Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya. 

Abu Bakar berkata, untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif. 

"Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya. 

Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota CUEPACS juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian. 

Katanya, JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang. - BERNAMA 

Tidak perlu rendah diri


Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

BINCANG...perbincangan dua hala perlu bagi memastikan masyarakat
 juga ibu bapa mengetahui konsep pendidikan sebenar.


DI tengah kekalutan masyarakat antarabangsa yang asyik mahukan kecemerlangan akademik semata-mata, mereka terlupa mengenai sumbangan pendidikan vokasional menjadi penyelamat kepada golongan pelajar tertentu.
Hakikatnya, pendidikan vokasional tidak segah pendidikan konvensional yang tampak lebih berjaya dalam melahirkan pelajar cemerlang serta mendapat pengiktirafan namun kehebatan pendidikan vokasional tidak boleh diketepikan begitu saja.



“Pendidikan ini adalah penyelamat dan harus dibanggakan. Usah malu andai kata anda berpendidikan vokasional kerana sumbangannya tiada nilai meskipun sering kali dianggap sebagai kelas kedua.

“Kalaulah bukan kerana pendidikan ini, saya tidak tahu apa akan terjadi, mungkin saya masih makan gaji, hidup terumbang-ambing atau hanya menikmati kehidupan sederhana, bukan kemewahan seperti ini,” kata presiden Corbin Building Inc, Oakland, Josef Corbin.


SEDIH...kegagalan dalam pelajaran bukan pengakhiran hidup kerana masih ada jalan kejayaan namun perlu kuat untuk mengubah nasib diri.


Dia adalah contoh kejayaan pelajar vokasional di negara berkenaan yang bukan saja mampu keluar daripada kepompong kegagalan akademik empat dekad lalu malah menjadi antara usahawan berjaya di negeri berkenaan.


Corbin, 54, mengakui pendidikan vokasional sering kali diperlekehkan kerana dianggap kelas kedua selain tidak mampu menjadi jaminan memperoleh pekerjaan yang baik.

Menurutnya, tanggapan itu juga menjadikan masyarakat terus menganggap pendidikan itu tiada nilai selain tidak menyedari sebenarnya pandangan skeptikal itulah yang memberi kejayaan kepada pelajar.

“Masyarakat lebih senang bercerita mengenai kejayaan anak mereka dalam akademik meskipun pencapaiannya tidaklah cemerlang. Mereka berpendapat kecemerlangan itu sudah cukup menjadi aset memasuki kolej atau universiti.

“Manakala pelajar yang tidak cemerlang dan memilih memasuki aliran vokasional dipandang sinis selain tidak diberi harapan untuk berjaya. Apakah tanggapan itu betul apabila mereka melihat kejayaan saya kini?

“Bagi saya, vokasional adalah sesuatu yang hebat bukan untuk diperlekehkan. 
Pelajar yang mengikutinya tidak perlu rasa rendah atau susah hati kerana masing-masing mempunyai kelebihan.

“Yang penting bagaimana kita menentu atau mencorakkan pilihan itu dan menjadikan seseorang itu bergelar manusia berjaya sehingga mampu mengatasi kekecewaan lalu,” katanya.

Mengikut fakta yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Bersatu Oakland, kadar keciciran pelajar semakin menunjukkan kebimbangan dan memerlukan pendekatan segera untuk mengatasinya.

Data terbaru menunjukkan 18.2 peratus pelajar di California tercicir daripada pengajian peringkat menengah iaitu dua kali ganda meningkat dari 2010.

Sukarelawan di jabatan berkenaan, Troy Flint, berkata peningkatan itu menunjukkan masyarakat perlu bertindak pantas membantu pelajar tercicir supaya masalah tidak semakin melarat.

“Kini masanya untuk membantu mereka supaya tidak terus tercicir dan menjadi mangsa percaturan pihak tertentu. Tidak perlu lagi bersikap saling menyalah kerana keadaan semakin membimbangkan.

“Masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada aspek yang boleh membantu mereka. Jikalau akademik menjadi puncanya, masih ada alternatif lain boleh membantu.

“Yang penting berikan mereka peluang mencorakkan masa depan. Jika sudah tidak suka pada akademik, fokuskan pula pada vokasional kerana ia juga berguna.

“Percayalah, sikap prejudis dan ego tidak akan membantu. Bolehkah kita hanya berpeluk tubuh semata-mata tidak bersetuju dengan dasar atau tanggapan yang belum tentu benar sedangkan pelajar itu sedang mencari arah hidup,” soalnya.

Paling menakutkan, katanya, apabila mereka dengan mudah terpengaruh dengan anasir membinasakan seperti terbabit dengan samseng dan jenayah sekali gus meningkatkan lagi kadar gejala sosial sedia ada.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh terlalu terkongkong dengan tanggapan pendidikan vokasional tidak mempunyai masa depan kerana sekurang-kurangnya ia boleh membantu membina kemahiran bagi mencari pekerjaan kelak.

“Masyarakat mahu hidup selamat dan menolak jenayah tapi tahukah mengapa ia berlaku? Kerana semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

“Bayangkan sekiranya kita tidak memberi peluang kepada mereka, apakah yang akan terjadi? Sekurang-kurangnya mereka perlu mencari arah hidup dan tidak memulangkan kesusahan itu semula kepada masyarakat,” katanya mengakui penolakan itu disebabkan kegagalan memahami fungsi sebenar sistem pendidikan diperkenalkan.

“Mereka muda tapi tidak berpelajaran juga tanpa kemahiran pekerjaan, jika mereka terbabit dalam jenayah, adakah masyarakat mahu mempertikaikannya? Sistem pendidikan luas konsepnya namun hairan mengapa masih ada pihak yang tidak boleh menerimanya?

“Adakah ini kerana beranggapan akademik adalah tiket paling besar untuk menjadi gah dan terkenal ataupun sememangnya aliran lain tidak bagus hingga ditolak begitu saja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan sistem pendidikan vokasional mungkin menjadi punca terhadap pandangan serong itu sekali gus mengakibatkan usaha atau penerangan semakin sukar.

“Di sini (Oakland) hanya ada beberapa buah sekolah vokasional dengan tumpuan dalam penjagaan kesihatan. Itu sudah tentu tidak memadai kerana keperluan mencakupi kepelbagaian aspek dan kehendak.

“Memang kami memerlukan penambahan sekolah namun tentu pula berdepan pelbagai masalah lain, bajet, misalnya. Ini cabaran dan dilema paling kritikal kerana membabitkan peruntukan malah tekanan masyarakat juga tidak sehebat ini.

“Tiadanya peruntukan menyebabkan masalah semakin meruncing. Pelajar ini perlu diselamatkan namun jika sekolah tidak ditambah, sudah tentu segalanya gagal begitu saja sekali gus memperjudikan nasib mereka di jalan raya serta jenayah,” katanya kesal.

Sumber: Harian Metro (11.9.2011)


Najib bentang Bajet 2012 di Parlimen pada 7 Oktober




"Ia akan menjadi satu lagi kejayaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020,"


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2012, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober,2011, adalah inklusif, bertumpukan rakyat dan meningkatkan langkah-langkah transformasi.
“Ia akan menjadi satu lagi kejayaan ke arah merealisasikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.
“Marilah kita bekerja bersama-sama dalam memastikan usaha itu menjadi kenyataan,” kata Perdana Menteri pada ucapan pembukaannya pada Perundingan Bajet 2012 di sini hari ini.
Najib berkata usaha merangka Bajet 2012 sangat mencabar.
“Kita perlu bangkit dan meyediakan pendekatan dan penyelesaian yang inovatif,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Beliau berkata tumpuan adalah untuk melaksanakan usaha transformasi ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.
Tahun lepas kerajaan memperuntukkan RM212 bilion untuk Bajet 2011, iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010. Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi dan RM49.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Najib berkata kerajaan sudah menyediakan kerangka kerja dasar yang kukuh menerusi Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mentransformasikan negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan menjelang  2020.
Beliau juga berkata Rancangan Malaysia Kesepuluh menggariskan strategi-strategi jangka sederhana manakala Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi ekonomi dan kerajaan.
Perdana Menteri berkata inisiatif dasar ini diperkukuh menerusi prinsip 1Malaysia, dengan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat dan peranan dalam “perjalanan transformasi terhebat ini”.
Proses transformasi
“Kini, kita perlu merealisasikan jangkaan-jangkaan yang terhasil menerusi kerangka kerja dasar ini. Kata kuncinya ialah pelaksanaan. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk meningkatkan proses transformasi,” katanya.
Najib juga bangga terhadap kemajuan besar yang dicapai menerusi GTP dan ETP.
Beliau berkata GTP menghasilkan keputusan yang ketara dalam mengurangkan jenayah, kemiskinan dan rasuah, selain meningkatkan akses kepada infrastruktur asas, keputusan pendidikan dan pengangkutan awam bandar.
“Walaupun kita bangga terhadap pencapaian ini, banyak lagi yang perlu dilakukan. Dalam hubungan ini, kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk melaksanakan enam Bidang Keberhasilkan Utama Negara (NKRA) untuk rakyat,” katanya.
Mengenai ETP, Najib berkata sejak pelancarannya pada 25 Oktober tahun lepas, 54 projek permulaan (EPP), yang merupakan 41.2 peratus daripada keseluruhan 131 projek, sudah memulakan operasi.
“Pelaburan berjumlah RM106.4 bilion dijangkakan meningkatkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM153.8 bilion dan mewujudkan 298,865 peluang pekerjaan.
“Ia merupakan pencapaian yang ketara dalam tempoh yang pendek dan momentum itu perlu dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata selain itu, pelaksanaan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), serta aktiviti pelaburan yang semakin meningkat di koridor-koridor wilayah, terutama di Iskandar Malaysia, akan membantu mengekalkan momentum pertumbuhan.
“Kita berjaya menangani kelembapan ekonomi dunia. Ekonomi pulih dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 7.2 peratus pada 2010, melepasi unjuran awal sebanyak 7.0 peratus,” katanya.
Najib berkata prestasi pertumbuhan yang menggalakkan ini disokong oleh aktiviti ekonomi domestik yang pesat.
“Bagi 2011, kita berusaha untuk mencatat pertumbuhan 6.0 peratus,” kata Perdana Menteri, dan menambah “cabaran terus wujud”.
- Bernama

Guru Bahasa Iban kurang



PENGHARGAAN: Dr Sophia menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sebagai
tanda penghargaan dan kenangan di Kuching semalam.

by Agnes Tugong. Posted on September 10, 2011, Saturday



KUCHING: Sarawak menghadapi kekurangan 68 guru Bahasa Iban untuk mengajar bahasa elektif ini di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, setakat ini terdapat 93 guru Bahasa Iban dengan jumlah pelajar seramai 32,000 di sekolah rendah dan 23,000 bagi sekolah menengah.
Justeru bagi menampung keperluan tenaga pengajar dalam Bahasa Iban, jabatan berkaitan buat masa ini akan menghantar guru opsyen ke sekolah-sekolah yang terlibat selain menggunakan guru sedia ada.
“Bahasa Iban diajar di sekolah rendah sejak 1957 dan sekolah menengah sejak 1963 sebagai mata pelajaran tambahan untuk pelajar Darjah Satu hingga Tingkatan Lima.
“Bagaimanapun keperluan untuk tenaga pengajar Bahasa Iban adalah bergantung kepada permintaan terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa ini oleh pihak sekolah sendiri.
“Justeru, permohonan untuk guru Bahasa Iban perlu dikemukakan lebih awal oleh sekolah yang berkaitan kepada jabatan sebelum ia dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat delegasi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pejabatnya, Tingkat 15, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Awal Kanak-kanak Negara Prof Madya Dr Sophia Md Yasin dan Pensyarah Bahasa Iban Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI Dr Rosline Sandai.
Tambah Fatimah, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang bermula pada 2011 ini, Bahasa Iban adalah sebagai mata pelajaran elektif yang wajib diambil pelajar sama seperti bahasa lain iaitu Arab, Cina, Tamil, Semai dan Kadazandusun.
Untuk menampung keperluan tenaga pengajar, maka diwujudkan Fakulti Bahasa Iban di UPSI dengan mengambil 20 orang siswazah sebagai permulaan.
Program Pensiswazahan Guru Bahasa  Iban juga diadakan di Institut Perguruan Kampus Rejang dengan 25 orang peserta.
Selain itu Kursus Dalam Perkhidmatan juga diadakan selama enam minggu di Institut Perguruan Kampus Miri untuk seramai 30 peserta.
“Ini bermakna bahasa Iban, bukan lagi bahasa etnik/sukuan untuk kegunaan dan dituturkan oleh komuniti Iban semata-mata, tetapi sudah berkembang menjadi salah satu bahasa yang dimiliki dan dapat dipelajari rakyat secara keseluruhannya,” kata Fatimah.
Sumber: The Borneo Post

Empat pelajar ditahan kerana serang guru




SANTUBONG: Empat pelajar dari sebuah sekolah menengah di sini ditahan awal pagi semalam berhubung serangan ke atas seorang guru lelaki.
Kesemua pelajar Tingkatan Lima terbabit ditahan di kediaman mereka sekitar jam 1 pagi oleh anggota Unit Jenayah Berat dari ibu pejabat polis negeri.
Bagaimanapun dua pelajar lain dipercayai turut terlibat dalam serangan itu berjaya mengelak daripada pasukan penahan.
Sumber memberitahu serangan itu berlaku di sekolah pada pagi Khamis ketika enam pelajar menghampiri seorang guru lelaki berusia 30-an, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal disiplin lalu menyerangnya dengan topi keledar.
Motif serangan dikatakan sebagai salah faham antara guru terbabit dengan pelajarnya yang berlaku sebelum kejadian.
Guru terbabit yang mengalami lebam di kepala membuat laporan polis selepas kejadian itu. Kesemua pelajar terbabit kini dalam tahanan reman sementara siasatan lanjut dijalankan.
Sumber: The Borneo Post

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...