Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
BINCANG...perbincangan dua hala perlu bagi memastikan masyarakat juga ibu bapa mengetahui konsep pendidikan sebenar. |
DI tengah kekalutan masyarakat antarabangsa yang asyik mahukan kecemerlangan akademik semata-mata, mereka terlupa mengenai sumbangan pendidikan vokasional menjadi penyelamat kepada golongan pelajar tertentu.
Hakikatnya, pendidikan vokasional tidak segah pendidikan konvensional yang tampak lebih berjaya dalam melahirkan pelajar cemerlang serta mendapat pengiktirafan namun kehebatan pendidikan vokasional tidak boleh diketepikan begitu saja.
“Pendidikan ini adalah penyelamat dan harus dibanggakan. Usah malu andai kata anda berpendidikan vokasional kerana sumbangannya tiada nilai meskipun sering kali dianggap sebagai kelas kedua.
“Kalaulah bukan kerana pendidikan ini, saya tidak tahu apa akan terjadi, mungkin saya masih makan gaji, hidup terumbang-ambing atau hanya menikmati kehidupan sederhana, bukan kemewahan seperti ini,” kata presiden Corbin Building Inc, Oakland, Josef Corbin.
SEDIH...kegagalan dalam pelajaran bukan pengakhiran hidup kerana masih ada jalan kejayaan namun perlu kuat untuk mengubah nasib diri. |
Dia adalah contoh kejayaan pelajar vokasional di negara berkenaan yang bukan saja mampu keluar daripada kepompong kegagalan akademik empat dekad lalu malah menjadi antara usahawan berjaya di negeri berkenaan.
Corbin, 54, mengakui pendidikan vokasional sering kali diperlekehkan kerana dianggap kelas kedua selain tidak mampu menjadi jaminan memperoleh pekerjaan yang baik.
Menurutnya, tanggapan itu juga menjadikan masyarakat terus menganggap pendidikan itu tiada nilai selain tidak menyedari sebenarnya pandangan skeptikal itulah yang memberi kejayaan kepada pelajar.
“Masyarakat lebih senang bercerita mengenai kejayaan anak mereka dalam akademik meskipun pencapaiannya tidaklah cemerlang. Mereka berpendapat kecemerlangan itu sudah cukup menjadi aset memasuki kolej atau universiti.
“Manakala pelajar yang tidak cemerlang dan memilih memasuki aliran vokasional dipandang sinis selain tidak diberi harapan untuk berjaya. Apakah tanggapan itu betul apabila mereka melihat kejayaan saya kini?
“Bagi saya, vokasional adalah sesuatu yang hebat bukan untuk diperlekehkan.
Pelajar yang mengikutinya tidak perlu rasa rendah atau susah hati kerana masing-masing mempunyai kelebihan.
“Yang penting bagaimana kita menentu atau mencorakkan pilihan itu dan menjadikan seseorang itu bergelar manusia berjaya sehingga mampu mengatasi kekecewaan lalu,” katanya.
Mengikut fakta yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Bersatu Oakland, kadar keciciran pelajar semakin menunjukkan kebimbangan dan memerlukan pendekatan segera untuk mengatasinya.
Data terbaru menunjukkan 18.2 peratus pelajar di California tercicir daripada pengajian peringkat menengah iaitu dua kali ganda meningkat dari 2010.
Sukarelawan di jabatan berkenaan, Troy Flint, berkata peningkatan itu menunjukkan masyarakat perlu bertindak pantas membantu pelajar tercicir supaya masalah tidak semakin melarat.
“Kini masanya untuk membantu mereka supaya tidak terus tercicir dan menjadi mangsa percaturan pihak tertentu. Tidak perlu lagi bersikap saling menyalah kerana keadaan semakin membimbangkan.
“Masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada aspek yang boleh membantu mereka. Jikalau akademik menjadi puncanya, masih ada alternatif lain boleh membantu.
“Yang penting berikan mereka peluang mencorakkan masa depan. Jika sudah tidak suka pada akademik, fokuskan pula pada vokasional kerana ia juga berguna.
“Percayalah, sikap prejudis dan ego tidak akan membantu. Bolehkah kita hanya berpeluk tubuh semata-mata tidak bersetuju dengan dasar atau tanggapan yang belum tentu benar sedangkan pelajar itu sedang mencari arah hidup,” soalnya.
Paling menakutkan, katanya, apabila mereka dengan mudah terpengaruh dengan anasir membinasakan seperti terbabit dengan samseng dan jenayah sekali gus meningkatkan lagi kadar gejala sosial sedia ada.
Menurutnya, masyarakat tidak boleh terlalu terkongkong dengan tanggapan pendidikan vokasional tidak mempunyai masa depan kerana sekurang-kurangnya ia boleh membantu membina kemahiran bagi mencari pekerjaan kelak.
“Masyarakat mahu hidup selamat dan menolak jenayah tapi tahukah mengapa ia berlaku? Kerana semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan.
“Bayangkan sekiranya kita tidak memberi peluang kepada mereka, apakah yang akan terjadi? Sekurang-kurangnya mereka perlu mencari arah hidup dan tidak memulangkan kesusahan itu semula kepada masyarakat,” katanya mengakui penolakan itu disebabkan kegagalan memahami fungsi sebenar sistem pendidikan diperkenalkan.
“Mereka muda tapi tidak berpelajaran juga tanpa kemahiran pekerjaan, jika mereka terbabit dalam jenayah, adakah masyarakat mahu mempertikaikannya? Sistem pendidikan luas konsepnya namun hairan mengapa masih ada pihak yang tidak boleh menerimanya?
“Adakah ini kerana beranggapan akademik adalah tiket paling besar untuk menjadi gah dan terkenal ataupun sememangnya aliran lain tidak bagus hingga ditolak begitu saja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan sistem pendidikan vokasional mungkin menjadi punca terhadap pandangan serong itu sekali gus mengakibatkan usaha atau penerangan semakin sukar.
“Di sini (Oakland) hanya ada beberapa buah sekolah vokasional dengan tumpuan dalam penjagaan kesihatan. Itu sudah tentu tidak memadai kerana keperluan mencakupi kepelbagaian aspek dan kehendak.
“Memang kami memerlukan penambahan sekolah namun tentu pula berdepan pelbagai masalah lain, bajet, misalnya. Ini cabaran dan dilema paling kritikal kerana membabitkan peruntukan malah tekanan masyarakat juga tidak sehebat ini.
“Tiadanya peruntukan menyebabkan masalah semakin meruncing. Pelajar ini perlu diselamatkan namun jika sekolah tidak ditambah, sudah tentu segalanya gagal begitu saja sekali gus memperjudikan nasib mereka di jalan raya serta jenayah,” katanya kesal.
Sumber: Harian Metro (11.9.2011)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan