PENGHARGAAN: Dr Sophia menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sebagai tanda penghargaan dan kenangan di Kuching semalam. |
by Agnes Tugong. Posted on September 10, 2011, Saturday
KUCHING: Sarawak menghadapi kekurangan 68 guru Bahasa Iban untuk mengajar bahasa elektif ini di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, setakat ini terdapat 93 guru Bahasa Iban dengan jumlah pelajar seramai 32,000 di sekolah rendah dan 23,000 bagi sekolah menengah.
Justeru bagi menampung keperluan tenaga pengajar dalam Bahasa Iban, jabatan berkaitan buat masa ini akan menghantar guru opsyen ke sekolah-sekolah yang terlibat selain menggunakan guru sedia ada.
“Bahasa Iban diajar di sekolah rendah sejak 1957 dan sekolah menengah sejak 1963 sebagai mata pelajaran tambahan untuk pelajar Darjah Satu hingga Tingkatan Lima.
“Bagaimanapun keperluan untuk tenaga pengajar Bahasa Iban adalah bergantung kepada permintaan terhadap pengajaran dan pembelajaran bahasa ini oleh pihak sekolah sendiri.
“Justeru, permohonan untuk guru Bahasa Iban perlu dikemukakan lebih awal oleh sekolah yang berkaitan kepada jabatan sebelum ia dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat delegasi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pejabatnya, Tingkat 15, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan Awal Kanak-kanak Negara Prof Madya Dr Sophia Md Yasin dan Pensyarah Bahasa Iban Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI Dr Rosline Sandai.
Tambah Fatimah, dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang bermula pada 2011 ini, Bahasa Iban adalah sebagai mata pelajaran elektif yang wajib diambil pelajar sama seperti bahasa lain iaitu Arab, Cina, Tamil, Semai dan Kadazandusun.
Untuk menampung keperluan tenaga pengajar, maka diwujudkan Fakulti Bahasa Iban di UPSI dengan mengambil 20 orang siswazah sebagai permulaan.
Program Pensiswazahan Guru Bahasa Iban juga diadakan di Institut Perguruan Kampus Rejang dengan 25 orang peserta.
Selain itu Kursus Dalam Perkhidmatan juga diadakan selama enam minggu di Institut Perguruan Kampus Miri untuk seramai 30 peserta.
“Ini bermakna bahasa Iban, bukan lagi bahasa etnik/sukuan untuk kegunaan dan dituturkan oleh komuniti Iban semata-mata, tetapi sudah berkembang menjadi salah satu bahasa yang dimiliki dan dapat dipelajari rakyat secara keseluruhannya,” kata Fatimah.
Sumber: The Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan