Sabtu, 29 Oktober 2011

Kejutan budaya antara faktor gejala sosial remaja



Utusan Borneo

by Kepu Sidi. Posted on October 29, 2011, Saturday


PRESTASI CEMERLANG: Mawan menyampaikan hadiah kepada Nazira Hassan yang menerima Anugerah Emas Program Nilam pada majlis tersebut.

SARIKEI: Masalah dan gejala sosial dalam kalangan remaja atau lepasan sekolah hari ini sebahagiannya berpunca daripada faktor kejutan budaya.
Ini turut dipengaruhi oleh sikap golongan ini yang kerap terikut-ikut serta mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya, kata Menteri Kanan Negeri dan Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom.
“Dalam membanteras masalah ini agar tidak menjadi satu barah kepada generasi kita pada hari ini, kerjasama semua pihak amat penting terutama dalam meningkatkan kesedaran bahawa tindakan negatif yang diagung-agung dan menjadi ikutan mereka selama ini tidak membawa sebarang kebaikan, khususnya kepada masa depan mereka.
“Ibu bapa, guru dan masyarakat mempunyai peranan yang tersendiri dalam membantu mengatasi masalah ini, dan kita berharap tiada sikap tuding-menuding jari atau tuduh-menuduh di antara satu sama lain, terutama dalam mempersoalkan siapa yang harus dipertanggungjawabkan memikul beban bagi masalah ini,” kata Mawan.
Tambahnya, golongan pelajar khasnya harus menyiapkan diri dengan sekukuhnya  dalam menghadapi alam baru, selepas melangkah keluar dari alam persekolahan peringkat menengah.
“Jika golongan ini berhijrah ke bandar-bandar besar selepas tamat persekolahan peringkat menengah, mereka akan terdedah dengan situasi yang jauh berbeza dengan persekitaran yang telah mereka lalui selama ini.
“Keadaan di pekan kecil atau kampung di mana temapat lahir mereka selama ini amat jauh berbeza dengan bandar-bandar besar.
“Sehubungan itu, kita ingin menasihatkan golongan ini agar menyediakan diri dalam semua aspek khususnya dari sudut disiplin diri, ketabahan, ajaran agama dan lain-lain perkara yang mampu dijadikan panduan untuk menghadapi cabaran yang bakal datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Penyampaian Sijil dan Hadiah bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh, Sarikei di sini semalam.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sri Paoh dihadiri sekitar 500 orang yang terdiri daripada para pelajar, guru, kakitangan sekolah dan para ibu bapa pelajar.
Kata Mawan lagi, kekukuhan dispilin dalam diri seseorang pelajar amat penting untuk memastikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berkualiti tercapai.
Pada majlis sama, Pengetua SMK Sungai Paoh, Lau How Ting dalam ucapan alu-aluannya berkata, walaupun sekolah itu berada di kawasan luar bandar, namun ia telah menunjukkan beberapa prestasi memberangsangkan dan mampu bergerak maju seperti lain-lain sekolah di negara ini.


AMALAN RINGKAS UNTUK PEMANDUAN BERHEMAH


Hampir saban hari termuat di dada akhbar negara kita, berita kemalangan yang meragut nyawa dan kadar kemalangan ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Keadaan ini menjadi lebih parah lagi apabila menjelangnya hari-hari perayaan, seolah-olah musim perayaan itu menjadi perangkap maut yang hanya menunggu untuk membaham mangsa. Kajian menunjukkan peratusan kecuaian manusia penyebab utama sesuatu kemalangan terjadi. Antara amalan ringkas untuk pemanduan berhemah yang boleh dipraktikkan ialah:

1. Apabila berada dalam kesesakan trafik, pastikan anda dalam keadaan tenang. Sentiasa nyalakan lampu isyarat sebelum bertukar lorong untuk menyatakan tujuan anda. Sekiranya anda dipotong pemandu lain, perlahankan kenderaan dan berikan ruang kepada pemandu tersebut untuk masuk ke laluan anda dan lemparkan senyuman kepadanya.
2. Sekiranya anda berada di lorong laju dan seseorang ingin memotong, ke tepi dan biarkan kenderaan itu memotong. Anda mungkin memandu di lorong kanan dalam lingkungan had laju yang sepatutnya, tetapi anda mungkin membahayakan diri anda dengan menimbulkan kemarahan pemandu di belakang anda.
3. Kekalkan jarak sekurang-kurangnya dua saat antara kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan. Sesetengah pemandu akan berasa marah jika diekori terlalu rapat. Sekiranya anda diekori terlalu rapat, beri isyarat dan beri laluan untuk pemandu di belakang anda untuk memotong.
4. Gunakan hon jika perlu. Elak penggunaan hon secara berterusan sekiranya anda berasa marah dengan pemandu lain kerana perkara ini mengundang gejala samseng jalanan spontan.
5. Kekalkan tangan anda di atas stereng dan elakkan membuat isyarat yang boleh menimbulkan kemarahan pemandu lain, termasuklah ekspresi “selamat” seperti menggelengkan kepala.
6. Sekiranya ada pemandu yang naik marah, jangan memandang mata pemandu tersebut.
7. Berikan ruang yang banyak kepada pemandu yang sedang marah. Sekiranya pemandu lain cuba untuk mencetuskan pergaduhan, jauhkan diri anda seboleh mungkin. Pergaduhan tidak akan timbul jika tiada orang yang ikut terlibat. Ibarat bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi.
8. Dapatkan bantuan sekiranya anda merasakan diekori oleh pemandu yang sedang marah dan cuba untuk mencetuskan pergaduhan. Gunakan telefon bimbit untuk menghubungi polis. Jika tiada telefon bimbit, pandu ke kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti balai polis, pasar raya dan hospital. Jangan keluar dari kenderaan atau pulang ke rumah.
Amalkan sikap bersopan santun dan bertimbang rasa. Terimalah kenyataan bahawa anda akan bertemu dengan pelbagai kerenah pemandu di jalan raya, dan perwatakan seseorang akan berubah apabila tangannya memegang stereng kereta. Oleh itu, sematkan budaya biar lambat asal selamat.

MAHAR/ MAS KAHWIN TANDA KASIH SAYANG DAN PEMBERIAN WAJIB KEPADA ISTERI



Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd. Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.Mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 ) Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari ).Mahar Mengikut NegeriPerundangan syariah di negara kita adalah di bawah bidang kuasa setiap sultan di setiap negeri seperti yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga bermakna bahawa perkara-perkara yang berdasarkan perkahwinan adalah berlainan di antara negeri-negeri di Malaysia. Oleh itu anda akan mendapati bahawa wang mahar yang ditetapkan di setiap negeri adalah berlainan.Perbezaan Mas Kahwin dan hantaranTterdapat perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin merupakan pemberian wajib, tetapi hantaran lebih merupakan hadiah kepada pihak isteri.Hantaran adalah tidak wajib dan terpulang kepada pasangan untuk menentukan kadarnya. Tiada kadar minimum hantaran yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Ini berlainan dengan mas kahwin.

Pada keseluruhannya dalam adat Melayu wang hantaran merupakan bantuan bagi pihak isteri untuk belanja kahwin. Ia bertujuan mengurangkan beban isteri dan keluarga isteri dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.
 Ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang kini bakal menjadi pasangannya. Sekiranya wang hantaran telah diserahkan kepada pihak isteri, maka terpulang kepada isteri untuk membelanjakannya.

Mahar Tanda Kasih sayang
Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri.
Pemberian Mahar
Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib. Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e pula diwajibkan mahar bukan disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan. Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak wajib memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.
Kadar MaharIslam tidak menetapkan kadar serta had yang paling maksima dan minima dalam menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah.
Mas kahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Jenis Mahar                                                                 


a)     Mahar Musamma. Mas kahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai mas                                                                                                                 kahwin saudara-saudara perempuan yang lain.Mahar yang disebut dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini. Ulama’ telah bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku salah satu daripada perkara-perkara berikut :-


1) Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
2) Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.
b.    Mahar Misil ( mahar yang sepadan ) Mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu. Ia juga hendaklah  dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti  kakak, ibu saudaranya. Seterusnya menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya. 
Mahar yang tidak disebut jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah, sekiranya berlaku keadaan ini, mahar tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar perempuan yang setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri seperti adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada, maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang setaraf dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga, terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.
Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan, keadaan setempat, keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran , keluhuran budi serta status perempuan tersebut sama ada gadis atau janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat di atas.


Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung
Sebagaimana yang kita sedia maklumi , apabila berlakunya suatu akad nikah yang sah, maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.
Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya berhak mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak mendapat apa-apa mahar langsung daripada suami iaitu :


a) Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila berlakunya perceraian sebelum persetubuhan.
b) Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.
Kesimpulan
Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan untuk menggembirakan dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.
Sebenarnya mas kahwin bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil tanggungjawab menjaganya. Kalaulah wanita itu hendak dinilai dengan harga dan perlu ditawarkan dengan mas kahwin, sudah tentu tidak ternilai dengan wang,

Disunting dan rujukan dari  Jabatan Agama Islam WPKL

AKTA SIHIR WAJAR MENCAKUPI SIVIL DAN SYARIAH







Syor Menggubal Akta Kesalahan Jenayah Sihir
Kerajaan baru-baru ini disaran menggubal Akta Kesalahan Jenayah Sihir bagi membendung amalan sihir yang semakin berleluasa dewasa ini. Ramai memberi komentar berkaitan isu itu yang turut menarik perhatian  pengamal undang-undang sivil dan syariah. 
Sihir iaitu ilmu diperkenalkan syaitan kepada manusia akan mengundang kemudaratan sama ada kepada orang yang mengamalkan ataupun mangsanya.
Sihir Berkaitan Dengan syaitan
Menurut Datuk Dr Haron Din, sihir adalah ilmu tersembunyi, seni yang memerlukan kemahiran khusus menerusi tumpuan kepada amalan kebatinan secara berhubungan dengan makhluk halus untuk mendapatkan kekuatan batin.
Pengamal sirih boleh menghasilkan perkara luar biasa, mencarik adat, memukau dan mangsa mematuhi apa saja kehendak pengamalnya dengan terpaksa.
Pendapat Mengenai Sihir
* Wahid Abdul Salam Bali pula mengatakan, sihir adalah permuafakatan dan persetujuan antara ahli sihir dengan syaitan untuk bersama melakukan sesuatu yang diharamkan Allah SWT bagi mengenakan kemudaratan terhadap mangsa menerusi amalan syirik kepada Allah SWT.
* Ibnu Khaldun pula berpandangan sihir adalah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif terhadap mangsa dengan menggunakan anasir jahat daripada kekuatan kuasa ghaib (makhluk halus) atau sebagainya bagi tujuan jahat secara tersembunyi.
* Al-Quran dan al-Sunnah ada menyebut mengenai ilmu sihir ini. Malah Rasulullah sendiri diriwayatkan pernah disihir oleh kaumnya. Dalam Islam, sihir memang dilarang dan membawa kepada kekufuran.

Sihir Satu Kesalahan Jenayah
Jika syor penggubalan Akta Kesalahan Jenayah Sihir diterima kerajaan, Malaysia bukan negara pertama yang akan menggubal akta kesalahan jenayah sihir. Beberapa negara lain seperti China, Afrika dan Amerika Latin sudah mempunyai undang-undang kesalahan sihir. Malah, Australia juga pernah mempunyai undang-undang sama tetapi sudah dimansuhkan pada 2008.
Berbalik kepada syor menjadikan sihir suatu kesalahan jenayah, penulis bersetuju dengan saranan sedemikian. Namun, beberapa aspek perlu dilihat bagi memperkemaskan undang-undang itu.
Undang-Undang membanteras amalan sihir tidak hanya perlu dilihat dari kacamata undang-undang jenayah, tetapi hendaklah juga terpakai kepada undang-undang lain sama ada sivil ataupun syariah kerana sihir juga berlaku dalam keluarga, perniagaan dan persahabatan.
Sihir Mencakupi Mahkamah Syariah dan Sivil
Sihir bukan saja membabitkan orang Islam, bukan Islam juga ramai mengamalkannya. Masyarakat bukan Islam di Malaysia dan di luar negara juga tidak asing daripada gejala sihir. Oleh itu, jika sihir diletak di bawah ruang lingkup Mahkamah Syariah jika diperkenalkan, bukan Islam akan terlepas dari kawalan undang-undang itu. Undang-Undang ini haruslah mencakupi Mahkamah Syariah dan Sivil.
Kesukaran Membuktikan Sihir
Pembuktian adalah masalah paling utama bagi mensabitkan kesalahan mengamalkan sihir disebabkan sihir menggunakan makhluk halus yang tidak dapat dilihat mata kasar.
Kesukaran membuktikan sihir sebenarnya berlaku di dua peringkat iaitu pertama, bagi membuktikan amalan itu adalah sebenarnya amalan sihir. Kedua, bagi membuktikan orang itu mengamalkan sihir dan terkena kepada mangsa tertentu.
Sudah pasti isu ini mendatangkan kesukaran bagi pihak berkenaan membuktikannya di mahkamah. Jalan bijak pada pandangan saya ialah pihak berkenaan menubuhkan badan khas dianggotai pakar berkredibiliti tinggi termasuk kalangan ulama.
Mereka ini disaring dan dipastikan benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan diberi tanggungjawab untuk memperakukan mengenai amalan sihir serta kesannya. Perakuan dan asas perakuan itu dibawa ke mahkamah dan diterima oleh mahkamah sebagai keterangan yang konklusif.
Dengan cara itu, pakar ini tidak disoal balas di mahkamah dan tidak tertakluk kepada prosedur rumit pembuktian di mahkamah seterusnya dapat membantu mahkamah membuat keputusan yang tepat.
Sihir Adalah Diharamkan
Menurut Dr Haron, ilmu sihir yang dikatakan sudah muncul sejak zaman Nabi Idris lagi bukan saja diharamkan Islam malah agama lain seperti Yahudi dan Nasrani.
Memang selama ini tidak ada undang-undang yang menjadikan satu kesalahan bagi mengamalkan sihir. Natijahnya, amalan sihir berleluasa dan mangsa sihir kian bertambah. Sudah sampai waktunya kerajaan mengambil inisiatif memastikan gejala sihir tidak terus merebak.
Bagaimanapun, syor di atas perlu diteliti dengan mendalam bagi mengelak undang-undang ini diperlekehkan dan sabitan kes jenayah sihir menjadi suatu yang terlalu ideal. Saya mengesyorkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan Jabatan Peguam Negara yang dianggotai oleh ulama dan pakar perundangan Islam.
Dengan cara ini undang-undang bakal digubal akan menjadi undang-undang yang komprehensif, dinamik dan boleh menyekat amalan khurafat dan syirik seperti sihir. Walaupun nampak sukar untuk dilaksanakan, masih ada ruang yang boleh dimanfaatkan dari sudut undang-undang, prosedur dan keterangan bagi melaksanakan kawalan terhadap fenomena sihir ini.

Disunting dari sumber :  Akhbar Berita Harian
Artikel ini ditulis oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

ETIKA BEDAH SIASAT MAYAT MENURUT ISLAM






Kaedah melakukan bedah siasat mayat bukanlah sesuatu yang mutlak. Individu atau kumpulan yang terlibat dalam urusan bedah siasat mayat perlu memenuhi etika yang digariskan oleh syarak antaranya, menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup. Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Israa‘ ayat 70. Maksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Menyegerakan Urusan Bedah Siasat Mayat
Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Segeralah penyelesaian pengurusan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu”. (Riwayat Muslim)
Kebenaran Waris
  • Bagi kes-kes bedah siasat klinikal, Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.
  • Bagi kes-kes bedah siasat medicolegal kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

Melakukan Bedah Siasat Dengan Cermat (tidak kasar)
Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Dari Aisyah r.a. Rasulullahlah s.a.w. bersabda;
“Memecahkan/mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya /mematahkannya sewaktu hidupnya”.
(Riwayat Abu Daud)
Melakukan Bedah Siasat Mayat Setakat Yang Diperlukan Sahaja
Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal pasti sebab-sebab kematian.Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu ‘perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya’.
Menjaga Aurat Mayat
Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali k.m.j., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kamu nyatakan (perlihatkan) paha mu,dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati”.
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami (IslamicFiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut;

a. Doktor perempuan Muslim pakar
b. Doktor perempuan bukan Muslim pakar
c. Doktor lelaki Muslim pakar
d. Doktor lelaki bukan Muslim pakar Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-syarat seperti berikut;
  • Tidak bersendirian
  • Menahan pandangan mata
  • Menyentuh di tempat yang berkaitan
  • Menyediakan doktor pakar mengikut jantina
Menjaga Rahsia Mayat
Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

Tidak Menghina, Mencemuh dan Memaki Mayat
Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina,mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


“Dari Ibnu Umar telah berkata: Sabda Rasulullahlah s.a.w.: Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka”. (Riwayat at-Tirmizi)

Mengambil langkah-langkah keselamatan
Pegawai dan Petugas perubatan kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko terutamanya bagi kes penyakit berjangkit.

Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya:
  • Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.
  • Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurnakan dan dikebumikan.
  • Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenal pasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah di sempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah ditanam atau diserah kepada waris atau pihak bertanggungjawab.
  • Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.
Tidak Mengambil Tisu atau Organ Mayat
Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang. (Akta Tisu Manusia 174 - Akta 130).

Orang Yang Dibenarkan Hadir Semasa Bedah Siasat Mayat
Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Koma oleh ‘penguat kuasa’


Sumber:
Utusan Borneo

Posted on October 29, 2011, Saturday



TUNTUT KEADILAN: Yusri ditemani ayahnya (kiri) ketika ditemui media di Lawas.


LAWAS: Anak Ketua Kaum Kampung Serdang Lawas yang koma selama dua hari kerana kecederaan di kepala selepas mendakwa dipukul oleh anggota penguat kuasa menyifatkan kejadian malang terhadapnya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Mangsa, Yusri Usop, 37, mendakwa beliau diserang oleh tiga lelaki bertopeng dan bersenjata ketika mengail udang di Sungai Merapok, berdekatan dengan sempadan Sabah pada 25 September lalu.
Ayah mangsa, Ketua Kaum Kampung Serdang Lawas, Usop Ibrahim kesal kerana belum ada tindakan dikenakan ke atas anggota berkenaan atas kekasaran yang dilakukan terhadap anaknya.
Yusri mendakwa, selain tangannya diikat, kepalanya juga dipijak dan badannya ditendang berkali-kali.
Kata Yusri, salah seorang daripada mereka memperkenalkan dirinya sebagai ‘anggota’ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Cawangan Labuan.
Yusri menjelaskan, dia kemudiannya dihentak di kepala dengan pangkal senapang oleh ‘anggota’ terbabit yang menyebabkannya pengsan.
Mangsa yang mengalami kecederaan serius dibantu oleh dua rakan nelayan yang membawanya ke Hospital Lawas sebelum dirujuk semula ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah yang terletak tiga jam perjalanan.
“Anak saya koma selama dua hari. Saya kesal dengan tindakan kasar dan salah guna kuasa mereka. Saya rasa ramai nelayan di sini pernah dikasari yang menyebabkan mereka takut keluar ke laut,” jelas Usop.
Menurutnya, anaknya masih trauma dengan kejadian itu dan belum bersedia untuk keluar ke laut bagi mencari rezeki menyara keluarga dan tiga anaknya yang bersekolah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Fauzilan Abdul Aziz mengesahkan bahawa mangsa telah melaporkan kejadian berkenaan kepada mereka.
Menurut Fauzilan, siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kejadian itu.

Senapang patah, barang curi dirampas


Sumber:
Utusan Borneo

by Rosemaria Buma. Posted on October 29, 2011, Saturday

RAMPAS: Jamaluddin (tengah) menunjukkan selaras senapang patah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di Miri awal pagi semalam sambil disaksikan Nixon (kanan) dan Khusaini.


Polis Miri yakin selesai beberapa kes pecah rumah ekoran dua serbuan berasingan


MIRI: Polis Miri semalam merekodkan dua kejayaan apabila merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri dan beberapa barangan curi bernilai RM10,000 dalam dua serbuan berasingan di Jalan Airport dan Desa Senadin di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim berkata, berikutan dua serbuan itu, polis menangkap dua lelaki dan seorang perempuan dalam serbuan pertama yang dilakukan di sebuah rumah di Desa Senadin dan seorang lagi lelaki dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di sini.
“Kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang berlaku di sekitar bandar raya ini dengan tertangkapnya tiga suspek dalam serbuan pertama di Desa Senadin tengah malam semalam,” katanya.
Beliau memberitahu demikian pada sidang media yang diadakan di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini, pagi semalam.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri, Deputi Superintenden Polis (DSP) Nixon Joshua Ali dan pengawai penyiasat kes, Inspektor Khusaini Sulaiman.
Menyentuh lanjut kes itu, Jamaluddin berkata, dalam serbuan pertama sekitar jam 12.30 tengah malam, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Polis (ASP) Cheong Soon Yew dari Bahagian Siasatan Jenayah Miri telah menangkap dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 28 tahun serta seorang perempuan, 17 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar bandar raya ini.
Dalam serbuan sama, katanya, polis merampas dua komputer riba, dua kamera, lima unit telefon bimbit dan empat utas jam tangan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000 untuk dijadikan barang kes kerana dipercayai harta curi.
“Kita turut menjumpai dan merampas dua paket plastik kecil lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek terbabit kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk membantu siasatan kes mengikut Akta 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, menurut Jamaluddin, dalam serbuan kedua yang dilakukan jam 6 pagi di sebuah rumah di Pin Fook Garden, Jalan Airport di sini, polis telah menangkap seorang lelaki berusia 30-an dan merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri.
“Tangkapan ke atas suspek telah dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana kesalahan memiliki senjata api tanpa memiliki lesen atau permit yang sah,” ujar beliau sambil memberitahu tiada peluru dijumpai dalam senapang berkenaan.
Katanya, suspek yang merupakan pekerja di sebuah syarikat swasta akan dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ada memiliki senjata api hendaklah mendapatkan lessen yang sah untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang termasuk didakwa di mahkamah.
Pada masa sama, Jamaluddin terus mengharapkan kerjasama yang padu daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat yang berkualiti dalam membantu polis membanteras kegiatan jenayah di bandar raya ini.


Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...