Sumber
Utusan Borneo
KUCHING: Geng penyeluk saku wanita yang menyasari pelanggan di pusat beli-belah berjaya diberkas, malam kelmarin.
Suspek berjaya ditangkap ketika menjalankan kegiatan itu di sebuah pusat beli-belah di sini.
Perkara itu terbongkar selepas seorang wanita berusia 28 tahun dari Kampung Semariang lama diserahkan kepada pihak polis malam kelmarin berikutan aduan daripada dua pelajar wanita berhubung kecurian dompet.
Kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar universiti berusia 19 dan 23 tahun berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 7.30 malam apabila mereka dan dua yang lain menggunakan eskalator selepas makan di medan selera di tingkat bawah pusat beli-belah tersebut.
Mereka mendakwa, tiga wanita tidak dikenali memakai selendang yang berjalan datang dari arah bertentangan ‘terlanggar’ mereka dan berpura-pura mahu terjatuh kerana hilang keseimbangan badan dan pada masa sama, suspek cuba menyeluk dompet di dalam beg tangan mangsa dengan melindungi tangannya menggunakan selendang.
Mangsa memberitahu, percubaan pertama suspek tidak berjaya dan kedua-dua pelajar tersebut memeriksa beg tangan masing-masing untuk memastikan barang masih di dalam beg, dan kemudian menuju ke eskalator itu tanpa menoleh ke arah suspek.
“Kami bukan datang dari Kuching, jadi kami tidak mahu menimbulkan apa-apa masalah walaupun kami tahu mereka cuba untuk mencuri barang kami,” kata kedua-dua pelajar terbabit ketika ditemui di Balai Polis Simpang Tiga.
Suspek bagaimanapun tidak putus asa dan sekali lagi cuba menyeluk beg tangan mangsa dengan menggunakan taktik sama sebelum berjaya mencuri dompet mangsa.
Suspek bersama rakan-rakan subahat yang masih bebas kemudiannya berjalan berlainan arah selepas berjaya mencuri dompet mangsa.
Pelajar terbabit yang menyedari dompet di dalam beg tangannya hilang bergegas melaporkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan di situ yang berjaya menahan suspek.
Dua wanita lain yang disyaki terlibat sama turut ditahan di tingkat dua pusat beli-belah tersebut dan bertindak menyoal siasat mereka secara berasingan.
Namun, dua daripada wanita terbabit dilepaskan selepas mendakwa tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak mengetahui apa yang telah terjadi.
Manakala, seorang lagi wanita yang turut menafikan melakukan jenayah itu bagaimanapun mengaku dalam satu kenyataan kepada pengawal itu bahawa dua wanita yang dilepaskan itu adalah rakannya.
Dompet yang hilang mengandungi kira-kira RM100, kad ATM dan dokumen peribadi, bagaimanapun tidak dijumpai bersama suspek.
Suspek bagaimanapun diserahkan kepada pihak polis dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Berikutan kejadian itu, pelajar yang kehilangan dompet berkenaan berkata dia memaklumkan pihak bank untuk membuat sekatan pengeluaran ke atas ATM kadnya, tetapi diberitahu bahawa ia telah disekat secara automatik selepas seseorang memasukan Nombor Pin yang salah sebanyak tiga kali ketika hendak membuat pengeluaran wang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan