Jumaat, 21 Mei 2010

Letakkan 'Cikgu' Pada Martabatnya

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca Wadah Pajak Song.

Sambutan Hari Guru Tahun 2010 sangat bermakna terutama dalam kalangan mereka yang bergelar Cikgu. Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan tiga insentif sebagai ganjaran dan apresiasi kepada guru yang komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan kebangsaan. Insentif pertama ialah isu beban tugas sampingan yang sudah begitu lama dan boleh dianggap basi yang begitu lama diperjuangkan guru sejak pertengahan tahun 1970 an. Insentif kedua ialah kenaikan pangkat sekaligus menyediakan laluan profesion lebih baik menjadikan profesion perguruan sama kompetetif dengan penjawat-penjawat awam di dalam perkhidmatan lain. Insentif yang ketiga ialah tawaran baru iaitu ganjaran berbentuk kewangan kepada pengetua, guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah melepasi sasaran skor komposit yang ditetapkan.

Kepadatan pelajar dalam sesebuah kelas merupakan faktor yang menyumbang ke arah menambahkan beban tugas guru-guru kualiti murid-murid. Guru-guru terpaksa berdepan dengan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas yang sesetengahnya mencecah 45 hingga 50 murid-murid. Implikasinya, guru hilang fokus mengajar dan turut mengalami tekanan emosi dengan telatah murid-murid millenium yang sentiasa disokong ibu bapa yang serba tahu. Cadangan mengehadkan murid kepada 25 orang bagi setiap kelas harus diperhalusi dan diberi perhatian serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Apabila kelas 25 murid diwujudkan, kerajaan mesti menyediakan fasiliti yang secukupnya terutama penambahan bilik darjah. Pada pandangan penulis, untuk mewujudkan kelas dengan 25 pelajar, memerlukan satu perancangan bersepadu dan memerlukan sejumlah peruntukan besar.

Berhubung kenaikan pangkat berdasarkan Time-Based , Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mempercepatkan pemprosesan kenaikan pangkat Time-Based seperti daripada Gred DG 44 kepada DG 48. Harap perkara ini juga diberi perhatian oleh kerajaan. Guru-guru yang berada di dalam gred DG 41 terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk ke Gred DG 44. Bagi guru-guru yang layak terpaksa tunggu setahun dan ada yang bertahun-tahun menunggu surat kenaikan pangkat DG 44 dari JPA. Apapun, skim gaji Gred DG 41 dan DG 44 perku dikaji semula oleh kerajaan. Kerajaan terlalu sibuk mengkaji skim gaji Kakitangan Sokongan I dan II. Kononnya untuk merapatkan jurang pendapatan antara kakitangan sokongan dengan kumpulan Pengurusan dan Profesional. Bagaimanakah dengan nasib kumpulan Pengurusan dan Profesional di dalam Perkhidmatan Awam? Kumpulan ini termasuklah guru-guru yang berhempas pulas mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian mendapat gaji yang sama dengan penjawat awam di dalam Kumpulan Sokongan I dan II. Bagaimana kerajaan dapat memenuhi hasrat untuk meletakkan guru-guru pada martabatnya? Penulis pun hairan dengan perjuangan Kesatuan-Kesatuan Guru di Malaysia yang meminggirkan kumpulan guru-guru di dalam Gred DG 41 dan DG 44.

Bagi mengurangkan beban tugas guru, kerajaan boleh mewujudkan jawatan-jawatan baru di sekolah seperti Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DG 41, Penolong Jurulatih Ko-Kurikulum Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Peperiksaan Gred DG 41, Pembantu Penolong Pengawai Pengurusan Peperiksaan Gred DGA 29, Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DG 41, Penolong Pegawai Pengurusan Hal-Ehwal Murid Gred DGA 29 seperti yang wujud di Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Guru hanya fokus kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Sekiranya seseorang ingin memegang jawatan Jurutera, dia mesti memilki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan. Jika seseorang ingin digelar doktor, dia mesti memegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan. Jika seseorang ingin digelar arkitek, dia mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Senibina. Begitu juga guru, seseorang itu mesti memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Justeru, penulis berharap agar diwujud jawatan Pembantu Guru untuk membantu Cikgu sepertimana wujud jawatan Pembantu Jurutera untuk membantu Jurutera, Pembantu Perubatan untuk membantu Doktor, Pembantu Arkitek untuk membantu Arkitek.

Tanpa guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan dan mendidik anak-anak murid hingga berjaya ke peringkat pengajian tinggi, mereka tidak mungkin menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa- Terima Kasih Cikgu. Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan bahawa lebih 100,000 calon memohon untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan Guru seterusnya menyertai profesion paling popular ini. Begitulah hebatnya daya tarikan profesion guru di Malaysia.

Apapun insentif yang diumumkan sempena sambutan Hari Guru Tahun 2010 membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan profesionalisme perguruan dan sebagai balasan, guru perlu menunjukkan komitmen dalam memastikan negara mampu melahirkan generasi muda berilmu dan berakhlak.

Sekian,

MD RASUL BIN HARON
SMK SELAYANG BHARU
BATU CAVES
SELANGOR



Isnin, 17 Mei 2010

Sambutan Hari Guru Di SMK Selayang Bharu


Pada 17.5.1970 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Selayang Bharu, Batu Caves telah diadakan Sambutan Hari Guru 2010. Saban tahun kita menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan besar para guru. Menyelami setiap cabaran yang mesti diharungi oleh guru dalam memenuhi tuntutan kemajuan negara dan membentuk keperibadian insan yang mulia, kita perlu memahami bahawa guru sebenarnya memikul amanah yang besar. Melaksanakan amanah ini pula bukanlah satu tugas yang mudah . Harapan masyarakat terhadap guru amat tinggi dan cabaran yang dihadapi bukannya sedikit.
Sukar dinafikan, siapapun diri kita dan apa jua diri dan kedudukan kita, semuanya adalah berkat tunjuk ajar ada bimbingan para guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu. Justeru sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun adalah sebagai ingatan terhadap jasa dan pengorbanan guru yang seringkali menjadi seperti lilin membakar diri demi menerangi orang lain.

Pelbagai acara diatur untuk sambutan Hari Guru pada tahun ini. Pengerusi Kelab Guru dan Staf Sokongan, Encik Azuan bin Abdul Aziz melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama semua pihak baik ahli-ahli mahupun pelajar-pelajar yang terdiri daripada pengawas-pengawas sekolah dalam menjayakan program tersebut. Pendapat beliau disokong oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Tarmizy bin Hasan, Naib Pengerusi Kelab Guru dan Staf Sokongan SMK Selayang Bahru. Selain acara persembahan daripada Kumpulan Giat Budaya SMK Selayang Bharu di bawah Pengurus Seni Persembahan, Puan Nor Hafidah binti Abdul Hanit, pelajar-pelajar dan guru-guru, pertandingan 'dart', bola tampar, congkak dan ping pong  turut diadakan. Encik Joshua Hooi Chee Shing turut diberi Anugerah 'Wedding Of The Year' dan menerima cenderamata sebagai Pengantin Terbaru SMK Selayang Bharu. Ini menimbulkan semangat baru untuk Encik Ramadan bin Jamaluddin dan Encik Mohd Zul Fahmi bin Abd Rashid untuk berebut gelaran 'Wedding Of The Year' pada tahun 2010. Tokoh Guru SMK Selayang Bharu, dirangkul oleh Puan Norlilah binti Ismail, Guru Penolong Kanan HEM. Guru-guru popular pada kedua-dua sesi turut diberi penghargaan. Encik Jasmin bin Jalil dan Puan Meriam Bi Binti Sulaiman mendominasi anugerah Guru Paling Popular Sesi Pagi manakala Encik Mohd Mirashab bin Mohamad Hussein dan Cik Siti Norazwane binti Abd Rahman mendapat undian tertinggi sebagai Guru Paling Popular Sesi Petang.  Guru-guru perempuan yang melahirkan anak turut diberi cenderamata. Guru-guru yang menyambut hari lahir bermula Januari hingga Mei turut diberi cenderamata. Penulis turut bertuah kerana pada hari yang sama, turut diraikan hari lahir yang ke 40 tahun. Persembahan daripada pelajar-pelajar begitu mengkagumkan hati dan perasaan guru-guru. Lagu dendangan secara berkumpulan pengawas-pengawas sekolah membuktikan keunggulan Puan Rabiah binti Jawa memimpin kumpulan tersebut ke peringkat antarabangsa. Penulis bersama Encik Mohd Mirashab bin Mohamad Hussein mendeklamasikan sajak luahan rasa Usman Awang 'Guru O Guru'.
Pada kesempatan ini, penulis mengucapkan Selamat Hari Guru 2010  kepada semua kawan-kawan penulis di Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah Gombak, Guru-Guru SMK Seri Gombak dan Guru-Guru di SMK Selayang Bharu.Dalam era globalisasi kini kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan tidak lagi berfungsi sekadar untuk mengisi keperluan lokal tetapi memenuhi tuntutan global.








Khamis, 13 Mei 2010

Pertandingan Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Gombak 2010


SMK Selayang Bharu, Batu Caves, Selangor-13 Mei 2010
Pertandingan Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Gombak 2010 telah diadakan di Dewan Mutiara Budi SMK Selayang Bharu. Menurut Penyelaras Pertandingan, Pn Mahaletchimi a/p Balakrishnan persiapan untuk majlis tersebut sudah bermula sejak berakhirnya Pertandingan Peringkat Zon. Sebanyak 4 buah sekolah yang mewakili zon masing-masing terlibat di dalam pertandingan ini iaitu SMK Selayang Bharu, SMK Seri Keramat, SMK Sungai Pusu dan SBPI Rawang.

Persediaan awal telah dibuat oleh pihak penganjur meliputi aspek teknikal, latihan pemantun, jamuan, tempat kuarantin, hadiah dan sijil serta majlis penutupan rasmi. Puan Arfah binti Abd Rahman, Pengetua SMK Selayang Bharu merangkap Pengerusi Pertandingan Pantun Daerah Gombak 2010 sentiasa menyokong penuh dengan usaha pihak Urusetia untuk menjayakan program tersebut demi mengangkat martabat pantun ke dalam arus perdana. Saingan sengit di antara pasukan-pasukan pantun tidak dapat dinafikan dan menyukarkan Para Hakim pantun yang diketuai Puan Nooraziah binti Abdullah KS Ko Akademik Daerah Gombak.

Keputusan akhirnya telah menjulang nama pasukan pemantun dari SMK Sungai Pusu sebagai Johan Pertandingan Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Gombak 2010. Pasukan pemantun dari SMK Selayang Bharu memberi saingan maha sengit dan hanya dinobatkan sebagai Naib Johan. Tempat ketiga dikongsi bersama pasukan pemantun SBPI Rawang dan SMK Seri Keramat. Apapun Adik Farah Shuhada, pemantun karisma SMK Selayang Bharu diiktiraf sebagai Pemantun Terbaik Daerah Gombak 2010.
Majlis perasmian penutup turut dihadiri Puan Rohani binti Jaafar, Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Arfah binti Abd Rahman, Pengetua SMK Selayang Bharu dan Encik Ahmad Shukri bin Mansor, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Gombak. Pihak Jawatankuasa Penganjur merakamkan sekalung budi junjungan kasih kepada;
· Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Gombak
· Pentadbir SMK Selayang Bharu
· KS Ko Akademik Daerah Gombak
· Jemaah Hakim
· Guru-Guru Pengiring
· Panitia Bahasa Melayu SMK Selayang Bharu
· Ahli-ahli Persatuan Bahasa Melayu dan Pelajar-Pelajar SMK Selayang Bharu yang terlibat dalam menjayakan Pertandingan Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Gombak Tahun 2010
Akar keladi melilit selasih
selasih tumbuh di hujung taman
Kalungan budi junjungan kasih
mesra kenangan sepanjang zaman

Segarnya melur kembangan pagi
Indahnya alam ciptaan Tuhan
Dengan adanya majlis pantun ini
semoga dapat meningkatkan perpaduan

Sekian,
MD RASUL BIN HARON (mrasulharon@yahoo.com.)atau(mrasul).haron@moe.gov.my
Guru SMK Selayang Bharu





Selasa, 11 Mei 2010

Hak Kanak-Kanak Di Usia Kanak-Kanak

Kepada semua ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah di SMK Selayang Bharu, Batu Caves, Selangor secara khususnya dan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Anak-anak anda mempunyai hak untuk menjadi anak -anak yang penuh berdisplin. Bantulah anak-anak ini, tunjukkan contoh tauladan yang baik. Bukan berbangga dengan keupayaan anak membawa motosikal tanpa lesen. Bukan mendabik dada sambil menunjukkan muka riang apabila anak-anak melawan guru-guru dengan pelbagai aksi dan mimik muka seperti terkena cuka getah. Yang menghairankan penulis, kebanyakan ibu bapa yang selalu menyalahkan guru-guru dan pihak sekolah adalah terdiri daripada mereka yang sendiri tidak pernah habis persekolahan suatu masa dahulu. Kini, sudah pandai bercakap mengalahkan anjing menyalak bukit. Sana tidak betul. Sini tidak betul. Dari pagi sampai ke pagi esoknya, lepak di kedai kopi. Minum teh tarik sahaja berjam-jam. Apa yang dibualkan amat menimbulkan tanda tanya pengunjung lain yang menikmati roti canai sebagai tuntutan sarapan sebelum pergi bekerja. Penulis pun hairan bagaimana mereka ini memberi pendapat tentang ekonomi dunia, politik dunia dan tentang orang lain, sedangkan banyak masa dihabiskan di kedai kopi. Berilah keutamaan kepada anak-anak. Bimbing dan nasihatilah anak-anak tanpa mengenal jemu agar mereka tidak mengulangi sejarah kedai kopi yang kita bina. Tunaikan hak asasi anak-anak kita seperti dituntut oleh agama Islam.
Pembaca yang dikasihi sekalian,
Persoalan besar yang timbul ialah apakah pandangan Islam mengenai kedudukan kanak-kanak ini? Islam telah memperuntukkan hak tertentu kepada kenak-kanak merangkumi sebelum dan selepas anak dilahirkan. Hak asasi kanak-kanak Islam berdasarkan hukum syarak antaranya seperti berikut:
*Menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga anak sewaktu dalam kandungan daripada unsur kecederaan
*Anak dalam kandungan berhak hidup. Oleh itu sebarang pengguguran atau perbuatan yang boleh menggugurkan kandungan tanpa alasan syarak adalah dilarang
*Setiap anak mempunyai hak dari segi fizikal dan moral. Hak fizikal termasuklah hak pemilikan sesuatu, menerima pusaka, wasiat dan kurniaan. Hak dari segi moral pula ialah mempunyai nama yang baik, mengetahui siapa ibu bapa sebenar mereka, mengetahui ahli waris terdekat, mendapat bimbingan agama serta pendidikan kemahiran dan latihan sebagai persediaan menghadapi hidup di masa depan
*Kanak-kanak yang tidak bernasib baik seperti orang kurang upaya atau anak yatim mempunyai hak yang sama seperti kanak-kanak yang lain
*Kanak-kanak yang berumur dua tahun pertama berhak mendapat penyusuan penuh daripada ibunya
*Ibu bapa dan masyarakat dilarang mengeksploitasikan kanak-kanak sebagai buruh sama ada dalam pertanian, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan yang lain
*Dilarang juga menyalahgunakan hak kanak-kanak, membahayakan nyawa kanak-kanak, melakukan eksploitasi seks terhadap kanak-kanak, menyalahguna harta kanak-kanak serta mendera pemikiran kanak-kanak atau sebarang tindakan zalim yang lain.
Sekian. Semoga mendapat iktibar.
Md Rasul bin Haron
SMK Selayang Bharu

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...