Khamis, 24 November 2011

PM bentang usul mansuh tiga proklamasi darurat


Sumber:
malaysiakini.com
Hazlan Zakaria
8:33AM Nov 24, 2011


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan usul memansuhkan tiga Proklamasi Darurat pada persidangan Dewan Rakyat.
Proklamasi darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu itu adalah:
  • Perisytiharan Darurat 1966 di Sarawak.
  • Perisytiharan Darurat 1969 di Persekutuan.
  •  Perisytiharan Darurat 1977 di Kelantan.
Proklamasi Darurat 1969 dikeluarkan pada 15 Mei 1969 berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei tahun itu.

Sementara itu, Proklamasi Darurat 1966 dan Proklamasi Darurat 1977 yang masing-masing dikeluarkan pada 14 Sept 1966 di Sarawak dan 8 Nov 1977 di Kelantan bertujuan menyelesaikan pertikaian politik yang berlaku di kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri semasa membentangkan usul itu berkata langkah memansuhkan proklamasi-proklamasi darurat itu dilakukan berikutan keadaan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam pada masa proklamasi itu berkuatkuasa, tidak lagi wujud pada masa ini.

Undang-undang yang masih berkuatkuasa selepas diperkenalkan lebih 40 tahun itu membolehkan polis menggunakan kuasa-kuasa khas yang diperuntukkan dalam Ordina Darurat bagi menangkap dan menahan orang ramai tanpa perlu dibicarakan.

Najib pada malam 15 September lalu sempena perutusan Hari Malaysia, mengumumkan keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang dianggap tidak lagi relevan hari ini.

Katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

SOALAN LAZIM BERKAITAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS(MBMMBI)



SUMBER:
Blog Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia(Blog KPM)






1.
Apakah itu Dasar MBMMBI?

Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul.


2.
Apakah perbezaan antara Dasar PPSMI dan Dasar MBMMBI?

Dasar PPSMI menetapkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran (p&p) sains dan matematik di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah menengah.

Dasar MBMMBI menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah  jenis kebngsaan Tamil.


3.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan  bahasa Malaysia sebagai bahasa p&p sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu p&p,  transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan  serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam p&p.


4.
Mengapakah Dasar MBMMBI diperkenalkan?

Kajian yang dijalankan oleh pelbagai pihak mendapati PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian juga mendapati murid sukar memahami mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris.  Hal ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan. Kajian KPM juga menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan p&p sains dan matematik dalam bahasa Malaysia.


5.
Bagaimanakah pendekatan soft landing dilaksanakan di sekolah?

Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, p&p sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti p&p sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, p&p matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.


6.
Bagaimanakah guru dilatih untuk melaksanakan Dasar MBMMBI?

KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:
  1. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
  2. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
  3. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
  4. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5

BPG juga mengendalikan program latihan dan peningkatan profesionalisme guru bagi mata pelajaran BM dan BI:

Latihan untuk bahasa Malaysia:
  i.        Kursus Pendek Kelolaan Institusi (KPKI)
  ii.       KDP 4 Minggu
  iii.      Kursus Kolaboratif Dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka

Latihan untuk bahasa Inggeris:
    i.      Kursus Pemantapan Profisiensi Guru Bukan Opsyen bahasa Inggeris
    ii.     Kursus Peningkatan Pedagogi Guru Opsyen bahasa Inggeris
    iii.    Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris



7.
Bagaimanakah kita memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang berkualiti?(BPG/ELTC/IPGM)

Institut Pendidikan Guru
a.  IPG akan memantau prestasi / penglibatan guru-guru baru ini selama 6 bulan selepas tamat pengajian dan di tempatkan disekolah.
b.    “Teacher Study “ untuk guru-guru bagi memastikan prestasi mereka di sekolah.
c.   Lengkapkan guru pra perkhidmatan dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan pelbagai  kebolehan dan gaya pembelajaran murid.
d.   Bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) – ada komponen Amalan Professional, Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

Bagi PBS, pelajar akan mengikuti setiap semester pengajian.
Praktikum – 3 kali praktikum :
a.    Semester 5    4 minggu
b.    Semester 6 – 8 minggu
c.    Semester 7 – 12 minggu

Semester 8 – pelajar akan menjalani internship di mana kajian permasalahan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kajian ini dapat membantu pelajar ini di sekolah sebagai guru permulaan.

Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT) telah dibangunkan sebagai satu inisiatif ELTC untuk membantu guru-guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan professional mereka serta memberi petunjuk untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan. Selain itu, ianya juga boleh dijadikan panduan dalam merancang, mereka bentuk dan mengurus program pembangunan profesionalisme untuk guru-guru bahasa Inggeris.

Di samping itu, instrumen PSELT yang berunsur self-evaluative juga telah dibina dan akan dapat diakses secara atas talian oleh guru bahasa Inggeris untuk mengenalpasti keperluan latihan profesional serta memohon untuk mengikuti kursus yang diperlukan untuk pembangunan profesionalisme secara berterusan.


8.
Bagaimanakah KPM memastikan guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris mencukupi bagi menampung penambahan waktu pengajaran matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

ELTC melaksanakan Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah di seluruh Malaysia.  Kursus ini merupakan kursus tambah opsyen.
BPG melaksanakan 2 jenis program bagi tujuan tersebut:
   i.     Program Intervensi Tambah Opsyen guru-guru Sains dan Matematik sekolah  menengah yang telah berkhidmat antara 1 – 5 tahun
    ii.     Program Latihan Guru Kontrak bahasa Inggeris guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara dari seluruh negara


9.
Apakah peranan guru penutur jati dalam membantu meningkatkan pencapaian Bahas Inggeris?

Pada tahun 2008 KPM telah bersetuju untuk mengambil penutur jati bahasa Inggeris sebagai pakar atau mentor kepada guru dan pensyarah Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan institusi pendidikan guru di negara ini. Keputusan dibuat untuk melaksanakan Program Penutur Jati Bahasa Inggeris mulai 2011 hingga 2013.

Petunjuk Prestasi Utama Program Penutur Jati adalah untuk meningkatkan kapasiti guru bahasa Inggeris di 1800 buah sekolah rendah dan pensyarah di lima Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah dikenal pasti sebagai Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris (PKBI, iaitu:
  1. IPG Kampus Batu Lintang, Kuching, Sarawak
  2. IPG Kampus Gaya, Kota Kinabalu, Sabah
  3. IPG Kampus Dato’ Razali Iamail, Kuala Terengganu, Terengganu
  4. IPG Kampus Bahasa Antarabangsa, Kuala Lumpur, dan
  5. English Language Teaching Centre, Kuala Lumpur
Peranan Training Fellows (TF) yang ditempatkan di setiap PKBI adalah untuk menjadi mentor dan coach kepada pensyarah Bahasa Inggeris dengan tujuan membantu dalam pembangunan profesionalisme pensyarah tersebut.   Selain itu, TF juga bekerjasama dengan pensyarah dalam membangunkan program latihan.  Tugas yang dilaksanakan oleh TF adalah sejajar dan selaras dengan keperluan dan kehendak institusi.

Mentor yang terlibat di sekolah rendah adalah untuk membantu guru bahasa Inggeris dalam aspek seperti berikut:
a.  Perancangan dan pelaksanaan program peningkatan profesionalisme guru Bahasa   Inggeris;
b.    Pengendalian program/kursus/ bengkel/ latihan dalam kluster dan zon
c.    Kerjasama dengan pakar dari luar negara yang lain dalam kluster dan zon
d.    Perkhidmatan pakar dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum
e.    Bantuan dalam aktiviti sokongan pengajaran dan pembelajaran
f.     Pelaksanaan aktiviti penyelidikan yang sesuai
g.    Kerjasama dengan pihak KPM dalam pengendalian penilaian program
h.    Pembentukan pasukan jurulatih yang berpotensi di dalam kalangan guru sekolah


10.
Apakah bahan yang dibekalkan untuk menjayakan Dasar MBMMBI?

English Language Teaching Centre (ELTC) telah menyediakan bahan bagi meningkatkan profesionalisme serta memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru:
a.    Pedagogy Standards for English Language Teaching (PSELT)
·         Untuk pembangunan profesionalisme guru bahasa Inggeris, ELTC telah menerbitkan buku Pedagogy Standards for English Language Teaching yang membolehkan guru bahasa Inggeris mengenalpasti keperluan latihan profesional mereka.

b.    Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH)
·     Buku Panduan Guru OPS-English yang membolehkan guru melaksanakan P & P untuk pelajar Tingkatan 1 tahun 2012 dalam kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih berkesan.
·  CD Audio-Video (Teacher’s CD) yang membolehkan guru melaksanakan pengajaran kemahiran bertutur dan berkomunikasi dengan lebih efektif.
·     OPS-ENGLISH Student’s Handbook untuk pelajar.

Bahagian Teknologi Pendidikan telah menyediakan dan membekalkan bahan digital pengajaran dan pembelajaran ke semua sekolah. Bahan tersebut merupakan bahan perisian kursus pendidikan khusus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Bahan digital ini berbentuk CD Stand-alone yang dapat dijalankan di semua komputer. Bahan diterapkan dengan unsur didik hibur di samping menitikberatkan kemahiran berbahasa.


11.
Bagaimanakah penggunaan makmal bahasa dapat membantu dalam penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris?

Makmal bahasa merupakan salah satu inisiatif ICT yang menjadi agenda utama dalam pelaksanaan dasar MBMMBI. Infrastruktur makmal bahasa akan dilengkapi dengan alat pandang dengar, perisian kawalan murid dan perisian interaktif Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang lebih menitikberatkan dalam penguasaan berbahasa.


12.
Bagaimanakah pentaksiran dilaksanakan di sekolah?

Pentaksiran di sekolah akan dilaksanakan dalam dua bentuk iaitu;
  • Pentaksiran Formatif iaitu pentaksiran pada peringkat pembentukan dengan tujuan untuk memperbaiki dan meningkatkan pembelajaran (pentaksiran pembelajaran atau assessment for learning)
  • Pentaksiran Sumatif iaitu pentaksiran pada peringkat merumuskan dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana murid telah belajar dan menguasai apa yang dipelajari (pentaksiran tentang pembelajaran atau assessment of learning)
Pentaksiran formatif memberi tumpuan bukan semata-mata kepada membuat ujian, memeriksa, merekod skor murid dan membuat analisis kepada skor malahan yang lebih penting ialah melihat perkembangan pembelajaran murid dan aktiviti memberi maklumbalas kepada sesiapa sahaja yang memerlukan terutama murid sendiri. Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.

Pentaksiran sumatif dilaksanakan dengan guru membuat pertimbangan tentang tahap penguasaan murid dalam pembelajaran menggunakan pelbagai maklumat (kuantitatif dan kualitatif) yang diperoleh melalui pelbagai aktiviti pentaksiran. Maklumat tersebut perlu dinilai dan dilaporkan oleh guru untuk digunakan pula oleh guru lain yang akan meneruskan pengajaran murid di semester atau tahun berikutnya. Sekali lagi guru tidak perlu membandingkan murid dengan murid yang lain sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.


13.
Adakah soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau dwibahasa?

Selaras dengan soft-landing MBMMBI, soalan peperiksaan awam bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di peringkat UPSR, PMR dan SPM akan dibuat dalam dwibahasa sehingga tahun 2020. Selepas daripada tahun 2020 semua soalan bagi kedua mata pelajaran tersebut akan dibuat dalam Bahasa Malaysia. Ini adalah selaras dengan hasrat MBMMBI.


14.
Bagaimanakah Dasar MBMMBI akan membantu murid menghadapi cabaran dari segi bahasa pengantar dalam pembelajaran Matematik dan Sains di peringkat prauniversiti?

Di bawah Dasar MBMMBI, KPM sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.  Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa p&p bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan p&p di bilik darjah. Oleh itu, pelaksanaan Dasar MBMMBI diharapkan dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid bagi membantu mereka meneruskan pengajian di peringkat prauniverisiti mahupun universiti.

Dua beradik mati lemas




Banjir di Kelantan semakin buruk apabila dua beradik lelaki menjadi korban manakala dua lagi dikhuatiri lemas, walaupun beberapa keadaan di tempat lain dilaporkan semakin reda sehingga malam semalam.

Jabatan Bomba Kelantan melaporkan dua beradik itu maut di Bachok petang semalam manakala dua lagi mangsa dikhuatiri lemas di Pasir Mas.

Jumlah mangsa yang dipindah bertambah dari 227 kepada 416 orang di sembilan pusat pemindahan di daerah Kota Bharu (Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong, SK Tiong dan Sekolah Menengah (SM) Melor), Pasir Mas (SK Bukit Jarum dan Masjid Gabus), Pasir  Puteh (SK Bukit Awang) dan Tanah Merah (SK Kulim, Madrasah Padang Kija dan Madrasah Becah Palas Lubuk Agor)

Selain itu, lalu lintas ditutup kepada semua kenderaan di Machang (Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata), Pasir Puteh (Kilometer 1 Jalan Banir Belikong-Tasik Pauh) dan Tanah Merah (Kilometer 3, Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh).

Empat sungai utama pula berada di paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Di Terengganu, keadaan banjir tidak menghalang hampir 50 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia menaiki bot ke pusat peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Hulu Terengganu apabila kampung mereka ditenggelami air.

Jumlah mangsa yang dipindahkan menurun dari 1,406 orang (Setiu, 671; Besut, 560 dan Hulu Terengganu, 175)  pada tengah semalam kepada 1,296 orang (Setiu, 829; Besut, 362; dan Hulu Terengganu, 105) malam tadi, manakala 25 pusat pemindahan masih beroperasi di Besut (12), Hulu Terengganu (2) dan Setiu (11).

Paras air sungai di beberapa tempat juga dilaporkan melebihi paras bahaya iaitu di Setiu (Kampung Langkap, Jambatan Permaisuri dan Jambatan Calok), Hulu Terengganu (Kuala Ping dan Kuala Jengai) dan Besut (Kampung La).

Di Johor, seramai 16 mangsa banjir terdiri daripada tiga keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Cahaya, Air Hitam sehingga petang semalam.

Amaran merah

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan media berkata amaran hujan lebat di beberapa tempat di Terengganu dan Pahang ditingkatkan dari peringkat jingga ke peringkat merah di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara kawasan yang terlibat di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman serta Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin di Pahang.

Amaran hujan lebat peringkat jingga pula dikeluarkan di beberapa tempat di Kelantan di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara tempat yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Amaran peringkat kuning juga dikeluarkan di Kedah dan Perlis di mana hujan sekejap-kejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat ialah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis manakala di Kedah ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 km sejam (kmsj) dan ombak setinggi 4.5 meter diramal berterusan sehingga Selasa depan di perairan Kelantan, Terengganu, Samui (Kelantan dan Terengganu), Condore dan Reef North (sekitar kawasan perairan Laut China Selatan) dan Pulau Layang-layang.

Amaran sama kategori pertama dengan kelajuan angin kencang Timur Laut 40-50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter juga dijangka berterusan sehingga Selasa di kawasan perairan Pulau Langkawi, Perlis, Utara Kedah, Pahang dan Johor Timur.

Tempat lain yang terlibat ialah perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalamaan, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran (antara Semenanjung dan Kuching), Reef South (sepanjang perairan Sarawak) dan Palawan (utara Sabah).

Jabatan Meterologi Malaysia turut memaklumkan bahawa kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan Pantai Timur Semenanjung sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan bot kecil.

- Bernama

Edar dadah, lelaki kekal ke tali gantung


Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
by Clarice Usop, Kilalis_87@yahoo.com.my. Posted on November 24, 2011, Thursday


BERBINCANG... Albil (tengah) membincangkan sesuatu bersama Hamid (kanan) di luar Mahkamah Persekutuan.

KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan mengedar syabu seberat 104.98gram.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Tan Sri Abdul Hamid Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum membuat keputusan itu terhadap Albi Buraham Amiril, 34.
Ketiga-tiga hakim sebulat suara memutuskan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Hamid Ismail dan Timbalan Pendakwaraya Mohd Abazafree Abas.
Perayu, Albi, dijatuhkan hukuman itu pada 11 Mac 2005 selepas didapati bersalah mengedar syabu pada 2 November 2000 jam 1 petang di kawasan pemeriksaan penumpang pelabuhan Karamunting, Sandakan.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39b (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada 18 Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu terhadap perayu apabila menolak rayuan terhadap sabit salah dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Dalam hujah Hamid, terdapat dua perkara yang harus dilihat oleh mahkamah, pertama kegagalan Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bukti perayu, dan kedua kegagalan melihat keseluruhan bukti sehingga akhir kes berkenaan.
Pihak pembelaan telah memanggil dua saksi, iaitu perayu sendiri dan saksi kedua Sikal Sahibuddin.
“Sebelum meninggalkan Filipina ke Sandakan, ‘Mohd Jalan’ telah memberikan kasut kepada perayu untuk dipakai. Dia tidak tahu kasut itu mengandungi dadah dan tidak akan memakainya sekiranya dia tahu.
“Tertuduh juga tidak meletakkan dadah di dalam kasut, dia juga tidak memahami apa-apa kecuali diterjemahkan dalam bahasa Suluk. Apabila dia tiba di pelabuhan Sandakan, dia tidak memahami bahasa yang digunakan PW3 (saksi) yang mengarahkan dia membuka kasutnya.
“Bagaimanapun, dia berasa takut kerana tidak memahami apa yang dikatakan oleh PW3,” katanya.
Bagaimanapun, membalas hujah itu, Mohd Abazafree menegaskan bahawa daripada tindakan perayu ketika ditahan untuk pemeriksaan, dia telah mengetahui mengenai perkara sebenar.
Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan tidak harus diganggu kerana telah mempertimbangkan semua bukti dan keterangan saksi.


Raja bola Asia Tenggara






Kejayaan skuad bawah 23 tahun Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia  membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di rantau ini buat masa ini.
Mereka juga membuktikan kejayaan meraih emas bola sepak pada Sukan SEA 2009 di Laos dan menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tahun lepas, bukan kerana nasib semata-mata.
Biarpun skuad negara sering kali dipertikaikan terutamanya oleh media Indonesia, kemenangan tersebut menutup terus mulut pengkritik dan penyokong fanatik skuad negara tuan rumah itu.


'Ganyang Malaysia' 1963: Sudah berakhir




Daripada sebuah dokumen rahsia CIA yang baru dibuka yang bertarikh 13 Januari 1965 menjelaskan percakapan santai Soekarno dengan para pemimpin sayap kanan bahawa dia masih memerlukan sokongan PKI untuk menghadapi Malaysia. Namun dia juga menegaskan bahawa suatu waktu "giliran PKI akan tiba. "Soekarno berkata, "Kamu bisa menjadi teman atau musuh saya. Itu terserah kamu. ... Untukku, Malaysia itu musuh nomor satu. Suatu saat saya akan membereskan PKI, tetapi tidak sekarang.

Dalam usaha Sukarno yang menentang penubuhan Negara Malaysia, beliau juga telah memulaukan Laporan Suruhanjaya Cobbold yang ditugaskan pada tahun 1962 yang bertujuan untuk meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap penubuhan Malaysia. Sukarno telah melancarkan kempen ‘Ganyang Malaysia’pada akhir 1963. Konfrantasi Sukarno telah berubah dari sekadar perang kata-kata menjadi konfrantasi ketenteraan, hal ini berlaku selepas Suruhanjaya khusus PBB yang dibentuk untuk mengumpul pendapat rakyat setempat tentang pembentukan Malaysia. 

Apabila Garuda dibaham Harimau, rakyat Indonesia meneriakkan slogan 'Ganyang Malaysia'. Media sosial Indonesia menyemarakkan lagi semangat rakyat Indonesia. Pemain bolasepak negara diejek dan dihambur kata-kata kesat. Kita harus saling hormat-menghormati sebagaimana rakyat Malaysia menghormati dan menerima rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia. Zaman 'Ganyang Malaysia' sudah berakhir. Buang rasa marah dan iri hati yang tertanam di dalam hati sekian lama. 

Persatuan Pelajar: Tangkap segera individu ugut bunuh





Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) berharap polis segera menangkap individu yang membuat ugutan bunuh terhadap pelajar Malaysia di Universiti Padjadjaran (UNPAD), Bandung semalam memandangkan semua bukti mengenai perbuatan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa.
    
Yang Dipertua PKPMI Khairul Hafidz Al-Khair Khairul Amin berkata wajah individu itu telah dikenalpasti dan polis tidak perlu melengahkan tangkapan dan seterusnya bertindak menyelesaikan kes itu.
    
"Pada masa yang sama, kami juga ingin mendapat jaminan daripada pihak polis tempatan mengenai keselamatan lebih 1,000 pelajar Malaysia di Universitas Padjadjaran, Bandung," katanya dalam kenyataan hari ini.
    
Khairul Hafidz berkata persatuan itu memandang serius terhadap ancaman yang dibuat oleh individu berkenaan dan telah membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak berlaku perbuatan sebagaimana yang disebut dalam twitter oleh individu berkenaan.
    
Laporan polis itu dibuat oleh yang dipertua PKPMI cawangan Bandung, Haikal Ambri Rosle bersama pimpinan PKPMI cawangan Bandung.
    
Isnin malam lepas, selepas pasukan Garuda Muda tewas kepada pasukan Harimau Muda pada pertandingan akhir bola sepak Sukan SEA 2011 di Stadium Utama, Gelora Bung Karno, seorang individu telah menulis di satu akaun twitter ancaman bunuh terhadap pelajar Malaysia yang menuntut di UNPAD.
    
Ugutan itu yang disebarkan melalui twitter bernama @hikmat_maswara kepada akaun twitter sebahagian besar artis Malaysia berbunyi: "Tomorrow I will kill Malaysia student at the University of Padjadjaran".
    
Khairul Hafidz juga memohon agar pihak Universitas Padjadjaran menjaga keselamatan pelajar Malaysia di fakulti perubatan, perubatan gigi dan juga farmasi dan persatuan itu bersedia berbincang dengan pihak universiti berhubung perkara berkenaan.
    
"PKPMI Pusat telah meminta semua 16 cawangan PKPMI di seluruh Indonesia memantau keselamatan semua pelajar kita di kawasan masing-masing dan melaporkan kepada PKPMI Pusat jika berlaku sebarang ugutan, provokasi atau serangan fizikal pasca perlawanan bola sepak itu tempoh hari.

"Jika terdapat sebarang aduan, kami akan langsung menghubungi Education Malaysia Indonesia (EMI) untuk tindakan lanjut daripada pihak mereka," katanya.

Setakat ini, katanya belum ada sebarang kejadian dilaporkan oleh cawangan-cawangan persatuan itu.
    
"Saya ingin menegaskan bahawa hubungan kami dengan rakan-rakan dan jiran Indonesia tetap baik pasca perlawanan bola sepak antara dua negara.
    
"Sewaktu perlawanan kami 'bermusuh' buat sementara kerana masing-masing menyokong pasukan bola sepak kesayangan masing-masing, namun setelah perlawanan kami tetap bersahabat baik, tiada yang berubah," katanya.

- Bernama

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...