Khamis, 24 November 2011

Edar dadah, lelaki kekal ke tali gantung


Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
by Clarice Usop, Kilalis_87@yahoo.com.my. Posted on November 24, 2011, Thursday


BERBINCANG... Albil (tengah) membincangkan sesuatu bersama Hamid (kanan) di luar Mahkamah Persekutuan.

KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan mengedar syabu seberat 104.98gram.
Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Tan Sri Abdul Hamid Embong dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum membuat keputusan itu terhadap Albi Buraham Amiril, 34.
Ketiga-tiga hakim sebulat suara memutuskan keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam Hamid Ismail dan Timbalan Pendakwaraya Mohd Abazafree Abas.
Perayu, Albi, dijatuhkan hukuman itu pada 11 Mac 2005 selepas didapati bersalah mengedar syabu pada 2 November 2000 jam 1 petang di kawasan pemeriksaan penumpang pelabuhan Karamunting, Sandakan.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39b (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada 18 Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman itu terhadap perayu apabila menolak rayuan terhadap sabit salah dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Dalam hujah Hamid, terdapat dua perkara yang harus dilihat oleh mahkamah, pertama kegagalan Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bukti perayu, dan kedua kegagalan melihat keseluruhan bukti sehingga akhir kes berkenaan.
Pihak pembelaan telah memanggil dua saksi, iaitu perayu sendiri dan saksi kedua Sikal Sahibuddin.
“Sebelum meninggalkan Filipina ke Sandakan, ‘Mohd Jalan’ telah memberikan kasut kepada perayu untuk dipakai. Dia tidak tahu kasut itu mengandungi dadah dan tidak akan memakainya sekiranya dia tahu.
“Tertuduh juga tidak meletakkan dadah di dalam kasut, dia juga tidak memahami apa-apa kecuali diterjemahkan dalam bahasa Suluk. Apabila dia tiba di pelabuhan Sandakan, dia tidak memahami bahasa yang digunakan PW3 (saksi) yang mengarahkan dia membuka kasutnya.
“Bagaimanapun, dia berasa takut kerana tidak memahami apa yang dikatakan oleh PW3,” katanya.
Bagaimanapun, membalas hujah itu, Mohd Abazafree menegaskan bahawa daripada tindakan perayu ketika ditahan untuk pemeriksaan, dia telah mengetahui mengenai perkara sebenar.
Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan tidak harus diganggu kerana telah mempertimbangkan semua bukti dan keterangan saksi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...