SUNGAI PETANI, 21 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyasarkan tiada lagi penjawat awam yang terlibat dengan tindakan tatatertib mulai 2012, kata presidennya Datuk Omar Osman.
"Kita tidak mahu pada 2012 seorang pun penjawat awam kena tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita selepas Program Taklimat Isu Semasa dan Taklimat Insurans 1Kasih, Perkembangan Skim Gaji Baru (SBPA), Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) dan Permohonan Umur Persaraan 60 tahun di Dewan Mini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini pada Isnin.
Beliau menyarankan penjawat awam supaya bersiap sedia melakukan transformasi sikap ke arah yang lebih positif selaras dengan insentif yang diberi oleh kerajaan kepada mereka menjelang 2012.
Omar berkata penjawat awam wajar membuat perubahan daripada segi pemikiran dan sahsiah diri agar dapat mengelakkan sikap pentingkan diri sekaligus mampu memberi sumbangan kepada negara.
"Kita harus fikirkan apa sumbangan kita kepada majikan dan negara sebab penjawat awam banyak dapat manfaat daripada kerajaan," katanya.
Omar berkata penjawat awam perlu memainkan peranan yang besar dalam melaksanakan tugas supaya objektif untuk mencapai kecemerlangan tercapai.
"Semua jabatan ada objektif tidak kira pada peringkat negeri mahupun persekutuan semuanya ada misi untuk cemerlang, jadi sebagai staf kita perlu mainkan peranan," katanya.
Berkenaan dengan PROSPEK, Omar berkata ia dapat membuka peluang yang cerah kepada penjawat awam mendapat kenaikan pangkat berdasarkan kepada kriteria senioriti.
Katanya menerusi PROSPEK, penjawat awam yang mendapat prestasi kerja cemerlang, berpengalaman dan memiliki potensi diri yang istimewa akan diutamakan dalam pemilihan kenaikan pangkat.
"Sebelum ini hanya berdasarkan kepada peperiksaan PTK semata-mata iaitu siapa lulus aras empat akan dapat naik pangkat tetapi tidak pasti lagi dengan keupayaan bekerja. Jadi dengan PROSPEK ini kenaikan pangkat akan diambil kira dari segi senioriti, pengalaman dan sumbangan kepada majikan," katanya.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan