Sabtu, 11 Ogos 2018

Adakah Cikgu Firdaus Tidak Terbeban?

Cikgu Firdaus, kawan penulis yang pernah  mengajar di kawasan pedalaman pada tahun 90-an, sentiasa sudi berkongsi pengalaman beliau menjadi guru di  sekolah  kategori pedalaman, tiada bekalan air bersih, tiada jalan raya dan tiada bekalan elektrik di samping sukar mendapat isyarat telefon, namun beliau tidak cepat melatah dan menganggap sebagai sebahagian cabaran. 

"Aku tidak pernah merungut dan tidak membiarkan mulut menutur sepertimana kalimat guru kini, beban, beban, beban", kata Cikgu Firdaus.

Mengajar subjek Matematik dan subjek-subjek lain, Cikgu Firdaus Yazid selalu menyatakan, "mengajar di mana-mana sekolah sekalipun, semuanya ada cabaran. Cuma bentuk cabarannya agak berbeza dan warga pendidik kena sabar dan kuat."

Sekolah Cikgu Firdaus beroperasi dengan generator yang menjadi sumber tenaga utama, bekalan air pula diperoleh daripada tadahan air hujan dan air sungai. Capaian telefon juga tidak kuat dan kadangkala tiada langsung. Tempat beliau berkhidmat ini juga tidak dapat dilalui menggunakan pengangkutan darat kerana tiada jalan menghubungkan kampung ke kawasan luar. Jadi, pengangkutan air merupakan pengangkutan utama.

Sepanjang mengajar di pedalaman, beliau lihat segala kekurangan yang ada sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk. Mereka tidak menganggap ini  masalah besar buat diri masing-masing.

Timbul kesedaran di hati beliau melihat murid-murid yang tidak mengeluh apabila belajar dalam kepanasan dan serba kekurangan, tetapi masih mampu memberi perhatian dalam kelas. Semangat ingin belajar, membuka hati Cikgu Firdaus untuk mengajar dengan ikhlas dan semampu yang boleh.

Pengalaman mengajar sebegini mungkin tidak diperoleh di mana-mana. Beliau bersyukur diberi peluang berkhidmat di suatu tempat yang tidak pernah dibayangkan kehidupannya sebelum ini. Kenangan tersebut terus melekat di minda beliau hingga dijemput Allah SWT pada bulan Julai 2013.

Pedalaman banyak mengajar beliau erti hidup dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberi. Cabaran dan ujian sentiasa ada dalam kamus kehidupan.  Sesat di ladang, jambatan runtuh semasa perjalanan balik ke sekolah, mengharungi arus sungai deras, jauh daripada klinik dan hospital serta terlibat kemalangan mengelak lori balak di dalam hutan, antara perkara yang beliau tempuh.

Terserempak binatang buas, bawa isteri sarat mengandung melalui jalan balak, berhujan menaiki bot, menemui individu yang meminta bantuan kerana dibaham buaya, mengurus jenazah dan banyak lagi, juga antara pengalaman beliau yang sukar dilupakan.

Perjalanan mengambil masa yang lama dari sekolah ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Untuk ke bandar terdekat, Cikgu Firdaus terpaksa menaiki bot dahulu untuk ke kampung bersebelahan yang mana pengangkutan darat hanya boleh dicapai di sana. 

Kemudia menempuh perjalanan melalui jalan balak lagi selama berjam-jam sebelum tiba di bandar. Bergantung juga kepada cuaca, sekiranya cuaca tidak mengizinkan seperti hujan lebat mahupun kemarau, bot-bot kecil tidak dapat melalui sebahagian kawasan di sungai, menyebabkan Cikgu Firdaus terpaksa mengambil pilihan lain, yang mengambil masa lebih lama untuk sampai ke bandar.

Ramai lagi orang yang di luar sana diuji dengan ujian lebih berat daripada kita.

Kepada guru era kini,  buka minda, belajar menerima keadaan sekeliling, belajar memahami dan bertoleransi. Ikhlaskan niat, terima apa yang ada dan dalam masa sama kita akan sentiasa muhasabah diri untuk lebih mengenal kenapa Allah SWT memilih kita sebagai guru.

Cikgu Firdaus telah tiada, sepatutnya 100 guru lagi menggantikan allahyarham. Adakah Cikgu Firdaus tidak terbeban? Sekali dipanggil guru tetap dipanggil guru walaupun jasad sudah dimamah bumi. Sekiranya membawa gelaran keramat itu beban, tinggalkan bebanan itu.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...