Sabtu, 11 Jun 2011

Cabaran hebat ibu bapa menangani salah laku remaja


Sumber:
1KLIK
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejak dua tahun lalu, seramai 1,383 kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun hilang dan belum dapat dikesan. Siasatan mendapati kehilangan mereka bukan membabitkan kes culik, tetapi disebabkan faktor lain.
Antara punca dikenal pasti ialah mereka terpengaruh dengan kawan, melarikan diri kerana mengikuti kekasih dan mahu hidup bebas tanpa kongkongan keluarga. Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, kes salah laku di kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tidak pernah selesai serta menuntut perhatian serius semua pihak terutama ibu bapa.


Ibu bapa yang tinggal di bandar atau di luar bandar mereka juga menghadapi masalah sama. Bagi ibu bapa bekerja tugas mereka menjadi lebih rumit kerana masa anak remaja mereka sama ada ketika di rumah atau di luar menjadi lebih panjang tanpa pengawasan. Oleh itu, pemantauan ke atas anak remaja mereka tidak boleh dilakukan seratus peratus.  Bagaimanapun apa yang boleh dipersoalkan ialah sejauh mana sekolah mampu mengekang pelbagai masalah membabitkan golongan remaja memandangkan kes perlanggaran disiplin di sekolah juga turut meruncing sekarang.
Golongan remaja kini mempunyai pelbagai alasan untuk keluar rumah kerana mereka juga mempunyai banyak aktiviti sama ada membabitkan tugasan sekolah, berbincang dengan rakan mengenai pelajaran dan pelbagai aktiviti lain. Cabaran hebat ibu bapa zaman moden ini bukan hanya di luar rumah tetapi juga di rumah. Anak celik komputer dan internet boleh melayari apa saja bahan dalam internet sehingga ada yang melangkah ke alam yang tidak patut mereka layari. Di luar rumah walaupun pengusaha kafe siber memantau setiap aktiviti pengunjungnya terutama remaja, tetapi banyak masa yang mereka buang di pusat tersebut Tidak hairan jika pada musim cuti sekolah, kafe siber dipenuhi golongan remaja.
Oleh sebab peningkatan kes membabitkan kanak-kanak dan remaja, kes salah laku membabitkan golongan ini mesti dibendung atau dikurangkan demi masa depan golongan itu.  Ibu bapa pula walaupun ada kekangan dari segi masa untuk memantau anak mereka, mereka mesti mencari kaedah lain untuk membentuk tingkah laku anak remaja mereka. Anak mesti dibekalkan dengan peribadi mulia supaya apa jua anasir yang mempengaruhi anak mereka tidak akan menembusi sahsiahnya.
Guru dan sekolah yang dianggap sebagai tempat menimba ilmu mesti berusaha memperkukuh matlamat pendidikan termasuk menyusun pelbagai aktiviti pelajar supaya pelajar lebih terikat dengan institusi tersebut. Kegiatan kokurikulum mesti berjaya menarik minat pelajar supaya datang ke sekolah selepas waktu persekolahan dengan harapan masa pelajar terisi dengan perkara yang mampu membentuk sahsiah dan masa depan mereka.
Kanak-kanak dan remaja sendiri sebagai golongan yang bakal menjadi pemimpin atau warga yang bakal menentukan jatuh bangun negara, mereka mesti mempunyai kesedaran tentang peranan yang mereka mainkan. Mereka hendaklah memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah dan mencorakkan masa depan selari dengan sebuah negara pesat membangun.
Kesimpulannya bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup, mereka wajib menghormati ibu bapa, guru, orang lebih tua, masyarakat sekeliling dan memiliki perasaan cinta negara yang tertanam kukuh dalam jiwa.

ICT pupuk kemahiran abad ke-21

Sumber:
1KLIK

Sebagai seorang penjaga, pendidik atau pekerja pada era ini, kebanyakan dari kita memang tidak dapat lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung kepentingan kemahiran abad ke -21. Secara ringkasnya, pendidikan atau pembelajaran abad ke-21 berkitar pada pendapat bahawa persekolahan selama 150 lalu ialah ciptaan abad ke-19.


Persekolahan kita harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi terkini. Sekolah kemahiran dan pembelajaran yang direka untuk menyediakan pelajar untuk bekerja dan hidup dalam ekonomi perindustrian perlu pemikiran baharu.
Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.
Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.
Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.
Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...