Sumber: 1KLIK Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejak dua tahun lalu, seramai 1,383 kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun hilang dan belum dapat dikesan. Siasatan mendapati kehilangan mereka bukan membabitkan kes culik, tetapi disebabkan faktor lain. Antara punca dikenal pasti ialah mereka terpengaruh dengan kawan, melarikan diri kerana mengikuti kekasih dan mahu hidup bebas tanpa kongkongan keluarga. Dalam dunia yang semakin moden dan mencabar, kes salah laku di kalangan kanak-kanak dan remaja semakin meningkat dan tidak pernah selesai serta menuntut perhatian serius semua pihak terutama ibu bapa. |
Ibu bapa yang tinggal di bandar atau di luar bandar mereka juga menghadapi masalah sama. Bagi ibu bapa bekerja tugas mereka menjadi lebih rumit kerana masa anak remaja mereka sama ada ketika di rumah atau di luar menjadi lebih panjang tanpa pengawasan. Oleh itu, pemantauan ke atas anak remaja mereka tidak boleh dilakukan seratus peratus. Bagaimanapun apa yang boleh dipersoalkan ialah sejauh mana sekolah mampu mengekang pelbagai masalah membabitkan golongan remaja memandangkan kes perlanggaran disiplin di sekolah juga turut meruncing sekarang.
Golongan remaja kini mempunyai pelbagai alasan untuk keluar rumah kerana mereka juga mempunyai banyak aktiviti sama ada membabitkan tugasan sekolah, berbincang dengan rakan mengenai pelajaran dan pelbagai aktiviti lain. Cabaran hebat ibu bapa zaman moden ini bukan hanya di luar rumah tetapi juga di rumah. Anak celik komputer dan internet boleh melayari apa saja bahan dalam internet sehingga ada yang melangkah ke alam yang tidak patut mereka layari. Di luar rumah walaupun pengusaha kafe siber memantau setiap aktiviti pengunjungnya terutama remaja, tetapi banyak masa yang mereka buang di pusat tersebut Tidak hairan jika pada musim cuti sekolah, kafe siber dipenuhi golongan remaja.
Oleh sebab peningkatan kes membabitkan kanak-kanak dan remaja, kes salah laku membabitkan golongan ini mesti dibendung atau dikurangkan demi masa depan golongan itu. Ibu bapa pula walaupun ada kekangan dari segi masa untuk memantau anak mereka, mereka mesti mencari kaedah lain untuk membentuk tingkah laku anak remaja mereka. Anak mesti dibekalkan dengan peribadi mulia supaya apa jua anasir yang mempengaruhi anak mereka tidak akan menembusi sahsiahnya.
Guru dan sekolah yang dianggap sebagai tempat menimba ilmu mesti berusaha memperkukuh matlamat pendidikan termasuk menyusun pelbagai aktiviti pelajar supaya pelajar lebih terikat dengan institusi tersebut. Kegiatan kokurikulum mesti berjaya menarik minat pelajar supaya datang ke sekolah selepas waktu persekolahan dengan harapan masa pelajar terisi dengan perkara yang mampu membentuk sahsiah dan masa depan mereka.
Kanak-kanak dan remaja sendiri sebagai golongan yang bakal menjadi pemimpin atau warga yang bakal menentukan jatuh bangun negara, mereka mesti mempunyai kesedaran tentang peranan yang mereka mainkan. Mereka hendaklah memanfaatkan masa dengan aktiviti berfaedah dan mencorakkan masa depan selari dengan sebuah negara pesat membangun.
Kesimpulannya bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup, mereka wajib menghormati ibu bapa, guru, orang lebih tua, masyarakat sekeliling dan memiliki perasaan cinta negara yang tertanam kukuh dalam jiwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan