Sabtu, 15 Ogos 2009

Seminar Gangguan Seksual Di Pejabat


Putarajaya, 14 Ogos 2009- Unit Latihan dan Pembangunan Staf telah menganjurkan satu seminar iaitu "Seminar Gangguan Seksual di Pejabat". Seminar yang bermula dari pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada staf sokongan di Bahagian Pendidikan Guru. Unit LPS menjemput Encik Hasbullah bin Haji Abu Kassim dari Unit Kaunseling dan Keutuhan BPG untuk membentangkan kertas kerja seminar. Sejak pukul 2.50 petang, para peserta seminar mula memenuhi ruang Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6. Seramai 35 peserta yang terdiri daripada staf sokongan BPG begitu komited menyertai seminar tersebut.


Kerjasama erat di antara pegawai dan kakitangan Unit LPS serta Unit Khidmat Pengurusan dan Unit Kaunseling dan Keutuhan telah berjaya menjadikan seminar tersebut mencapai objektif yang diharapkan. Kerjasama inter-unit ini sentiasa diberi penekanan oleh Encik Zainun bin Johari kepada pegawai-pegawai dan kakitangan unit LPS. Encik Ishak bin Ibrahim, Penolong Pengarah Unit LPS yang bertindak sebagai moderator seminar turut memberi peringatan kepada peserta seminar tentang kepentingan mendalami pelbagai disiplin ilmu bukan hanya ilmu pengetahuan gangguan seksual semata-mata tetapi harus merebut peluang mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Unit LPS. Unit LPS sentiasa merancang kursus-kursus dan seminar yang dapat memberi manfaat kepada semua pegawai dan kakitangan Bahagian Pendidikan Guru.


Sekian.


Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru

Seminar 1 Malaysia



Putrajaya,11-12 Ogos 2009- Penulis menerima jemputan untuk ke Seminar 1 Malaysia anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Dewan Ballroom, Putrajaya Marriot Hotel. Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit LPS sentiasa mengingatkan penulis untuk menghadiri seminar tersebut. Bagi beliau seminar tersebut sangat penting kerana usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia iaitu dengan satu tujuan iaitu membina perpaduan yang lebih kukuh di antara semua kaum terutama dalam keadaan semasa.

Usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia sebagai cara mengukuhkan perpaduan berbilang kaum mampu menghapuskan sentimen politik perkauman yang semakin menebal di negara ini. Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, ini kerana keadaan politik semasa yang sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan antara kaum, mampu memberi kesan negatif kepada generasi akan datang jika dibaiarkan berterusan. Asas kepada perpaduan yang dibentuk melalui Perlembagaan Negara juga sudah mula diganggu-gugat oleh pihak tertentu ini sehingga habis berkecamuk. Ia menyebabkan hati orang Melayu terguris, orang Cina rasa tidak puas hati dan orang India terasa dipinggirkan akibat tindakan sesetengah orang politik yang telah mencalarkan asas perpaduan itu. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 1Malaysia: Perspektif Generasi Merdeka pada Seminar Konsep 1Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr.Rais Yatim.
Turut membentangkan kertas kerja pada sesi itu ialah bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Michael Chen dan isteri negarawan, mendiang Tun V.T Sambanthan iaitu Toh Puan Umasundari Sambanthan. Tan Sri Michael memuji usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan perpecahan bangsa Malaysia lalu berikhtiar mewujudkan konsep yang mampu menyatukan rakyat. Dalam pada itu, Toh Puan Umasundari ketika mengimbau kembali sejarah Tanah Melayu semasa zaman penjajah dan bagaimana mendiang suaminya bersama-sama pemimpin dari kaum Melayu dan Cina berusaha mencapai kemerdekaan, menekankan bahawa rakyat negara ini sangat bernasib baik berbanding pada zamannya.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, masyarakat dalam situasi negara pada hari ini juga perlu mengahayati dengan lebih mendalam Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang bertujuan mewujudkan kesejahteraan semua kaum di Malaysia. Langkah lain yang perlu diambil termasuk kerajaan mewujudkan bentuk pentadbiran yang melebihkan perundingan dalam segala aspek, mengambil kira pandangan dan nasihat golongan ilmuan dan beriltizam untuk melaksanakan keadilan yang sebenar. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia(USM), Dr.Sivamurugan Pandian pula berkata, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti yang sesuai supaya 1Malaysia dapat mencapai kumpulan sasarnya secara berterusan bukan bermusim.
Kesimpulannya, sebagai rakyat yang mempunyai rasa tanggungjawab, kita mesti menghentikan tindakan tuduh-menuduh, provokasi dan fitnah sesama sendiri melalui politik merupakan antara langkah yang perlu mula diamalkan oleh rakyat negara ini bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.
Sekian.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru

Lawatan Guru-Guru dan Kakitangan SK Sungai Menghulu Langkawi Ke BPG

Putrajaya- 31 Julai 2009- Unit Latihan dan Pembangunan Staf dan Unit Khidmat Pengurusan menerima tetamu daripada guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Sungai Menghulu, Langkawi. Seramai 32 orang peserta yang diketuai oleh Guru Besar Encik Abd Razak bin Hj Jusoh selamat tiba di perkarangan Blok E13, Bahagian Pendidikan Guru. Mereka disambut oleh Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit Latihan dan Pembangunan Staf, BPG. Penulis bersama kakitangan turut menyambut kedatangan peserta rombongan dari Langkawi.
Unit Latihan dan Pembangunan Staf telah melaksanakan satu kursus khas untuk peserta-peserta rombongan iaitu Kursus Protokol dan Etiket. Penceramah pakar dari INTAN Bukit Kiara, Puan Suzana diundang untuk menyampaikan ceramah. Sebelum ceramah bermula, Dr.Kartini binti Baharun, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru menyampaikan ucapan perasmian dan mengalu-alukan kunjungan lawatan dari Langkawi. Beliau amat berbesar hati dengan kedatangan mereka ke BPG. Beliau turut memuji usaha yang telah diambil oleh Unit LPS kerana berjaya menganjurkan kursus yang dirangka secara khusus untuk peserta rombongan. Selepas itu, Encik Zainun bin Johari memberi taklimat mengenai Bahagian Pendidikan Guru kepada peserta-peserta.
Selepas taklimat mengenai BPG, Kursus Prokol dan Etiket dikendalikan oleh penceramah dari INTAN. Daripada maklum balas Guru Besar Encik Abd Razak, kursus yang dianjurkan oleh Unit LPS banyak memberi manfaat dan pengetahuan baru tentang protokol dan etiket. Mereka amat berpuas hati dengan layanan serta pengisian aktiviti lawatan yang dikendalikan oleh Unit Latihan dan Pembangunan Staf dan Unit Khidmat Pengurusan.

Sekian.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru




























































Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...