Putrajaya,11-12 Ogos 2009- Penulis menerima jemputan untuk ke Seminar 1 Malaysia anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Dewan Ballroom, Putrajaya Marriot Hotel. Encik Zainun bin Johari, Ketua Penolong Pengarah Unit LPS sentiasa mengingatkan penulis untuk menghadiri seminar tersebut. Bagi beliau seminar tersebut sangat penting kerana usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia iaitu dengan satu tujuan iaitu membina perpaduan yang lebih kukuh di antara semua kaum terutama dalam keadaan semasa.
Usaha kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia sebagai cara mengukuhkan perpaduan berbilang kaum mampu menghapuskan sentimen politik perkauman yang semakin menebal di negara ini. Datuk Ibrahim Ali, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, ini kerana keadaan politik semasa yang sedikit sebanyak telah menjejaskan hubungan antara kaum, mampu memberi kesan negatif kepada generasi akan datang jika dibaiarkan berterusan. Asas kepada perpaduan yang dibentuk melalui Perlembagaan Negara juga sudah mula diganggu-gugat oleh pihak tertentu ini sehingga habis berkecamuk. Ia menyebabkan hati orang Melayu terguris, orang Cina rasa tidak puas hati dan orang India terasa dipinggirkan akibat tindakan sesetengah orang politik yang telah mencalarkan asas perpaduan itu. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 1Malaysia: Perspektif Generasi Merdeka pada Seminar Konsep 1Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr.Rais Yatim.
Turut membentangkan kertas kerja pada sesi itu ialah bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Michael Chen dan isteri negarawan, mendiang Tun V.T Sambanthan iaitu Toh Puan Umasundari Sambanthan. Tan Sri Michael memuji usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan perpecahan bangsa Malaysia lalu berikhtiar mewujudkan konsep yang mampu menyatukan rakyat. Dalam pada itu, Toh Puan Umasundari ketika mengimbau kembali sejarah Tanah Melayu semasa zaman penjajah dan bagaimana mendiang suaminya bersama-sama pemimpin dari kaum Melayu dan Cina berusaha mencapai kemerdekaan, menekankan bahawa rakyat negara ini sangat bernasib baik berbanding pada zamannya.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, masyarakat dalam situasi negara pada hari ini juga perlu mengahayati dengan lebih mendalam Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang bertujuan mewujudkan kesejahteraan semua kaum di Malaysia. Langkah lain yang perlu diambil termasuk kerajaan mewujudkan bentuk pentadbiran yang melebihkan perundingan dalam segala aspek, mengambil kira pandangan dan nasihat golongan ilmuan dan beriltizam untuk melaksanakan keadilan yang sebenar. Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia(USM), Dr.Sivamurugan Pandian pula berkata, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti yang sesuai supaya 1Malaysia dapat mencapai kumpulan sasarnya secara berterusan bukan bermusim.
Kesimpulannya, sebagai rakyat yang mempunyai rasa tanggungjawab, kita mesti menghentikan tindakan tuduh-menuduh, provokasi dan fitnah sesama sendiri melalui politik merupakan antara langkah yang perlu mula diamalkan oleh rakyat negara ini bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.
Sekian.
Md Rasul bin Haron
Penolong Pengarah
Unit Latihan dan Pembangunan Staf
Bahagian Pendidikan Guru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan