Sabtu, 19 November 2011

Jangan asingkan murid berkeperluan khas






PUTRAJAYA: Pengetua dan guru-guru diminta tidak mengasingkan murid-murid berkeperluan khas daripada murid-murid lain dalam kegiatan kokurikulum, sebaliknya penglibatan golongan istimewa ini harus diperluaskan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Ini bertujuan memberi peluang kepada murid berkeperluan khas dan murid biasa berinteraksi dan bersosial dalam suasana yang muhibah sekali gus mewujudkan kesedaran dan tanggungjawab dalam kalangan murid biasa bahawa terdapat rakan-rakan sebaya di sekelilingnya yang mempunyai ciri-ciri istimewa, katanya.
Berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 1Malaysia di sini semalam, beliau berkata, melalui aktiviti yang dilakukan secara bersama itu, pemupukan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan saling membantu juga dapat diterapkan.
“Pada masa ini, kegiatan kokurikulum yang dilaku-kan oleh murid berkeperluan khas dilaksanakan secara ber-asingan iaitu penyertaan dan pertandingan dalam mana-mana aktiviti kokurikulum berlaku dalam kalangan murid-murid ini sahaja.
“Pengasingan murid berkeperluan khas dengan murid biasa dalam aktiviti di luar bilik darjah ini akan menyukarkan dan menjadi halangan kepada murid-murid ini berinteraksi dan bergaul sesama rakan sebaya,” katanya.
Abdul Ghafar berkata, sekiranya hal itu berterusan, ia akan menyukarkan usaha kementerian untuk melaksanakan pendidikan inklusif yang merupakan sebahagian daripada Dasar Pendidikan Negara dan menjadi amalan di negara-negara lain.
Untuk itu, katanya, ‘pembudayaan kokurikulum untuk semua’ harus dipraktikkan secara terangsang dan berkesan kepada semua murid di peringkat sekolah dan semua pihak yang terlibat perlu memantapkan peranan ma-sing-masing.
Abdul Ghafar berkata, peluang yang maksimum perlu diberikan kepada murid-murid berkeperluan khas ini untuk terlibat dalam kegiatan kokurikulum seperti mana yang dilaksanakan dalam kegiatan sukan.
Beliau berkata, kejayaan murid-murid berkeperluan khas dalam bidang sukan membuktikan mereka juga berupaya bergiat aktif di luar bilik darjah.
“Situasi ini memberi mesej kepada kita bahawa mereka ada keistimewaan masing-masing. Oleh itu guru perlu mengenal pasti keistimewaan murid-murid ini dan usahakan peningkatan kemahiran mereka sehingga mencapai tahap cemerlang,” katanya.
Seramai 72 murid berkeperluan khas dari seluruh negara merupakan penerima anugerah itu dalam 24 kategori.
Tokoh Murid Cemerlang Kokurikulum Pendidikan Khas ialah Muhammad Saifuddin Ishak dari Maktab Sultan Abu Bakar, Johor (Putera) dan Siti Noor Radiah Ismail dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor (Puteri). — Bernama



Bajet terbesar dalam sejarah


Sumber:
Utusan Borneo

by NIK JASNI CHE JAAFAR, nikjasni.ub@gmail.com. Posted on November 19, 2011, Saturday




Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan
 Sabah,   Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman
menunjukkan buku Bajet 2012 negeri Sabah
 sebelum membentangkannya
 di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sabah kelmarin.


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kelmarin mengumumkan cadangan perbelanjaan bagi tahun 2012 berjumlah RM4,048.28 juta yang merupakan perbelanjaan terbesar dalam sejarah negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, berkata anggaran perbelanjaan kali ini melibatkan kenaikan sebanyak RM979.62 juta atau 31.92 peratus berbanding tahun 2011 yang berjumlah RM3,068.66 juta.
Berkata anggaran ini dibentuk dengan mengambil kira keadaan kewangan yang kukuh dan Objektif Bajet, kata beliau anggaran hasil Sabah pada 2012 adalah sebanyak RM3,690.53 juta.
“Cadangan Anggaran Emolumen bagi tahun 2012 adalah sebanyak RM623.66 juta dengan kenaikan sebanyak RM26.10 juta  atau 4.37 peratus berbanding anggaran sebanyak RM597.56 juta dalam tahun 2011.
“Peningkatan perbelanjaan emolumen disebabkan usaha Kerajaan memenuhi keperluan pewujudan dan pengisian jawatan yang benar-benar diperlukan sebagai jentera penggerak pentadbiran  dan pemangkin pembangunan.
“Anggaran sebanyak RM1,120.85 juta adalah disyorkan untuk Perbelanjaan Berulang bagi tahun 2012. Ini melibatkan kenaikan sebanyak RM63.14 juta (5.97%) berbanding anggaran sebanyak RM1,057.71 juta dalam tahun 2011.
“Peningkatan perbelanjaan berulang disebabkan oleh antaranya kenaikan perbelanjaan kos pengurusan operasi sektor awam bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian,” katanya ketika membentangkan cadangan perbelanjaan 2012 di Persidangan Dewan Undangan Negeri, kelmarin.
Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, cadangan sebanyak RM2,303.77 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun 2012 menunjukkan kenaikan sebanyak RM890.38 juta (63%) berbanding RM1,413.39 juta bagi tahun 2011.
“Antara program dan aktiviti yang mengalami peningkatan peruntukan ialah Pelaburan Ekuiti, Pembayaran kepada Konsesi Air, Bangunan Kerajaan, Perbelanjaan Untuk Penyediaan Infrastruktur Sokongan dan Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
“Sejumlah RM881.87 juta peruntukan negeri akan disediakan untuk perbelanjaan pembangunan negeri pada tahun 2012,”katanya.
Justeru, kata beliau, sebahagian besar bajet pembangunan tahun 2012, iaitu sebanyak RM545.91 juta (64.08%), disalurkan kepada sektor ekonomi manakala sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM256.9 juta (30.16%).
“Sementara itu, Pelan Strategik Pembangunan Negeri atau lebih dikenali sebagai Halatuju Pembangunan negeri Sabah akan mendapat peruntukan sebanyak RM617.43 juta (72.5%) daripada jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bajet pembangunan untuk tahun 2012,” katanya.
Bagi Agihan Perbekalan dan Pembangunan 2012, Kementerian Kewangan menerima cadangan peruntukan perbekalan terbesar berjumlah RM 1,918.62 diikuti Kementerian Pembangunan Infrastruktur (RM679.31 juta), Jabatan Ketua Menteri (RM432.03juta),Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM282.94juta), Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (RM133.03 juta) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (RM105.39 juta).
Seterusnya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM88.48 juta), Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (RM87.37juta), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM67.04juta),Kementerian Belia dan Sukan (RM56.14juta) dan Kementerian Pembangunan Perindustrian (RM10.06juta).
Bagi cadangan peruntukan Pembangunan pula, peruntukan terbesar dicadangkan untuk Kementerian Pembangunan Infrastruktur iaitu RM310.40 juta diikuti Jabatan Ketua Menteri (RM432.03juta), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM131.99juta),Kementerian Pembangunan Luar Bandar (RM99.72juta), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM34.5juta) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (RM24.65juta).
Seterusnya, Kementerian Belia dan Sukan (RM24.18juta),Kementerian Pembangunan Perindustrian (RM19.77juta), Kementerian Kewangan (RM18.58juta), Kementerian Pembanguna Masyarakat dan HalEhwal Pengguna (RM7.14juta) dan Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat (RM5juta).
“Bagi perbelanjaan yang tidak termasuk dalam Kementerian-kementerian pula diperuntukkan sebanyak RM23.97 juta, Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM163.9 juta manakala RM 15.00 juta bagi simpanan luar jangka,”katanya.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, anggaran Hasil disemak bagi tahun 2011 dijangka berjumlah RM3,820.45 juta iaitu peningkatan  sebanyak  RM1,072.51 juta  atau  39% berbanding anggaran asal sebanyak RM2,747.94 juta.
“Lima sumber hasil utama iaitu Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah, Royalti Petroleum, Perolehan dan Faedah dari Pelaburan serta Tanah dan Perhutanan  menyumbang kepada peningkatan hasil disemak bagi tahun 2011,”katanya yang menambah kesemua sumber terbabit merangkumi lebih 80 peratus hasil disemak.
Tambah beliau, kerajaan Negeri  yakin hasil negeri akan mencapai prestasi yang sama pada tahun 2012.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Negeri harus mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan anggaran hasil memandangkan kebanyakan sumber hasil utama negeri adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri terutamanya dalam penentuan harga dan pengeluaran bagi minyak sawit mentah dan petroleum.
Hasil Negeri diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM1,165.10 juta atau 32%.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1,100.00 juta disumbangkan oleh Cukai Jualan. Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah di bawah kategori ini dijangka menyumbang RM1,000.00  juta.
Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2,189.12 juta atau 59%.
Dua penyumbang utama dalam kategori ini ialah Faedah dan Perolehan dari Pelaburan dengan anggaran berjumlah RM805.46 juta  dan Royalti Petroleum dengan anggaran sebanyak RM774.46 juta.
“Sebanyak RM336.31 juta  atau  9% adalah dari kategori Terimaan Bukan Hasil. Kategori  ini kebanyakannya adalah geran dan sumbangan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.


Dasar guru bekerja 9 jam dimansuhkan



18.11.2011-Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin mengumumkan bahawa dasar  guru bekerja 9 jam dimansuhkan seperti yang tersiar di dalam Berita Awani 7.45. Pada masa depan jangan dikemukakan lagi idea yang menjentik perasaan guru. Fikirkan beban yang ditanggung oleh guru bukan menambahkan beban guru.

Penduduk kawasan Muzium Hulu demo, dakwa ditipu


Sumber:
malaysiakini
Posted on  by 
Oleh S.Thanga



Penduduk kawasan Muzium Hulu,Taiping, hari ini membuat demontrasi di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping pada pukul 9.00 pagi.
Dakwa kumpulan penduduk itu mereka ditipu oleh pihak Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan kerajaan Negeri Perak.
Kumpulan tersebut berkata bahawa mereka menetap di kawasan Muzium Hulu,Taiping selama 30 tahun.
Pada tahun 2009 mereka didatangi oleh pihak KTMB bersama surat akur janji supaya meminta penduduk kawasan itu mengosongkan rumah mereka kerana tempat tinggal mereka bakal digunakan untuk Projek Landasan Kereta Api Berkembar.
Mereka ditunjukkan surat akur janji yang mengatakan bahawa mereka akan dibayar RM 300 sebulan selama 2 tahun kepada tiap-tiap keluarga sebagai wang sewa bulanan jika mereka keluar dari kawasan perumahan mereka dan menyewa rumah dikawasan lain.
Selepas para penduduk berpindah dari tempat itu dan menyewa rumah dikawasan lain, mereka diberi wang sewa sebanyak RM 300 setiap bulan selama 2 tahun. Disebabkan
mereka gagal diberi tanah gantian di tempat lain, maka disambung bayar 1 tahun lagi dan kemudiannya disambung bayar sewa selama 3 bulan oleh Kerajaan Negeri.

Tetapi pemberian wang sewa sebanyak RM 300 dihentikan pada bulan Oktober dan November.
Para penduduk juga diarahkan supaya membayar wang premium sebanyak RM 650 di Pejabat Tanah dan Galian Perak di Ipoh. Mereka juga dikatakan diugut supaya membuat bayaran tersebut dalam masa 2 bulan.
Jika mereka gagal, nama mereka yang gagal membuat bayaran bakal disingkirkan daripada mendapat tanah gantian. Selepas membuat bayaran tersebut, mereka harus membuat bayaran sebanyak RM 30 di Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang sebagai bayaran pendaftaran untuk mendapatkan tanah gantian.
Dakwa mereka lagi, borang 5A untuk membayar wang premium dikeluarkan pada bulan Ogos, tetapi mereka hanya menerima surat itu pada bulan September.
Mereka mengatakan bahawa mereka pernah momohon bantuan Baitulmal untuk bayar duit premium, tetapi Pegawai Daerah memohon Baitulmal supaya jangan membantu mereka dengan mengeluarkan perkataan “biaq pi kat depa”.
Pada 9 November 2011, mereka dipanggil semula oleh Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang untuk satu temu duga. Pada temu duga tersebut mereka dijanjikan rumah PPRT bagi setiap keluarga dengan syarat rumah PPRT itu akan diambil balik jika Ketua keluarga (Suami atau Isteri) meninggal dunia.
Dalam keadaan terpaksa, mereka telah mengambil keputusan untuk membuat tunjuk perasaan di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang, Taiping.
Mereka juga berikrar bahawa mereka akan berdemo lagi jika isu mereka gagal diselesaikan. Turut kelihatan pada demotrasi tersebut ialah, para wakil Pakatan Rakyat daripada PKR dan PAS mewakili Parlimen Bukit Gantang dan Taiping yang hadir untuk memberikan sokongan kepada para penduduk Kawasan Muzium Hulu,Taiping.
S.Thangamani, Timbalan Setiausaha Negeri Parti Keadilan Rakyat Negeri Perakjuga turut bersama mereka.
S.Thanga

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...