Masalah disiplin anak-anak muda bukan masalah baru cuma pendekatannya yang berbeza. Memang anak-anak muda zaman dulu tidak merempit, tidak akan melawan guru atau tidak memecahkan harta benda awam, tetapi kes lain seperti pergaduhan, mencuri, mencederakan rakan telah berlaku dan masih dalam ruang lingkup yang sama iaitu salah laku membabitkan pihak tersebut. |
Krisis nilai di kalangan anak-anak muda kini membimbangkan pelbagai pihak. Bukan saja ibu bapa penting memikirkan anak-anak mereka terutama ketika di luar rumah, masyarakat sekeliling turut bimbang dengan pelbagai keadaan yang berlaku membabitkan remaja. Boleh dikatakan saban hari kita disogokkan dengan berita atau cerita membabitkan kanak-kanak mahupun golongan remaja dan kebanyakannya masih di bangku sekolah. Kita tidak hairan jika berita atau cerita tersebut mengenai kejayaan mereka dalam sesuatu bidang tetapi agak malang jika kita didedahkan dengan berita penangkapan mereka kerana melakukan kesalahan.
Paparan media massa tentang pelbagai salah laku termasuk jenayah memang cepat mempengaruhi kanak-kanak. Sejak kecil mereka dipengaruhi norma hidup yang mengelirukan dalam menjalani kehidupan harian dan menempuh masa depan. Segala kemelut ini mesti diberi perhatian malah diatasi dengan memberi penekanan nilai-nilai murni melalui subjek dan aktiviti luar bilik darjah yang membentuk jiwa mereka supaya menjadi masyarakat yang mampu bertahan dengan cabaran di luar kelak.
Subjek Sekolah dan Aktiviti Luar Bilik Darjah
Di sekolah antara subjek yang mengandungi penekanan nilai-nilai murni termasuk Kesusasteraan, Bahasa, Pendidikan Moral dan Agama. Subjek ini dirasakan sudah cukup membimbing murid kearah kemantapan jiwa dan sahsiah. Bagi pelajar sekolah menengah, pengenalam Komponen Sastera (komsas) sejak tahun 2000 menambahkan lagi khazanah atau pendedahan nilai-nilai murni di kalangan pelajar sejak mereka di tingkatan satu lagi. Hasil sastera baik prosa moden dan tradisional, puisi, novel dan drama menyelitkan pelbagai nilai murni yang boleh digarap pelajar.
Pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti persatuan, pasukan pakaian seragam dan sukan tidak kurang penting memainkan peranan membentuk murid menjadi insan yang mengamalkan nilai kerjasama, bantu-membantu, tabah, sabar dan rajin dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Pihak sekolah mesti memastikan setiap aktiviti ini dilibatkan pelajar dan bentuk tindakan yang mendidik perlu dikenakan jika ada pelajar enggan memberi kerjasama atau memperlekeh usaha untuk mengisi masa mereka dengan perkara berfaedah Sekolah mesti mengambil kira jalinan hubungan dengan ibu bapa sekiranya ada pelajar memandang rendah kepada setiap peraturan ditetapkan sekolah . Sekolah tidak boleh berlembut dengan ibu bapa yang selalu menyebelahi anak walaupun anak mereka melanggar peraturan sekolah.
Jika sekolah berlembut, sampai bila segala peraturan di sekolah akan di pandang tinggi oleh pelbagai pihak yang mahu mengukuhkan imej institusi pendidikan sebagai tempat untuk menimba ilmu dan membina sahsiah pelajar. Jadi apabila akhir-akhir ini kita kerap didedahkan dengan pelbagai salah laku di kalangan remaja seperti buang bayi, dadah, pergaduhan, kita tidak perlu menyalahkan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.
Pemahaman Murid
Sebenarnya pemahaman dan penglibatan murid dalam aktiviti yang ditetapkan di sekolah sudah cukup menjadi benteng untuk menghalang mereka daripada melakukan salah laku tersebut. Sikap sesetengah pelajar yang mempunyai kefahaman cetek atau memandang ringan terhadap aktiviti luar bilik darjah menjadikan mereka liar dan tidak memahami tujuan setiap aktiviti yang dijalankan.
Kedangkalan mereka tentang pelbagai nilai yang terkandung dan terselindung disebalik kebanyakan subjek di sekolah menjadikan mereka lepas tangan atau tidak mengambil kisah tujuan sebenar setiap subjek yang mereka pelajari. Oleh hal demikian, kebejatan sosial kini perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh menjejaskan pelbagai aspek hidup. Selain ibu bapa dan masyarakat sekeliling sekolah mesti melihat masalah ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian lebih serius, termasuk berusaha memperkemas sistem pendidikannya kearah melahirkan insan lebih bijak menilai yang mana kaca dan mana permata. Sejak tahun 70-an lagi, kita menyedari sistem pendidikan kita condong kearah kecemerlangan akademik. Ia dikatakan menjadi satu penghalang untuk membentuk sahsiah murid.
Kita agak ketinggalan kerana sampai sekarang kita masih melaung-laungkan perkara sama sedangkan sudah lebih tiga puluh tahun perkara ini sering diungkit. Oleh yang demikian sampai masanya kita mengubah sistem pendidikan dan persepsi tersebut supaya kita dapat mengurangkan pelbagai masalah yang membelenggu hidup pelajar di negara ini.