Ahad, 16 Oktober 2011

1200 ORANG SERBU AADK


Sumber: Laman WEB AADK



Oleh:Mohd Nizam Bin Musa
Kota Bharu, 13 Oktober  – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Negeri Kelantan telah mengadakan Pelancaran Sambutan Bulan Pencegahan Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2011 bertempat di Dewan Kompleks, Yayasan Kemiskinan Kelantan pada 8 Oktober yang lalu.  Pelancaran sambutan tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri. Pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kelantan dengan kerjasama pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  Ibupejabat dan Klinik Cure & Care 1 Malaysia Kota Bharu terlibat secara langsung pada hari tersebut dengan mengadakan  pameran  ANTIDADAH. Selain itu juga kakitangan AADK Daerah Kota Bharu, AADK Daerah Bachok, AADK Daerah Tumpat, AADK Daerah Pasir Mas dan AADK Daerah Pasir Puteh turut  hadir bagi menjayakan perhimpunan belia yang mensasarkan kehadiran seramai 2000 orang pada program tersebut. Program pada hari tersebut diceriakan lagi dengan persembahan nyanyian nasyid oleh kakitangan dan residen Klinik Cure & Care 1 Malaysia Kota Bharu. Agensi penguatkuasaan lain juga  tidak melepaskan peluang untuk  turut  serta dalam mengadakan pameran bagi Pelancaran Sambutan Bulan Pencegahan Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah. Pameran yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang itu telah menarik minat seramai 1200 orang pengunjung ke Bas Pameran AADK.

TERAPI PERKAHWINAN DAN CERAMAH KESIHATAN



Sumber:
Laman WEB AADK


Oleh : Erni Haryiani bt Abu Bakar
Perlis, 13 Oktober: AADK Daerah Perlis Utara telah menganjurkan Program Terapi Perkahwinan dan ceramah kesihatan bertempat di Rumah Komuniti Taman Emas, Beseri Perlis pada 11 Oktober yang lalu.  Ceramah Kesihatan yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengahari itu telah disampaikan oleh pegawai dan jururawat daripada Lembaga Penduduk Pembangunan dan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis. Ia turut disambut baik oleh masyarakat setempat dengan penglibat komuniti di taman tersebut selain daripada warga kerja AADK Daerah Perlis Utara, Unit Antidadah Sempadan (UAS) serta Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) daripada CCSC Kangar. 

Antara objektif program ini ialah untuk memberi pendidikan dan perkongsian  ilmu dalam melayari alam rumahtangga. Peserta juga diberi pendedahan teknik untuk menangani konflik dan juga penerangan tentang penyakit-penyakit utama masa kini seperti kanser payudara, kenser serviks dan juga kenser prostat. Dengan adanya program sebegini ia dapat memberi informasi dan input yang berguna  kepada  warga kerja AADK dan komuniti Taman Emas dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga. Program Terapi Perkahwinan pula amat berguna untuk menangani isu rumah tangga yang dihadapi dalam dunia globalisasi pada masa kini.

“Kalau Adak Jarum Patah, Pahau De Simpan Dalam Petik, Kalau Adak Silap Dan Salah, Pahau De Simpan Dalam Hatik


Sumber:
Laman Web JAKIM


Ucapan perasmian penutup oleh Y.Bhg. Us Hamdi bin Haya; 
Pen.Pengarah Caw. Dakwah Khas,
Bahagian Dakwah


“Kalau Adak Jarum Patah, Pahau De Simpan Dalam Petik, Kalau Adak Silap Dan Salah, Pahau De Simpan Dalam Hatik ”( Kalau ada Jarum Yang Patah ,Jangan Disimpan Dalam Peti, Kalau Ada Silap dan Salah, Jangan Disimpan Dalam Hati ).Peribahasa Melayu yang diolah dalam Bahasa Orang Asli Temuan ini adalah antara kata-kata perpisahan penduduk Orang Asli ketika urusetia bersiap-siap untuk berangkat pulang.Pihak Urusetia mendapat kerjasama yang baik samada penduduk yang Islam dan Bukan Islam serta bergotong-royong bersama-sama bagi melancarkan Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli Daerah Gombak yang diadakan di Kg. Orang Asli Sg. Buloh, Gombak, Selangor pada 07-09 Oktober 2011.
 
Program ini adalah program yang dianjurkan oleh Bahagian Dakwah Cawangan Dakwah Khas, JAKIM dan turut mendapat kerjasama dari Unit Pembangunan Insan, Pejabat Agama Islam Daerah Gombak,Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ),Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Gombak.Program ini merupakan ziarah susulan rentetan ziarah Dakwah Bil-Hal yang telah diadakan pada tahun lepas.Antara aktiviti yang dijalankan adalah ziarah ke rumah penduduk, sukaneka bersama penduduk kampung, praktikal penyembelihan ayam dan gerak gempur penerangan Agama Islam kepada Penduduk Orang Asli yang bukan Islam.
Orang Asli diajar cara penyembelihan ayam secara Islam
oleh Y.Bhg. Us Shahdan bin Idrus;
Pegawai Unit R&D Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS )
 
Semoga dengan program yang telah dijalankan mendapat rahmat dan berkat dari Allah serta berharap agar segelintir penduduk bukan Islam di Kg. Orang Asli Sg. Buloh ini dibukakan hati mereka mendapat hidayah menerima Agama Allah yang Esa .

Kembara Ke Dunia Semut


Oleh: Nurul Amira Abd Talib
Majalah Pendidik(Disiarkan di dalam Laman WEB JAKIM)
ROBERTUS AGUNG SUDIATMOKO merakamkan gambar seekor semut
 berdiri dengan satu kaki di Cibinong, Indonesia pada September lalu.




Tahukah adik-adik tentang kebesaran Allah dalam mencipta seekor semut yang merupakan binatang paling kecil di dunia? Tentu adik-adik tertanya-tanya siapa itu semut sebenarnya. Untuk pengetahuan adik-adik, semut merupakan haiwan serangga yang hidup secara bermasyarakat. Cuba adik-adik perhatikan. Apabila semut berjalan, semut akan berjalan secara berkelompok. Semut tidak seperti manusia kerana semut tidak membezakan antara yang kaya dan miskin. Sebagai contoh mari kita lihat kehidupan semut Formica Yesensis, yang hidup di pantai Ishikari, Afrika. Masyarakat semut ini tinggal di 45,000 sarang yang saling berhubung di wilayah seluas 2.7 kilometer persegi. Masyarakat yang memiliki sekitar 1 080 000 ratu dan 306 000 000 pekerja ini dinamakan sebagai “masyarakat super’’ oleh para pengkaji. Para pengkaji mendapati bahawa semua alat produksi dan makanan ditukar dalam masyarakat semut secara teratur tanpa sebarang masalah dalam tempat yang sedemikian luas.
 
Ratu semut ditugaskan untuk meningkatkan jumlah semut dengan menghasilkan sejumlah telur. Dalam sesebuah masyarakat semut akan terdapat lebih dari satu ratu. Tubuh ratu lebih besar dari tubuh semut yang lain. Manakala tugas semut jantan hanya mengawan dengan sang ratu. Hampir semua semut jantan mati setelah mengawan.
 
Sang semut juga memiliki disiplin yang sangat mirip dengan ketenteraan. Namun, dalam ketenteraan semut, tidak mempunyai sang perwira tetapi mereka menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Cuba adik-adik fikirkan bagaimana seekor haiwan biasa mampu mempunyai disiplin sedangkan golongan serangga ini tidak dikurniakan akal fikiran seperti kita manusia. Mereka sangat berdisiplin dengan amanah yang diberikan kepada mereka. Setiap kelompok semut mempunyai tugas masing-masing.
 
Misalnya semut penjaga pintu. Untuk pengetahuan adik-adik, sarang semut dihubung-kan dengan dunia luar melalui lubang kecil yang hanya berukuran seperti saiz seekor semut. Untuk melalui lubang ini setiap semut perlu meminta izin daripada semut yang bertugas sebagai penjaga pintu. Penjaga pintu bertugas menutup pintu dengan kepalanya yang sesuai dengan lubang masuk. Lebih menarik, warna kepalanya sama dengan warna kulit pohon dimana sarang itu berada. Semut yang dipertanggungjawabkan menjaga pintu akan duduk berjam-jam di lubang masuk dan hanya membenarkan semut-semut dalam masyarakatnya sahaja untuk melalui pintu itu.
 
Istimewanya sang semut adalah kerana persahabatan yang murni antara mereka. Golongan serangga ini sanggup berkorban apa sahaja. Misalnya jika berlaku kekurangan makanan dalam masyarakat semut, semut pekerja akan berubah menjadi semut pemberi makanan kepada semut-semut yang lain dengan partikel makanan yang ada dalam perut mereka. Apabila masyarakat berlebihan makanan, mereka akan ber-tukar menjadi semut pekerja. Ini adalah satu pengorbanan yang cukup tinggi, jauh mengatasi pergorbanan yang boleh dilakukan oleh manusia.
 
Semut sanggup memberi segala milik mereka kepada semut lain tanpa rasa ragu agar semut lain tetap hidup, sedangkan di dunia hari ini ramai manusia yang mati kelaparan tanpa mendapat bantuan makanan secukupnya.
 
Firman Allah SWT, “Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut: Hai semut-semut masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.” (an-Naml : 18 )
 
Semut juga merupakan makhluk yang sungguh luar biasa. Kajian membuktikan bahawa golongan serangga kecil ini memiliki jaringan komunikasi yang luar biasa. Semut mempunyai kaedah komunikasi yang cukup canggih kerana pancaindera mereka sangat peka. Ia digunakan pada setiap ketika. Terdapat 500,000 sel saraf yang termuat dalam dua atau tiga milimeter tubuh mereka. Oleh itu, adik-adik perlu tahu bahawa sekecil-kecil serangga ini, ia tahu meletakkan dirinya di tempat yang sewajarnya.
Adik-adik perlu menjadi seperti semut, walaupun kecil tetapi kualiti kehidupannya sangat bermakna. Semoga adik-adik menjadi seorang kanak-kanak yang kecil fizikal tapi besar mentalnya.

Peranan Penguatkuasaan Syariah Dalam Membendung Gejala Pembuangan Bayi.




Oleh: Mahfudzah binti Mohamad (Bahagian Penyelarasan Undang-Undang, Jakim)
 
 
Masalah gejala sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan yang amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular di kalangan remaja.
 
 
Malah bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud 3 pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.
 
 
Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling? Atau adakah institusi kekeluargaan kini telah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?
 
 
Selain usaha menerapkan nilai-nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah. Namun tindakan pencegahan inilah menjadi suatu perkara yang amat penting kerana ia melibatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.
 
Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin“menjaga tepi kain orang”. Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.
 
 
Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan. Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut di kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.[1]
 
 
Manakala aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah s.w.t di dalam Surah al-Maidah ayat 38:
 
"السارق والسارقة فاقطعوا أيديهما جزاء بما كسبا نكالا من الله"
 
Maksudnya: Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.[2]
 
 
Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes-kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain. Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan sebagai pemulihan bagi pesalah-pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah s.w.t dalam Surah az-Zukhruf ayat 48:
 
"وأخذناهم بالعذاب لعلهم يرجعون"
 
Maksudnya: Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.[3]
 
 
Dalam Akta/Enakmen/Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri telah terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat merupakan faktor utama yang membawa kepada perzinaan[4]yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi. Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini Kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi suatu kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini adalah sangat dituntut oleh Islam. Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak-anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.      
 

Cawangan Narkotik JKDM Berjaya Menumpaskan Percubaan Pengedaran Dadah


Oleh : Cawangan Perhubungan Awam, Ibu Pejabat, Putrajaya
LAMAN WEB JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA


Pada 12 Oktober 2011, satu sidang media yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Liah bin Omar, Timbalan Pengarah Kastam, Cawangan Narkotik telah diadakan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat berikutan kejayaan jabatan menumpaskan percubaan pengedaran dadah melalui jalan darat.

Kes ini diperolehi pada 10 Oktober 2011, lebih kurang jam 10.30 malam, pasukan ini telah berjaya menahan dua buah kenderaan persendirian di KM 449.1 Lebuh raya Utara Selatan (Rawang) setelah mengekori sejauh kira-kira 10 km kerana dipercayai ada membawa dadah untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
Suspek ialah seorang lelaki warganegara Nigeria berumur 37 tahun merupakan pelajar kolej swasta di Kuala Lumpur bersama wanita Laos yang berumur 35 tahun yang mana dokumen perjalanan merekodkan beliau dari Loas ke Thailand dan kemudian memasuki Malaysia melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Changloon.
Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan telah menemui sejumlah 31 bungkusan tumbuhan kering mampat dan setelah ujian awal dijalankan ianya positif dadah jenis Ganja dengan berat kasar 37 kg. anggaran nilai pasaran ialah RM90,000.00. Modus Operandi, ganja diisi dalam bagasi dan kotak yang disembunyikan di tempat simpanan barang belakang kenderaan.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama 7 hari untuk siasatan lanjut di bawah sek 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Kegelisahan Ibu Bapa




Umumnya, mereka bimbang kerana anak-anak mereka dinilai berbeza dengan rakan-rakan mereka. Mungkin dari prestasinya, sikap dan perilakunya sifatnya sehingga pada fizikalnya. Begitu pemerhatian para ibu bapa amat resah jika sudah berkaitan dengan perbezaan pada anak-anak mereka. Kemudian ibu bapa cenderung berfikir "anak saya memerlukan terapi"
Sebagai ibu bapa ada faktor tertentu yang mempengaruhi perbezaan ini.
1. Faktor biologi dan genetik
2. Faktor pola asuh
3. Faktor lingkungan
4. Faktor pendidikan
5. Faktor pengalaman.

Tidak ada seorangpun di dunia ini yang memiliki keadaan yang sama, tidak ada satu manusia pun di dunia ini segala sesuatunya sama. Itulah takdir yang ditetapkan Allah.
 Keluhan ibubapa biasanya datang dari anaknya yang terlalu banyak bermain daripada yang terlalu banyak belajar. Bahkan kalau anak sangat rajin belajar pastilah ibu bapa mempamerkan kepada orang lain dengan nada bangga. "Semua cikgu puji, nak saya itu belajarnya rajin sekali". Pulang dari sekolah terus belajar, bangun tidur belajar, malampun begitu juga..
Lain pula kalimatnya kalau anak terlalu banyak bermain, "Aduh, malangnya saya ni! Anak saya ni kerjanya bermain sahaja. siang main, petang main, malam pun main. Saya dan bapanya kalau menyuruhnya belajar kene menjerit-jerit dulu, marah dulu, baru dia mahu belajar. Pening kepala saya dibuatnya. Darab dua pua dia tak hafal...
Jika anak enggan belajar tentunya perlu dicari sebab musababnya.

1. Kurangnya waktu yang tersedia untuk bermain
2. Sedan mempunyai masalah di rumah
3. Bermasalah di sekolah
4. Sedang sakit
5. Sedang sedih
Tidak ada masalah ataupun sakit, juga tidak kurang waktu bermain, itu tandanya MALAS. Jika anak-anak kita tidak suka belajar dan lebih suka bermain itu bermakna belajar dianggap sebagai aktiviti yang tidak menarik juga tanpa disedari anggap belajar sebagai aktiviti tidak berguna. Belajar tak nampak untungnya. Bermain dapat kepuasan. Kepuasan itulah keuntungan semasa bermain. Itu bagi mereka...
Memberikan dorongan agar anak mahu belajar.
1. Berikan insentif jika anak belajar. Insentif tidak semestinya berupa kebendaan tetapi boleh juga berupa penghargaan dan perhatian. Pujilah anak jika ia mahu belajar tanpa disuruh. Anak sering kahausan perhatian dan amat selesa dipuji. 
 2. Terangkan kepada anak-anak bahawa pelajaran amat berguna pada mereka. Untuk kepentingan dunia dan akhirat. Jika kamu pandai kamu akan dapat  menjawab apa sahaja soalan. Juga dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dengan lebih mudah.
 3. Sering bertanyakan tentang apa yang telah dipelajari di sekolah. Jika boleh menjawab sebutlah kepintarannya adalah hasil belajar di sekolah. Sering bertanya tentang solat. Pujilah jika anak kita solat tanpa disuruh Itu juga hasil belajar di sekolah. Mengaji Al Quraan tanpa dileter.
 4. Dorongan anak agar merasakan belajar sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
 Untuk berhadapan dengan keadaan ini perkara minima yang boleh dilakukan ialah "mengatur suasana belajar".  Jika setiap kali perbicaraan mengenai belajar  berakhir dengan leteran dan sungutan, maka akan mengaitkan suasana belajar sebagai perkara yang tidak memberi perasaan menyenangkan. Begitu juga dengan SOLAT. Solat harus dikaitkan dengan ketenangan dan kebahagiaan. Jangan jika berbicara tentang amalan SOLAT sering dikaitkan dengan sesuatu yang terpaksa dilakukan walaupun hakikatnya memang mesti dilakukan.
 Mewujudkan suasana belajar yang lebih menyeronokkan.
1. Anak-anak cenderung meniru tingkahlaku ibu bapa, ketika menyuruh dan mengawasi anak-anak belajar, ibu bapa juga perlu untuk kelihatan seperti sedang belajar.

2. Pilih waktu belajar yang paling baik untuk anak, ketika anak berasa segar. Anak-anak boleh diajak berbincang waktu belajarnya.

3. Anak-anak memerlukan suatu kepastian. Jadi, jadikan waktu belajar sebagai waktu yang rutin dan pasti.

4. Anak mempunyai daya konsentrasi berbeza. Ada yang mampu belajar selama 1 jam terus-menerus dan ada yang boleh setengah jam sahaja. Kenal pasti pola ini dan susunlah suatu jadual belajar yang sesuai untuk mereka. Bagi anak yang hanya mampu berkonsterasi selama 30 minit, maka berikan waktu berehat selama 10 minit.

5.Ibu bapa disaran menemani anak, namun ibu bapa juga ada tugasan lain untuk diselesaikan. Namun paling tidak apabila anak mengalami kesukaran, anda harus ada di sampingnya untuk membantunya.
Anak Tunjuk Perangai
Ini adalah merupakan satu luapan emosi yang meledak-ledak  dan tidak terkawal. Perbuatan ini sering muncul pada anak yang berusia 15 bulan hingga 7 tahun. Tunjuk perangai ini biasanya berlaku pada anak yang aktif dengan tenaga yang berlimpah. Tunjuk perangai ini lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kana-kanak dengan ciri yang berikut :

1. Memiliki kebiasan tidur, makan, dan mmbuang air besar yang tidak teratur.
2. Sukar menyukai situasi, makanan dan orang-orang baru.
3. Lambat beadaptasi dengan perubahan
4. Mood (suasana hati) sering negatif
5. Mudah terprovokasi, mudah berasa marah atau kesal.
6. Sukar dialihkan perhatiannya..

PIBG SMK Kubong raih derma RM40,700


Utusan Borneo
Gambar Hiasan


LIMBANG: Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK Kubong melakar pencapaian membanggakan apabila meraih sejumlah RM40,700 kutipan derma daripada ibu bapa dan orang ramai dalam tempoh sebulan yang berakhir dengan program Larian Jogaton PIBG semalam.
Yang Dipertua PIBG sekolah, Mohd Hashim Mohd Julaihee berkata, walaupun menetapkan sasaran untuk mencapai RM50,000, namun kutipan itu berjaya menambah dana kewangan PIBG sekolah.
Dana itu akan dimanfaatkan untuk membantu sekolah merealisasikan impian kecemerlangan pelajar-pelajarnya, katanya.

Hisham akan dedah dakwaan beri kerakyatan




Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mendedahkan segala-galanya tentang dakwaan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada penduduk asing kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Menurut menteri dalam negeri yang juga ahli parlimen Semberong itu, ada di kalangan saudara mara pemimpin-pemimpin parti pembangkang turut diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia.    "Ada pemimpin-pemimpin daripada pihak parti pembangkang sendiri yang telah kita (kementerian) luluskan. Itu sahaja telah membuktikan bahawa kita tidak memilih bulu.

"Ini semua akan saya didedahkan pada Jawatankuasa itu," katanya kepada pemberita di Kluang hari ini.    Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pengeluaran MyKad dengan Struktur Baru dan pengeluaran MyKad Satu Hari di Jabatan Pendaftaran Kluang di Bangunan Persekutuan di sini.    Pihak pembangkang sebelum ini menuduh kerajaan dan khususnya Kementerian Dalam Negeri memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.        Menurutnya, kakitangan kementerian tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan.    "Ini semua adalah fakta. Saya tidak tahu siapa yang memohon, lebih-lebih lagi jika pemohon itu adalah cucu cicit, anak saudara (kepada sesiapa) atau apatah lagi mereka ini menyokong kerajaan atau tidak," katanya.    Hishammuddin berkata, dakwaan pembangkang baru-baru ini tentang pemberian kewarganegaraan kepada warga Bangladesh juga telah diberikan penjelasan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).    "Apabila Ketua Pengarah JPN (Datin Jariah Mohd Said) menjawab (dakwaan tentang isu warga Bangladesh itu), mereka (pembangkang) senyap," katanya dan menambah, pembangkang sering memperlekeh usaha KDN di atas pertimbanganpolitik mereka.    Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, sejak tujuh tahun lepas hanya 30 warga Bangladesh yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia dan daripada bilangan itu hanya tujuh yang boleh mengundi.    "Daripada tujuh yang boleh mengundi, hanya empat yang mendaftar untuk menjadi pengundi," kata Hishammuddin.
    
- Bernama

Kad kredit: Tidak pelik anak muda berstatus muflis


Harakah daily.net

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang dan taraf hidup yang semakin tinggi.
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
“Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak memastikan diri dan keluarga ‘berdaya saing’ demi untuk meneruskan kehidupan,” soalnya kepada Harakahdaily.
Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu secara puratanya adalah dua orang setahun.
Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei 2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.
Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.
Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.
Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.
Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada ‘maslahah’ ini adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam jangka masa yang panjang.
“Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.
Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan dan boros di dalam berbelanja.
Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini.
“Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga terus meningkat.
“Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis,” katanya.
Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil kira sekiranya slogan ‘Rakyat Didahulukan’ dilaksanakan dan bukan sekadar retorik semata-mata.
Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga barang.
Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang  juga turut menyebabkan  ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang, digunakan untuk perbelanjaan hidup.
“Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus muflis,” katanya.

oleh kerana kami ni guru



Norlilah Ismail


oleh kerana kami ni guru...
bila ada sedikit ganjaran,
semua pakat marah
semua mengungkit pelbagai alasan
waktu kerja jadi bandingan
paling hangat sebab cuti cikgu panjang
ada yang mencemuh sebab murid tak pandai pandai pun
ada yang mencebek sebab murid panjat pagar tanpa gerun
cikgu berniaga antara yang hebat terima kutukan
sampai ke PPD, cikgu yang pergi kursus pun dapat aduan
kereta cikgu lawa, besar pun kena bahan
guru malas, guru tak guna, guru tak bersopan...
haihhhh..... banyak lagi yang mereka bidaskan

oleh kerana kami ni guru...
kalau boleh, jangan ada kenaikan
kalau boleh, tak payah cuti, kerja berpanjangan
kalau boleh,,segala  perangai murid, cikgu disalahkan
kalau boleh, segala aktiviti di sekolah tak perlu bayaran
kalau boleh, semua hal ehwal murid kena selesaikan
kalau boleh, apa sahaja masalah kesihatan murid uruskan
kalau boleh, jangan ada seorang pun murid kena jangkitan
kalau boleh, .....uruslah semua, asal murid pandai, sekolah bagus,
sukan menang, ibu bapa tiada aduan dan senyum memanjang....

oleh kerana kami ni guru..
kami dengar segala rungutan
kami baca tulisan kutukan kalian
kami telan semua kepahitan
kami melihat semua gelagat kelakuan
kami menggelengkan kepala dengan kesalan

oleh kerana kami ni guru..
kami kenal yang merungut tu dulu
luka di kaki cikgu yang balutkan
yang menulis kutukan tu dulu
pensil pun pernah cikgu hadiahkan
yang panas bersuara lantang
kami pernah didik jadi pemidato handalan
dan kamu ..kamu ..kamu  kamu dan semua kamu
pun sama,..bertanding sukan cikgulah yang bertempik beri sokongan
kalau peperiksaan kamilah yang mengamin doa kejayaan kalian
kalau sakit, kamilah yang hantar ke klinik untuk rawatan

oleh kerana kami ni guru..
ilmu yang dicurah telah pun kami halalkan
tidak pula kami tuntut kembali segala yang kami berikan
sekadar...
kami akan lebih tenang
sekiranya anak murid pandai beri penghargaan
peka dan tahu mengenang
jasa orang yang telah menjadikan kamu "orang"
sebagai tanda ilmu diberi ..
telah terkesan

(semoga Allah selamatkan  semua murid dan bekas murid ku dari kederhakaan ... kerana marah dek ganjaran yang di taqdirkan..ampunkan mereka Tuhan..)

nulikan
Norlilah Ismail

Kolaborasi PDRM-ATM Perkasakan Objektif Utama Blue Ocean Strategy


SUMBER: Laman Web PDRM


"...Tidak ada yang mustahil, malah jika menggunakan pemangkin yang betul, air dan minyak juga boleh berbaur di dalam bekas yang sama...." YDH Ketua Polis Negara
Kuala Lumpur , 14 Oktober - "Pada awalnya kesemua bentuk kolaborasi yang kita jalinkan ini nampak agak janggal dan luar biasa kerana kedua-dua organisasi ATM dan PDRM mempunyai peranan, fungsi, budaya, prosedur kerja danlegal environment yang berbeza, namun keadaan ini dapat diatasi dalam masa yang singkat hasil daripada kerjasama dan persefahaman pucuk pimpinan kedua-dua organisasi ini," ujar YDH IG Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya sempena Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan NSES-NBOS (PDRM-ATM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Menyokong kenyataannya itu, Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2010 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang merupakan satu pengiktirafan daripada kerajaan atas daya usaha kedua-dua organisasi serta membuktikan bahawa kerjasama strategik dan inovatif di antara ATM dan PDRM berhasil.

Sebelumnya, beliau telah menyentuh berkenaan Blue Ocean Strategy yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) di mana ianya merupakan satu cetusan strategik terbaru dan kerjasama di antara ATM dan PDRM yang telah bermula secara 'piece-meal' dan 'ad-hoc' sejak tahun 1960-an lagi terutamanya dalam konteks membanteras ancaman komunis di era tersebut, juga kerjasama rapat dalam kawalan sempadan - 'border committee' serta dalam bidang percambahan pengetahuan dan kemahiran seperti kursus Diploma Kepolisan di Maktab PDRM dan Pengajian Strategi Keselamatan di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT).

Tambah beliau lagi, tiga bentuk kerjasama baru ATM dan PDRM telah berjaya dilaksanakan secara bersistematik dalam usaha memperkasakan keselamatan dan pertahanan negara dan ianya merupakan pengambilan anggota baru daripada bekas-bekas tentera, menggunakan dua pusat latihan tentera  sebagai fasiliti untuk melatih rekrut-rekrut baru PDRM dan rondaan bersama PDRM dan ATM terutamanya di dalam aspek pencegahan jenayah.

Beliau turut menjelaskan, kerjasama padu yang terjalin hasil persefahaman dan komitmen jitu yang ditunjukkan oleh kedua-dua pihak ini telah menyumbang kepada penurunan kadar jenayah yang ketara, serta mengurangkan perasaanfear of becoming the victim of crime dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi PDRM dan ATM.

Majlis pada hari ini, adalah sebagai pengiktirafan daripada PDRM kepada seramai 61 orang pegawai dan anggota dari ATM dan PDRM, iaitu dua orang pegawai dari KD Sultan Ismail dan enam orang pegawai dari PUSASDA, dan selebihnya adalah dari PDRM, yang telah terlibat secara langsung di dalam menjayakan kerjasama strategik ATM/PDRM dengan menggunakan pendekatan Blue Ocean Strategy
Turut hadir dalam majlis hari ini, YDH CP Dato' Noor Rashid bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, YDH Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, YDH DCP Dato' Abd Rahim bin Haji Hanafi, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) merangkap Pemangku Pengarah Pengurusan PDRM, Y.Bhg Laksamana Muda Dato' Tan Eng Seng, Panglima Pendidikan dan Latihan Tentera Laut Diraja Malaysia, Y.Bhg Brigedier Jeneral Dato' Ranjit Singh Ramday, Pengarah Pengurusan Latihan Markas Latihan Tentera Darat, Pegawai-pegawai Kanan PDRM dan pihak media.

Malaysia negara kedua paling selamat di Asia


by WILLIE JUDE JUNAIDI,wjudeub@gmail.com


APA KHABAR ... Khalid (kanan) bersalaman dengan salah seorang peniaga di Jalan Gaya kelmarin.

Juga berada di tangga ke 19 daripada 153 negara seluruh dunia

KOTA KINABALU:  Kedudukan Malaysia dalam senarai negara paling selamat di dunia pada tahun ini terus meningkat apabila berada di tangga ke-19 daripada 153 negara dari seluruh dunia.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata kajian daripada badan bebas antarabangsa iaitu Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) itu juga menujukkan Malaysia menjadi negara kedua paling selamat di Asia selepas Jepun.
“Pada 2009, Malaysia berada di tempat ke-26 dan pada 2010 hasil kajian IEP menempatkan negara kita di tangga ke-22 dalam senarai negara paling selamat di dunia mengatasi Singapura.
“Bagi tahun 2011 ini pula, hasil kajian terbaru menunjukkan kedudukan Malaysia terus meningkat sebanyak tujuh tangga berbanding tahun 2009,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Ops Utama Perdana Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) peringkat negeri di Lintasan Deasoka di sini kelmarin.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.
Menurut Khalid, peningkatan berkenaan menunjukkan kejayaan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah di negara ini.
Jelasnya, ia juga membuktikan kejayaan 21 inisiatif di bawah program NKRA yang ditetapkan oleh PDRM dengan sasaran mengurangkan lima peratus indeks jenayah dan 40 peratus jenayah jalanan.
“Ini adalah pencapaian dan peningkatan yang sangat membanggakan dalam tempoh tiga tahun terutamanya dalam konteks kesungguhan kita menentukan negara kita tersenarai sebagai dua puluh negara di kategori teratas yang paling selamat dan aman di dunia,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, selain pelbagai program yang dilaksanakan pihak polis, beliau berharap kolaborasi antara polis dan masyarakat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Jelasnya, melalui pendekatan itu setiap pihak akan mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk bersama-sama membanteras jenayah.
“Hakikatnya, seperti yang kita semua tahu polis tidak dapat bertindak secara sendirian tanpa kerjasama semua pihak terutamanya di kalangan masyarakat itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri ini, tumpuan akan diberikan di kawasan panas khususnya di Kota Kinabalu yang menyumbangkan hampir 50 peratus indeks jenayah di negeri ini.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...