Ahad, 16 Oktober 2011

Guru kaunseling di Sarawak akan dilatih: Fatimah


by Patricia Gari





Program latihan akan dilaksana untuk menangani masalah sosial remaja khususnya pelajar


KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga (KKWPK) akan melaksanakan program latihan untuk guru-guru kaunseling di seluruh Sarawak sebagai langkah menangani masalah sosial di kalangan remaja khususnya pelajar.
Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Agama Islam dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan Pro-life dengan menekankan kepada lima modul utama.
“Kami akan bekerjasama dengan Pro-life yang sememangnya cukup terkenal dengan lima modul serta topik-topik yang sangat baik, bersifat mendidik kumpulan sasaran iaitu guru-guru kaunseling di seluruh Sarawak.
“Salah satu topik yang akan diberi penekanan ialah ‘Perhubungan remaja lelaki dan perempuan’.
“Perkara ini diberikan penekanan kerana kita tidak boleh menghalang remaja mempunyai teman wanita atau lelaki tetapi kita mahu mereka mempunyai hubungan yang sihat,” katanya kepada pemberita semalam.
Beliau ditemui pada majlis penyerahan bendera Sarawak kepada pasukan ‘choral speaking’ Sekolah Kebangsaan (SK) St Joseph Kuching yang akan mewakili Sarawak ke pertan-dingan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada 19 Oktober ini.
Mengulas lanjut mengenai program latihan tersebut Fatimah yang juga Pengerusi Majlis Wanita dan Keluarga Sara-wak (MWKS) memberitahu bahawa program itu kini masih di peringkat perbincangan dan dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini.
Ia tambahnya akan dilaksanakan secara zon iaitu membabitkan guru-guru kaunseling di zon utara, tengah dan selatan Sarawak.
“Tarikh sebenar belum kami tentukan lagi, kerana kami perlu melihat kalendar sekolah dan perlu berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri.
“Ini adalah langkah kementerian mencegah gejala sosial membabitkan pelajar terutamanya hubungan yang tidak sihat sehingga keterlanjuran berlaku menyebabkan lahirnya anak luar nikah,” jelasnya.
Menurutnya, bagi yang sudah terlanjur dan akhirnya mengandung, kerajaan katanya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan sistem sokongan kerana tidak mahu remaja terbabit meng-gugurkan anak dan boleh melanjutkan pelajaran mereka selepas itu.
“Menerusi cara ini mereka boleh meneruskan kehidupan baru, memiliki kerjaya pada masa akan datang.
“Ini bukan bermakna kita menggalakkan mereka melakukan perbuatan tidak baik ini, tetapi demi untuk menyelamatkan nyawa bayi dan ibu selain mengelak berlakunya kejadian buang bayi,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...