Sabtu, 15 Oktober 2011

Pertubuhan kecewa tunggu lama akta gangguan seksual


UTUSAN BORNEO



KUCHING: Pertubuhan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) kecewa cadangan rang undang-undang gangguan seksual mengambil masa yang begitu lama untuk diluluskan menjadi akta.
Presidennya, Margaret Bedus berkata, cadangan tersebut diusulkan oleh Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak Bagi Kesamarataan Gender (JAG) pada tahun 2000, justeru menyifatkan penantian itu ‘bagai menanti bulan jatuh ke riba.’
“Sekiranya akta ini diwujudkan, maka lebih ramai wanita yang mengalami gangguan seksual di tempat kerja akan membuat laporan, tetapi tidak dapat disangkal, ramai juga wanita yang tidak tahu hendak mengadu kepada siapa kerana tidak terdapat akta yang boleh melindungi mereka,” kata Margaret ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Bagaimanapun, pada 3 Mac 2001, JAG telah mengusulkan rang undang-undang terbabit kepada Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya melancarkan ‘Kod Amalan Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ bagi penjawat awam.
JAG kemudiannya mendesak pihak kerajaaan untuk menggubal satu rang undang-undang gangguan seksual yang komprehensif agar setiap individu diberi perlindungan yang mencukupi serta dapat mewujudkan tribunal khas yang diberi kuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya.
Cadangan itu antara lain turut disokong bersama Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER), Women’s Aid Organization, All Women’s Action Society (AWAM), Women’s Centre for Change (WCC) dan Sisters in Islam (SIS).
Namun demikian, beliau tetap gembira kerana terdapat beberapa badan korporat besar tempatan yang telah mengamalkan kod cadangan undang-undang itu, biarpun ia belum dijadikan akta.
Pihak SWWS, katanya, turut menyediakan talian pelanggan (CPL) 082-422660 untuk tujuan kaunseling sebagai pilihan membantu mangsa gangguan seksual.
Sehubungan itu, Margaret menggesa lebih ramai wanita dewasa dan muda agar menyertai SWWS untuk mengetahui lebih lanjut hak mereka sebagai wanita.
Pendaftaran boleh dibuat di pusat SWWS di Jalan Rock yang kini dianggotai lebih kurang 100 ahli berdaftar dan tidak berdaftar seluruh negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...