The Borneo Post
by Saibi Gi. Posted on October 15, 2011, Saturday
BARANG CURI: Abdul Rahman (kiri) menunjukkan barang-barang elektronik yang disyaki dicuri Geng Montel pada sidang media, semalam. |
Gambar Hiasan |
KUCHING: Polis yakin telah menyelesaikan 23 kes pecah rumah di sekitar Kota Samarahan yang berlaku sejak awal tahun ini dengan tertangkapnya sembilan anggota Geng Montel pada bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Abdul Rahman Ahmad berkata, pasukan khas yang ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan memberkas tiga orang ahli kumpulan terbabit pada 21 September.
Hasil siasatan dua bulan, polis memberkas tiga orang lelaki berusia antara 17 dan 20 tahun di sebuah rumah di Kampung Tanjung Bundong.
Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan lima lagi lelaki berumur 20-an dan seorang wanita berusia 40-an.
“Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Montel sempena nama panggilan ketua kumpulan ini yang pernah menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun pada 2008,” katanya pada sidang media di IPD Kota Samarahan, dekat sini, semalam.
Abdul Rahman berkata lagi, modus operandi kumpulan tersebut ialah memilih sasaran rumah kakitangan kerajaan yang turun bekerja.
“Mereka memastikan rumah sasaran kosong terlebih dahulu dengan menghantar lima orang ahli sebagai pemerhati.
“Tiga orang lagi akan masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil tingkap atau pintu belakang rumah dengan menggunakan pemutar skru dan kuku kambing,” katanya.
Barang-barang yang sering dicuri ialah barang kemas, wang tunai, komputer riba dan telefon bimbit yang ditinggalkan tuan rumah ketika bekerja.
“Kebanyakan barang-barang yang dirampas oleh pihak polis adalah barang-barang yang telah dijual oleh seorang wanita kepada kedai-kedai dan juga orang perseorangan dengan separuh harga,” katanya.
Justeru, polis meminta mangsa kes pecah rumah di sekitar Kota Samarahan khasnya dari Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Muara Tuang agar datang bagi membuat pengecaman barang-barang yang telah dirampas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan