Sabtu, 15 Oktober 2011

Buaya miliki nilai pelbagai


The Borneo Post
by Jessica Jawing.
MAKLUMAT: Oswald menunjukkan rangka
kepala buaya dalam ceramahnya semalam.


KUCHING: Persepsi masyarakat yang menganggap buaya sebagai musuh atau berbahaya harus diubah kerana reptilia berkenaan memberi manfaat yang pelbagai.
Pengarah Kanan Unit Pemuliharaan Biodiversiti dan Kawasan Terlindung, Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) Oswald Braken Tisen berkata, salah satu daripadanya adalah nilai ekonomi haiwan berkenaan.
“Di Sarawak, buaya tidak ada nilai jualannya kerana pertama masyarakat tidak tahu ia boleh dijadikan bahan komersial seperti makanan.
“Selain itu, sesetengah masyarakat masih memegang kepercayaan seperti ‘pantang’ (tabu) buaya sebab itu tidak ada sesiapa yang ‘mengacau’ ia di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan ceramah kesedaran awam yang bertajuk ‘Crocodile Conservation: Human-Crocodile Coexistence’ di SBC di Semenggok di sini, semalam.
Menurut Oswald, sehubungan itu, pihaknya mencadangkan kepada Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) agar spesies buaya di negeri ini disenaraikan dalam CITES Appendix II dari segi nilai komersialnya.
Kini, ujarnya, spesies buaya di negeri ini disenaraikan di bawah CITES Appendix I, yang bermakna sesiapa tidak boleh mengambil buaya liar untuk dijual di peringkat antarabangsa.
“Kami ingin membangunkan agar spesies buaya di negeri ini disenaraikan dalam CITES Appendix II.
“Dalam Appendix II, jika terdapat terlalu banyak buaya di sungai, kita boleh menangkap dan membenarkan ia sebagai nilai komersial termasuk ke pasaran antarabangsa,” tegas beliau.
Sementara itu, dalam ceramahnya, Oswald turut berkata, buaya juga memberi manfaat dari segi ekosistem kehidupan air yang boleh mengekalkan kesihatan habitat di dalam air untuk hidupan lain seperti ikan dan udang.
“Buaya juga menjadi sebahagian daripada budaya dan kesenian masyarakat kita seperti kraf tangan serta legenda Batang Lupar – Bujang Senang,” katanya.
Beliau memberitahu di Sarawak hanya terdapat dua spesies buaya iaitu Porosus (Buaya Katak) dan Tomistoma Schiegelli (Buaya Jujulung).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...