The Borneo Post
by NIK JASNI CHE JAAFAR, nikjasni.ub@gmail.com.
RAKAN SEPERJUANGAN...Yabi (dua kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Peter (dua kanan) disaksikan Michael (tengah) di Sesi Dialog JPAS-NREB, kelmarin. |
KOTA KINABALU: Lebih banyak pihak yang mengabaikan kepentingan penjagaan alam sekitar akan dibawa ke muka pengadilan, tegas Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Michael Emban.
Menjelaskan perkara itu, beliau mahukan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) membawa lebih ramai pemaju yang tidak bertanggungjawab ke mahkamah atas tindakan tidak bertanggungjawab mereka.
“Tindakan ini adalah amaran dan peringatan kepada mereka bahawa kita serius dan tiada kompromi terhadap isu alam sekitar kerana perkara ini lebih penting.
“Saya difahamkan JPAS sebelum ini juga memenangi kes menentang pemaju yang masih tidak berubah dan mengambil ringan isu alam sekitar. Ini peringatan bagi yang lain,” katanya.
JPAS juga, katanya, sedang berusaha memperluaskan Pematuhan Syarat-syarat Alam Sekitar kepada operator pembalakan di negeri ini bagi meningkatkan kualiti perlindungan alam dan sumber semulajadi.
“Langkah ini dapat dilaksanakan melalui Prosedur Operasi Standard (POS) di hutan kekal, tanah kerajaan dan tanah persendirian yang diambilalih oleh kerajaan selain membuat semakan format Laporan Pematuhan Alam Sekitar yang perlu diserahkan oleh operator pembalakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dialog Alam Sekitar antara JPAS dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, di sebuah hotel terkemuka, di sini, kelmarin.
Tambah Michael, Sabah dan Sarawak kini sedang mengalami pembangunan pesat yang memerlukan mereka mewujudkan pelan pengurusan alam sekitar yang lebih baik.
“Ketika ini, pembangunan telah mula memasuki kawasan yang boleh disifatkan sebagai sensitif seperti lereng bukit, kawasan tanah lembap dan kawasan yang diiktiraf sebagai dilindungi.
“Keadaan ini menyebabkan kita berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran untuk membentuk strategi dan pendekatan baru mengenai pengurusan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata isu alam sekitar bersifat merentasi sempadan negara dengan isu perubahan iklim dan kemusnahan biodiversiti bakal memberi kesan kepada seluruh dunia menyebabkan kerjasama lebih penting berbanding usaha satu pihak sahaja.
Menurutnya, Sabah dan Sarawak pula diancam jerebu yang berlaku kesan pembakaran terbuka di negara jiran menjadikan mereka perlu berganding bahu menguruskan permasalahan itu.
“Isu alam sekitar lain yang biasa kita hadapi adalah pencemaran air dan udara kerana faktor-faktor seperti hakisan tanah, pemendapan, pembuangan sisa pepejal yang tidak terurus, sisa minyak dan toksik serta debu dari aktiviti pembangunan tertentu yang memerlukan Penilaian Alam Sekitar (EIA),” kata Michael.
Justeru, katanya, program seperti itu akan membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman tentang langkah menggunakan EIA untuk menguruskan alam sekitar.
Walaupun EIA mempunyai beberapa kekurangan dari aspek data asas, kualiti penilaian dan laporannya agak umum, JPAS dan NREB akan berusaha mewujudkan langkah untuk mengemaskini kaedah ini.
Michael berkata, kedua-dua badan itu akan menggunakan pengalaman dan kepakaran selama lebih sepuluh tahun untuk mewujudkan pengurusan, perancangan dan keputusan yang lebih baik.
Sementara itu, beliau berkata JPAS giat mengadakan program mendidik masyarakat di semua peringkat dan sektor tentang kepentingan melindungi alam sekitar termasuk mempromosikan pembangunan mampan.
“Memandangkan isu dan masalah alam sekitar semakin kompleks dan tenat, kita perlu mewujudkan pendekatan dan kaedah yang boleh diaplikasi dengan cabaran ini secara cekap dan berkesan,” katanya.
Sesi dialog kelmarin diadakan buat kali kedua dengan kali pertama diadakan pada 2009 di Kuching bertujuan menjadi medan membincangkan isu dan cabaran semasa alam sekitar, berkongsi pengalaman dan bertukar maklumat tentang pengurusan alam sekitar serta mengukuhkan kerjasama antara JPAS dan NREB dalam melindungi alam sekitar.
Sesi dialong melibatkan 10 pembentangan dari JPAS dan NREB, program itu turut dihadiri Pengarah JPAS, Yabi Yangkat dan Pegawal NREB, Peter Sawal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan