MD RASUL BIN HARON mrasulharon@yahoo.com |
Penulis tersentak dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hari 28 November 2010. Beliau menyatakan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee kerana pemuda dari Muar, Johor itu tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan.
Bagaimana dengan penghinaannya terhadap orang-orang Melayu dan Islam sebelum ini? Hati kita masih terluka dan belum sembuh. Disaat kita terluka, kerajaan dengan rendah hati memaafkan segala perbuatan Namewee. Namewee meletakkan lagu Negaraku pada taraf yang tidak sepatutnya sedangkan kita apabila terdengar sahaja lagu Negaraku terus berdiri tegak tanpa paksa menghormati lagu Negaraku. Kerajaan memberi kemaafan buat pemuda tersebut dan rela membiarkannya terus mencerca negara yang kita sayangi. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini, Namewee mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malayasia (SKMM).
Adakah wujud diskriminasi? Atau ada udang di sebalik batu? Pengetua tersebut pula telah dipanggil dan disoal-siasat oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Kononnya telah menimbulkan sentimen perkauman. Namewee tidak melakukan apa-apa kesalahan. Nemewee bebas berkata apa-apa sahaja. Menteri yang mulut laser ini pun tidak mampu menegur perbuatan Namewee tetapi kalau selain daripada Namewee, macam-macam akan keluar daripada mulut menteri ini.
Menteri itu dengan bangganya menyatakan terpulang kepada pengetua itu untuk mengambil tindakan atau tidak tetapi kerajaan tidak ada hak untuk mengambil tindakan ke atas Namewee. Bagaimanakah perasaan guru-guru yang hampir 400 000 jumlahnya di Malaysia mendengar kenyataan menteri itu? Bagaimana nasib pengetua itu? Namewee terus tersenyum dan tidak mustahil akan melakukan lagi kenyataan yang menggemparkan negara. Fikirkan juga hati dan perasaan rakyat Malaysia yang lain.
Kita perlu membezakan antara makna patriotisme, nasionalisme dan taat setia kera ia saling berkaitan. Tidak ada patriotisme selagi tidak ada taat setia. Taat setia mesti diukur dari segi menghormati dan mematuhi kepada Perlembagaan Negara terlebih dahulu. Persoalannya, di manakah patriotisme jika tidak ada taat setia dan rasa hormat kepada Perlembagaan Negara termasuk peruntukan-peruntukan sensitif seperti perkara 3(1) kedudukan agama Islam, Perkara 152, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mempertahankan perlembagaan bermakna mempertahankan kedaulatan negara. Berpegah teguh kepada apa yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial sebelum merdeka dan dirakamkan di perlembagaan adalah nasionalisme.
Fikirkanlah bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap Namewee? Jangan biarkan pemuda itu terus berjalan membusung dada.