Sabtu, 12 November 2011

Penduduk Kampung Wadihana gempar bunyi letupan




Gambar Hiasan


Penduduk Kampung Wadihana di Johor Bahru gempar apabila dikejutkan oleh satu bunyi letupan yang kuat awal hari ini.
    
Letupan pada jam 7.15 pagi dipercayai berpunca daripada injap pelepas angin pada paip berukuran 80cm di sebuah lurang di Jalan Mohamad Taib di kampung itu.
    
Letupan itu menyebabkan permukaan jalan tar merekah teruk dan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan rosak bumper belakang dan pintu belakang sebelah kanan.  
    
Seorang penduduk, Syed Najib Syed Yassin, 46, berkata beliau dan keluarganya baru hendak bersarapan apabila dikejutkan bunyi dentuman tersebut.

“Bunyi kuat macam bom, dentuman tu sekali saja, tiada gegaran atau sebagainya," katanya yang meluru keluar rumah sebaik letupan itu berlaku.
    
“Saya rasa ia disebabkan tekanan yang kuat pada paip bawah tanah itu menyebabkan jalan ini pecah," katanya sambil menambah bekalan air dari paip itu telah terputus sejak semalam kerana kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan berdekatan kawasan tersebut.
    
Pemilik kereta yang rosak, Ismail Abdullah, 55, berkata menjadi kebiasaan meletakkan kenderaannya di jalan itu.
    
“Mulanya saya sangka pokok tumbang, tapi apabila keluar rumah saya dapati, jalan telah meletup dan kesannya terkena kereta saya," katanya.
    
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ), Jamaluddin Jamil mengakui pihaknya melakukan kerja penyelenggaraan di kawasan itu sejak beberapa hari lalu dan letupan berpunca daripada injap pelepas angin paip itu yang terbuka.
    
Angin yang keluar dari injap berkenaan meningkatkan tekanan udara di dalam lurang itu menyebabkannya meletup.
    
“Ini adalah kejadian pertama dan siasatan akan dilakukan, kita berharap penduduk tidak berasa bimbang, manakala pemilik kereta boleh hadir ke pejabat SAJ bagi tindakan susulan,” katanya.

- Bernama

Gambar buaya di Taman Bulatan Miri berjaya dirakam


Sumber:
Utusan Borneo
12.11.2011

BUKAN MISTERI: Gambar buaya katak (dalam bulatan) yang dikatakan sebagai buaya misteri kelihatan timbul di kolam awam Taman Bulatan Piasau yang berjaya dirakam oleh William, semalam
.



MIRI: Jurugambar bebas, William Ting berasa bertuah kerana dapat merakamkan gambar buaya misteri di Taman Bulatan Miri, semalam.
Paling menggembirakan beliau ialah kejayaannya itu dilakar pada tarikh ‘unik’ semalam iaitu 11.11.11.
“Saya bersama isteri saya, Teresa gemar berjoging di taman ini, tetapi hanya berjaya melihat buaya itu hari ini (semalam). Saya berasa bertuah kerana berjaya merakam gambar buaya itu. Buaya itu kelihatan timbul selama dua minit dan tenggelam kembali setelah melihat saya,” ceritanya kepada pemberita semalam.
William memberitahu, buaya sepanjang kira-kira empat kaki itu timbul sekitar jam 8.32 pagi.
Beliau, bagaimanapun, melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan pengunjung taman awam itu sekiranya haiwan berkenaan masih belum ditangkap.
Buaya itu dipercayai berada di dalam kolam berkenaan sejak pertengahan bulan September lalu dan kehadirannya masih dianggap misteri.
Pihak berkuasa pernah cuba menangkapnya, tetapi ia berjaya bolos dalam operasi oleh Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Sementara itu, Timbalann Datuk Bandar, Mohd Chee Kadir yang dihubungi memberitahu, Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan bekerjasama dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Miri untuk memburu buaya itu selain usaha meningkatkan keselamatan pengunjung.
“Antara cara yang boleh kita lakukan untuk menangkap buaya ini ialah dengan mengeringkan air kolam,” jelasnya.  SFC mengenal pasti buaya itu dari spesies buaya katak, bukan buaya jenjulung seperti yang dikhabarkan sebelum ini.


Tiga pelajar ditahan kerana raba buah dada rakan sekelas


Sumber:
Utusan Borneo
Posted on November 12, 2011, Saturday


KUCHING: Tiga pelajar tingkatan dua ditahan polis semalam atas dakwaan mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan rakan sekelas mereka ekoran laporan yang dibuat oleh bapa mangsa.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan tiga pelajar terbabit di sebuah sekolah di Matang pada kelas sesi pagi untuk menyoal siasat mereka berhubung insiden itu.
Perkara itu terbongkar apabila bapa gadis berusia 14 tahun itu memberitahu polis, beberapa rakan sekelas lelaki anaknya meraba buah dada anaknya ketika mereka di dalam kelas.
Dia turut mendakwa insiden yang berlaku pada 27 Oktober itu dirakamkan oleh salah seorang pelajar terbabit menggunakan telefon bimbit.
Mangsa turut dikatakan pernah dibuli oleh beberapa rakan perempuan di sekolah yang sama dengan memukul dan menarik rambutnya.
Sumber memberitahu, tiga pelajar yang ditahan yang kesemuanya berusia 14 tahun, dipercayai dalang utama dalam kejadian itu dan tiada tangkapan lain dijangkakan.



Tuah ‘Chugo’ SM St Michael


Sumber:
Utusan Borneo
Berita Sabah
by NIK JASNI CHE JAAFAR nikjasni.ub@gmail.com. Posted on November 12, 2011, Saturday


MENANG...Pasukan dari St Michael (dari kiri) Mandy, Collin, Kelvin dan Daniel menunjukkan rekaan mereka 'Chugo' dan piala yang dimenangi mereka, kelmarin.


KOTA KINABALU: Rekaan perangkap nyamuk daripada buluh ternyata membawa tuah kepada kumpulan pereka dari SM St Michael, Penampang apabila terpilih sebagai johan Pertandingan Rekacipta Peringkat Sabah tahun ini.
Dianggotai pelajar tingkatan empat, Daniel Liew, Mandy William dan Kelvin Chan di bawah seliaan guru, Collin Andrew Chong, kemenangan itu melayakkan mereka mendatangani kontrak dengan syarikat terkenal dalam bidang rekacipta, Zull Design Autotronic.
Menggunakan buluh, yis, gula perang dan air, Daniel yang juga ketua kumpulan itu mendedahkan idea penciptaan alat yang dipanggil ‘Chugo’ itu terhasil setelah selalu mendengar tentang ancaman Denggi oleh nyamuk Aedes.
“Kos membuatnya tidak mahal dan tidak ambil masa yang lama kerana hanya menggunakan buluh sebagai bahan utama,” katanya yang menambah, ujikaji selama seminggu dilaksanakan oleh pasukannya bagi memastikan keberkesanan alat tersebut.
Ditemui di majlis anugerah itu kelmarin, katanya, untuk menjadikan produk itu lebih menarik pada masa depan, mereka mungkin boleh menambah ukiran pada rekaan itu.
Sementara itu, Collin berkata kemenangan itu adalah di luar jangkaan dan ia adalah ganjaran kepada usaha para pelajarnya.
“St Michael adalah sekolah lestari yang mementingkan alam sekitar. Jadi, ini adalah gambaran kepada didikan yang diberikan oleh pihak sekolah kepada mereka,” katanya yang merupakan guru biologi.
Beliau yang bangga atas kejayaan pelajarnya itu berkata idea produk itu adalah ilham pelajar sepenuhnya dan beliau hanya memberi bimbingan dan nasihat bagi merealisasikan penciptaan alat itu.
Sementara itu, selain kontrak, pemenang bakal menerima royalti berdasarkan kepada perjualan rekacipta mereka. Namun, pemenang juga boleh memilih untuk menjual terus hak rekacipta kepada syarikat dipilih oleh penganjur.
Menerima lebih seratus penyertaan pada peringkat awal, pertandingan bagi kategori Automasi Rumah-Alat Membunuh/Perangkap Nyamuk itu menyaksikan enam ciptaan mara ke peringkat akhir.
Selain SM St Michael, Penampang, lima lagi rekaan yang bertanding di peringkat akhir adalah ‘MT2′ oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri diketuai Andy Sunny Abdul Kadir, serta ‘Mosco Trap’ diketuai Ahmad Quzazi Matimpan dan ‘Aedes Mirror Miracle’ diketuai Keristy Jose dari SMK Kota Marudu 2.
Dua lagi rekaan adalah ‘Rumah Nyamuk’ oleh SMK Kundasang diketuai Nurul Hamizah Jabidin serta ‘X Factor’  oleh MRSM Kota Kinabalu diketuai Mohd Khairul Anwar Hj Jolbi.


6 Rahsia Pemakanan Ilmuwan Islam





Anak Soleh sentiasa mendoakan ibu bapanya
Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah dari Allah  S.W.T yang cukup berharga kepada Ibu bapa. Mereka juga merupakan amanah daripada Allah untuk dijaga dan dipelihara dengan  sempurna dan memastikan keselamatan di dunia dan akhirat. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaik-baiknya ataupun kita mengkhianatinya.
Kita semua sebagai ibu bapa atau yang bakal menjadi bapa sudah pasti berharap supaya dikurniakan anak-anak yang baik dan soleh yang bakal menjadi penyejuk mata dan penawar hati. Anak-anak bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w :
“  Apabila telah mati seorang anak Adam, maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu : Sedekah jariah, Ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya”.
Membaca ayat-ayat Al-Quran
“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati tenang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan dan menjadi amalan seharian.
Oleh itu, sekiranya kita berhasrat dan mengidamkan untuk mendapat zuriat yang terbaik dan soleh, maka kita mestilah memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka terutama fardhu ain dan fardhu kifayah.
Proses mendidik anak supaya menjadi anak yang soleh merupakan suatu tugas dan tanggungjawab yang besar serta mencabar kepada setiap  ibu bapa. Dunia hari ini yang serba canggih sedikit sebanyak telah mempengaruhi corak kehidupan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak. Maka dalam perkara ini, beberapa faktor penting perlu diberi perhatian oleh ibu bapa bagi memastikan anak-anak menjadi insan yang soleh dan terbaik serta mampu memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Amalan- amalan semasa mengandung dan setelah melahirkan:
• Sewaktu mengandung, kedua-dua ibu bapa mestilah sentiasa mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya. 
• Sewaktu bayi masih dalam kandungan ibu bapa hendaklah meningkatkan amal ibadah khususnya berpuasa sunat, membaca al-Quran terutama surah-surah Yusuf, Maryam, Toha, Luqman dan surah-surah pilihan yang lain. 
• Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah al-Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. 
• Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur. 
• Setelah anak dilahirkan, bersegeralah diazankan serta iqamat tanpa bertangguh sebelum bayi itu mendengar perkataan-perkataan lain. 
• Bukakanlah mulut bayi dengan air zam-zam yang sangat berkat itu. 
• Biarkan anak itu dipangku oleh orang-orang soleh dan terus didoakan. Itulah sebabnya ibu bapa mesti terlebih dahulu menjadi soleh sebelum mendapat anak yang soleh. 
• Hendaklah diperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran sebanyak mungkin semasa bayi itu masih lagi baru dilahirkan. Cubalah ajar bayi itu menyebut “Haq” (salah satu nama Allah ialah al-Haq). Ramai yang mencuba, mendapati bayi yang tidak mengerti apa-apa itu dapat menyebut kalimah “Haq”. Sungguh ajaib (hendaklah dilakukan oleh orang yang soleh). 
• Ibu yang menyusu anak itu hendaklah mengelakkan makanan dari sumber yang haram dan syubahat. 
• Anak-anak hendaklah membesar dalam suasana yang diwarnai Islam, serta jangan membiarkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakan yang tidak baik akhlaknya

Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
1. Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘Shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan bekerja  seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam. 
2. Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari. 
3. Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam. 
4. Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya kerana ia berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru. 
5. Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa dimakan sedikit saja pada waktu pagi. 
6. Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

Kesimpulan :
Anak yang pintar dan yang soleh mudah dibentuk dengan sering mengamalkan membaca ayat-ayat al-Quran bermula sejak dari dalam kandungan ibu. Pemakanan yang berkhasiat juga dapat mencerna dan membentuk kesihatan yang baik untuk bayi dalam kandungan. Maka akan lahirlah bayi yang cerdas mindanya, baik tingkah lakunya dan dapat membentuk anak yang soleh dan tinggi nilai akhlaknya.

Suntingan dari sumber :  Jabatan Agama Islam Selangor
Buku Anak Kita Memang Pintar dan Cerdas
( Hassan Mohd Alias)

BUSH, BLAIR KENA BICARA DI KL


11 NOVEMBER 2011


KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair akan dibicarakan di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan jenayah perang terhadap Afghanistan dan Iraq, walaupun tanpa kehadiran mereka.

Kedua-dua mereka dituduh oleh Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) selepas dua tahun menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat mangsa perang di Iraq pada 2009.
Ini kali pertama kedua-dua bekas ketua negara itu dituduh bagi jenayah perang mengikut proses undang-undang. Turut didakwa bersama mereka ialah beberapa tokoh dalam pentadbiran Bush seperti bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor undang-undang, John Yoo.
Setiausaha Agung Kuala Lumpur Foundation to Crimanalise War, Datuk Dr Yaacob Hussain Merican, berkata perbicaraan akan diadakan di Yayasan Al-Bukhary di Jalan Perdana di sini mulai 19 hingga 22 November ini.
Katanya pada sidang media di Balai Berita, semalam.
Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF), Tan Sri Norian Mai; Pengarah Eksekutif PGPF, Dr Zulaiha Ismail dan pemegang amanah yayasan itu, Tan Sri Dr Samsudin Hitam.
Serangan dan penaklukan Iraq pada 2003 mengakibatkan lebih 1.4 juta rakyat terbunuh, selain ramai lagi yang disiksa dan didera.
Dr Yaacob berkata, bagi tuduhan pertama Bush dan Blair dituduh melakukan jenayah terhadap keamanan, di mana kedua-dua mereka didakwa bertanggungjawab untuk merancang, menyerang dan menakluk sebuah negara berdaulat Iraq pada 19 Mac 2003 yang turut menyalahi undang-undang antarabangsa dan mencabuli piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagi tuduhan kedua, Bush dituduh bersama lapan pegawai kanannya melakukan penyiksaan dan jenayah perang, iaitu dengan mengambil bahagian, mengeluarkan perintah dan arahan eksekutif untuk mengecualikan semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Terhadap Penyeksaan 1984, Konvensyen Geneva III 1949, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Piagam PBB berhubung pembabitan mereka dalam perang di Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada 2003.
Bush juga didakwa melakukan perbuatan penyeksaan, layanan kejam, menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan terhadap semua mangsa, serta melanggar semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa.
Dr Yaacob berkata, tribunal itu akan dibarisi beberapa pakar perundangan dalam dan luar negara supaya proses perbicaraan berlangsung dengan lancar dan adil.
Tribunal tujuh anggota itu akan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, manakala anggotanya ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zakaria Yatim; peguam dan pakar undang-undang antarabangsa dan bekas peguam persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Prof Salleh Buang.
Pengarang buku politik, Alfred Lambremont Webre; pakar undang-undang perlembagaan, pentadbiran dan antarabangsa, Prof Niloufer Bhagwat; pensyarah undang-undang, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan peguam, Tunku Sofiah Jewa.
Pendakwaan akan dilakukan Pensyarah Undang-Undang, Prof Gurdial S Nijar dengan dibantu pensyarah undang-undang antarabangsa dari AS, Prof Francis Boyle.
Sekiranya terbukti bersalah, nama semua tertuduh akan dimasukkan ke dalam senarai daftar Suruhanjaya Penjenayah Perang dan akan disiarkan ke seluruh dunia.
Berita disunting daripada Berita Harian

KENYATAAN AKHBAR MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI




KENYATAAN AKHBAR
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN MENTERI PELAJARAN
MENGENAI PELAKSANAAN SOFT-LANDING PPSMI

Kerajaan pada tahun 2009 telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan  Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, Bahasa Cina di SJKC dan Bahasa Tamil di SJKT. Manakala di sekolah menengah, Bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains.
Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada bulan Julai 2009 juga telah membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing.
Berdasarkan keputusan tersebut, Kementerian Pelajaran pada tahun 2010 telah menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada tahun 2011 di mana murid Tahun 1 pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia di semua peringkat persekolahan, Kementerian juga memutuskan bermula tahun 2012, murid Tingkatan 1 akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan 1 bermula tahun hadapan telah menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak-anak mereka yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak.
Setelah mengambil kira pandangan ibu bapa, kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya,  bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan 1 bermula tahun hadapan.
Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan 5.  
Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun 3 hingga Tahun 6 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan ; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan oleh jemaah Menteri pada bulan Julai 2009.
Bagi murid yang telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.
Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.
Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun 2 hingga Tingkatan 5  tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat tingkatan 5 dapat melegakan hati ibubapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak akan terjejas.
Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua matapelajaran ini adalah pada tahun 2021.
Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah Kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Malaysia. 
Dapatan kajian menunjukkan, kurang 5 peratus daripada jumlah kelas di 7,495 buah sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Manakala di peringkat sekolah menengah, kurang 9 peratus daripada jumlah kelas di 2,192 buah sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa Malaysia.Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.
Hasil kajian lapangan yang dijalankan oleh Kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temubual murid-murid mendapati murid sukar memahami matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa yang lama untuk memahami konsep matematik dan sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru-guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua matapelajaran tersebut. Masalah seperti ini bukan sahaja dialami oleh sekolah-sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu matematik dan sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.
Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, Kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
Antara inisiatif tersebut ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru Bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan yang berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah.
Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu sains dan matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri
4 November 2011

SIARAN AKHBAR LANJUTAN TEMPOH PERMOHONAN MATRIKULASI SESI 2012/2013




SIARAN AKHBAR
LANJUTAN TEMPOH PERMOHONAN
PROGRAM MATRIKULASI SESI 2012/2013
Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah melanjutkan tarikh tutup permohonan Program Matrikulasi dari 10 oktober 2011 kepada 30 November 2011. Pembelian nombor pengenalan individu (NPI) boleh dibuat di mana‐mana cawangan BSN dengan membayar RM6.00 bagi permohonan melalui internet.
Semua pelajar SPM 2011 boleh membuat permohonan melalui laman sesawang http://www.moe.gov.my
Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03‐8884 4036 / 4040 boleh dihubungi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).
Bahagian Matrikulasi
Kementerian Pelajaran Malaysia
11 November 2011

11 NOV - BAYI NOMBOR SIRI 11111111




KUALA TERENGGANU: Dalam satu kebetulan yang menarik, bayi yang lahir hari ini di Terengganu akan mempunyai empat set nombor 11 bagi lapan digit pertama MyKad dan sijil kelahiran mereka.
Selain nombor 111111 bagi hari, bulan dan tahun kelahiran mereka, bayi di Terengganu juga akan mempunyai satu lagi set nombor 11 iaitu bagi menandakan kod negeri Terengganu.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Terengganu, Nafisah Abdullah, berkata bayi yang lahir antara 12 pagi hingga 11.59 malam ini di Terengganu, akan mendapat nombor kad pengenalan dengan senarai angka berkenaan, tidak kira sama ada ibu bapa mereka berasal dari negeri ini atau tidak.
Bayi yang dilahirkan sebelum atau selepas tempoh itu tidak dibenarkan menukar tarikh dan masa kelahiran, katanya ditemui di sini, semalam.
Ditanya sama ada berlaku perubahan dalam kaedah pemberian nombor MyKad pada masa depan, beliau berkata, kurang kemungkinan ke arah itu kerana ia sudah digunakan dengan berkesan sejak lebih sedekad lalu.
Rekod JPN negeri menunjukkan purata 60 bayi dilahirkan setiap hari di Terengganu.

Empat maut pada tarikh 11.11.11


Sumber:
Kosmo
Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI, NORLIDA AKMAR IDROS 
dan AINSAFRE BIDIN
berita@kosmo.com.my




SLIM RIVER – Tarikh 11.11.11 yang ditunggu ramai orang bagi melaksanakan sesuatu perkara penting dalam hidup memberi makna sebaliknya kepada empat mangsa yang terbunuh di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan yang terletak 100 meter dari hentian sebelah Behrang dekat sini semalam.
Tragedi pukul 4.30 pagi itu amat tragis kerana tiga daripada mangsa yang terbunuh merupakan penumpang bas membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru bercuti di Genting Highlands, Pahang. Mereka sebelum itu terselamat selepas bas terbalik.
Namun kira-kira 10 minit selepas semua peserta rombongan itu keluar dari bas yang terbalik, sebuah treler membawa guni pasir pula melanggar bahagian belakang bas tersebut yang berada di lorong paling kiri sebelum treler itu menyondol kumpulan rombongan yang berada di luar bas.
Akibat rempuhan itu, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim, Kedah, Khairul Anwar Azhan, 15, serta Maysarra Zaidi, 15, dan guru pengiring, Siti Hajar Mohamad, 33, terbunuh.
Seorang lagi yang maut ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45.
Basarah bukan peserta rombongan pelajar sekolah itu tetapi dia menyertai rombongan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar yang menaiki sebuah bas lain yang berhenti kira-kira 10 meter dari bas yang terbalik semata-mata untuk memberi bantuan kepada mangsa bas terbalik itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, Khairul Anwar, Maysarra dan Basarah maut di tempat kejadian manakala Siti Hajar mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR).
Menurut beliau, tujuh penumpang bas rombongan pelajar itu cedera parah. Mereka yang cedera parah dihantar ke HSR dan Hospital Teluk Intan.

Lima sebab Guan Eng tak bubar DUN jika BN panggil PRU 2011


malaysianinsider

TERKINI @ 03:33:21 PM 11-11-2011
November 11, 201





KUALA LUMPUR, 11 Nov — Kerajaan negeri Pulau Pinang menyenaraikan lima sebab ia tidak akan mengikut langkah Barisan Nasional (BN) jika Parlimen dibubarkan sekarang untuk membuka laluan bagi pilihan raya umum tergempar.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih bertegas mahu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini, maka Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan memanggil sidang khas untuk membawa usul bahawa pilihan raya negeri tidak akan diadakan bersama pilihan raya umum Parlimen.

Salah satu sebab menurut Lim ialah pentadbiran Najib masih belum menunaikan janji memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA dan pengagihan RM500 yang dijanjikan untuk keluarga berpendapatan bawah RM3 000 sebulan Memandangkan spekulasi semakin rancak sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil pilihan raya umum pada tarikh bertuah 11 November 2011 ada lima sebab mengapa Pulau Pinang tidak akan ikut dan tidak akan mengadakan pilihan raya seiring dengan pilihan raya umum Parlimen tahun ini kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini Di sebalik spekulasi itu Najib mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini petang ini yang dijangka antara lain akan membincangkan soal pengagihan kerusi Persoalan timbul sama ada BN hanya akan mengadakan pengubahsuaian kosmetik.

Adinda Sultan K'tan saman Malay Mail RM50j




Adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM50 juta terhadap akhbar Malay Mail dan tiga lagi berhubung satu artikel yang mengaitkan beliau dengan kes tembakan terhadap pengawal istana Ramli Mohamed.

    
Tengku Muhammad Fakhry memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan A S Dhaliwal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
    
Beliau menamakan akhbar Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama, syarikat pencetak The New Straits Times Press (M) Bhd, Ketua Editor Yushaimi Maulud Yahya dan wartawan Marhalim Abbas sebagai defendan kedua hingga keempat.
    
Menerusi pernyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab menerbitkan satu artikel dalam Malay Mail Online News Portal pada 5 Mei, 2010, sehingga menjejaskan reputasi, jawatan dan kerjayanya.
    
Beliau mendakwa artikel tersebut memberi gambaran seolah-olah beliau tidak berprinsip, tidak boleh dipercayai, penjenayah dan pengkhianat.

Kenyataan itu menyebut berikutan artikel itu, Tengku Muhammad Fakhry dilucutkan gelaran Temenggong, dicaci dan dipandang rendah oleh masyarakat.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa akibat berita palsu itu juga hubungan dengan bondanya Raja Perempuan Kelantan menjadi renggang, dan ia hanya pulih selepas Mahkamah Koroner memberi keputusan terbuka mengenai kejadian tembakan tersebut dan dirinya tidak didakwa oleh pihak polis.

Selain gantirugi berjumlah RM50 juta, beliau menuntut akhbar terbabit menerbitkan permohonan maaf, suatu injunksi supaya tidak mengulangi artikel terbabit, ganti rugi teladan dan kos.
    
Ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan tersebut, Tengku Muhammad Fakhry berharap kebenaran akan terserlah.

- Bernama

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...